Tarikh : 08 Januari 2018
MISI : DAY 05
LALUAN: Isfahan - Shahreza - Safashahr – Marvdasht - Shiraz
Jarak : ± 502 km
KOORDINATE: N32.65802° E51.67722°
Pagi ini sungguh sejuk, suhu - 4°C, jam 8.00 pagi kami berangkat menghala ke Selatan menuju Shiraz sejauh ± 502km (Suatu perjalanan yang jauh hari ini). Sepanjang perjalanan fros mulai turun hingga gurun-gurun mula kelihatan memutih.
Hidangan Kaleh Pacheh – Sup Kepala & Kaki Kambing
Kami berhenti disebuah pekan iaitu Shahreza ± 80km dari Esfahan untuk menikmati sarapan popular Iran iaitu Kaleh Pacheh di sebuah restoran (N32.02706° E51.87557°). Kaleh Pacheh adalah sup kepala dan kaki kambing. Hidangan dimulakan dengan semangkuk sup kosong yang dicicah makan dengan roti. Habis sup, di persembahkan pula isi dari kepala kambing - otak, lidah, bola mata, pipi dan lain-lain aku ratah selahapnya (maklumlah banyak hari tak menikmati sesuatu yang berkuah). Nah Haih .. habis semangkuk dia mai pulak organ dalaman dengan perut. Tanpa menolak bahkan aku tambah lagi dan licin pinggan aku sebat …. Puaihh haih ‘menyorok’ pagi ni. Harga untuk 3 orang makan disini ialah IRR280,000.00. Sebelum tu beberapa penduduk Iran mempelawa roti kepada kami sebelum sup tiba bahkan ada pasangan Iran ingin bergambar dengan kami setelah dimaklumkan kami dari ‘Malaisie’. Menunjukkan keramahan dan kemesraan penduduk Iran terhadap pelancong terutama dari negara muslim.
Mula-mula dihidangkan sup dimakan dengan roti
Kemudian segala otak, daging pipi, lidah dan diakhiri dengan perut kambing pulak
‘Bukit Mordor’ yang dikelilingi oleh gurun yang berlatarkan gunung bersalji
Perjalan kami diteruskan lagi dan aku semakin teruja melihat rupabumi iran, bukit-bukit dan gurun mula diselaputi salji tebal pagi ni. Mataku tidak lepas dari memandang semua bukit dan bangunan-bangunan lama. Apabila terlihat sebuah kota diatas sebuah bukit lalu meminta Mohammad berhenti dan kami mendaki sejauh ±700 meter kepuncak bukit untuk melihat lebih dekat binaan tadi. Binaan ini adalah seperti sebuah pos kawalan lama yang ditinggalkan. Sebahagiannya sudah runtuh dan ia berada pada kedudukan yang strategik, terletak antara sempadan Pars/Isfahan. Dengan dikelilingi oleh gunung bersalji dan gurun yang luas mata memandang mengingatkan kami akan cerita ‘Lord Of The Rings’ dan kami memanggil bukit ini ‘Bukit Mordor’ (N31.62808° E52.09391°).
Bentuk caravanserai
Berdekatan dengan kota Sormac kami jumpa sebuah Caravanserai (N31.04976° E52.81450°) yang ditinggalkan. Caravanserai adalah seperti rumah persinggahan kuno yang digunakan oleh pengembara/saudagar untuk berehat dan mendapat perlindungan dari serangan alam dan manusia. Ia popular sejak era Achaemenid yang menjadi singgahan popular di rangkaian laluan perdagangan terutama di Laluan Sutera.
Harga Dizi untuk 2 orang ialah IRR280,000
Kami singgah untuk menikmati makan tengahari di pekan Safashahr (N30.60796° E53.18987°). Disini kami menikmati lagi makanan tradisional Iran iaitu Dizi. Dizi atau Abgoosht dalam bahasa Parsi bermakna Jus daging. Hidangan disajikan bersama ‘lesong batu khas’ yang dipanggil ‘Dizi’. Dimana daging kambing dan jus akan ditumbuk didalam lesong ini dan kemudian akan dimakan bersama roti. Ia adalah makanan berkhasiat yang berkalori tinggi dan merupakan sumber protein yang baik. Ia biasanya dinikmati di musim sejuk.
Salji semakin tebal digurun apabila kami menghampiri Safashahr
Jam 4.00 petang kami ke Madar Soleyman dan dengan masa yang singkat (pintu masuk ditutup pada jam 4:30 pm) tidak membolehkan kami untuk masuk ke dalam Kota ini. Pasargadae adalah ibukota kepada empayar Achaemenid. Ia diasaskan oleh Cyrus II the Great (yang memerintah 559-529 SM). Sisa-sisa tinggalan binaan hebat seperti Istana-istana, taman-taman dan makam Cyrus di tapak seluas 160-ha adalah saksi kepada kehebatan peradaban Persia. Ia telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2004.
Kami tiba di Shiraz pada jam 7.30 malam dan terus ke Homestay untuk berehat …..
tempat pembuatan roti traditional Iran.
Roti dibeli dan dibawa untuk dimakan dengan Kaleh Pacheh. Roti ini lebih lembut berbanding roti yang disediakan bersekali dengan Kaleh Pacheh.
Tak silap ku ini adalah Ash (Ash-e reshteh) . Iaitu Persian Sup
Bersambung….
Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 : Shiraz – Bermulanya Empayar Parsi
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 : Perjalanan Pulang
No comments:
Post a Comment