Tuesday, July 30, 2019

Damai di Puncak Berkabus

Tarikh       :  18 April 2019
Misi           :  Menikmati Kabus, Membeli Kopi dan Mencari Garam Manis di Patani
Lokasi       :  Ban Padeng, Yala, Thailand
Coordinate : N6.00823° E101.22805°
Map Links  : https://goo.gl/maps/WCWSUNbUVmKU5uzD8

Durian Garden Home ดูเรียนการ์เด้นโฮม adalah sebuah penginapan yang sederhana, terletak di atas bukit  dikawasan hutan dan dikelilingi oleh pepohon durian. Berada pada ketinggian > 450 masl dengan persekitaran yang natural menjadikan cuaca di sini sentiasa segar sepanjang masa. Jauh dari hiruk pikuk kenderaan dan dapat merasai suasana kabus di pagi hari yang dingin sambil menikmati pemandangan indah Hala Bala Lake dari hadapan pintu bilik. Suasana damai yang pasti dapat memberi ketenangan kepada pengunjung.

Ia terletak di No. 60/8, Ban Padeng, Amphoe Than To, Yala, Thailand atau ± 25km ke utara dari Iyerweng. Untuk ke sana (menghala ke Yala) Di Km 39 highway 410, terdapat sebuah jambatan batu disebelah kanan, seberangi dan telusuri Yala 3018 rural road sejauh ± 7km dan Durian Garden House terletak disebelah kanan di atas bukit.

Misi kami sebenarnya adalah untuk ke Cool Camping (N6.01227° E101.23000°) yang terletak di kawasan bukit ini juga. Dengan motosikal, kami mula mendaki bukit pada jam ± 7.00 malam. Pendakian dalam suasana yang semakin gelap. Apabila tiba Cool Camping, kami dimaklumkan bahawa semua bilik telah penuh ditempah. Maka terpaksa mencari pilihan lain dan sudah tentu Durian Garden Home yang terletak ± 300 meter menjadi pilihan muktamad.

Sampai di Durian Garden, kami terus check in tanpa banyak soal. Namun dengan harga THB500 semalam berbaloilah dengan harga yang dibayar. Ada wifi percuma, water heater, kipas kabus (mist fan) dan tandas yang selesa.

Terdapat 3 unit penginapan bersaiz ± 12’ x 10’ yang boleh menempatkan 3 orang(harga THB500) dan I unit bamboo house (3 penghuni) tetapi tandasnya berada diluar dengan harga THB400.00. Harga tambahan sebanyak THB100.00 seorang dikenakan jika melebihi dari 3 orang.

Jika datang pada musim buah-buahan (Julai – Ogos) kunjungan pasti lebih menarik.

Selepas sarapan esoknya, kami turun dari bukit menuju ke kampung Rai( ± 24 km ke utara) bagi membeli serbuk kopi asli sebagai bekalan di bulan Ramadan (sekilo THB300). Kopi asli (tanpa campuran) buatan sendiri yang hitam pekat lagi sedap, kaya dengan aroma asli semerbak ..

Monday, July 29, 2019

Tok Fakeh Ali: Ziarah Makam Pengarang Tarikh Fathani

Tarikh       :  10 Februari 2019
Misi           :  Menziarahi makam ulama di Patani
Lokasi       :  Kerisik, Patani, Thailand
Coordinate : N6.87005° E101.29761°
Map Links  :
https://goo.gl/maps/W5MvZyAL77N2

Syeikh Shafiyuddin Al Abasi adalah seorang ulama dari Pasai berketurunan Saiyyidina Abbas bin Abdul Muthalib (Bapa saudara Rasulullah SAW). Beliau tiba di Patani pada sekitar tahun 1500 Masehi semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530 – 1564). Ketika itu raja-raja Patani telah pun memeluk Islam, tetapi pengamalannya masih belum meluas. Maka beliau telah berusaha berdakwah kepada masyarakat terutama melalui istana. Beliau telah diberikan gelaran Datuk Seri Raja Faqih (Tok Raja Faqih) seorang yang berpengaruh di istana dan menjadi Penasihat Agama kepada Kerajaan Patani. Kedudukan beliau yang rapat dengan istana menyebab baginda sultan meminta beliau mengarang sejarah Patani. (Permintaan sultan Patani kepada Syeikh Faqih Ali ada tercatat pada bahagian mukadimah Tarikh Fathani)

