Tarikh : 05 Januari 2018
MISI : DAY 02
LALUAN: Tehran
Jarak : ±
KOORDINATE: N35.88190° E51.40836°
Kami sampai di Lapangan Terbang Imam Khomeini pada jam 11:15 pm (waktu Iran). Usai urusan passport, Muhammad sudah sedia menanti kami di pintu keluar. Beliau menjemput kami dengan sebuah proton wira lalu membawa kami ke rumahnya. Beliau memberikan kami sebuah bilik (ala homestay) dan meminta kami berehat dahulu sebelum aktiviti bermula esok.
Jam 8.00 pagi kami sudah bersedia dan kemudian berbincang dengan Muhammad tempat-tempat untuk dilawati. Kini di Iran adalah musim sejuk, tentulah kami mencari peluang untuk bermain salji, maka Mohamad membawa kami ke Tochal iaitu sebuah kawasan peranginan sejuk yang menjadi tumpuan penduduk sekitar Tehran untuk beriadah. Memandangkan hari ini hari Jumaat yang merupakan cuti mingguan, maka ramailah pengunjung yang hadir jadi kami terpaksa meletak kenderaan jauh di kawasan perumahan. Berjalan mendaki hingga ke tempat tiket. Dipertengahan jalan kami melepasi beberapa buah café, gua dan singgah sebentar di air terjun (N35.82356° E51.39992°) yang semakin kurang airnya mungkin kerana puncanya sudah mula membeku. Kami berhenti di sebuah café berdekatan kaunter tiket untuk bersarapan (pastinya roti dan scrambled eggs untuk 2 orang dan tea untuk 3 orang - kos IRR340,00 = USD9.52 hmmm … )
Kemudian kami dapatkan tiket untuk menaiki Telecabin iaitu kereta kabel ke puncak Tochal yang katanya adalah antara yang terpanjang di dunia (± 7.5km) Kami mengambil tiket hingga ke stesyen terakhir iaitu stesyen 7 dengan harga IRR400,000.00(USD11.20) seorang.
Telecabin antara yang terpanjang didunia
Perjalanan dari stesyen permulaan (N35.81951° E51.40740°) sejauh ± 4.5km ke stesyen 5 mengambil masa ± 20 minit (kami melintasi stesyen 1 dan 2 tanpa singgah). Dalam perjalanan dapat menyaksikan panorama indah bandar Tehran dihidangkan dengan landskap indah pergunungan dogol yang diseluputi salji dan menghidu udara gunung yang segar. Kelihatan ramai juga pengunjung mendaki bukit ini (jika ada masa pasti aku pun akan turut sama mendaki). Stesyen 5 (N35.85764° E51.39995°) terletak pada ketinggian 2,960 m. Disini kami singgah untuk menikmati pemandangan sekitar. Di kawasan ini terdapat restoran dan bangunan ala Swiss. Ramai pendaki berhenti disini untuk berehat seketika sebelum menyambung perjalanan ke puncak. Jelas kelihatan puncak Komachal setinggi 2,950 meter disebelah kiri telecabin. Kemudian kami meneruskan perjalanan dengan menaiki telecabin ke stesyen 7 sejauh ± 3km yang mengambil masa ± 15 minit. Stesyen 7 (N35.88190° E51.40836°) adalah stesyen terakhir dan berada pada ketinggian 3760m. Dikanan ku kelihatan puncak Tochal (3,964 m) sejauh 1 km lagi perlu mendaki, dihadapanku adalah puncak Qezquncal(3,780m) dan dikiriku adalah puncak Shah Neshin(3,876m). Inilah adalah puncak yang menjadi ‘sasaran’ pendaki. Memandangkan kesuntukan masa maka kami membatalkan hasrat untuk mendaki ke puncak Tochal. Lagipun aku sudah mula terasa kepenatan dan sakit kepala (mungkin tanda-tanda serangan AMS kot (acute mountain sickness). Aku gagahi juga menaiki chair lift sejauh ± 890 meter ke kawasan perangin ski. (N35.88748° E51.40110°)
Bersama seorang warga tempatan yang berusia 80an. Masih gagah dan gigih mendaki, bermain ski dan sebagainya. Dibelakangku adalah puncak Tochal.
