Tarikh : 09 Januari 2018
MISI : DAY 06
LALUAN: Shiraz – Persepolis - Marvdasht
Jarak : ±
KOORDINATE: N29.93480° E52.88501°
Awal pagi kami kami bertolak ke Nasir Al Mulk Mosque di Lotf Ali Khan Zand Street sejauh ±5km dari hostel. Awal pagi, mudah dapat parkir, senang bergerak dan tak ramai lagi pengunjung.
Tiket masuk ke sini ialah IRR200,000. Masjid Nasir Al Mulk(N29.60856° E52.54855°) juga dikenali sebagai "Masjid Pink", “Mosque of colours,” “Rainbow Mosque” dan “Kaleidoscope Mosque”. Mana tidaknya dengan simbahan cahaya matahari ke tingkap berwarnanya mewujudkan sinar pelbagai warna. Pada luarnya masjid ini sama sahaja seperti masjid-masjid lainnya tetapi di dalamnya, fuhh cantik bener senibinanya, sebab itulah ia dinobatkan sebagai masjid tercantik di Shiraz dan antara yang tercantik di Iran.
Di Halaman Masjid Nasir Al-Mulk
Ia dibina semasa era Qajar oleh Mirza Hassan Ali (Nasir Al Mulk) yang mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan (1876 – 1888). Lama kami bergambar disini kerana masih tidak ramai pengunjung dan pada awal pagi ini biasan cahaya menerusi tingkapnya terserlah.
Dipuncak sana Gahvareh Deed
Pemandangan Kota Shiraz
Selepas itu kami ke Quran Gate (N29.63560° E52.56181°) dan berhenti bertentangan dengan quran gate untuk mendaki sebuah bukit yang dikenali sebagai Gahvareh Deed atau Cradle Of Sight (N29.63354° E52.56209°) juga dikenali sebagai Azod Dome iaitu struktur batu seperti kota/pos yang menghadap kota Shiraz. Ia mungkin lokasi peninjau suatu masa dulu.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke arah Marvdasht untuk ke sebuah tinggalan kota kuno iaitu Persepolis (N29.93480° E52.88501°) sejauh ±57 km dari Quran Gate. Persepolis adalah nama Greek yang bermaksud 'Persian City' atau Parsa bermaksud 'Kota Persia'. Penduduk Iran memanggil Takht-E Jamshid yang bermaksud Throne Of Jamshid. Ia diasaskan oleh Darius The Great pada 518 SM (yang memerintah 522-486 SM). Darius menjadikan Parsa ibukota baru Empayar Parsi menggantikan Pasargadae. Persepolis terletak di kaki Gunung Kuh-e Rahmet ("Mountain OF Mercy"). Kota ini dibina diatas platform batu setinggi 12 meter dan berkeluasan 125,000 meter persegi, sebahagiannya batu ini dipotong dari Gunung Kuh-E Rahmat. Di atas Platform inilah beberapa struktur hebat dibina seperti Tachara (istana diraja), Apadana(Balai Penghadapan) dan lain-lain lagi struktur yang sempurna prasarananya. Senibina bangunan yang mengkagumkan dengan teknologi yang hebat digunapakai. Kehebatannya empayar ini yang berjaya menguasai seluruh Asia Tengah dan malangnya kegemilangannya berakhir apabila Alexander The Great berjaya menawan Empayar ini pada 334 SM. Tempat ini di senaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 1979.
Selepas parkir kereta kami ke kaunter tiket dimana bayaran masuk dikenakan sebanyak IRN200,000 seorang. Kemudian terpaksa berjalan sejauh ±350meter ke pintu masuk (Wow! luas dan tingginya tapak kompleks struktur ini) . Bermula dari sini kita akan menaiki anak tangga yang dikenali sebagai ‘Stairs Of All Nations’ atau Terrace Stairway (N29.93601° E52.88868°). Pembinaannya di lakukan oleh King Xerxes (486 – 465 SM) iaitu anak lelaki kepada Darius The Great. Tangga ini adalah main entrance ke istana. Ia dibina di kiri dan kanan dan mempunyai 111 anak tangga dan selebar 7 meter. Anak tangganya dibina rendah (±10cm tinggi setiap anak tangga) bagi membolehkan pengunjung menaiki dengan mudah dan bersahaja tanpa mengerah tenaga yang banyak.