Kitab yang dikarang sekitar tahun 1624-1635 dalam bahasa Arab menceritakan secara terperinci tentang sosio-budaya masyarakat, geo-ekonomi, tamadun, politik dan lain-lain lagi. Penulisan yang bersifat ilmiah dengan sumber rujukan dari istana boleh dianggap sebagai catatan sejarah dan seterusnya mengukuhkan bidang persuratan Melayu.

Kemudian Kitab ini disalin semula dengan sedikit penambahan oleh Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi (cucu Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi dan merupakan ulama serta Panglima Tentera Patani yang bergelar Datuk Maharajalela). Tarikh Fathani itu kemudiannya disalin semula oleh Syeikh Wan Daud (Syeikh Daud Al-Fathani) pada tahun 1228H (1813M), salah seorang ulama Alam Melayu yang tersohor. Usaha Syeikh Daud menyalin naskhah Tarikh Fathani sangat besar ertinya kerana dengan usahanya itu dapatlah kita  membaca kitab ini  sehingga hari ini.

Wallahuaklam ….

Makam ini terletak di village No. 2, Tanyong Lulo Sub district, Patani. Tidak jauh dari masjid Raja (Ban Bana Mosque) (N6.87273° E101.29412° - https://goo.gl/maps/wVz2Jr8JNDFsJb6u7 )sejauh ± 2km sahaja. kami melalui jalan tarmac kecil sebelum sampai ke makam ini. Berada dalam kawasan perkuburan awam dan makam Tok Fakeh dapat dikenali kerana ia terletak di dalam binaan berbumbung dengan dinding separa.

Makamnya berada dalam kawasan perkuburan awam dan mudah dikenali kerana ada binaan berbumbung
Ada telaga dihujung sana
Ada kubur lama yang tak dikenalpasti

Ada tasik cantik dipenuhi teratai dan dikelilingi oleh sawah padi berdekatan kubur ini



Thursday, July 25, 2019

Tok Pasai: Ziarah Makam Ulama Yang Mengislamkan Raja Patani

Tarikh       :  10 Februari 2019
Misi           :  Menziarahi makam ulama di Patani
Lokasi       :  Kerisik, Patani, Thailand
Coordinate : N6.84912° E101.28119°
Map Links  :
https://goo.gl/maps/bmKRgYWqCuUxszyS6

Sheikh Muhammad Sa'id al-Barsisa Al Yamani atau Tok Pasai adalah seorang ulama berasal dari Yaman, pernah menetap di Pasai, pernah melawat Kedah dan akhirnya ke Patani.

Seorang tokoh agama, tabib yang handal dan menguasai beberapa disiplin ilmu lagi. Beliau juga dikatakan mengislamkan Raja Patani (Phya Intira) sekitar 1457M (Rujuk Catatanku di sini KLIK) setelah berjaya merawat penyakit baginda, juga memperkenan nama Sultan kepada Sultan Ismail Shah Dzalillah Fi Alam dan seterusnya mengembangkan islam di Patani. Versi ini berdasarkan Hikayat Pattani.

Beliau jugalah yang mengetengahkan cadangan pembinaan masjid kersik (Masjid Sultan Muzaffar Shah).

Wallahuaklam ….

Makam Tok Pasai terletak di tengah kawasan bendang di Talubo, Patani. Terletak ±6.6km dari Masjid Kerisik.

Kami ke sini setelah bertanya khabar dan arah dari jemaah di Masjid Raja (Masjid Ban Bana). Kami telesuri Ro Pho Cho Patani 2071 road menuju ke sebuah sekolah di Ban Charang Bo-Ngo. Kami memasuki kawasan sekolah dan terus melalui jalan tanah merah yang dikelilingi oleh sawah padi sejauh ±300. Makam ini berada dalam kawasan yang berpagar seluar ±0.3 ekar. Terdapat binaan konkrit yang melindungi makan ini. Ada pondok/dangau yang agak besar selepas pintu masuk. Selepas ziarahi makan ini, aku berehat sebentar melepaskan lelah dan mengamati garminku untuk mencari makam Tok Fakeh pula.

