Thursday, January 12, 2017

Xplore Lombok: Jelajah Pantai & Tanjung

TARIKH : 24 Disember 2016
DAY 2 – Misi Jelajah Lombok Barat 
LALUAN:  Mataram – Gunung Batu Idung – Pantai Nambung – Pantai Mawi – Pantai Mawun - Kuta
JARAK: ± 137 km
KOORDINATE:

Lombok2
Peta perjalanan hari ke 2: dari Mataram ke Kuta (137km)
Seawal pagi (± jam 7.10am) tanpa sarapan, kami bertolak dari Puji Homestay dengan motosikal menuju ke arah Lembar dengan mengikuti jalan Raya Lembar. Sampai disatu persimpangan aku teringat bahawa di Lombok Barat ini ada satu kawasan rekreasi baru yang mula mendapat perhatian iaitu gunung(bukit) Batu Hidung (S8.70908° E116.10671°). Bukit yang menyimpan keindahan dan panorama yang pasti boleh membuat hati menjadi tenang dek pemandangannya. Tentang namanya, hmm .. mungkin kerana terdapat batu besar di hujung tebingnya yang seakan-akan hidung raksasa.
20161224_083125
Terletak di Desa Gerebekan, Kecamatan Lembar, Kabupaten Lombok Barat. Sejauh ± 38km dari penginapan kami, Puji Homestay. Setelah melalui jalan masuk sejauh ±4km kami sampai ke kaki bukit ini dan meletak motor di kawasan parkir (S8.71094° E116.10511°) dikenakan bayaran sebanyak rp5.000. Setelah berbual bersama penduduk tempatan kamipun mendaki bukit ini yang berketinggian ±200 mdpl yang mengambil masa ±15 minit sahaja. Dipuncak bukit ini terdapat sebuah pondok/bangsal dan rumah seorang penduduk yang menjual makanan ringan dan minuman. Dari puncak bukit ini, kami dapat menyaksikan pemandangan indah 3600 tetapi pagi ini sedikit berkabus. Di sebelah timur kelihatan Gunung Rinjani, di utara pula kelihatan Kota Gerung, Mataram dan sekitarnya. Di sebelah selatan, kelihatan perkampungan yang diapit oleh beberapa bukit dan di sebelah barat Pelabuhan Lembar dapat dilihat jelas.
PC240015
Selepas itu kami meneruskan lagi perjalanan melalui jalan Raya Sepi dan singgah di sebuah warung untuk bersarapan lewat. Berpandukan Google, kami meneruskan perjalanan dilaluan yang agak lengang sejauh ±40km sehingga google menunjukan bahawa kami telah sampai. Kebingungan aku seketika , lalu aku bertanyakan seorang penduduk arah ke Pantai Nambung. Beliau mempelawa aku ke rumahnya dan disitu kami parkir motosikal dan bag. Memandang hari ini bukan hari minggu kawasan ini sangat sunyi jadi beliau mencadangkan kami pergi dengan bertemankan.
PC240048
Kaki terbenam di dalam pasir di pantai Nambung ini
Untuk ke sana perlu berjalan menempuh pantai Nambung yang mempunyai keunikan tersendiri dimana pasirnya bulat berbutir bagaikan batu merika. Pasirnya yang berbutir membuat kaki  terbenam ke dalam pasir dan memberi tekanan semasa berjalan, (sudah pasti memenatkan). Sepanjang bibir pantai ini kelihatan deretan rumput laut yang diusahakan oleh penduduk setempat sebagai mata pencarian tambahan selain menangkap ikan.
PC240041
Unik - Pasirnya yang berbutir
Setelah berjalan hampir 1.2km sampailah kami ke satu kawasan yang berbatu dan berbukit dengan deretan batuan karang yang tinggi iaitu Tanjung Jagog (S8.87222° E116.10876°). Keunikan Tanjung Jagog ini ialah apabila ombak besar dari Lautan Hindi memukul batu karang akan menyebabkan air jatuh/mengalir bagaikan air terjun. Sebab itulah tanjung ini digelar juga air terjun asin. Satu fenomena alam yang sungguh menarik untuk disaksikan.

