Translator

Saturday, September 12, 2015

BALI – Pantai, Pulau & Pura: Day 3

Tarikh : 04 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Kuta – Tanjung Benoa – Tanah Lot

Selepas sarapan ±jam 9.00 kami ke Tanjung Benoa (S8° 45.693' E115° 13.389'). Tanjung Benoa adalah kawasan perlancongan yang semakin mendapat perhatian. Terletak ± 15km dari Swiss-Belhotel atau 45 minit perjalanan dengan mengikuti lebuhraya merentas laut. Tanjong Benua suatu ketika dahulu adalah kawasan nelayan, namun selepas industri perlancongan mula melonjak, secara langsung Tanjong Benoa turut menerima tempias pembangunan. Dengan memiliki pasir yang putih dan laut yang tenang menjadikan pantai ini sangat cocok untuk aktiviti sukan air seperti parasailing, snorkeling, seawalker dan paling menarik ialah kunjungan ke Pulau Penyu. Perjalanan kesana menjadi menarik jika menaiki bot berkaca  kita boleh melihat indahnya pemandangan bawah laut tanpa perlu menyelam. Beraneka ikan dapat dilihat berenang-renang di sekeliling terumbu karang, tumbuh-tumbuhan laut serta lain-lain hidupan laut yang amat dijaga kelestarianya.

Di pulau Penyu kita berpeluang melihat penyu sebenar yang berusia ratusan tahun. Mendengar penerangan tentang cara memelihara penyu dan penetasan telornya. NAMUN kami terasa sungguh hampa sekali, air surut dan dijangka  mula pasang pada jam 11.00 pagi. ALAMAK lama lagi perlu menunggu dan membuang masa. Lalu kami menukar program dan dibawa ke Rama Krisna (S8° 44.525' E115° 10.697') sebuah kedai oleh-oleh dengan harga yang sangat patut.

Rama Krisna adalah pusat oleh-oleh terbesar dan terlengkap di pulau Bali. Ia terletak ± 4km daripada hotel kami. Menawarkan barangan souvenier dan lain barangan dengan harga tetap membuat kami tak perlu  tawar menawar (dan terkena !). Suasana berbelanja yang nyaman dan mempunyai kawasan parkir yang luas.

Jam 11.30 pagi aku ke Masjid Nurul Huda yang terletak berdekatan bandar udara Ngurah Rai untuk solat Jumaat. Rugi rasanya jika tidak bersolat di masjid apabila kita mengembara disesuatu tempat. Masjid ini hanya beberapa ratus meter sahaja dari Rama Krisna. Uniknya masjid ini ia terletak bersebelahan dengan Gereja GPIP Ekklesia dan Pura Jagad Tirtha. Menunjukan betapa harmoninya hubungan agama di kalangan penduduk Bali.

Selepas solat kami menikmati makan tengahari di Restoran Istana Raya atau dikenali sebagai Istana Ayam Pop (S8° 42.651' E115° 11.137'). Restoran nasi padang yang terkenal dengan ayam popnya (ayam goreng spesel). Sepanjang di Bali disinilah tempat yang aku makan dengan begitu puas sekali bahkan disini juga aku memakan ayam popnya (ditempat lain aku hanya makan ikan dan makanan laut sahaja). Memang tempat ini akan aku rekomenkan kepada kawan-kawan jika ke sini.

DSC02847

Jam 2.00 petang kami bertolak menuju Desa Beraban, Kecamatan Kediri, Kabupaten Tabanan. Dimana terdapatnya sebuah pura yang menjadi icon di Bali iaitu Pura Tanah Lot.( S8° 36.984' E115° 05.260').

Jaraknya sekitar 19km dari Restoran Istana Raya atau ± 1 jam perjalanan. Pura ini terletak di atas bongkahan batu karang yang besar. Apabila air laut pasang, kelihatan seperti pulau dengan deburan ombak yang menghempas pantai menambahkan menariknya pura ini. Untuk masuk ke kawasan wisata ini, pelancong dikenakan bayaran sebanyak Rp 10.000 / orang.

Pura ini dibina bagi menghormati dan memuja dewa penjaga laut.