Selepas sampai di atas teres kami mengunjungi pintu masuk utama yang dikenali ‘The Gate Of All Nations’ (N29.93616° E52.88908°) iaitu nya pintu masuk utama. Pintu ini dijaga oleh patung yang berbentuk Lembu bersayap dan berkepala manusia berjanggut yang dipercayai untuk menjauh/menolak kejahatan.
Kemudian kami ke runtuhan Apadana iaitu Dewan Penghadapan. Ia adalah ruang/dewan yang paling besar dan mungkin paling indah dari bangunan-bangunan di Persepolis, boleh menampung ratusan orang. Terdapat 72 batang tiang yang menyokong bumbung yag katanya setinggi 25 meter. Dewan ini adalah tempat untuk menerima tetamu kehormat dan tempat menerima ‘pemberian hadiah’ dari tetamu.
The Eagle-griffin(Homa)
Kami meneruskan lagi perjalanan di dalam kompleks ini menuju ke runtuhan istana peribadi iaitu Tachara atau istana Darius. Ia mungkin struktur terkecil di Persepolis dan berukuran 1,160 meter persegi. Ianya dibina dari batu yang berkualiti. Permukaannya digilap hingga berkilat bagaikan cermin. Ukiran yang melambangkan motif tertentu menghiasi dinding.
Paling menarik kami mengunjungi, Imperial treasury atau Treasury Of Persepolis(N29.93457° E52.89170°). Ia terletak di Bahagian Tenggara kompleks ini. Walaupun dibina oleh Darius, ia diperluaskan lagi oleh Xerxes. Dengan luasnya khazanah ini menggambarkan bahawa betapa kayanya kerajaan Achaemenid bahkan boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling kaya di dunia pada masa tersebut. Dilaporkan selepas dimusnahkan empayar ini, Alexander menggunakan 20,000 lembu dan 5,000 unta untuk memunggah dan mengangkut harta rampasan dari kawasan ini.
Membelakangi ‘The Hundred Column Hall’ – The Largest Chamber in Persepolis. Berkeluasan 4,800m per dan mula dibina oleh Xerxes dan disiapkan oleh anaknya Ataxerxes 1. Menjadi balai penghadapan dimana pegawai-pegawai tentera Empayar menghadap Raja.
Tomb Of Artaxerxes III
Sebenarnya banyak lagi tempat yang kami lawati seperti ‘The Unfinished Gate’, ‘The Hadish Palace’, ‘The Tripylon’, ‘The Rock-cut Well’, The Army Street’ dan kami memang mengambil masa yang cukup lama disini maklumlah terlalu teruja bahkan ia adalah sebahagian dari minatku kepada sejarah tamadun manusia. Bahkan semasa disini aku ‘membayangkan’ suasana tempat ini pada zaman tersebut. Kesimpulan yang aku dapat .. betapa hebatnya tamadun ini di abad tersebut.
Harga IRN350,000 untuk nasi ayam (ada kuah), nasi kebab dan 2 pepsi
Jam 4.00 petang di kawasan parkir kami berjumpa dengan penduduk setempat yang menawarkan rumahnya yang juga dijadikan sebagai hostel (N29.88967° E52.80481°) untuk kami bermalam. Sebelum itu kami singgah membeli nasi ayam disebuah kedai untuk makan malam. Hmmm… baru aku tahu kalau beli nasi ayam sudah tersedia kuah (kari) - barulah terasa nikmat makan nasi dengan kuah ….
Bersambung….
Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 : Shiraz – Bermulanya Empayar Parsi
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 : Perjalanan Pulang
Sy sgt teruja membaca coretan ini. Hanya pecinta sebenar tamadun manusia saja yg akan benar2 menghayati setiap hasil tinggalan sesebuah peradaban lama. Teruskan tuan.
ReplyDeleteTerima kasih kerana singgah disini. Memang menarik sejarah dan tamadun silam. Sayang masa tu tak minat lagi video .. Sekurang-kurangnya boleh share banyak sejarah semasa pengembaraan kami.
Delete