TARIKH : 29 Disember 2016
DAY 7 : Misi Jelajah Lombok Tengah : Air Terjun, rafting & Kampung Tradisional
LALUAN : Senggigi – Batu Kliang – Rembitan – Senggigi
JARAK : 181 km
KOORDINATE:
Seawal pagi kami bertolak dari hotel menuju ke arah Batukliang dengan mengikuti jalan Raya Mantang. Awal pagi melalui jalan di kawasan kota sememangnya memudahkan, kurang kenderaan. Tetapi jalan Raya Mantang ini bukanlah laluan yang sepi diwaktu biasa, dipertengahan perjalanan terpaksa juga menyelit disisi kenderaan.
Air Terjun Benang Kelambu (S8.53279° E116.33694°)
Setelah hampir 2 jam diatas motosikal dengan mengharung perjalanan sejauh ± 50km kamipun sampai ke desa Aik Berik. Memasuki desa ini kami disajikan dengan pemandangan alam yang indah. Tanaman padi yang berpetak-petak dan pelbagai tumbuhan, flora dan fauna sepanjang perjalanan di kawasan lereng bukit.
Desa Aik Berik adalah antara pintu masuk ke Taman Nasional Gunung Rinjani melalui jalur(track) selatan. Untuk pendakian ke Gunung Rinjani, katanya laluan ini lebih dekat berbanding laluan Sembalun atau Senaru. Walaupun sudah pernah digunakan sebelum ini namun ia baru dibuka secara rasmi pada 20 Mei 2016 lalu.
Disini terdapat sebuah Pusat Informasi Pendakian Rinjani (yang menyediakan maklumat tentang trek dan air terjun berhampiran). Disini juga kita perlu parkir motosikal jika hendak ke air terjun Benang Kelambu atau Benang Stokel.
Kami tiba ±jam 8.30 pagi, berhenti menikmati sarapan pagi (pasti secangkir kopi dan sepinggan nasi goreng) sambil mencari maklumat dengan bertanyakan kepada tuan punya warung. Selepas sarapan kami beriringan menunggang bersama seorang penduduk yang juga ingin ke kebunnya disana tanpa ditegur oleh beberapa orang yang sedang berada dipintu masuk ini (mungkin depa rasa kami orang tempatan kot – katanya tiket masuk Rp5.000).
Kami mengikuti jalan tanah sedikit berbatu yang teduh dinaungi oleh tumbuhan/hutan yang rendang sejauh ±1.6km sehingga ke tempat letak motosikal. Disini juga terdapat beberapa buah gerai yang menjual makanan & minuman. Tidak ada masalah jika tak bawa bekalan makanan. Kami parkir motosikal disini dan menelusuri anak tangga sejauh ± 300 meter menuju ke air terjun.
Ayer terjun Benang Kelambu secara tepatnya terletak di Dusun Pemotoh, Desa Aik Berik, Kecamatan Batukliang Utara, Kabupaten Lombok Tengah. Sumber airnya adalah dari beberapa matair, sebab itu airnya sangat bersih. Air yang jatuh dari tebing melalui celahan daun kelihatan indah kerana aliran airnya yang halus dan tersebar bagaikan tirai(masyarakat tempatan menyebut kelambu). Air terjun ini setinggi 43 meter dan mempunyai 4 tingkat dengan ketinggian yang berbeza.
Air Terjun Benang Stokel (S8.53325° E116.34127°)
Kemudian kami balik menuju ke arah gerbang untuk ke air terjun seterusnya. Kami tidak dibenarkan untuk memasuki laluan ini dengan motosikal dan dipinta parkir motor ditempatnya. Berjalan kaki dilaluan yang nyaman sejauh ±500 meter sebelum sampai ke lokasinya.
Air terjun Benang Stokel terletak di Desa Teratak, Kecamatan Batukliang Utara, Kabupaten Lombok Utara. Air terjun ini berada di ketinggian 552 m dari permukaan laut dan dikelilingi oleh hutan. Suasana yang dingin dan damai terasa disini. Air Terjun Benang Setokel memiliki 2 cucuran air yang berketinggian sekitar 30 meter. Air terjun yang disebelah kiri limpahan/curahan airnya lebih besar berbanding yang kanan. Sementara itu di bawahnya terdapat kolam kecil tempat menampong curahan air yang jatuh dari atas. Kolam ini tidaklah dalam dan aku memberanikan diri mengharungnya dan berada dibawah air terjun sambil membiarkan curahan air ini jatuh ke badan.
