Tuesday, March 14, 2017

Xplore Lombok: Santai Di Pantai, Berekreasi Di Alam Semulajadi

TARIKH : 28 Disember 2016
DAY 6 : Misi Jelajah Lombok Utara : Pantai, Air Terjun & Pulau
LALUAN : Senaru – Kayangan – Gangga – Bangsal – Gili Meno – Bangsal – Senggigi
JARAK : 147 km
KOORDINATE:

Day 6

Selepas sarapan kami check-out (± jam 6.30am) dan bertolak menghala ke utara untuk menuju ke arah Kayangan. Setelah ±18km perjalanan, aku ternampak papan tanda Desa Akar-Akar, walau terlajak ambil keputusan untuk kunjungi tempat ini (bila lagi nak sampai kalau bukan harini). Berputar-putar juga aku mencari sambil bertanya penduduk tempatan lalu ditunjukan ke arah Kawasan Tradisional Dusun Batu Gembung yang terdapat sebuah gerbang dipintu masuk.

Masjid Kuno Batu Gembung (S8.22363° E116.36260°).

PC280880

Memasuki gerbang terlihat beberapa buah rumah tradisional dan juga bangunan yang diperbuat dari buluh dan kelihatan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kuno Batu Gembung. Masjid ini berdindingkan anyaman buluh juga dikelilingi oleh pagar buluh. Pintunya terkunci, jadi tidaklah dapat aku menghampiri secara dekat masjid ini. Kelihatan ia seperti tidak digunakan dalam waktu terdekat ini.

PC280878-horz

Pantai Tebing (S8.28791° E116.21574°)

20161228_082717

Pantai Tebing yang nama asalnya ialah Pantai Luk. Terletak di Dusun Luk, Desa Sambik, Bangkol, Kecamatan Gangga, Kabupaten Lombok Utara. Sejauh ±20km dari Dusun Batu Gembung. Dari jalan utama Raya - Banyan terpaksa menyusuri laluan bersimen sejauh ±500 meter untuk sampai ke pantai. Awal pagi masih tiada orang disini bahkan penjaga parkirpun masih belum ada. Dipinggir jalan untuk turun ke pantai kelihatan sebuah kubur lama.

PC280881

Pantai ini mempunyai tebing-tebing setinggi 15 - 25 meter dimana tebingnya bagai dipahat cantik yang terjadi hasil dari hakisan alam. Pasirnya juga berwarna hitam. Pantai ini diletakan dalam kawasan Geopark Rinjani. Dari maklumat yang aku dapati, tebing ini adalah dari batu kapur yang terjadi hasil dari letusan gunung Samalas atau gunung Rinjani Tua (gunung Baru Jari) beribu tahun dahulu.

20161228_082314

Rumah Pohon Gangga Murmas (S8.35124° E116.22709° )

20161228_093221

Kemudian mengikut papan tanda menuju ke air terjun Gangga sejauh ±10km dan disitu berehat seketika sambil menikmati kopi Lombok, bertanyakan beberapa lokasi menarik sekitar kawasan tersebut. Terdapat 4 point menarik iaitu Tiu Pituq, air terjun Kerta Gangga, rumah pohon Gangga Murmas dan Mata air Kakong.

PC280896

Kami mengambil keputusan untuk menuju ke rumah pohon dahulu kerana bila matahari semakin meninggi pasti ramai pelancong mengunjungi ke sana. Sebenarnya ia tidak jauh dari air terjun Gangga, sekitar 15 minit perjalanan kaki mendaki tetapi kami ingin ke mata air Kakong pula selepas itu jadi eloklah kami bermotosikal sejauh ± 6km ke sana dengan mengikut jalan kampung dan melewati perkebunan koko dan buah buahan.

PC280923

Rumah pohon ini diusahakan oleh Perkumpulan Anak-Anak Muda Desa Gangga Murmas secara gotong royong. Projek dimulakan sekitar pertengahan tahun 2016 lalu. Kalau dahulu tempat ini adalah lokasi anak muda berkumpul menghabiskan masa dan kini ia dimanfaatkan dengan membina rumah pohon yang boleh menjana pendapatan kepada penduduk setempat.

