Tuesday, July 22, 2014

Axiom Typhoon DLX: Pilihan Beg Keranjang Kembara

Penggunaan pannier yang sesuai diperlukan untuk kembara basikal yang jauh. Lasak, luas, mudah dan ringkas antara perkara yang aku beri perhatian dalam penggunaan bag ini. Walaupun penggunaan keranjang (pannier) tak berjenama boleh digunakan namun bag yang berjenama direka khas dan diguna meluas oleh ‘wisatawan’ yang berkelana mengelilingi dunia. Aku sudah menggunakan beg keranjang tak berjenama, walaupun isipadunya agak besar namun ketahanan dan instalasinya ke basikal agak ‘merenyahkan’.

Misiku kali ialah mencari beg keranjang bagi menggantikan yang sediada. Aku menggoogle laman sesawang mencari beberapa jenama ternama, mentelaah dan membaca resensi mereka, maka beberapa pilihan disenaraikan:- 

1. Ortlieb Back-Roller Classic 40L Jenama tersohor diguna meluas, harga lingkungan £99.00 berat 1,900 grm
2. Vaude Aqua 48L harga £66.66, berat 2,100 grm
3. Axiom Typhoon Aero DLX 45L harga £63.74, berat 1,360 grm
4. Altura Fuse 42 L Harga £82.49 - Rixen-Kaul™ KLICKfix fittings
5. Topeak DryBag Pannier cantik, lasak .. dijual secara berasingan (sebijik la) harga £56.66 , 25 liter & 1,400 grm

Setelah ditimbang-timbang, ditilik-tilik, maka aku membuat keputusan untuk memilih Axiom Typhoon Aero DLX. Ini kerana harganya agak murah, mudah(with no zips or complicated strapping ), ringan,  lifetime guarantee (Ortlieb 5 tahun jer ma…) dan juga aku ingin mencari sedikit kelainan dari sahabat.

Aku membuat pesanan dari Evan Cycle dengan membuat pembayaran melalui paypal pada 04/05/2014 dan dicaj ke kad kredit sebanyak RM 366.71. Penghantaran adalah percuma namun lama sungguh kena menunggu (maklumlah pakai Royal Mail Postal services). Beberapa kali juga dimaklumkan oleh mereka bahawa stok masih belum diterima dari pembekal (jangkaan sehingga 07/07/2014 – nasib baiklah aku tak jadi pi Chiangmai pada waktu tersebut – taklah ternanti-nanti sangat) dan tanpa diduga pihak mereka memaklumkan bahawa baranganku sudah dikirim pada 13 Jun 2014 dan aku menerima barangan pada 25 Jun 2014 dalam keadaan baik dan sempurna (barangan dimasukkan dalam peti surat ja – nasib baik peti surat pejabatku besar).

Beg ini direkabentuk  khas agar lebih aerodynamic yang dapat mengurangkan rintangan angin dan berat bag dapat ditumpukan ke tengah basikal. Fabrik khas digunakan yang mesra pengguna, bebas dari bahan heavy metals dan VOCs (Volatile Organic Compounds) yang boleh menyebabkan kanser dan gangguan sistem pernafasan dan semestinya mematuhi piawaian antarabangsa. Fabrik khas dari Korea ini iaitu 600D Polyster yang kalis air, nyah bau, kukuh, lasak dan dijahit kemas dan kejap. Sistem  Rixen & Kaul Vario hooks and Flip locks membolehkan bracketnya  mengunci kemas ke pelantar basikal, “Tie-Down” heavy duty bungee iaitu getah yang boleh diselaras senang dicakuk ke bahagian bawah pelantar bagi mengemaskan kedudukan bag dan amat mudah memasang dan mengeluarkannya dari pelantar. Bahkan satu unit bracket percuma diberikan sebagai alat gantian. Satu tali galas juga diberikan buat mengalas/mengusung barangan berharga kesana kemari jika beg tidak digunakan dijalanan. Muatan yang luas sehingga 45 liter. Tidak ada zip atau balutan yang merenyahkan dimulut beg ini. Hanya gulung mulut beg beberapa kali dan klikkan ke buckle, mudah dan cepat, air pun tak masuk.

