Thursday, December 24, 2020

CERITERA PERJALANAN KE SEBUAH GUA BERNAMA LABUA

Tarikh       :  20/12/2020
Misi           :  Menjejaki Gua Labua
Lokasi       :  Hutan Ulu Muda, Sik, Kedah, Malaysia.        
Coordinate : N6.12592° E100.98622°

Gua Labua/Labu adalah antara gua yang terdapat di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik. Ia terletak di Bukit Labu dan mengambil masa ±2 jam perjalananan merentas hutan dara Ulu Muda. Hutan di sini sangat penting kerana ia menjadi kawasan tadahan air terbesar bagi mengisi tiga empangan buatan manusia yang utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu. Ia membekalkan keperluan bekalan air dan pengairan kepada ribuan penduduk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Hutan seluas 105,060 hektar (hampir seluas 2 kali ganda Perlis) yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

Hari ini aku bersama isteri, Adi Harriman dan isterinya menyertai satu kelompok berjumlah 20 orang dengan 3 orang guide masuk ke dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda bagi menjejaki gua Labua. Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Ulu Muda, merentas tasik dan memudik sungai Muda hingga sampai ke trek berhampiran Earth Lodge (N6.11545° E100.96354°).

Bersama guide dan sahabat hiking

Kami memulakan perjalanan pada jam 10:40 pagi dan dipandu oleh Pak Din (Zainuddin Abbas) dan 2 orang guide. Hujan semalam menyebabkan paras air di tasik, meningkat dari biasa. Ia juga menyebabkan laluan menjadi lechah dan licin. Ditambah cabaran menghadap serangan nekad pacat yang laparkan darah. Malang bagiku kasut lekang tapak menyebabkan cengkaman dilaluan becak dan pendakian terasa sukar. Merentas hutan dalam suasana redup memang menyeronokkan sambil menikmati keindahan flora dan fauna, anak sungai yang cantik namun hujan menyebabkan airnya keroh dan laju.

dihadapan pintu gua : kredit kepada sdr Mirat

Kami berhenti berehat dibeberapa tempat dan setelah hampir 2 jam 30 minit (jarak yang dicatat oleh Garminku ialah ±4.5km), kamipun sampai ke pintu gua dan hujan mula turun. Kami memasuki gua yang dalamnya bersih. Ia hanya sepanjang ± 90 meter sahaja dan tembus hingga ke bahagian belakang. Ia mempunyai 3 bukaan gua dan ada lubang di bahagian lelangit yang membolehkan cahaya matahari menerobos masuk. Terdapat banyak stalaktik dan Stalagmik dengan formasi menarik. Dari atas lubang di siling gua kelihatan akar pokok jejawi (ficus) yang menjulur turun hingga ke lantai gua terbentuk bagai tiang unik. Berdekatan gua ini ada beberapa gua lagi, namun agak bahaya untuk dimasuki kerana licin akibat hujan.

photo_2020 Gubir

Kredit Gambar ini kepada saudara Mirat

Setelah hampir 50 minit meneroka gua, kami bergerak balik pada jam 2:00 petang dan sampai ke bot  pada jam 4:00 ptg. Kami menikmati makan tengahari yang lewat di atas bot. Kelihatan ramai yang kelaparan dan keletihan.

Menikmati makan tengahari yang lewat

Selepas makan, tenaga kami semakin pulih dan kami menaiki bot menuju ke Sira Air Hangat (N6.10769° E100.96066°), Ia sangat unik kerana adalah kombinasi mata air panas & sira garam. Pelbagai haiwan datang untuk menjilat dan mendapatkan sumber mineral berkhasiat. Aku difahamkan sira ini berkeluasan ± 48m panjang dan selebar 24m. Namun sedikit kecewa apabila kami sampai sira ini ditenggelami oleh air. Hmmmm….

Kami bertolak balik dan sampai ke jeti pada jam 6:05 petang. Alhamdulillah satu pengalaman yang berharga dan menyedarkan aku betapa pentingnya kawasan ini dipulihara demi menjamin kelangsungan ekosistem yang kaya dengan pelbagai biodiversiti.