Di bawah pura ini terdapat ‘Gua Air Suci’. Air suci yang tawar rasanya yang dikatakan berpunca dari mata air di tengah laut. Kononnya air ini mengandungi seribu khasiat dan hikmat. Ada yang berkeyakinan meminum air suci ini boleh menyembuhkan beberapa penyakit dan boleh mengembalikan kesuburan kepada pasangan yang mandul. Tidak ada bayaran dikenakan hanyalah menderma seikhlas. Aku ingin juga merasa air ini, namun ada sedikit upacara tertentu selepas meminum, maka terpaksa membatalkan hasrat dan hanya melihat sahaja.

Dihadapan pura ini ada gua kecil yang dikenali sebagai ‘Gua Ular Suci’ yang didalamnya ada ular laut. Kononnya ular laut ini adalah penjaga pura dan berasal dari jelmaan selendang seorang Brahmana iaitu Dang Yang Nirartha. Aku tidak melepaskan peluang menyentuh ular ini yang katanya jinak dan tidak pernah mematuk. Tidak ada bayaran dikenakan cuma sedikit derma seikhlas sahaja.

Hampir 1½ jam kami disini dan selepas itu kami bertolak ke pantai Jimbaran untuk menikmati makanan malam di Blue Ocean Seafood (S8° 45.757' E115° 10.209'). Sememangnya pantai Jimbaran adalah tempat yang istimewa untuk menjamu selera dengan makanan laut yang segar sambil menyaksikan matahari terbenam.

Kami juga sempat melawat kawasan yang pernah di bom di Legian, Kuta, Bali Blast Monument & Ground Zero Memorial (S8° 43.036' E115° 10.468'). Kejadian pengeboman yang berlaku pada 12 October 2002 di kawasan kunjungan pelancong telah membunuh seramai 202 orang (88 pelancong  Australian, 38 penduduk Indonesian dan beberapa pelancong dari 20 buah negara) dan mencederakan 209 orang. Pengeboman dilakukan oleh Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas dari Jemaah Islamiyah. Dalang pengeboman ini telah dihukum mati pada 9 November 2008.

Berhampiran Rama Krisna

Pintu masuk Ke Pura Tanah Lot – Tiket dikenakan sebanyak Rp 10.000 / orang

Di pantai Jimbaran – Hiburan sambil makan

Deruan ombak menghempas pantai


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam:   Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

Wednesday, September 09, 2015

BALI – Budaya & Alam: Day 2

Tarikh : 03 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Kuta – Gianyar – Kintamani - Kuta

Bersarapan dihotel dengan berhati-hati, hanya menikmati buah dan roti. Selepas sarapan, sempat berbual dengan Pak Nyoman. Tertarik dengan nama yang hampir serupa digunakan lantas aku bertanya kepada Pak Nyoman apakah ada rahsia disebalik nama yang mirip ini.

Nama orang Bali sememangnya unik, ia bercirikan kasta (wangsa) dan turutan kelahiran.

· ‘Wayan’ adalah anak pertama. Adakala digunakan ‘Putu’ atau ‘Gede’.

· ‘Made’ adalah untuk anak kedua yang bermaksud madya(tengah). Ada juga yang menggunakan ‘Nengah’ atau ‘Kadek’.

· ‘Nyoman’ adalah untuk anak ketiga dan juga digunakan nama ‘Komang’.

· ‘Ketut’ untuk anak keempat. Asal dari ngetut yang bermakna mengikuti atau mengekor

Ohh! baru faham, patutlah dulu semasa aku aktif bermain bonsai, nama Ketut dari Bali sering menjadi sebutan.

Aku juga tertarik dengan pakaian Pak Nyoman hari ini. Beliau menerangkan kepadaku akan falsafah mengenai pemakaian baju tradisi Bali. Pakaian mereka sebenarnya mempunyai erti dan nilai tersendiri. Pakaian yang berkonsepkan Tri Angga.

Dikepala akan diikat ‘Udeng’ (dastar) dengan ujungnya menghadap ke atas sebagai simbol penghormatan. Simpulan di tengah sebagai lambang pemusatan fikiran.

