Tarikh : Sabtu – 4 November 2017
Misi : Menjelajah Koh Sukorn
Laluan : TTG – Wang Klian – Thung Wa – Palian – Tase Pier – Koh Sukorn – Khao Tanan- Pak Bara – Wang Kelian – Alor Setar
Koordinate: N7.05987° E99.69176°
Jarak : ± 365 km
Kos : RM240 (all-in)
Perjalanan dari Tase Pier (N7.14952° E99.58888°) ke Sukorn Pier (N7.11455° E99.58308°) memakan masa cuma 15 minit sahaja. Air laut sebelah petangnya kelihatan surut menampakan beting pasir yang timbul. Sebelum sampai ke jeti pendaratan kelihatan beberapa buah pulau yang tersingkap pasirnya apabila air surut. (hmm. Kena pi lain ni …).
Jeti Koh Sukorn
Sampai di jeti sudah ada motor roda tiga menanti untuk membawa penumpang. Aku dapatkan sebuah dan pinta dihantar kami ke Sukon Andaman Beach Resort (N7.09953° E99.56583°). Bayaran dikenakan sebanyak THB30. Untuk makluman sebelah pantai barat Koh Sukorn lah yang paling meriah dimana banyak hotel atau chalet yang beroperasi dengan teratur disamping pantai yang terhampar cantik. Sepanjang perjalanan kelihatan beberapa buah resort terbiar. Pulau Sukorn tidak ramai pelancong yang berkunjung tambahan pula kini musim hujan (off season)
Sukorn Andaman Beach resort terletak di Ao Lo Yai (iaitu disebelah barat pulau) sejauh ± 3km dari Jeti ( ± 10 minit.) Resort ini dimiliki oleh bukan muslim. Ada 2 jenis bilik iaitu berkipas (THB800) dan air cond(THB1200). Aku mohon untuk menempatkan kami berempat di dalam bilik berair cond. Tilam tambahan juga disediakan – pada musim sekarang kita boleh berunding dengan pengusaha hotel. Katanya dari Jan – Mei ia mendapat sambutan menggalakan dari pelancong Eropah yang gemarkan suasana tenang dan damai di pulau ini.
Ada perkhidmatan wifi disediakan tetapi perlu berada berhampiran pejabat (lobi) untuk dapatkan liputan yang jelas/kuat.
Sebelum masuk bilik aku meminta tokey dapatkan kami sebuah motosikal roda tiga untuk muat kami sekeluarga. Untuk makluman harga motosikal ialah THB300 sehari dan basikal THB 100 sehari.
Uniknya pantai disini
Selepas solat kami pun mula menjelajah sekitar pulau ini. Pulau ini seluas ±13 km2. Ia sepanjang 9km dan selebar 3km dan jalan bersimen mengelilingi pulau sejauh ±30km. Pulau ini 98% penduduknya adalah muslim dan kebanyakan adalah pesawah, penoreh dan nelayan.
Kami menuju kesebelah selatan, melintasi kawasan kebun getah, tanaman padi dan pepohon kelapa. Jalan disini mendatar sahaja dan dibahagian utara dan tengah ada bukit yang ketinggian maksima disini hanyalah sekitar 150 meter sahaja. Kami menuju ke tanjung paling selatan berdekatan Ban Laem Jak(Laem Chin - N7.08045° E99.61646°). Melihat air laut surut dan pantainya yang warna keperangan(itulah antara keunikan Koh Sukorn) dan terus menghala ke utara ke View Point (N7.12565° E99.55674°) disini aku dapat melihat Pantai Belakang Naga (Jade Dragon Spine Beach) yang menjadi antara misi pencarianku. Penduduk disini tidak fasih berbahasa Inggeris apatah lagi bahasa Melayu, Namun aku menemui seorang tua yang boleh bercakap beberapa patah perkataan Melayu.
Jade Spine Dragon Beach – akan ku injak jua nanti
Paginya kami bercadang untuk berkayak dan seterusnya ambil bot untuk ke Koh Lao Liang dan Koh Takiang (Sebuah pulau batu karang yang unik dan cantik). Hujan yang turun dan angin yang kuat menyebabkan aku membatalkan hasratku itu. Maka aku mengambil kesempatan ini dengan ronda kawasan kampung dan bersarapan. Selepas sarapan aku mengambil keputusan untuk balik ke tanah besar ± jam 8.30. Kami menggunakan motor yang disewa kelmarin dan tinggalkan di jeti. Semasa balik tiket perlu dibeli dikauntar yang berharga THB30. Sampai dijeti aku mengambil kenderaan dan dikenakan bayaran sebanyak THB60 sahaja. Tuan rumah yang ramah dan banyak membantu kami sebelum ini datang mengucapkan selamat tinggal.
NAMPAKNYA aku perlu datang lagi untuk menjejaki kaki ke Jade Dragon Spine Beach dan pulau kecil berhampiran disamping bersnorkling dan bersiar di Koh Lao Liang.
Samran Beach, Trang
Keluar dari Tase Pier, aku menghala ke Samran Beach (N7.23512° E99.53668°), Trang. Samran beach adalah pantai yang menganjur panjang sejauh beberapa kilometer. Pasirnya berwarna perang seperti di Koh Sukorn dan dinaungi oleh pepohon Rhu. Terdapat monumen ketam dipantainya namun berhati-hati, ada banyak anjing berkeliaran disini.
Ladang Bunga matahari yang sudah ditumbuhi semak
Dari Samran Beach, aku menuju ke Khao Tanan (N7.05987° E99.69176°) yang pernah ku kunjungi dahulu melawat ladang Bunga Matahari. Kunjungan kali ini adalah untuk memastikan samada ladang bunga matahari masih wujud (lagi pun ia adalah sebahagian dari Satun Geopark.) Aku bercadang untuk membuat penggambaran dari atas (aerial photo). Dukacita hujan yang turun sepanjang jalan membuat aku membatalkan hasratku untuk bergambar. Ladang bunga matahari pun sudah tidak terurus dan ditumbuhi semak samun. Tiada lagi permainan bot itik disini.
Aku meneruskan perjalanan ke Pak Bara untuk mencari beberapa maklumat untuk misiku berikutnya. Selepas makan, kami menuju ke pintu sempadan untuk terus balik ke rumah.
Pemandangan dari Ao Lo Yai – Disana Koh Lao Liang dan Koh Takiang
Disini penduduk masih menggunakan kaedah lama dalam memproses susu getah
rumah penduduk yang menarik perharianku – dibawahnya ada kolam ternakan ikan
Antara chalet yang ditinggalkan
air surut di Ban Laem Jak
Koh Sukorn View Point – Di belakangku adalah Jade Spine Dragon Beach
Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Sukorn: Singgahan Dalam Perjalanan (Bhg. 1)
2. Koh Sukorn: Pulau Yang Jarang Dikunjungi Pelancong (Bhg. 2)
Koh Sukorn ni dalam Satun ke Trang? Boleh ke guna border pass je
ReplyDeleteKoh Sukorn dalam Wilayah Trang jadi tak boleh guna Border pass
DeleteBorder Pass hanya untuk wilayah yang bersempadanan dengan Malaysia(Satun,Songkhla,Yala dan Narathiwat)