LAYAN GAMBAR SEPANJANG PERJALANAN
Menuju Earth Lodge dalam hujan renyai. Kabus masih kelihatan walau sudah jam 9:30 pagi
Earth Lodge: Penginapan terpencil di tengah belantara dan mempunyai 14 bilik
mendarat di permulaan trek berdekatan Earth Lodge
Sungai yang melimpah tetapi cantik dan jernih jika tidak hujan
Blue Pool: Sungai kecil yang cantik dan jernih
dalam perjalanan ada mini waterfall
Gigantic tree: Pokok Sesenduk(Endospermum Diadenum) dengan banir yang cantik selebar ± 50 meter ukur lilit
formasi stalakmit yang menarik
kredit gambar kepada sdr Mirat
kredit gambar kepada sdr Mirat
Akar pokok Jejawi (ficus) yang turun dari bumbung gua terjulur hingga ke lantai
ada beberapa lubang cahaya di atas siling guaPerjalan balik lebih cepat dan mengambil masa 2 jam sahaja

Friday, November 13, 2020

PERMULAAN TEMBOK SEMPADAN MALAYSIA/THAI

Tarikh       :  24/10/2020
Misi           :  Menelusuri permulaan sempadan Mal/Thai
Lokasi       :  Batu Puteh, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.        
Coordinate : N6.42287° E100.12059°        

Sempadan Malaysia/Thailand adalah bermula dari Batu Puteh, Perlis hingga ke Pengkalan Kubur, Kelantan dan dianggarkan sejauh 646 km.

Sempadan dari Batu Puteh (Bukit Putih), Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah adalah sejauh 105 km panjang. Sepanjang sempadan ini dibina tembok konkrit dan pagar dengan kawat berduri.

Kami mengunjungi permulaan sempadan di Batu Puteh, Perlis untuk melihat tembok sempadan yang dibina pada tahun 1994 yang bertujuan menghalang aktiviti rentas sempadan secara haram.

Kami memulakan kayuhan dari kampung Kurung Tengar menuju ke kampung seberang Tok Pi. Menyeberang Sungai Perlis ke Kampung Tandiap dengan menaiki jambatan Tuanku Syed Putra. Memasuki dan meronda perkampungan nelayan dan seterusnya kami menelusuri laluan tepian pantai yang cantik melewati tandop (ada sungai yang airnya jernih) hingga jumpa satu pos kawalan (tiada anggota menghalang). Kami meneruskan kayuhan melalui laluan tanah merah yang sedikit becak hingga jumpa tembok dan menuju ke pantai bagi melihat bagaimana permulaan tembok sempadan ini. Kawasan ini agak terpencil dan tidak hairanlah mudahnya sempadan dibolosi.

Permulaan tembok dari sini hingga ke Padang Besar dan seterusnya pagar hingga ke Sintok (Kedah) sejauh 27 km. Tembok sempadan setinggi ± 2.4 meter (tapi di sini rendah ja) dan selebar 1.8 meter. Sudah berusia hampir 26 tahun dengan kos sebanyak RM54.6 juta (1994).

Pada pemerhatianku, keadaan tembok dan pagar sempadan amat menyedihkan dengan kawalan yang longgar dan tidak hairanlah aktiviti penyeludupan mudah berlaku.

 

Catatanku berkaitan boleh dirujuk:-

1. Blogku – Puncak 2 sempadan (KLIK)

    dan Facebookku

2. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221647196987256&id=1174047994 

3. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217597349303595&id=1174047994

Jambatan Tunku Syed Putra yang menggantikan jambatan besi lama merentasi sungai Perlis

Jambatan ini sepanjang ± 100 meter menghubungkan Kg. Tok Pi & Kg. Seberang Ramai

 Jalan gravel pinggiran pantai diteduhi pepohon Rhu

Nun Disana Koh Yao atau Pulau Panjang

Bermula Sempadan 2 negara – diseberang sana adalah kolam udang penduduk Siam

Ada pintu yang berkunci – Kawasan ini katanya menjadi ‘hot spot’ aktiviti penyeludupan

Saturday, October 10, 2020

BUKIT BESI: TASIK JERNIH & AIR TERJUN TERSEMBUNYI

Tarikh  :  10 Ogos 2020 
Misi     :  Trip Pantai Timur – Mencari Tasik Di Bukit Besi
Lokasi  :  Bukit Besi, Terengganu
Coordinate :  N4.73595° E103.19444°

Bukit Besi terletak di daerah Dungun, ±33km dari Bandar Dungun. Suatu ketika dahulu terkenal dengan pengeluaran bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara. Bermula pada abad ke-20. Perkembangan perusahaan perlombongan di Bukit Besi ini seiring dengan pertumbuhan perusahaan keluli di Jepun. Ianya ditutup bila bijih besi habis dikaut tentera Jepun.

