Wednesday, September 09, 2015

BALI – Budaya & Alam: Day 2

Tarikh : 03 September 2015
Kos    : Percuma -  Ditanggung semua
Kuta – Gianyar – Kintamani - Kuta

Bersarapan dihotel dengan berhati-hati, hanya menikmati buah dan roti. Selepas sarapan, sempat berbual dengan Pak Nyoman. Tertarik dengan nama yang hampir serupa digunakan lantas aku bertanya kepada Pak Nyoman apakah ada rahsia disebalik nama yang mirip ini.

Nama orang Bali sememangnya unik, ia bercirikan kasta (wangsa) dan turutan kelahiran.

· ‘Wayan’ adalah anak pertama. Adakala digunakan ‘Putu’ atau ‘Gede’.

· ‘Made’ adalah untuk anak kedua yang bermaksud madya(tengah). Ada juga yang menggunakan ‘Nengah’ atau ‘Kadek’.

· ‘Nyoman’ adalah untuk anak ketiga dan juga digunakan nama ‘Komang’.

· ‘Ketut’ untuk anak keempat. Asal dari ngetut yang bermakna mengikuti atau mengekor

Ohh! baru faham, patutlah dulu semasa aku aktif bermain bonsai, nama Ketut dari Bali sering menjadi sebutan.

Aku juga tertarik dengan pakaian Pak Nyoman hari ini. Beliau menerangkan kepadaku akan falsafah mengenai pemakaian baju tradisi Bali. Pakaian mereka sebenarnya mempunyai erti dan nilai tersendiri. Pakaian yang berkonsepkan Tri Angga.

Dikepala akan diikat ‘Udeng’ (dastar) dengan ujungnya menghadap ke atas sebagai simbol penghormatan. Simpulan di tengah sebagai lambang pemusatan fikiran.

Pemakaian ‘Kamen’ yang berupa kain penutup tubuh bahagian bawah yang diikat dipinggang dari kiri ke kanan sebagai lambang ‘Dharma’. Kedudukan Kamen yang tingginya ± sejengkal dari telapak kaki dengan ujung lancip menghadap ke bawah dan harus menyentuh tanah, ia sebagai simbol penghormatan terhadap ibu pertiwi.

Kemudian dikenakan ‘Saput’ ( Kampuh ) iaitu kain luar yang diikat di pinggang secara lawan jam. Saput juga bertujuan untuk melindungi ‘kejantanan’ sang pemakai.

Jam 8.30 kami bertolak ke Gianyar. Kami melalui Lebuhraya bertol yang merentas kawasan laut. Ianya dibina dalam tahun 2011 dan siap dalam tahun 2013. Lebuhraya yang bertujuan menyuraikan kesesakkan jalanraya sejauh 12.7 km yang merentasi laut Bali dan menghubungkan Pelabuhan Benoa - Ngurah Rai - Nusa Dua. Binaannya yang unik dan cantik yang cuba mengekalkan ekologi alam sekeliling.

Jam 9.30 pagi kami tiba ke Sekehe Barong Sila Budaya, Puri Anom, Batu Bulan, Gianyar, Bali (S8° 37.639' E115° 15.519' ). Terus mengambil tempat dan pertunjukkan ‘Tari Barong dan Kris’ terus bermula. Tari Barong dan Kris berkisar kepada pertarungan antara ‘kebaikan’ melawan ‘kejahatan’. Barong adalah binatang purbakala yang melambangkan ‘kebaikan’ melawan Rangda sejenis binatang purbakala yang menggambarkan ‘kejahatan’. Ia adalah cerita dari kitab hindu Mahabhrata. Terdapat 6 babak cerita namun aku kurang faham cerita dari setiap babak tersebut (hmmm…).

Singgah sebentar ke pusat pembuatan batik di ‘Sari Amerta Batik Collection’ (S8° 37.844' E115° 15.597') di Batu Bulan. Di sini ditunjukan proses penenunan kain Songket Bali ataupun Kain ‘Tenun Endek Khas Bali’. Diajar cara membuat batik, melihat proses pembuatan batik. Di ruang utama ada pusat jualan yang menjual pelbagai bahan tekstil, hasil batik dan souvenir.

Sejam disini dan kami bertolak menuju Kintamani untuk menikmati makan tengahari sambil menikmati panorama tanah tinggi Gunung Batur dan kawasan sekitar. Perjalanan sejauh ± 47km yang memakan masa hampir 2 jam. Kintamani menyediakan pemandangan tanahtinggi dengan udara segar dan nyaman. Tarikan utama di sini ialah pemandangan Gunung Batur dan Danau Batur. Di sini kami menikmati makanan tengahari ala buffet di Restoran Gong Dewata (S8° 16.287' E115° 20.782'). Aku dimaklumkan bahawa daerah Kintamani selain terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian ia juga terkenal dengan baka anjing terbaik lagi cantik bertubuh mungil yang dikenali sebagai anjing Kintamani.

Gunung Batur adalah salah satu gunung berapi yang masih aktif. Ia setinggi 1,717 meter dan kedua tertinggi selepas Gunung Agung (2,153 m). Kali terakhir gunung ini meletus ialah pada tahun 2000. Letusan yang kuat ribuan tahun lalu telah mewujudkan danau Batur yang menjadi danau terbesar di Bali.

Tarikan utama ke Gunung Batur adalah hiking dan juga menjadi tempat tumpuan untuk melihat ‘sunrise’. Dari Restoran aku melihat sebuah desa bagaikan pulau yang terselamat dan tidak dilanda aliran lava gunung berapi. Aku juga dimaklumkan bahawa di perkampungan Trunyan  (berdekatan Tasik Batur), penduduknya yang meninggal dunia, mayat mereka akan dibiar reput di bawah sebatang pokok ara dan kononnya mayat-mayat ini tidak mengeluarkan bau sama sekali.

Tari Keris


Pautan Kembara Berkaitan

1. Bali - Pulau Seribu Pura: Day 1
2. Bali – Budaya & Alam: Day 2
3. Bali – Pantai, Pulau & Pura : Day 3

No comments:

Post a Comment