Pemakaian ‘Kamen’ yang berupa kain penutup tubuh bahagian bawah yang diikat dipinggang dari kiri ke kanan sebagai lambang ‘Dharma’. Kedudukan Kamen yang tingginya ± sejengkal dari telapak kaki dengan ujung lancip menghadap ke bawah dan harus menyentuh tanah, ia sebagai simbol penghormatan terhadap ibu pertiwi.

Kemudian dikenakan ‘Saput’ ( Kampuh ) iaitu kain luar yang diikat di pinggang secara lawan jam. Saput juga bertujuan untuk melindungi ‘kejantanan’ sang pemakai.

Jam 8.30 kami bertolak ke Gianyar. Kami melalui Lebuhraya bertol yang merentas kawasan laut. Ianya dibina dalam tahun 2011 dan siap dalam tahun 2013. Lebuhraya yang bertujuan menyuraikan kesesakkan jalanraya sejauh 12.7 km yang merentasi laut Bali dan menghubungkan Pelabuhan Benoa - Ngurah Rai - Nusa Dua. Binaannya yang unik dan cantik yang cuba mengekalkan ekologi alam sekeliling.

Jam 9.30 pagi kami tiba ke Sekehe Barong Sila Budaya, Puri Anom, Batu Bulan, Gianyar, Bali (S8° 37.639' E115° 15.519' ). Terus mengambil tempat dan pertunjukkan ‘Tari Barong dan Kris’ terus bermula. Tari Barong dan Kris berkisar kepada pertarungan antara ‘kebaikan’ melawan ‘kejahatan’. Barong adalah binatang purbakala yang melambangkan ‘kebaikan’ melawan Rangda sejenis binatang purbakala yang menggambarkan ‘kejahatan’. Ia adalah cerita dari kitab hindu Mahabhrata. Terdapat 6 babak cerita namun aku kurang faham cerita dari setiap babak tersebut (hmmm…).

Singgah sebentar ke pusat pembuatan batik di ‘Sari Amerta Batik Collection’ (S8° 37.844' E115° 15.597') di Batu Bulan. Di sini ditunjukan proses penenunan kain Songket Bali ataupun Kain ‘Tenun Endek Khas Bali’. Diajar cara membuat batik, melihat proses pembuatan batik. Di ruang utama ada pusat jualan yang menjual pelbagai bahan tekstil, hasil batik dan souvenir.

Sejam disini dan kami bertolak menuju Kintamani untuk menikmati makan tengahari sambil menikmati panorama tanah tinggi Gunung Batur dan kawasan sekitar. Perjalanan sejauh ± 47km yang memakan masa hampir 2 jam. Kintamani menyediakan pemandangan tanahtinggi dengan udara segar dan nyaman. Tarikan utama di sini ialah pemandangan Gunung Batur dan Danau Batur. Di sini kami menikmati makanan tengahari ala buffet di Restoran Gong Dewata (S8° 16.287' E115° 20.782'). Aku dimaklumkan bahawa daerah Kintamani selain terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian ia juga terkenal dengan baka anjing terbaik lagi cantik bertubuh mungil yang dikenali sebagai anjing Kintamani.

Gunung Batur adalah salah satu gunung berapi yang masih aktif. Ia setinggi 1,717 meter dan kedua tertinggi selepas Gunung Agung (2,153 m). Kali terakhir gunung ini meletus ialah pada tahun 2000. Letusan yang kuat ribuan tahun lalu telah mewujudkan danau Batur yang menjadi danau terbesar di Bali.

Tarikan utama ke Gunung Batur adalah hiking dan juga menjadi tempat tumpuan untuk melihat ‘sunrise’. Dari Restoran aku melihat sebuah desa bagaikan pulau yang terselamat dan tidak dilanda aliran lava gunung berapi. Aku juga dimaklumkan bahawa di perkampungan Trunyan  (berdekatan Tasik Batur), penduduknya yang meninggal dunia, mayat mereka akan dibiar reput di bawah sebatang pokok ara dan kononnya mayat-mayat ini tidak mengeluarkan bau sama sekali.

Tari Keris


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

Monday, September 07, 2015

BALI - Pulau Seribu Pura: Day 1

Tarikh : 02 – 05 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Koordinate: S8° 44.694' E115° 10.052'

Pengenalan

Pulau Bali juga digelar sebagai Pulau Dewata. Sebuah pulau yang terletak antara Pulau Jawa dan Pulau Lombok. Namanya tersohor melebihi nama Indonesia. Terkenal seantero dunia kerana keindahan pantai. Pulau yang ‘setiap orang adalah seniman’, penduduknya kaya dengan budaya, mewah dengan senyuman dan hebat dengan seninya.