Alam Stokel/Setokel Rafting (S8.57597° E116.32883°)
Dalam perjalanan pulang, ±5.4 km dari parkir aku ternampak seperti satu kawasan rekreasi iaitu Alam Setokel. Terlihat seperti ada rakit dan beberapa kemudahan masih dalam pembinaan. Ada chalet (masih dalam pembinaan), rumah makan, ATV dan lain-lain lagi. Kami masuk dan bertanyakan tentang rafting. Katanya pusat ini baru dibuka pada 25 Disember 2016 dan kami adalah pelanggan ke 3 disini. Terus kami bersetuju dengan pakej rafting termasuk makan tengahari dengan harga sebanyak rp150.000.
Kami dibawa dengan pickup menghala ke utara ke tempat permulaan (seperti pintu/kunci air - S8.54828° E116.33338°) sejauh ±3.4km. Hanya kami berdua dan dipandu oleh 2 orang guide tempatan. Memang menarik dan cantik pemandangan di sungai ini. Beberapa air terjun kecil kelihatan mencurah masuk ke dalam sungai ini. Untuk makluman, air sungai ini sangat bersih kerana ia berpunca dari mata air, oleh itu airnya diproses sebagai air minuman(mineral).
Berarung jeram (rafting) disini tidaklah sukar dan agak aman. Sungainya yang cetek dan amat sesuai untuk pelbagai peringkat umur (7 – 65 tahun.) Dengan menggunakan bot getah(angin) yang boleh memuat 4 orang, kami dipandu oleh 2 orang jurumudi. Tahap kesukaran di sungai ini ialah pada gred 2 atau 3 dimana aliran air yang sederhana, batuan yang besar menghadang laluan, beberapa drop kecil yang bersesuaian dan memerlukan sedikit kemahiran manuver.
Jauh perjalanan ± 3.4km yang memakan masa hampir 1.5 jam. Perjalanan yang menarik dengan disajikan pemandangan yang cantik sambil melewati kawasan hutan, sawah padi, dusun dan sedikit perkampungan. Tidak perlu terburu-buru bahkan kami berhenti dibeberapa tempat untuk bergambar. Perjalanan berakhir di Jembatan Maiq Meres (S8.56743° E116.32127°) sebuah tempat takungan/empangan air. Disini dapat lihat 2 aliran air yang berbeza bertemu. Satu yang jernih lagi bersih dan satu lagi yang keruh.
Kemudian apabila sampai ke Alam Setokel, nasi sudah terhidang dengan makanan tradisional yang memang sedap iaitu ikan nila(talapia) bakar madu, pelicing kangkung, urap dan kelaq kelor. Perhh .. berbaloi wooo mai sini …
Pelicing kangkung makanan khas masyarakat Lombok. Kangkung sebagai asas (direbus) dan diadun dengan sambal tomato dan sambal cili merah, ditambah tauge, kacang panjang dan kacang tanah goreng ataupun urap. ..perghhh kecur air liur wehhhh ….
Urap pula adalah seperti kerabu dimana parutan kelapa digaul beserta kacang, daun turi yang direbus, sambal goreng … fuhhh …lupa keletihan
Keloq Kelaq adalah sayur manis daun munggai(aku agak la) yang direbus bersama beberapa sayuran lain. Yang kami punya dimasak bersama jagung manis, hmmm sedap la jugak, tambah lapaq ni.
Masjid Kuno Rembitan (S8.82951° E116.29415°)
Selepas makan tengahari kami menuju ke arah selatan sejauh ±38km untuk ke salah sebuah perkampungan asal Sasak iaitu di Desa Rambitan bagi mengunjungi sebuah masjid lama.