Disini terdapat salji namun masih kurang tebal, jadi tidak nampak orang bermain ski. Ada hotel berdekatan, Kami cuma bermain salji (maklumlah mana ada salji di Malaysia) sambil bergambar. Tidak lama kami disini kerana sakit kepalaku semakin kuat dan tubuh terasa semakin kesejukan kerana tiupan angin. Sesekali kelihatan awan membelah di sekitar stesyen 7 dan puncak berdekatan. Bergegas kami turun dengan telecabin ke bawah. Sampai dibawah jam sudah pukul 2.30 petang dan Muhammad membawa kami ke Old Tajrish Bazaar (N35.80562° E51.42984°). Disini kami makan tengahari yang lewat (3.30pm) dengan nasi dan kebab untuk 2 orang + coke (IRR350,000 = USD9.8).
Tajrish Bazaar dibina sejak ratusan tahun lalu dan tidaklah sehebat Grand Bazaar tetapi ia tidak sesak dan kurang dicemari. Peniaga-peniaga sebelah menyebelah menjual barangan perhiasan, makanan, sayuran segar barangan rumah dan lain-lain lagi.
Selepas itu kami singgah ke makam/masjid Imamzadeh yang terletak berhampiran dengan Tajrish Bazaar. Ia adalah antara masjid yang terkenal di Iran dan antara lokasi popular untuk dikunjungi oleh para penganut mazhab Syiah. Memandang waktu maghrib sekitar jam 5.30 petang maka kami kami singgah untuk solat di sini. Walaupun disini bermazhab syiah, aku ke hadapan menyelesaikan urusanku dengan Allah keseorangan tanpa gangguan. Selesai solat aku meninjau ruang sembahyang masjid ini yang dibina indah dan silingnya dihiasi dengan kristal. Kelihatan ramai pengunjung menziarahi makam imam Saleh Bin Musa. Untuk makluman pengunjung wanita diwajibkan memakai Chadur apabila berada di dalam kawasan masjid ini.
Refleksi ! … Hiasan dalaman dari kristal di dalam masjid Imamzadeh
Kami meninggalkan kawasan ini semasa maghrib dan menuju ke Azadi Tower (N35.69975° E51.33810°) yang menjadi ikon kebebasan dan berada ditengah bulatan (round about) medan Azadi dan landmark pintu masuk barat ke kota Tehran.
Azadi Tower atau Borj e Āzādi yang bermakna "Freedom Tower" (1979) dahulunya semasa zaman Shah dikenali sebagai Shahyad Tower. Menara berbentuk bagaikan Y terbalik dibina pada tahun 1971 untuk memperingati ulang tahun ke-2500 kerajaan Parsi yang pertama dan menjadi salah satu ikon atau landmark Tehran. Direka oleh Hossein Amanat dengan menggabungkan seni bina moden dengan pengaruh Iran tradisional.
Jam sudah 8.30 malam, maka kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah penginapan untuk berehat. Banyak juga tempat di Tehran terpaksa kami skip kerana masa yang agak lama kami ambil semasa berada di Tochal ….
Bersambung ……
hmm… Sarapan sebegini di Tochal USD9.52
Nasi tanpa kuah - Makan tengahari nasi berlauk kebab dan ayam USD9.80(untuk dua orang) termasuk air
Laluan hiking menarik disini
Bersama penduduk tempatan yang mengambil peluang bersiar bersempena cuti mingguan
Burger Iran
Air terjun mini – aliran air yang semakin kurang
Di Stesyen 5 - Salji masih kurang pada masa kini
Chair lift ke kawasan meluncur salji
Hotel peranginan
pintu masuk ruang wanita di Imamzadeh mausoleum. Wanita perlu bercadur di kawasan ini
Bersambung….
Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 : Shiraz – Bermulanya Empayar Parsi
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 : Perjalanan Pulang
No comments:
Post a Comment