Spesifikasinya adalah seperti berikut: -

  • Waterproof 600D Polyester Ultrasonically wielded polyester
  • Rixen & Kaul® Vario adjustable hooks fit 6mm-20mm racks
  • Replaceable Rixen & Kaul® Flip-Lock
  • Adjustable hook & bungie system for secure attachment
  • Designed to be used as a front or rear pannier
  • Dry bag rolldown closure
  • Reflective logos
  • Plastic wear guards on corners
  • Includes extra hook, hardware and shoulder strap
  • Compartment dimensions: 35 x 33 x 15.5cm
  • Volume: 45L (pair)
  • Weight: 1360g (pair)

Untuk makluman Axiom Performance Gear adalah sebahagian dari syarikat Norco Product Ltd (syarikat pengeluar basikal yang berjenama Norco) berpengkalan di Kanada. Tahun 1988, Norco telah melancarkan Axiom Performance Gear sebagai salah satu bahagian untuk pengeluaran aksesori dan barangan (cycling parts).

Rixen & Kaul Vario hooks and Flip locks  mencangkuk kemas ke pelantar

Mudah di pasang ke Pelantar - Getah anjal yang mudah mencangkuk

PERCUMA : Tali sandang sisi dan cangkuk simpanan

Sisinya yang diperkukuh dengan plastik bagi kemasan dan mengejapkan bag disamping utk ketahanan

Pandangan ke dalam bag

Tuesday, July 15, 2014

Bukit Kelubi: Mengecapi Moreh Dipuncak

Tarikh : 11 Julai 2012 (Jumaat) = 13 Ramadhan 1435H
Mula : 11.30 Malam
Lokasi: Trek Bukit Kelubi, Jitra, Kedah 
Jarak Kayuhan : ± 6 Km (Naik & Turun) 
Kehadiran: 15 Orang 
Coordinate: N6 16.154 E100 27.745 (@ puncak)

Kayuhan Malam Bukit Kelubi bermula sejak tahun 2010 dan bagi meneruskan tradisi ini maka saudara Nasrol telah mewar-warkan dalam FBnya dan berjaya menarik perhatian 15 penunggang untuk memecah peluh jantan dengan mendaki dan merasai peningkatan adrenalin semasa penurunannya.

Seusai solat tarawikh kami berkumpul di Anjung Kelubi sambil menanti kehadiran rakan.. Permulaan acara dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Al Ustaz Raja, memohon keberkatan dan keselamatan dan pada jam 11.30 malam gerombolan ini berbondong-bondong mendaki Bukit Kelubi. Berbekal lampu dan sinaran bulan menerangi laluan memacu naik dan lancar pengendalian. Kayuhan ini juga disertai oleh 2 orang mashall bermotor dan sebuah Suzuki 4 x 4 yang bertindak sebagai sweeper (penerang jalan) dan membawa kelengkapan moreh.

Setelah hampir 1 jam berhempas pulas melawan graviti, pada jam 12.10 am semua selamat tiba ke puncak. Melepas lelah menikmati panorama sambil menanti kopi dibancuh. Moreh yang ringkas iaitu  kopi sambil cicah roti kering dan koteow goreng sememang lazat dinikmati. Apatah lagi angin pagi yang sejuk dan nyaman menyapa pipi .

Lebih sejam kami dipuncak dan sebelum penurunan bermula sedikit taklimat ringkas diberi oleh saudara Nasron. Jam 1.20 pagi kami pun mula turun. Penurunan yang berhati-hati dengan laluan yang curam ditambah batuan yang longgar. Semua deria perlu peka terutama mata kerana tiada diduga apa dihadapan, lubang dan bonggol tidak jelas kelihatan yang boleh membawa kepada kejatuhan.

Alhamdulillah, semua penunggang selamat sampai ke bawah. Sesungguhnya kayuhan malam sememangnya unik kerana ianya mencabar dan mempunyai risiko disamping perasaan yang bercampur baur antara seronok, gementar dan mendebarkan dan ianya akan diteruskan lagi pada masa hadapan. INSYAALLAH …

berhimpun

Bacaan doa oleh Ustaz Raja Azrifuddin

Marshall mengawasi penunggang

Nah Haih … bercerau peluh

Santa Cruz Blur LT - Sudah mengenali diri

Acara moreh

Penurunan …

Friday, July 11, 2014

Taman Botani Putrajaya: Santai Riadah Keluarga

Tarikh : 12/06/2014 
Lokasi  : Putrajaya Botanical Garden, Presint 1, 62000 Putrajaya, Malaysia    
Coordinate: N2° 56.667' E101° 41.757'

Mother of All Gardens 

Hari ini isteri aku ada taklimat di Putrajaya, kesempatan diambil dengan membawa bersekali anak-anakku ke sana tambahan pula masa ini  adalah cuti sekolah.  Sementara menunggu tamat taklimatnya aku membawa anak-anak aku mengelilingi seketika Putrajaya dan seterusnya singgah ke Taman Botani.