Agak gayat juga  apabila mendaki rumah pokok ini kerana memikirkan kemungkinan boleh roboh. Tapi memandangkan ia masih baru dibina maka aku memberanikan diri untuk menaiki hampir semua rumah pohon ini. Dari rumah pohon ini kita dapat menikmati panorama indah lembah Kerta Gangga dengan hijaunya rimba dan bukit

Mata Air Kakong (S8.37440° E116.23197°)

20161228_102542

Kemudian kami menuju ke Mata air Kakong sejauh ± 3.5km ke selatan Rumah Pohon Gangga Murmas. Ia terletak di desa Bantek, Kacamatan Gangga, Lombok Utara NTB. Mata air ini adalah sumber bekalan bagi beberapa dusun/desa berhampiran. Airnya yang sentiasa mengalir setiap waktu dengan diteduhi pepohon yang rendang.

PC280960

Penduduk tempatan bergotong royong memajukan kawasan ini sebagai satu tarikan kepada pengunjung dengan mempergunakan sumber asli sediada. Ditengah sungai dibina pondok/tempat duduk  terapong yang menjadi tarikan pengunjung untuk berswafoto. Disamping itu dibina pelantar 3 tingkat setinggi hampir 10 meter disebatang pokok beringin/jejawi (ficus). Disini kehijauan hutan dan suasana damai kawasan bukit dapat dirasai.

20161228_104944_001

Di atas ada air terjun kecil yang dikenali sebagai Tiu Mejet dimana kedinginan air semulajadi akan dirasai.

20161228_104052

Air Terjun Kerta Gangga (S8.35114° E116.22627°).

Kemudian kami kembali ke parkir air terjun Kerta Gangga. Air Terjun Tiu Pituq tidak dapat dkunjungi kerana jalan yang rosak dan dinasihatkan oleh penduduk untuk tidak ke sana buat masa sekarang.

PC281001

Air Terjun Kerta Gangga berada di Dusun Kerta Desa Genggelang Kecamatan Gangga Kabupaten Lombok Utara (KLU). Terdapat 3 peringkat air terjun dengan 3 kolam menarik dan mempunyai sebuah kolam/gua tersembunyi yang boleh menghasilkan pelangi apabila disinari matahari pada waktu tertentu.

20161228_120927

Air Terjun Pertama - Untuk sampai ke sini terpaksa memanjat beberapa anak tangga. Terdapat jambatan yang baru dibin, dimana air terjun disebelah kiri dan kanan pula disajikan dengan pemandangan yang memesona bagai lukisan dimana sawah padi dikelilingi bukit dikiri dan kanannya.

Air Terjun Kedua - Berada tidak jauh dari air terjun pertama. Disini juga sudah dibina pelantar khas untuk kemudahan pelancong. Air terjun yang jatuh ke dalam kolam dan bagaikan berada di dalam gua kerana dikelilingi oleh tebing yang tinggi. Kolam ini dikatakan kolam tersembunyi.

PC281017

Kami tidak mengunjungi air terjun ke tiga kerana lokasinya sedikit jauh dan perlu turun kebawah dan melintas sawah padi. Kami terpaksa pendekan perjalanan kerana masa yang suntuk. Sebelum bertolak kami menikmati makanan tengahari disini (nasi goreng ja – kerana mudah dan cepat lagi sedap) bersama secawan lagi kopi Lombok.

Pelabuhan Bangsal (S8.39408° E116.09920°)

PC281044

Kemudian kami menuju ke arah pelabuhan Bangsal yang menjadi transit ke 3 Gili (Gili Terawangan, Gili Meno & Gili Air). Kami parkir motosikal di kawasan khas yang berbumbung (seperti bangsal) dan diberi karcis (tiket). Bayaran sebanyak Rp10,000 sehari.