Masjid Rambitan terletak di Desa Rambitan, Kecamatan Sengkol, Kabupaten Lombok Tengah, Provinsi Nusa Tenggara Barat. Masjid ini dibina sekitar abad ke 16 dan dikaitkan dengan seorang tokoh spiritual Lombok iaitu Wali Nyatoq. Seorang yang amat berjasa dalam penyebaran islam di daerah ini. Makamnya terletak terletak ± 2km ke timur dari sini (S8.83591° E116.31087°). Masjid ini dilindungi dibawah undang-undang sejak tahun 1992 oleh pemerintah Indonesia dan dianggap sebagai peninggalan bersejarah (cagar budaya).
Bertuah! … Berpeluang melihat dan mendengar beduk diketuk sebelum solat
Mimbar dan pandangan atas bumbung
Masjid ini terletak di atas sebuah bukit dan dikelilingi oleh rumah penduduk sekitar. Keluasan masjid ini lebihkurang 8m x 8m. Mempunyai 4 batang tiang asas yang masih kekal asli dan 28 tiang penyangga yang digunakan untuk melekatkan dinding dari buluh. Manakala atapnya adalah dari sejenis rumput (alang dan ijuk). Berlantaikan tanah. Masjid ini hanya mempunyai satu pintu masuk disisi kirinya dan yang menariknya pintu masuknya agak rendah . Dimana ada makna tersirat iaitu pengunjung perlu tunduk masuk sebagai tanda hormat dan pintunya kecil agar tidak berebut masuk. Dibelakangnya kelihatan sebuah beduk dan aku dinasihatkan jangan mengetuk beduk tersebut. Katanya beduk tersebut hanya boleh diketuk oleh orang tertentu sahaja dan ada tekniknya. Ia akan diketuk sewaktu masuk waktu solat. Ternyata masjid ini masih digunakan sehingga kini dan aku berpeluang untuk solat disitu bersama isteri dan seorang penduduk.
Pokok Kemboja tua dan Telaga lama - apabila memasuki kawasan masjid ini
Diluarnya, masjid ini dikelilingi oleh pagar yang diperbuat dari susunan batu dan kayu. Untuk masuk ke dalam kawasan masjid, perlu melalui sebuah gerbang. Terdapat beberapa pokok kemboja yang berusia ratusan tahun disini. Dihadapannya terdapat sebuah telaga(sumur) lama berhadapan sebatang pokok ara (ficus). Telaga ini seluas 5 meter persegi yang dahulunya digunakan untuk mengambil wuduk. Terdapat 5 anak tangga batu untuk turun ke dalamnya yang melambangkan rukun islam.
Bersama pemukul beduk – Hanya orang tertentu yang dibolehkan memukul beduk di masjid ini
Desa Sade (S8.83901° E116.29177°)
Kemudian kami menuju ke selatan lagi sejauh ± 1.3 km ke sebuah Desa Tradisional iaitu Desa Sade. Ia adalah perkampungan kecil Lombok Tengah dan dijadikan sebuah sebuah destinasi kerana penduduknya masih menjaga keutuhan budaya dan pola hidup yang diwariskan oleh nenek moyang mereka sejak 600 tahun yang lalu. Bangunan, adat istiadat, gaya berpakaian dan kehidupan seharian mereka masih dikekalkan
Desa ini seluas 5 Hektar dan memiliki 150 buah rumah tradisional dan mempunyai 700 orang dari satu keturunan.
Rumah Sade disini menjadi ikon atau daya tarikan utama di Lombok. Rumah yang dikenali sebagai ‘Bale’ yang diperbuat dari bahan tradisional seperti atap ijuk, berdindingkan buluh dan masih kekal berlantaikan tanah(tanah liat). Ruang hadapan dan belakang dipisahkan oleh beberapa anak tangga
Masyarakat Sasak juga terkenal dengan kemahiran menenun kain sehingga anak gadis yang ingin berkahwin harus mempelajari seni tenunan dahulu. Biasanya mereka akan berkahwin sesama suku dan yang paling menarik adalah budaya 'kawin lari'. Dimana jika silelaki menyukai gadis suku sasak dan masing-masing saling bercinta, maka silelaki mesti membawa lari@culik sang gadis ke rumah kaum keluarganya dan esoknya barulah keluarga lelaki akan berkunjung kerumah sigadis untuk melamar.
Tidak dapat lama kami disini kerana kami harus balik ke hotel sebelum malam menjelang yang jauhnya hampir 60km diSenggigi.
Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya
No comments:
Post a Comment