Taman Botani terletak di bahagian utara Presint 1, Putrajaya. Ia telah direka sebagai ‘Arcadia’ atau tempat perlindungan kebangsaan bagi koleksi tanaman hidupan Malaysia dan juga sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan. Berkeluasan ±92 hektar dan mempunyai hampir 700 spesis tanaman dari 90 negara tropika , Amerika Selatan, Afrika dan Asia Pasifik. Taman ini terbahagi kepada 3 taman iaitu Taman Tanaman Hiasan, Tanaman Etho-Botani dan kawasan konservasi atau bahagian penyelidikan. Dipecahkan kepada 13 tema taman seperti Explorer’s Trail, Taman Suria, Pesisir Tasik, Taman Flora, Taman Paku Pakis, Bukit Palma, Teduhan Ficus, African Collection dan lain-lain lagi.

Bayaran masuk (untuk masakini) adalah PERCUMA, cuma sewaan basikal dikenakan dengan kadar RM2.00 perjam dan aku menyewa 3 buah basikal untuk aku dan anak-anak  beriadah mengelilingi Taman ini.

Bermula dari Pusat Interpretif Pelawat (kaunter dan tempat sewaan basikal) terdapat Titian Kanopi (dibina dengan kayu cengal) sejauh 170 meter yang membawa kami merentasi deretan pokok hujan tropika. Kemudian kami berbasikal menerokai Denai Helikonia melihat pelbagai spesis helikonia dan pisang beraneka bentuk dan warna. Singgah sebentar di Astaka Morocco (namun kecewa kerana sedang dalam pembinaan) yang berkonsepkan seni bina Moorish yang diilhamkan oleh bekas PM, YABhg Tun Dr. Mahathir. Katanya astaka ini menempatkan galeri dan pameran koleksi barang-barang dan senibina dari bandar Diraja Morocco.

Melalui Hibiscus Walk yang menempatkan pelbagai spesis bunga Raya. Yang anakku kenal hanyalah bunga raya merah (hibiscus rosa sinensis) yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia. Tidak ramai yang tahu bahawa bunga raya mempunyai nilai perubatan yang tinggi bahkan ia juga digunakan oleh sahabatku sebagai bonsai kerana bentuk dan usianya dan tahan lama. Mengayuh dibawah teduhan pokok Ara di Ficus Shade. Pokok ini aku kenali kerana sebahagian spesis ini aku gunakan untuk koleksi bonsaiku. hanya melintasi Bukit Palma dengan pelbagai spesis dan ada yang jarang ditemui seperti spesis Daun Payung (Johannesteijsmannia Perakensis) yang menjadi logo Taman Botani ini. Kemudian kami mengayuh diatas pelantar kayu yang dibina di pesisir tasik. Disini dapat menyaksikan dan menikmati pemandangan indah tasik. Hmm sungguh permai dan mendamaikan. Kami meneruskan sehingga ke empangan yang memisahkan Tasik Putrajaya dan Wetland. Tiba-tiba telefon berbunyi … Ahhhh .. isteriku sudah selesai taklimatnya di Kementerian Kewangan, tak sempatlah kami menghabiskan kayuhan keseluruhan kawasan ini.

Sesungguhnya kunjungan ini amat bernilai kerana dapat bersantai bersama anak-anak dan menguji kecekalan mereka mengayuh basikal. Tempat ini sangat sesuai untuk aktiviti riadah keluarga, menjadi tempat pembelajaran dan ecotourism. Hmmm ..dengar khabar taman ini akan diswastakan, nampaknya macam tidak PERCUMA lagi untuk ke masuk sini nanti.

Astaka Morocco di permulaan kayuhan

meredah dicelah pelbagai spesis rimbunan buluh

Teduhan Ara

Whow .. berani gak turun anak tangga ni dengan laju

Empangan yang memisahkan wetland dan tasik putrajaya

Monday, July 07, 2014

Al Jazeera: Restoran Nasi Arab Di Alor Setar

Tarikh : 27 Jun 2014
Lokasi : No 81, Kompleks Perniagaan Utama, Jalan Sultanah Sambungan, Alor Setar , Kedah, Malaysia
Coordinate: N6° 08.570' E100° 21.981'

Nasi Mandy merupakan antara makanan kegemaranku. Kunjunganku ke Mekah dahulu telah mencetuskan kegemaranku kepada makanan ala Arab ini. Tidak hairanlah mendengar khabar adanya kedai nasi arab baru dibuka pasti aku kunjungi bagi menikmati juadahnya.