Segala aspek kehidupan mereka meliputi budaya sentiasa berteraskan nilai-nilai keagamaan. Agama yang menjadi simbul kekuatan hidup dan berkaitan rapat dengan alam. Hindu adalah agama mereka namun yang unik, anutan mereka berbeza sama sekali dengan lain-lain penganut hindu tempat lain, tiada Deepavali dan tiada Thaipusam. Mereka adalah penganut agama Hindu-Dharma. Iaitu gabungan kepercayaan hindu dengan kepercayaan asli (animisme???)

Dimana jua aku pergi akan kelihatan pura (temple). Dari gunung hingga ke sumber air. Disetiap rumah, kampung, daerah dan seterusnya Kerajaan pasti kita jumpa. Ia digunakan untuk upacara-upacara tertentu dan sebagai tempat manusia untuk berhubungan dengan dewa-dewa dan komunikasi sesama manusia, mungkin sebab itu ia dikenali sebagai ‘Pulau Dewata.’

Pulau Bali berkeluasan ± 5,620 km2 dengan penduduknya berjumlah lebih dari 3 juta orang dan majoriti adalah hindu (±95%). Industri pelancongan merupakan faktor utama menyumbangkan kepada ekonominya.

image

Bali, waktunya adalah sama dengan waktu Malaysia. Waktunya dikenali sebagai WITA - Waktu Indonesia Tengah ( Central Indonesian Time) iaitu 8 jam kehadapan (UTC +8:00) dari Coordinated Universal Time (UTC).

Di Bali, soket elektriknya adalah 2 pin socket(bulat) Voltage: 230 V, Frequency: 50 Hz Power sockets.

Aku ke KLIA melalui Pulau Pinang dengan penerbangan MAS MH 1145 jam 12:55 tgh dan penerbangan seterusnya ke Bali dengan pesawat MAS MH0853 pada jam 3:20 petang. Penerbangan yang mengambil masa 2 jam 40 minit dan mendarat dengan mulus di Bandara Ngurah Rai (juga dikenali sebagai Denpasar International Airport) pada jam 6.15 petang.

Bandara Ngurah Rai (S8° 44.694' E115° 10.052') terletak ± 13km dari kota Denpasar dan merupakan Lapanganterbang ke 3 yang sibuk di Indonesia.

Disana sudah menanti bapak Nyioman untuk membawa kami ke Hotel Swiss-Belhotel, Tuban (S8° 43.996' E115° 10.249') yang terletak di  No 31, Jl. Kubu Anyar , Kuta, Bali 80361, Indonesia. Sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang cantik dan terletak di kawasan pinggiran kota.

Sebelum ke hotel kami singgah ke sebuah restoran muslim iaitu Pawon Pasunda untuk menikmati makanan khas Jawa Barat (Sunda) iaitu Nasi Timbel dan Gurami Ikan Terbang.

Nasi Timbel adalah nasi yang dimasak dengan beras khas dan dibungkus rapi dengan daun pisang supaya dapat mengekalkan kesegaran, enak dimakan dan tahan lama. Nasi ini biasanya dihidangkan bersama tempe, ikan masin, ayam goreng, sayur dan yang penting dalam hidangannya adalah ulam dan sambalnya yang enak dan sebagai pembuka selera.

Gurame ikan terbang adalah ikan spesis Gourami yang disiangkan dengan berhati-hati dengan membelah bahagian tertentu dan digoreng garing dan isinya dibiar melebar dan melengkung hingga mirip sayap. Dihidang dalam pinggan secara unik dan diolah seakan burung hendak terbang. Wow ! Lazat menyelerakan … tambah pulak free.

Menikmati nasi timbel & ikan terbang di Pawon Pasunda @ No. 2, Jalan Kendiri, Tuban, Kuta, Bali

Bilik selesa dan ada kolam mandi di depan lobi, namun tak kesempatan nak mandi pun

… bersambung …


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...