Monday, August 05, 2019

Patani: Mencari Bendang Garam, Merasai Garam Manis

Tarikh       :  19 April 2019
Misi           :  Menikmati Kabus, Membeli Kopi dan Mencari Garam Manis di Patani
Lokasi       :  Tanjung Lulut, Patani, Thailand
Coordinate : N6.88105° E101.30184°
Map Links  :
https://goo.gl/maps/UN5wBqaDK2GGuGyN8

Sawah padi atau bendang adalah pemandangan biasa di Malaysia dan juga Thailand. Namun di beberapa kawasan di Patani, bendang yang diusahakan bukanlah padi tetapi GARAM. Terdapat ± 10 buah kampung di wilayah ini yang mengusahakan bendang garam. Semua kampung ini terletak berdekatan dengan laut. Perusahaan membuat garam yang diusahakan sejak > 100 tahun dahulu secara tradisional sebagai punca pendapatan mereka bahkan kini menjadi tarikan pelancong.  

Aku sudah beberapa kali ke Patani untuk menyaksikan ladang garamnya namun  tak kesampaian (hanya melihat kawasan yang digenangi oleh air laut) kerana masa yang tidak kena. Aku dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa masa yang sesuai untuk melihatnya ialah pada musim kemarau iaitu pada bulan April – Mei.

Hari ini aku ke Tanjung Lulut, Patani untuk melihat bagaimana bendang dijadikan sebagai ladang garam dan proses pembuatannya.

Aku dimaklumkan bahawa bukan semua kawasan bendang di Pattani sesuai dijadikan kawasan perusahaan garam. Tanah di kawasan ini sangat sesuai kerana ia adalah tanah liat yang dapat menahan air dan kadar kemasinan yang rendah (bercampur air tawar) yang mempengaruhi mutu garam di sini. Katanya garam hasil keluaran disini lebih lemak dan kurang masin. Bahkan garam disini sangat berkhasiat (untuk Kesihatan & Kecantikan) dan terkenal di Thailand. Keistimewaannya ini lah yang menyebabkan ia digelar GARAM MANIS.

Musim kemarau adalah waktu paling sesuai untuk memproses garam kerana air laut yang dimasukkan ke kawasan petak bendang akan dibiarkan sejat dibawah panas matahari lalu menghasilkan buku garam. Garam ini akan dikumpulkan dengan menggunakan alat penarik seakan-akan cangkul lebar yang diperbuat daripada papan.

Sepanjang highway 42 berhampiran kawasan masjid krisik kita akan lihat ramai peniaga yang menjual garam ini. Ia dijual dengan harga THB15 bagi setengah kilogram.

No comments:

Post a Comment