Ia terletak dalam kawasan yang berpagar dan dihadapan pintu masuk ada bangsal berteduh

Makan ini berada di bawah binaan berbumbung

Dihujung sana ada telaga

Monday, July 22, 2019

Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi - Part 2

... BERSAMBUNG

Tarikh       :  09 Februari 2019
Misi          :  Menelusuri laluan pantai Patani – Part 1
Lokasi       :  Patani, Thailand
Coordinate:
Map Links :

Kami meneruskan perjalanan ke Saiburi sebuah daerah dalam wilayah Patani. Ia dahulunya dikenali sebagai ‘Teluban’. Nama Teluban dipercaya diambil daripada nama sungai dimana bandar berkenaan berada. Saiburi telah dipecah perintah oleh Siam setelah Patani jatuh. Di bawah pemerintahan King Rama II (1785), Patani dipecahkan kepada 7 wilayah dan dilantik Gabenor(Raja) untuk daerah tersebut:-

1. Negeri Patani diperintah oleh Tuan Sulong

2. Negeri Nong Chik diperintah Oleh Tuan Nik

3. Saiburi diperintah oleh Nik Dah

4. Yala diperintah oleh Tuan Jalor

5. Raman diperintah oleh Tuan Mansor

6. Legeh(Narathiwat) diperintah oleh Nik Deh(Diah); dan

7. Yaring (Jambu) diperintah oleh Nai Phai.

Sebelum tiba ke Saiburi, kami singgah seketika Samphimo beach ± 4km dari Saiburi. Ia adalah sbuah pantai yang tenang dan agak sunyi. Berdekatannya ada sebuah homestay yang menjadi pilihanku jika kami tidak sempat pulang ke Bandar Patani.

Coordinate: N6.72892° E101.62517°
Map Links : https://goo.gl/maps/4Nj4WCeyN3FtDo3K8

Masyarakat Melayu Patani sepanjang pantai dilingkungi dengan ‘dunia laut’. Oleh itu ia berkait rapat dengan budaya perahu. Perahu-perahu tradisional atau di kenali sebagai kolek adalah jenis perahu yang mempunyai hiasan dengan dekorasi tertentu dan mempunyai warna serta motif yang tersendiri.

Difahamkan pembinaan sesebuah perahu kolek memakan masa sehingga berbulan-bulan. Perahu jenis ini dikatakan mampu bertahan sehingga puluhan tahun kerana diperbuat 100 peratus daripada kayu cengal yang terkenal dengan ciri-ciri keras, padat, berkualiti tinggi dan tahan daripada perubahan suhu dan cuaca. Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara perahu kolek yang sudah berusia lebih 60 tahun tetapi masa boleh digunakan nelayan berkenaan. Para nelayan hanya memperbaiki atau mengecat semula bagi menaikan serinya.

Kami singgah di beberapa tempat melihat kolek dan seterusnya ke Ban Pase Yawo yang masyhur dengan seni pembuatan perahu

Coordinate: N6.71490° E101.62706°
Map Links : https://goo.gl/maps/qDkGdppQzu1w5cCo7

Kemudian kami mengunjungi istana Raja Saiburi yang terletak berhampiran highway 4074. Ia dibina oleh Tengku Abdul Hamid (Pipit Phakdi). Ia adalah sebuah bangunan kayu 2 tingkat dengan senibina gabungan seni tempatan dan barat. Keistimewaan Istana ini ialah pada bahagian anjung dimana dindingnya melengkung dan tangga batunya yang melengkung. Ia berusia > 100 tahun. Beberapa kedai dibuka berhampiran(tepi pagar) bangunan ini dan pintunya berkunci. Kami tidak dapat masuk ke dalam istana ini kerana penjaganya keluar ketika kami tiba …. Hmmm kecewa juga.

Coordinate: N6.70299° E101.61887°
Map Links : https://goo.gl/maps/zrR9iBKAAd9Li7gQ8

Hasrat hatiku untuk mengunjungi istana lama (asal) Raja Saiburi yang terletak tidak jauh dari sini kerana masa sudah suntuk maka kami ambil keputusan untuk balik ke Patani untuk aktiviti seterusnya.