PC281046

Kami menuju ke kaunter tiket dan untuk makluman syarikat ‘Karya Bahari’ diberi kuasa oleh pemerintah daerah Kabupaten Lombok Utara untuk mengurus pengangkutan dan tiket ke 3 Gili. Setelah berbincang kami mengambil keputusan untuk mengunjungi Gili Meno sahaja.

PC281050

Untuk penyeberangan dengan menggunakan bot biasa kadarnya adalah sebanyak Rp8,000.00 dan dengan speedboat ialah sebanyak Rp85,000 dengan mengambil masa ± 30 – 45 minit.

Gilis MAp

Gili Meno (S8.35307° E116.06188°)

PC281069-horz

Terdapat perusahaan pembaikan bot

Gili Meno terletak ditengah 3 gili (pulau) dan adalah yang paling kecil. Ia berkeluasan ± 2km2 (memanjang sejauh ± 2 km dan selebar ± 1km). Mempunyai penduduk sekitar 300 orang. Pulau ini banyak ditumbuhi dengan pepohon kelapa, mempunyai pantai yang cantik dan spot snorkling yang menarik terutama di bahagian utaranya. Walaubagaimanapun tidak ramai pelancong berkunjung ke sini berbanding Gili Terawangan. Kebanyakan yang ke Gili Meno adalah pelancong yang gemarkan kedamaian, kesunyian, lari dari kebisingan dan ia popular sebagai lokasi honeymoon.

20161228_153555

Danau Air asin – ketika kami sampai air di danau ini banyak sekali

Ada keunikan disini iaitu  pada sebuah danau air masin (S8.34802° E116.05313°) seluas ± 2 ekar yang terletak di bahagian barat laut pulau (tidak jauh dari pantai). Katanya air ditasik ini lebih masin dari laut disekitarnya. Pada musim tertentu (kemarau), air tasik ini akan diproses untuk menghasilkan garam.

20161228_155316

Buaian Di Turtle Beach .. berdekatan sini ada Pusat Pembiakan Penyu

Dipulau ini tidak ada langsung kenderaan bermotor, yang ada hanyalah basikal dan ‘Cidomo’ iaitu sebuah kereta kuda. Sesampai kami di Gili Meno, semua pelancong/pengunjung terpaksa serahkan kad pengenalan (aku bagi lesen kenderaan yang luput tempoh pada mereka) di kaunter khas. Ia sebagai langkah keselamatan berikutan ancaman bom dari golongan pelampau. ID kad boleh dituntut semula apabila hendak keluar dari pulau.

PC281054

Di pulau ini, kami terpinga-pinga dan memusing seketika untuk cari tempat bermalam. Akhirnya kami di ‘temukan’ dengan seorang pemandu Cidomo (pernah bekerja di Malaysia). Kami minta beliau bawa  ke tempat penginapan yang cantik di lokasi yang menarik. Setelah singgah dibeberapa lokasi aku tidak berasa tertarik untuk meneruskan percutian disini, putuskan untuk balik ke darat sahaja. Tetapi sebelum itu, kami ajak pemandu Cidomo ini untuk pusing pulau.

PC281076

balik ke Pelabuhan Bangsal - Kena naik Bot Transit untuk ke speed boat

Bot terakhir dari Gili Ke Bangsal ialah pada jam 4.30 petang ..fuhhh nasib baik  sempat naik lagi tetapi ia adalah speedboat bukan seperti bot yang kami datang.

Sampai di Bangsal terus ambil motosikal dan meneruskan perjalanan sejauh ±28km ke Senggigi, melewati Bukit Malimbu (S8.44316° E116.03375°) dan perlu cepat sampai ke penginapan sebelum gelap. Selamat sampai dan check in di Hotel Puri Senggigi (S8.50496° E116.05526°) ± jam 7.00 malam. Biliknya yang cukup selesa dengan kadar sewaan  Rp130.000 semalam.

Puri Senggigi

Hadapan bilik kami @ Puri Senggigi - di waktu malam – gambar dari internet

Bersambung …….


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

No comments:

Post a Comment