Tarikh : 24 – 31 Oktober 2015
Rider : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman & Rohizam)
Jarak : ± 400 km
Lokasi : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.
* Sebahagian gambar adalah dari koleksi Rohizam
Day 2
Malamnya kami memunggah kotak dan memasang basikal dan paginya sebelum check-out kami memohon kepada pengurus hotel untuk menyimpan kotak basikal dan beberapa barangan di tempat khas hotel ini.
Seusai doa, kami memulakan kembara pada jam 7.00 pagi dengan mengikuti jalan Panglima Sudirman. Singgah sebentar bergambar di Monumen Buluh Runcing (S7.26773° E112.74433°).
Monumen ini bagi memperingati perjuangan penduduk tempatan yang hanya bersenjatakan buluh melawan kolonialisme Belanda. Tarikh 10 November 1945 adalah peristiwa bersejarahnya dan setiap tahun, 10 November akan dirayakan sebagai Hari Pahlawan.
Lebihkurang 1.5km mengayuh apabila hendak memasuki Jalan Raya Darmo (S7.27819° E112.74123°) kami dapati laluan di hadapan dihadang tetapi kenderaan seperti basikal atau pejalan kaki dibenarkan, Oh.. rupanya hari ini adalah Hari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB) @ Car Free Day. Patutlah semasa awal kayuhan tadi punya la ramai penunggang basikal berbondong-bondong memotong kami. Punyalah sesak dengan pengunjung. Ada yang berjoging, ada yang menari, berzumba, berbasikal, berniaga, bersosial sesama kelompok. Dari pelbagai peringkat dan usia. Dari pelbagai jenis basikal, lama dan baru. Fuhhh best bahkan ada promosi khas dari Polygon bagi pemilik jenamanya.
Di Indonesia Car Free Day pertama kali diadakan pada tahun 2000 di kota Surabaya. Ia adalah sebahagian dari kempen kesedaran untuk mempertingkatkan kualiti udara kota. Kempen yang diberi nama "Segar Suroboyoku Rek".
Car Free Day bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kota mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kenderaan bermotor. Tema penting dalam hari bebas kendaraan bermotor, adalah tinggalkan kenderaan bermotor dirumah dan berjalan kakilah atau gunakan kenderaan tidak bermotor ataupun menggunakan kenderaan umum untuk perjalanan.
Setelah mengayuh ± 33km, kami sampai ke Porong yang terletak dalam kecamatan Sidoarjo. Disini dapat menyaksikan satu fenomena alam yang menjadikan sebahagian kawasan digenangi dengan lumpur panas dari perut bumi yang disebut Lumpur Lapindo (S7.51173° E112.70798°). Banjir lumpur yang menyembur keluar pada 29 Mei 2006 berpunca dari projek carigali(drilling) gas oleh pihak Lapindo Brantas Inc. di Dusun Balongnongo Desa Renokenongo, Kecamatan Porong, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia. (sumur asal - S7.52654° E112.71037°). Lumpur panas yang masih mengalir keluar sehingga kini telah menenggelamkan 16 desa di 3 kecamatan di Sidoarjo yakni Porong dan kini mencecah keluasan ±650 hektar.
Pihak Kerajaan telah membina tambak khas bagi menahan limpahan lumpur dan mengalirkan air ke sungai Porong. Tambak selebar 15 meter dan sepanjang hampir 10 kilometer dengan ketinggian ± 10 meter. Projek yang dimulakan pada tahun 2011.
± jam 4.00 kami tiba di Bangil dan membuat keputusan untuk berhenti bermalam di pekan ini dan menginap di Anugerah Hotel (S7.60216° E112.79200°) yang selesa biliknya.
Bangil terkenal dengan makanan khas iaitu Nasi Punêl. Nasi Punel adalah sepertimana nasi campur lain namun keistimewaannya adalah pada cara hidangan dan masakan. Dihidangkan bersama daging atau ayam goreng, tempe goreng, sambal potongan kacang panjang mentah yang dicampur dengan sambal pedas buah tomato, sayur nangka muda, serunding dan ada juga otak otak. Makanan ini dialas dengan daun pisang dan rasanya memang sedap.
Di Jalan Raya Darmo – Car Free Day – Pelbagai aksi dan aktiviti
Memperkemaskan jentera
Memasuki kawasan Lumpur – Mengayuh diatas tambak yang dibina bagi mengepong Limpahan Lumpur
Monumen Tragedi Lumpur Lapindo
Antara rumah yang tenggelam dan rosak – banyak lagi kampung dihadapan yang ditinggalkan
Sungai Porong – Air lumpur dialirkan ke sungai ini
Memasuki Pekan Bangil
Terpaksa berhenti di banyak lokasi
Suasana yang panas menyebabkan kami menjadi terlalu dahaga – Disini hujan sudah lebih dari 5 bulan tidak turun
Berlatarkan Jambatan Kedung Larangan di Bangil
No comments:
Post a Comment