Tangga batu melengkong

Industri makanan: Sambal ikan dan kelapa di Ban Pase Yawo


Pautan Kembara Berkaitan

01. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 1
02. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 2

Thursday, July 18, 2019

Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi – Part 01

Tarikh       :  09 Februari 2019
Misi          :  Menelusuri laluan pantai Patani – Part 1
Lokasi       :  Patani, Thailand
Coordinate:
Map Links :

Patani mempunyai jaluran pantai sepanjang Laut China Selatan sejauh > dari 100km (Dari Thepa menganjur ke Saiburi). Dengan bentangan pantai yang panjang dan memutih tentu banyak lokasi yang indah dan mungkin ibarat permata yang tersembunyi yang mewarnai lanskap alam. Disamping  misi mencari makam ulama dan masjid, kami juga ronda laluan kurang dikunjungi bagi mencari permata yang tersembunyi di sepanjang laluan.

Kami bermula dengan pantai di Tanjung Budi (Laem Tachi). Kunjungan semula ke sini untuk melihat  keadaan pantai setelah dimaklumkan oleh sahabatku bahawa banyak chalet sudah didirikan di sepanjang pantai. Ya memang banyak chalet didirikan terutama di kawasan Ban Dato hingga Talo Samilae. Sekurang-kurang ada banyak pilihan penginapan namun harga sedikit ‘keras’. (=>THB700)

Aku sekali lagi ke Tanjung Dato’ untuk ziarahi Makam Tok Panjang (Sheikh Gomak Minangkabau) yang aku terlepas pandang dahulu. Ia terletak bersebelahan dengan makam Raja-Raja Patani.

Kaum wanita di larang memasuki makan ini, kenapa?

Tok Panjang juga dikenali sebagai Maulana Gombak atau Abdul Mubin dikatakan berasal dari Minangkabau. Beliau dikatakan adalah sahabat kepada Sheikh Sa’id Al-Barsisa. Beliau dihukum bunuh oleh Ratu Biru kerana didakwa menjual tembaga yang diharamkan Ratu untuk kegunaan pembuatan meriam. (semasa peperangan Patani/Siam) Cerita tentang mayat dan kuburnya biarlah menjadi misteri …

Kemudian kami meneruskan perjalanan melewati Talo Kapo beach dan singgah ke Panare Beach. Terletak ± 20km dari Laem Tachi. Ia adalah kawasan perkampungan nelayan. Pantainya seperti tidak sesuai untuk mandi manda.

Memandangkan kawasan disini agak ‘panas’ maka kelihatan ramai askar meronda dijalanan dan melewati beberapa pos kawalan, namun Alhamdulillah tidak ditahan

Dari Panare beach, singgah di Bangmaruad beach atau pantai Kuala Beruas. Pantai in sedang dinaik taraf dengan penyediaan beberapa kemudahan asas. Aku dapati ada sebuah bukit menarik berdekatan pantai ini namun tidak sempat didaki lantaran terik panas yang memerit.

Sepanjang perjalanan banyak sungguh pantai yang  memutih ditambah dangan hijaunya air laut membuat kita 'tak torah' nak mandi tang mana, nampak stereotype kecuali dibeberapa tempat. Aku dapati ada kelainan di hujung tanjung antara Bangmaruad beach dan Ratcharak beach, pantai berbatu merah bagaikan Sakom Beach.

Di Khae-khae beach berhenti menikmati makanan tradisional seperti 'GEDUNG CAK'.  Kebanyakan pantai di sini hampir serupa dengan pasir yang memutih, diselang seli dengan pepohon rhu dan kelapa. Cuma di Khae-khae (batuan granit besar mengingatkan aku akan Batu Feringgi.

Khae-Khae beach adalah antara pantai tercantik di Patani. Dengan batuan granite membezakan pantai lainnya. Ia juga mempunyai pantai yang berlekuk dan pantai yang memanjang terlindung disebalik batuan besar. ‘Khae-khae’ bermakna ‘bunyi kasar/kuat’ kerana hempasan ombak ke pantai menghasil bunyi kuat.

