Thursday, September 18, 2014

Bukit Resam: Kemanisan Dalam Pencarian

Tarikh  : Selasa 16 September 2014 = 21 Zulkaedah 1435H
Mula    : 8.30 pagi       
Jarak   : ±22 km 
Max Elev :  ± 228 meter   
Rider : 6 orang – Pudin, Rohizam, Shahrul, Musz,  Ust Khairul  & Rosly 
Coordinate: N6° 13.905’ E100° 30.216’

Sejak sebelum puasa aku sudah mengurangkan aktiviti mengayuh ditambah pula dengan musim hujan sejak kebelakangan ini yang menyebabkan beberapa aktivitiku terpaksa ditunda. Sesungguhnya keadaan ini banyak mempengaruhi rentak kayuhanku dan stamina.

Pagi ini aku bersama team Airod memulakan kayuhan dari Masjid Jamik Raudhatus Solihin, Kampung Bukit. Bermula dengan menelusuri laluan kampung, bendang dan seterusnya menjejaki semula laluan ke Bukit Resam. Walaupun sudah pernah melalui jalur ini, namun beberapa kali kami tersasar laluan. Ini kerana perubahan bentuk mukabumi yang semakin terhakis dek hujan dan rumput dan samun yang semakin memanjang (disamping hendak mencuba laluan yang tak pernah aku teroka).

Hujan yang turun sejak beberapa hari menjadikan tanah lembab dan ‘lecah’. Beberapa tempat yang rendah digenangi dengan air. Walaubagaimanapun ia menjadikan kayuhan ini menarik kerana dapat meredah air yang mengalir dilaluan, charok (anak sungai) & katoq dipenuhi air yang mengalir laju. Laluan yang terbiar kami redah dan daki, rumput dan samun makin meninggi dan aku dihadapan meredah sambil membuka laluan dengan berhati-hati (sambil berdoa agar dijauhkan dari sebarang ‘geruh’ ). Setelah berhempas pulas sambil terkial-kial menolak akhirnya kami tiba ke puncak di tengah rembang. Panas mentari menggigit kulit namun nikmat terasa apabila tiupan angin menyejukkan badan dan sejuk mata memandang sambil menikmati panorama indah alam. Kemanisan kayuhan dan manisnya tekak bahana memakan buah ‘lemba’ disusuli dengan meminum air membuat kami melupa segala penat yang dilalui.

Kami selamat tiba ke tempat permulaan pada jam 1.30 petang walau ada sahabat mengalami sedikit kemalangan kecil berlaku sewaktu penurunan tadi.

Nampaknya staminaku semakin menurun – aku perlu membina semula (walau apa alasan sekalipun) kerana kembaraku ke negara tanah tinggi bakal bermula … Insyaallah.

Permulaan Kayuhan – menelusuri bendang

Mukadimah – sedikit pendakian

mencuba laluan – Jalan dihadapan semakin merimbun dengan samun dan bukit menghalang

berpatah balik

menuju hutan dare

melintas sungai

katoq

deraan fizikal – laluan paling curam

hampir ke puncak

menghampiri puncak

Penat – tengah rembang

balik ke jalanan – lenggang pulang

No comments:

Post a Comment