Tarikh : 12/06/2014
Lokasi : Putrajaya Botanical Garden, Presint 1, 62000 Putrajaya, Malaysia
Coordinate: N2° 56.667' E101° 41.757'
Mother of All Gardens
Hari ini isteri aku ada taklimat di Putrajaya, kesempatan diambil dengan membawa bersekali anak-anakku ke sana tambahan pula masa ini adalah cuti sekolah. Sementara menunggu tamat taklimatnya aku membawa anak-anak aku mengelilingi seketika Putrajaya dan seterusnya singgah ke Taman Botani.
Taman Botani terletak di bahagian utara Presint 1, Putrajaya. Ia telah direka sebagai ‘Arcadia’ atau tempat perlindungan kebangsaan bagi koleksi tanaman hidupan Malaysia dan juga sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan. Berkeluasan ±92 hektar dan mempunyai hampir 700 spesis tanaman dari 90 negara tropika , Amerika Selatan, Afrika dan Asia Pasifik. Taman ini terbahagi kepada 3 taman iaitu Taman Tanaman Hiasan, Tanaman Etho-Botani dan kawasan konservasi atau bahagian penyelidikan. Dipecahkan kepada 13 tema taman seperti Explorer’s Trail, Taman Suria, Pesisir Tasik, Taman Flora, Taman Paku Pakis, Bukit Palma, Teduhan Ficus, African Collection dan lain-lain lagi.
Bayaran masuk (untuk masakini) adalah PERCUMA, cuma sewaan basikal dikenakan dengan kadar RM2.00 perjam dan aku menyewa 3 buah basikal untuk aku dan anak-anak beriadah mengelilingi Taman ini.
Bermula dari Pusat Interpretif Pelawat (kaunter dan tempat sewaan basikal) terdapat Titian Kanopi (dibina dengan kayu cengal) sejauh 170 meter yang membawa kami merentasi deretan pokok hujan tropika. Kemudian kami berbasikal menerokai Denai Helikonia melihat pelbagai spesis helikonia dan pisang beraneka bentuk dan warna. Singgah sebentar di Astaka Morocco (namun kecewa kerana sedang dalam pembinaan) yang berkonsepkan seni bina Moorish yang diilhamkan oleh bekas PM, YABhg Tun Dr. Mahathir. Katanya astaka ini menempatkan galeri dan pameran koleksi barang-barang dan senibina dari bandar Diraja Morocco.
Melalui Hibiscus Walk yang menempatkan pelbagai spesis bunga Raya. Yang anakku kenal hanyalah bunga raya merah (hibiscus rosa sinensis) yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia. Tidak ramai yang tahu bahawa bunga raya mempunyai nilai perubatan yang tinggi bahkan ia juga digunakan oleh sahabatku sebagai bonsai kerana bentuk dan usianya dan tahan lama. Mengayuh dibawah teduhan pokok Ara di Ficus Shade. Pokok ini aku kenali kerana sebahagian spesis ini aku gunakan untuk koleksi bonsaiku. hanya melintasi Bukit Palma dengan pelbagai spesis dan ada yang jarang ditemui seperti spesis Daun Payung (Johannesteijsmannia Perakensis) yang menjadi logo Taman Botani ini. Kemudian kami mengayuh diatas pelantar kayu yang dibina di pesisir tasik. Disini dapat menyaksikan dan menikmati pemandangan indah tasik. Hmm sungguh permai dan mendamaikan. Kami meneruskan sehingga ke empangan yang memisahkan Tasik Putrajaya dan Wetland. Tiba-tiba telefon berbunyi … Ahhhh .. isteriku sudah selesai taklimatnya di Kementerian Kewangan, tak sempatlah kami menghabiskan kayuhan keseluruhan kawasan ini.
Sesungguhnya kunjungan ini amat bernilai kerana dapat bersantai bersama anak-anak dan menguji kecekalan mereka mengayuh basikal. Tempat ini sangat sesuai untuk aktiviti riadah keluarga, menjadi tempat pembelajaran dan ecotourism. Hmmm ..dengar khabar taman ini akan diswastakan, nampaknya macam tidak PERCUMA lagi untuk ke masuk sini nanti.
Astaka Morocco di permulaan kayuhan
meredah dicelah pelbagai spesis rimbunan buluh
Teduhan Ara
Whow .. berani gak turun anak tangga ni dengan laju
Empangan yang memisahkan wetland dan tasik putrajaya
No comments:
Post a Comment