BERSAMBUNG …


Pautan Kembara Berkaitan

01. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 1
02. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 2

    Thursday, July 11, 2019

    Jeep: Lagenda Perang Di Patani


    Tarikh       : 09 Februari 2019
    Misi          : 
    Lokasi       :  Sai Khao, Patani, Thailand
    Coordinate: N6.66931° E101.10114°
    Map Links
    : https://goo.gl/maps/pKx9t3peJRVH1wbE7
    Perang Dunia KE-2 menyaksikan terciptanya salah satu kenderaan Amerika yang menjadi ikon perang tersebut iaitu, Jeep. Kenderaan  lasak yang dianggap sebagai ‘military workhorse’ di guna meluas di dalam kempen ketenteraan Amerika.

     

    Kisahnya bermula pada akhir 1930-an, apabila tentera Amerika  sedang mencari kenderaan yang ringan, lasak dan dapat bergerak dalam pelbagai situasi keadaan. Pada tahun 1940-an, reka bentuk Jeep telah dilengkapkan hasil usahasama Willys MB dan Ford GPW dengan pengeluaran berskala besar kepada tentera Amerika dari 1941 – 1945.

    Sebenarnya aku tertarik dengan kereta ini apabila sering menonton filem bercorak peperangan  yang sering menampilkan kereta lagenda ini lalu membuat hatiku meruntun untuk mengunjungi ke satu lokasi, Patani, Thailand yang memberi peluang merasai pengalaman menaiki kenderaan comel dan lasak ini. Ia diusahakan oleh Komuniti Penduduk Sai Khao, Patani dan diketuai oleh Mr Suan (Mr. Plearnsak Promsuk). Perkumpulan ini menawarkan pengalaman menaiki jeep mengelilingi kampung dan tempat menarik sekitar (dengan harga THB1000) terutama ke Namtok Sai Khao National Park. Komuniti ini pernah memenangi ‘Most Outstanding Community-based Tourism Award ‘ untuk eco-cultural tours and homestay services dalam tahun 2007.

    Terdapat ± 30 buah jeep di daerah ini yang digabungkan dibawah perkumpulan ini. Jeep ini diperolehi oleh penduduk hasil lelongan pihak tentera (ditinggalkan oleh tentera Amerika) lalu diubahsai enjinnya (Tidak …jenuh nak maintain). Aku juga mengunjungi beberapa rumah penduduk di sini yang mempunyai kenderaan jeep. Antaranya En. Yusuf Bin Hussain, En. Salleh Bin Hassan. Ramahnya mereka melayanku bagaikan saudara pula. Salleh Bin Hassan mempunyai 2 unit jeep yang diselenggara dengan baik bahkan lebih antik. En. Salleh juga fasih berbahasa Melayu, rupanya bapanya berasal dari Malaysia(orang nogori) dan tinggal disini .

    Kemudian aku dibawa ke Saikhao Homestay. Disini aku menyaksikan betapa harmoninya penduduk yang hidup aman damai dan bertolak ansur. Mereka bekerjasama menyedia homestay kepada pelancong. Sikap toleransi dan hormat menghormati menjadi punca kejayaan mereka. Jika datang waktu musim buah-buahan, wow memang best. Harga homestay ±THB350 – THB500.00.

    Bersama owner Homestay

      En. Salleh Bin Hassan & Mr Suan (Mr. Plearnsak Promsuk)  yang menjadi ahli perkumpulan Jeep di sini

    Friday, July 05, 2019

    Masjid Najmuddin: Masjid Kayu Tua (Dibina Dengan Harmoni)

    Tarikh       : 08 Februari2019
    Misi          :  Jejak Mimbar
    Lokasi       :  Sai Khao, Patani, Thailand
    Coordinate: N6.67160° E101.09455°
    Map Links
    : https://goo.gl/maps/aMkYw5R78d5uNb3n6

    Masjid Najmuddin terletak di Ban Khuan Langnga, Sai Khao, KhokPho, Patani, Thailand. Terletak ke Barat Daya Bandar Patani (± 32 km). Nama asalnya ialah Masjid Banggol Langgar. Ia dipercayai di bina dalam tahun 1634 di era pemerintahan Ratu Ungu. Semasa itu terjadi peperangan disekitar kawasan ini antara kerajaan Patani dengan Kerajaan Siam. Siam menghantar tentera untuk menyerang Patani apabila baginda engkar menghantar ufti berupa ‘bunga emas’.