Hari ini aku bersama keluarga mengunjungi Restoran Nasi Arab Mandy Al Jazeera yang terletak di No 81, Kompleks Perniagaan Utama, Jalan Sultanah Sambungan, Alor Setar atau untuk memudahkan pencarian, ia terletak dibelakang Bank Islam cawangan Alor Setar.

Ianya dibuka ± 2 bulan dahulu dan di miliki oleh Ustaz Zakaria (seorang pensyarah Di Insaniah). Di antara hidangan yang terkenal di restoran ini adalah Nasi Mandy Ayam dan Kambing, Mandy Siakap , Shish Tawooq Kambing/Ayam, Kari Kambing, Kebab, Shawarma, sandwich, Basbusah dan macam-macam lagi. Wardrope nya yang cukup ringkas dengan suasana arab. Siaran TV satelit saluran arab sentiasa dipasang. Ia dikunjungi oleh penuntut dan tenaga pengajar Insaniah samada dari luar negara (Timur Tengah) dan penduduk tempatan. Ia juga menjual barangan dari negara Timur Tengah/Mediteranean seperti minyak zaitun, madu lebah, habatus sauda dan lain-lain lagi.

Pesanan dicatat dalam arab dan pastinya disini aku memilih Nasi Mandy kambing manakala keluargaku memilih Mandy ayam dan Shawarma ayam. Tidak perlu menunggu masa yang lama bagi mendapat hidangan yang dipesan. Wow .. nasinya sedap berbau harum dari beras basmathi yang panjang dan dimasak dalam ketuhar khas oleh tukang masak yang telah terlatih (mendapat bimbingan & tunjuk ajar dari tukang masak Mesir dan ustaz sendiri). Nasi yang dihidangkan dengan salatah, sup, sos khas dan sedikit sayuran.

Restoran ini juga menyediakan Nasi Mandy pakej keluarga untuk 4/2 orang atau pakej untuk 30 orang dengan harga yang berpatutan.

Ianya dibuka setiap hari (kecuali hari Ahad) dari jam 11.00 pagi – 11.00 malam.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan bolehlah menghubungi talian berikut: 0111 4500 330/0111 1 911300

Antara menu yang disediakan

Mandy Kambing

Mandy ayam

Antara barangan timur tengah yang dijual

Wednesday, July 02, 2014

Tasik Cermin: Tasik Indah Yang Tersembunyi

Tarikh : 11.06.2014 
Lokasi  : Tasik Cermin, Gunung Rapat, Ipoh, Perak, Malaysia    
Coordinate: N4° 33.560' E101° 07.210'

Lama benar menyimpan hasrat untuk menjengah ke lokasi ini, peluang terbuka apabila menemani isteriku untuk ke Putrajaya tempohari. Kesempatan digunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga  mengunjungi lokasi ini

Dengan berbekalkan maklumat lokasi koordinate kuari, aku membiarkan ‘Garmin’(GPS) menunjuk arah laluan ke lokasi ini. Dari situ aku tercari-cari pintu gua yang terletak tidak jauh dari situ. Dari pintu gua kami berjalan ± 50 meter melalui terowong buatan yang agak gelap. Menggunakan Handphone bagi menyuluh jalan menelusuri gua  untuk jumpa tasik ini. Dihujung sana sudah nampak Tasiknya yang dikelilingi sepenuhnya bukit batu kapur. Airnya yang menghijau bak cermin dengan panorama bukit dan hutan yang memukau. Ada pelantar besi khas yang dibina yang membolehkan kami meninjau dan bergambar berlatarkan tasik ini. Kebetulan angin bertiup membuat daun-daun berguguran ke dalam tasik dan menyejukkan badan. Fuhhh indah… sungguh tenang dan nyaman disini.

Terletak lebihkurang 5km dari Tol Simpang Pulai. Untuk ke sana, dari Lebuhraya Utara-Selatan boleh keluar dari Tol Simpang Pulai (Exit 137). Selepas Tol dipersimpangan lampu isyarat belok kanan dan ikuti jalan menghala ke Ipoh sejauh 4km sehingga jumpa bangunan ACM Automative Corp (disebelah kanan) dan telusuri mini tar sehingga ke kawasan kuari batu (yang masih beroperasi). Dari sini anda boleh bertanyakan kepada pekerja kuari atau pemandu lori lokasi pintu gua.

Terpaksa melalui kawasan kuari batu ini dahulu untuk sampai ke pintu gua

di hadapan pintu masuk terowong

dihujung terowong

Pemandangan tasik yang indah permai