Tarikh : Sabtu, 2 Ogos 2014 = 6 Syawal 1435H
Jarak : 14 km
Max Elev : ± 81 meter
Rider : 6 orang – Pudin, Nizam, Shahrul, Raja Ahmad, Musz & Hashim
Coordinate: N6° 13.685’ E100° 29.016’
Setelah lebih sebulan basikal terperap, stamina perlu dibina, semangat perlu ditingkat maka Bukit Menerung menjadi pilihan. Ia sebagai salam permulaan kepada sahabat dari Team Airod bagi menikmati dan memahami pola laluan yang bakal ditempuhi sekitar kawasan ini.
7.30 pagi berkumpul di Masjid Bukit Pinang menunggu rakan sebelum menuju ke tapak permulaan di Masjid Jamik Raudhatus Solihin, Kampung Bukit, Derang. Kami memulakan kayuhan pada jam 8.00 pagi dengan menelusuri jalan kampung Empa dan singgah bersarapan di Warung Pokok Kabu, Kampung Bukit.
Selepas bersarapan, telusuri jalan minitar melewati kampung Taqwa dan mendaki sebuah bukit yang ketinggiannya hanya 51 meter bagi meninjau panorama sungai Pedu dan kawasan sekitar. Membiarkan rakan-rakan bergambar sambil meninjau kawasan untuk memberi pemahaman tentang kawasan disini. Bukit ini kini semakin gondol, banyak hutan sudah ditumbangkan, bukit-bukit ditarah. Akibat dari aktiviti sebegini, bukit yang sama (tetapi agak ke selatan) yang kami perlu daki (melalui laluan lain) sudah semakin terhakis, batu-batu terbonjol, alur semakin dalam menyukarkan kayuhan pendakian. Akibat Hentakan dan pantulan dilaluan ini menyebabkan beberapa baranganku tercicir (garmin dan kacamata). Perghh! Cabaran menurun dan penat mendaki semula. Hadoiiii … kugagahi jua.
Dari puncak kami menurun dilaluan yang agak mencabar kerana curam dan meredah semak yang mula tumbuh meliar tebal hingga sampai ke kampung Seberang Paya, Empa. Di sini kami singgah ke sebuah rumah seorang penduduk tempatan. Beliau sedang memproses buah asam gelugur. Kebetulan musim buah kayu belum berakhir(tapi durian sudah habis), beliau turut mempelawa kami mengait buah-buahan sekitar rumahnya. Apalagi… plastik diisi dengan rambutan, manggis dan jentik-jentik buat bekalan makan ditepi sungai nanti.
Selepas itu kami memasuki kawasan bendang dikaki bukit Resam dan menelusuri sepanjang sungai pedu memasuki kawasan dusun yang redup dan dinaungi pepohon buah kayu. Singgah di salah satu kuari pasir, aduhhh… kawasan yang sering aku kunjungi dahulu sudah berubah, tanahnya semakin runtuh.
Bagi menikmati buah yang kami ambil tadi, kami singgah ke salah satu pondok. Duduk bersila sambil lelah dilepas, buah-buahan dikupas. Hampir 30 minit menikmati rasa dan panorama kami meneruskan kayuhan ke tempat permulaan. Selesai kayuhan pada jam 11.15 pagi.
Menelusuri laluan batu, menempuhi ladang getah
Laluan Bendang yang permai
Laluan sudah semakin semak
Menikmati buah asam gelugur dan rambutan
Pergh ! Syok woo dapat kayuh sambil makan buah ! Haha
ReplyDelete