    Pertempuran yang berlarutan selama beberapa tahun menyaksikan benteng pertahanan Ratu Ungu utuh menghadapi serangan siam berkat kerjasama penduduk dengan tentera baginda. Setelah peperangan mula reda, sebuah masjid di bina di sebuah lokasi di kaki pergunungan San Kalakiri. Penduduk kampung samada muslim dan Buddha bergotong royong membina masjid kayu ini yang bahan binaannya dari kayu bermutu yang diambil dari kawasan pergunungan San Kalakiri. Mereka menggunakan kapak dan peralatan asas tradisional dalam pembinaan masjid ini. Peralatan yang digunakan semasa pembinaan, quran tulisan tangan dan lain-lain masih dipulihara dan dipamir di satu sudut masjid. Pembinaan masjid ini banyak dipengaruhi oleh gaya senibina islam dengan pengaruh Arab, jawa dan Melayu/Thai. Sebab itu gaya pembinaanya hampir serupa dengan masjid lama seperti di Aur Tanjung dan Wadi Husein, Talo Mano.

    Pembinaan masjid yang dibina atas asas harmoni 2 agama dan hubungan itu berkekalan sehingga kini. Masyarakat melayu muslim dan Thai Buddha hidup bersama dengan aman dan bertoreransi sesama sendiri. Masjid ini masih kekal berada  pada kedudukan yang sedia ada. Ia dibina dengan ciri-ciri tempatan tanpa mempunyai ciri-ciri  nyata seperti masjid-masjid di Timur Tengah yang mempunyai bumbung berkubah. Pelan bangunannya ringkas, berbentuk segiempat. Reka bentuk dan susun atur dalaman tidaklah kompleks dimana reka bentuk bangunan bertiang berkonsep terbuka dan tidak mempunyai sekatan dinding. Hal ini memberi keselesaan dan laluan pengudaraan yang nyaman. Terdapat 20 batang tiang kayu besar yang menyokong rangka bumbungnya. Berbumbung 2 lapis dengan atap Singgora.

     

    Semasa pembinaan masjid ini terdapat sebuah kolam disisi masjid ini yang digunakan untuk berwuduk dan kolam itu kini dipindahkan ke kedudukan terkini semasa proses penambahbaikan suatu ketika dahulu.

    Selain itu, Beduk (gendang raya) juga adalah antara peralatan yang menarik tentang masjid ini. Beduk yang diperbuat daripada batang pokok yang besar di mana batangnya ditebuk agar menjadi kosong. Selepas itu, hujung batang pokok berkenaan akan dibalut dengan kulit lembu atau kulit kerbau. Jenis kayu yang digunakan untuk memukul gendang itu terdiri daripada tiga jenis dan berlainan bunyi. Bunyinya boleh didengar sehingga sejarak 3 km. Selain diguna sebagai pemberitahu masuk waktu, pemberitahuan tentang kematian, bunyiannya juga sebagai amaran kepada penduduk tentang serangan musuh atau ancaman/bencana.

    Masjid ini masih digunakan dan dikekalkan binaannya. Perubahan masa menyebabkan masjid ini semakin usang dan diperbaharui berkali-kali namun bangunan ini masih digunakan dan struktur asas utuh terpelihara. Bangunan masjid baru dibina bersebelahannya pada 1970 bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

    Yang lama & yang baru
    Berswama Tuan Imam Masjid ini, Tuan Haji Abdul WahabBin Abdullah. Masyrakat disini walaupun berada di Patani tetapi ‘gagap’ berbual dalam bahasa jawi (melayu)
    Tampak kiri: pic dari luar pagar masjid
    Pic dari dalam ruang solat. Tampak membelakang qiblat dan menghadap ke arah balai lintang. Lihatlah bentuk tiang yang besar
    Struktur bumbung