Tinggalan perlombongan telah menghasilkan tasik yang cantik dengan air jernih kehijauan. Di tebing sebelah barat tasik ini ini dibangunkan sebuah kawasan padang golf iaitu Tasik Puteri Golf Club. Pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bertanggungjawab memajukan tasik ini untuk tujuan pelancongan yang terkenal.

Tidak jauh dari sini juga terdapat satu air terjun yang terjadi bilamana aliran air dari tasik masuk ke anak sungai. Air terjun buatan yang menarik dan cantik. Tidak pasti kedalaman air ini tetapi nampak kehitaman.

Kemudian kami ke Marang dan mencari penginapan di Oyo (Chalet Yunie) yang terletak di jalan tali air, kampung Rhu 2, Marang. Sebuah chalet dengan harga yang berpatutan (RM60) dan selesa.

Menziarahi sepupu kami Puan Norijah dan kakaknya

Selepas check-in, dan berehat seketika, petangnya kami  ke Kuala Terengganu menziarahi sepupu dan juga beberapa tempat menarik di sana

Menghijau dan Jernih: Air terjun dari tasik yang jatuh ke anak sungai

Masjid Terapung @ Masjid Tengku Tengah Zaharah. Dinamakan sempena nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu. Dibina dalama tahun 1991 dan siap dalam tahun 1994 dengan kos sebanyak RM6.997 juta

Masjid Kristal terletak di  Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Satu-satunya masjid yang dibina menggunakan kaca dan keluli di negara ini, malah turut diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia. Dirasmikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008
 

Jambatan Angkat atau Drawbridge adalah jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter. Dibina pada Ogos 2014 dan siap dalam tahun 2019 dengan kos RM248 juta

Friday, October 09, 2020

PANTAI KEMASIK: PANTAI CANTIK LAGI MENARIK

Tarikh  :  09 & 10 Ogos 2020 
Misi     :  Trip Pantai Timur – Bermalam di Kemasik
Lokasi  :  Pantai Kemasik,  Kemaman, Terengganu
Coordinate :  N4.41746° E103.45788°

Dari Kemaman kami menghala ke utara menuju ke sebuah pantai yang cantik iaitu pantai Kemasik. Pantai yang cantik dengan pasirnya halus menguning bagaikan emas. Pantai Kemasik yang mendapat nama dari Sungai Kemasik yang mana muara Sungai Kemasik ini menganjur ke pantai yang terletak di Laut China Selatan. Keunikan pantai ini ialah “batu berkembar” yang menjadi mercu tanda pantai ini.

Kami tiba pada lewat petang dan tidak sempat menikmati sepenuhnya pantai ini. Kami mengambil keputusan untuk mencari penginapan di kawasan berhampiran dan menginap di sebuah homestay di Kampung Baru, Kemasik. Sebuah homestay yang selesa dengan harga RM60.00 semalam. Di kawasan perkampungan ini banyak homestay yang boleh diduduki dengan harga yang berpatutan.

Petangnya kami keluar semula ke pantai untuk bergambar dan di kawasan parkir ada pasar malam yang menjual makanan tempatan dan kami menikmati makan malam di kawasan berdekatan

Pagi besoknya, seawal pagi kami check out dan sekali lagi mengunjungi pantai ini. Kami mendaki beberapa batu batuan/bukit untuk bergambar. Batuan dan bentuk batu karang yang besar dan berwarna kehitaman bagaikan pantai di Bali pula pada pandangan kami.

Kami berjalan sepanjang pantai menikmati hamparan pantai berpasir yang luas dengan lagun yang terhampar kerana air laut surut. Menuju ke bongkah batu unik ini sudah semestinya menjadi fokus utama kami semasa bergambar

20200810_072148

20200810_073026

Pantai yang terhampar setelah air surut

20200810_073452

Batu kembar yang menjadi mercu pantai Kemasik

20200810_075033

   Diatas Batu besar

Sinar pagi menembus celah batu