Tarikh : 04 September 2015
Kos : Percuma - Ditanggung semua
Kuta – Tanjung Benoa – Tanah Lot
Selepas sarapan ±jam 9.00 kami ke Tanjung Benoa (S8° 45.693' E115° 13.389'). Tanjung Benoa adalah kawasan perlancongan yang semakin mendapat perhatian. Terletak ± 15km dari Swiss-Belhotel atau 45 minit perjalanan dengan mengikuti lebuhraya merentas laut. Tanjong Benua suatu ketika dahulu adalah kawasan nelayan, namun selepas industri perlancongan mula melonjak, secara langsung Tanjong Benoa turut menerima tempias pembangunan. Dengan memiliki pasir yang putih dan laut yang tenang menjadikan pantai ini sangat cocok untuk aktiviti sukan air seperti parasailing, snorkeling, seawalker dan paling menarik ialah kunjungan ke Pulau Penyu. Perjalanan kesana menjadi menarik jika menaiki bot berkaca kita boleh melihat indahnya pemandangan bawah laut tanpa perlu menyelam. Beraneka ikan dapat dilihat berenang-renang di sekeliling terumbu karang, tumbuh-tumbuhan laut serta lain-lain hidupan laut yang amat dijaga kelestarianya.
Di pulau Penyu kita berpeluang melihat penyu sebenar yang berusia ratusan tahun. Mendengar penerangan tentang cara memelihara penyu dan penetasan telornya. NAMUN kami terasa sungguh hampa sekali, air surut dan dijangka mula pasang pada jam 11.00 pagi. ALAMAK lama lagi perlu menunggu dan membuang masa. Lalu kami menukar program dan dibawa ke Rama Krisna (S8° 44.525' E115° 10.697') sebuah kedai oleh-oleh dengan harga yang sangat patut.
Rama Krisna adalah pusat oleh-oleh terbesar dan terlengkap di pulau Bali. Ia terletak ± 4km daripada hotel kami. Menawarkan barangan souvenier dan lain barangan dengan harga tetap membuat kami tak perlu tawar menawar (dan terkena !). Suasana berbelanja yang nyaman dan mempunyai kawasan parkir yang luas.
Jam 11.30 pagi aku ke Masjid Nurul Huda yang terletak berdekatan bandar udara Ngurah Rai untuk solat Jumaat. Rugi rasanya jika tidak bersolat di masjid apabila kita mengembara disesuatu tempat. Masjid ini hanya beberapa ratus meter sahaja dari Rama Krisna. Uniknya masjid ini ia terletak bersebelahan dengan Gereja GPIP Ekklesia dan Pura Jagad Tirtha. Menunjukan betapa harmoninya hubungan agama di kalangan penduduk Bali.
Selepas solat kami menikmati makan tengahari di Restoran Istana Raya atau dikenali sebagai Istana Ayam Pop (S8° 42.651' E115° 11.137'). Restoran nasi padang yang terkenal dengan ayam popnya (ayam goreng spesel). Sepanjang di Bali disinilah tempat yang aku makan dengan begitu puas sekali bahkan disini juga aku memakan ayam popnya (ditempat lain aku hanya makan ikan dan makanan laut sahaja). Memang tempat ini akan aku rekomenkan kepada kawan-kawan jika ke sini.
Jam 2.00 petang kami bertolak menuju Desa Beraban, Kecamatan Kediri, Kabupaten Tabanan. Dimana terdapatnya sebuah pura yang menjadi icon di Bali iaitu Pura Tanah Lot.( S8° 36.984' E115° 05.260').
Jaraknya sekitar 19km dari Restoran Istana Raya atau ± 1 jam perjalanan. Pura ini terletak di atas bongkahan batu karang yang besar. Apabila air laut pasang, kelihatan seperti pulau dengan deburan ombak yang menghempas pantai menambahkan menariknya pura ini. Untuk masuk ke kawasan wisata ini, pelancong dikenakan bayaran sebanyak Rp 10.000 / orang.
Pura ini dibina bagi menghormati dan memuja dewa penjaga laut.
Di bawah pura ini terdapat ‘Gua Air Suci’. Air suci yang tawar rasanya yang dikatakan berpunca dari mata air di tengah laut. Kononnya air ini mengandungi seribu khasiat dan hikmat. Ada yang berkeyakinan meminum air suci ini boleh menyembuhkan beberapa penyakit dan boleh mengembalikan kesuburan kepada pasangan yang mandul. Tidak ada bayaran dikenakan hanyalah menderma seikhlas. Aku ingin juga merasa air ini, namun ada sedikit upacara tertentu selepas meminum, maka terpaksa membatalkan hasrat dan hanya melihat sahaja.
Dihadapan pura ini ada gua kecil yang dikenali sebagai ‘Gua Ular Suci’ yang didalamnya ada ular laut. Kononnya ular laut ini adalah penjaga pura dan berasal dari jelmaan selendang seorang Brahmana iaitu Dang Yang Nirartha. Aku tidak melepaskan peluang menyentuh ular ini yang katanya jinak dan tidak pernah mematuk. Tidak ada bayaran dikenakan cuma sedikit derma seikhlas sahaja.
Hampir 1½ jam kami disini dan selepas itu kami bertolak ke pantai Jimbaran untuk menikmati makanan malam di Blue Ocean Seafood (S8° 45.757' E115° 10.209'). Sememangnya pantai Jimbaran adalah tempat yang istimewa untuk menjamu selera dengan makanan laut yang segar sambil menyaksikan matahari terbenam.
Kami juga sempat melawat kawasan yang pernah di bom di Legian, Kuta, Bali Blast Monument & Ground Zero Memorial (S8° 43.036' E115° 10.468'). Kejadian pengeboman yang berlaku pada 12 October 2002 di kawasan kunjungan pelancong telah membunuh seramai 202 orang (88 pelancong Australian, 38 penduduk Indonesian dan beberapa pelancong dari 20 buah negara) dan mencederakan 209 orang. Pengeboman dilakukan oleh Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas dari Jemaah Islamiyah. Dalang pengeboman ini telah dihukum mati pada 9 November 2008.
Berhampiran Rama Krisna
Pintu masuk Ke Pura Tanah Lot – Tiket dikenakan sebanyak Rp 10.000 / orang
Di pantai Jimbaran – Hiburan sambil makan
Deruan ombak menghempas pantai
Pautan Kembara Berkaitan
1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3
No comments:
Post a Comment