20161224_113043
Setelah puas bergambar, kami pun berjalan pulang di bawah terik mentari dan pasti melelahkan. Setelah berehat kami menghulur sedikit bayaran kepada tuan rumah sebagai penunjuk jalan dan parkir.
PC240163
Teruskan perjalanan ± 22km ke Pantai Selong Belanak (S8.87498° E116.16174°). Pantai Selong Belanak merupakan salah satu pantai yang cukup terkenal kerana keindahan dan kehalusan pasirnya. Ia juga diberi jolokan sebagai Hawaii Lombok. Ia menjadi tarikan ramai pengunjung luar terutama dari Barat. Berada seketika untuk bergambar kerana kelihatan ramai orang disini.
PC240170
Kami meneruskan perjalan lagi 6 km untuk ke pantai Mawi dan Semeti. Pantai ini berada disebalik bukit. Sebelum masuk ke kawasan ini perlu bayar di gerbang sebanyak rp5.000 dan aku bertanyakan tentang laluan ke pantai Mawi dan Semeti. Jalan disini melalui kawasan sawah dan perkebunan kelapa. Jalan menjadi semakin teruk apabila semakin menghampiri.
20161224_152557
Pantai Mawi (S8.88785° E116.16075°) menjadi tarikan para surfer kerana ia memiliki ombak yang sangat sesuai bagi penggemar surfer. Aku berhenti seketika melepas lelah digerai berhampiran sambil menikmati air kelapa. Fuhh .. dengan anginnya dan pemandangan yang cantik boleh membuat aku lelap seketika. Tidak lama kami disini kerana katanya tarikan utama aku adalah Pantai Semeti (S8.89193° E116.15823°) yang mempunyai batu karang yang unik. Di beri jolokkan pantai Planet Krypton kerana batuannya mirip kristal-kristal di planet tersebut.20161224_152703
Aku menggunakan firasat mencari jalan ke pantai Semeti ini dengan melihat jejak tayar motosikal. Sememangnya jalan ke sini agak teruk dan akhirnya setelah bersusah payah sampai juga ke pantai ini. Jaraknya tidak jauh sekitar 1.5km dari pantai Mawi. Letak motosikal dan bag di sebuah gerai. Berjalan menuju ke batuan karang sambil memanjatnya. Batuannya berwarna hitam dan tajam disamping simbahan ombak yang melalui rekahan dan celah batuan karang menambah keunikannya. Sebelum balik aku terlihat  bekas laluan disebelah kanan lalu menuruti laluan tersebut dan nah … sebelah sini lagi cantik batuannya. Batu-batu dan tebing-tebing bebatuan  terukir indah seolah-olah ditata dan dipahat. Keindahan pantai yang mempersona dengan lekukkan batu karang yang terisi dengan air laut dan deburan ombak melalui lubang atau gua-gua kecil. Ya … semestilah  berfoto sebanyak-banyak disini sebagai kenangan indah ke sini.
Pantai Mawun (S8.90051° E116.22645°) menjadi matlamat berikutnya. Sejauh ± 4.9km dari Pantai Semeti tetapi laluan ke sini mulus. Pantai yang terletak dalam kabupaten Lombok Tengah. Pantainya yang memutih dan laut membiru dengan ombak yang tampak besar namun selamat bagi pengunjungnya pasti terpikat dengan sajian alam sebegini. Akupun tidak lama dipantai ini kerana hari sudah hampir petang dan perlu mencari penginapan di Kuta yang sejauh 12 km lagi.
PC240341
Pantai Kuta (S8.89434° E116.28279°)  terletak di Lombok Tengah dan menjadi tumpuan pelancong barat kerana pantainya yang memutih dan memanjang disamping namanya(mungkin) senonim dengan Kuta di Bali. Banyak hotel dan chalet disini. Aku berhenti rehat seketika di Indomart sambil menikmati secawan kopi panas sambil melayan kanak-kanak yang menjual barangan. Selepas itu aku ke musolla berhampiran untuk solat. Aku ke Novotel untuk mengeluarkan wang melalui mesin ATM CIMB. Bertanyakan harga bilik disini namun sudah penuh dan akhirnya aku berpatah balik ke Kuta lalu menginap di Surfing Inn (S8.89330° E116.28269°) yang mengadap pantai Kuta. Penginapan tanpa aircond tetapi ada kolam renang dengan kadar harga sebanyak rp210.000. Check in dan terus rebah diri sebelum malamnya aku berendam di dalam kolam mandi yang berada dihadapan bilikku …. 
PC240024
Pendakian Bukit Batu Idung – ada trek dengan tahap – easy
20161224_084325
Dihujung batu – Di Bukit Batu Hidung, Lembar, Lombok Barat
20161224_153128
Karang hitam yang berceragah – di Pantai Semeti
PC240235
Hentaman ombak melalui rekahan batuan menyebabkan percikan – di Pantai Semeti
PC240273
Bukit di pantai semeti
PC240333
Padi ditanam dicelah pohon kelapa – pemandangan di Pantai Mawi/Pantai Semeti
PC250345
Surfing Inn yang terletak berhadapan dengan pantai Kuta, Lombok
20161225_060242
Ada buaian di pantai Kuta
20161225_060456
Pantai Kuta, Lombok

Bersambung ……


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

No comments:

Post a Comment