Tarikh : 24 – 27 Disember 2015
Kos : ± RM1,200.00 (All-in untuk famili 3 Dewasa, 2 Kanak-Kanak)
Koordinate: N7.64682° E99.03660°
Laluan: TTG - Wang Klian - Chalung – Langu – Thung Wa – Thung Yao – Thung Khai – Trang – Koh Lanta
Jarak : 429 km/995 km
Day 1
Thailand sememangnya mempunyai banyak destinasi menarik. Antara yang menjadi tarikan utama ialah keindahan mukabumi yang unik seperti hutan simpan, air terjun, lanskap pantai, laut dan juga kepulauan sekitarnya. Kunjunganku kali ini adalah ke Koh Lanta yang terletak di bahagian selatan Thailand di dalam wilayah Krabi. Koh Lanta adalah gugusan kepulauan yang mengandungi 52 pulau. Terdapat 2 pulau utama iaitu Koh Lanta Noi (small Lanta) dan Koh Lanta Yai (big Lanta). Koh Lanta Yai dirujuk sebagai Koh Lanta kerana ia adalah pulau yang menjadi tarikan pelancong dan terdapat beberapa pekan yang membangun di situ.
Koh Lanta memanjang sejauh ± 30 km dan selebar 6 km, jadi dengan keluasan sebegini kami menjangkakan dapat menghabiskan penjelajahan dalam masa sehari sahaja (insyaallah). Pulau ini majoriti penduduknya adalah muslim, jadi makanan halal bukan satu masalah.
Kembara kami bermula dari Alor Setar pada jam 7.00 pagi dan kali ini aku diiringi oleh adikku dengan sebuah kereta. Jangkaanku untuk sampai ke pintu sempadan pada jam 8.30am tidak kesampaian. Kami tiba pada jam 9.15am, Nah haih .. berjela panjang kereta dan manusia (tak pernah lagi aku tengok pintu sempadan Wang Kelian sebegini ramai), Jam 12.30 tgh baru selesai segala urusan (perghhh … 3 jam masa terbuang). Niatku ku untuk menikmati sarapan moi telur tidak kesampaian.
Perjalanan diteruskan dan singgah seketika di pekan Chalung (N6.72540° E100.06695°) kerana adikku ingin menukar wang, membeli sim kad (Happy Tourist - dengan data sebanyak 1GB) dan sedikit bekalan makanan. Kami kemudiannya belok ke kanan dengan mengambil ‘Highway 416’ yang melalui Langu - Thung Wa – Thung Yao dan dipersimpangan Ban Sam Yaek (N7.19995° E99.68635°) belok ke kanan lagi dan menelusuri ‘Highway 404’ melalui Ban Na – Yan Ta Khao hingga Thung Khai untuk singgah ke Peninsula Botanic Garden (N7.46988° E99.63965°) untuk makan tengahari yang lewat ( jam 3.20 petang) sambil merehatkan badan.
Thung Khai Peninsular Botanic Garden adalah tarikan terbaru disini. Disamping sebuah taman botani ia juga mempunyai muzium tumbuhan dan lain-lain pusat pembelajaran tentang tumbuhan. Tarikan utamanya adalah tree top walk sejauh 175 meter dan mempunyai 3 tahap ketinggian iaitu 10, 15 dan 18 meter. Namun masa yang suntuk menyebabkan aku menangguhkan dahulu keinginan untuk berjalan diatas kanopi sampil memerhati pelbagai flora dan fauna. Insyaallah kunjungan berikutnya akan aku realisasikan.
3:50pm kami pun memulakan perjalanan semula, ada lagi 130km perjalanan perlu ditempuhi. Masih mengikuti ‘Highway 404’ menuju ke arah Trang tetapi menyimpang dari memasuki pekan dengan mengikuti ‘Highway 419(Bypass)’, dipersimpangan Na Ta Luang belok kiri mengikuti ‘Highway 403’ kemudian ‘Highway 4158’ , belok kanan mengikuti Highway 4159 dan lebihkurang 600 meter, belok ke kiri mengikuti laluan pintas iaitu Trang 3013 rural road sejauh ± 11km dan masuk ke Highway 4’ sehingga ke persimpangan Hua Nam Khao (N7.86829° E99.16481°) dan belok ke kiri untuk menuju ke Hua Hin Pier (N7.69333° E99.09905°) sejauh ± 28km.
Hua Hin Pier adalah pintu masuk ke Koh Lanta. Perlu menaiki feri ke seberang iaitu ke Koh Lanta Noi. Tiket perlu diambil dahulu disebuah lokasi seperti stesyen minyak, disebelah kiri jalan ± 500 meter sebelum sampai ke jeti. (aku terlajak terus ke jeti dan terpaksa bonceng motor untuk beli tiket). Tiket dibeli untuk 2 perjalanan feri iaitu :-
Kereta | Penumpang | |
Feri 1 : Hua Hin - Khaung Mak | 100 Baht | 20 Baht |
Feri 2 : Langsod - Loduyong | 70 Baht | 3 Baht |
* Kanak2 Percuma | * Dewasa |
Perjalanan feri 1 sejauh ± 2km dan ia seperti feri di Songkhla. Setiap feri boleh memuat ± 30 buah kereta. Hampir 10 minit menunggu untuk perkhidmatan menaiki feri dan perkhidmatan bermula seawal jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam.
Tiba di Khaung Mak perlu meneruskan perjalanan lagi sejauh ± 7.5km untuk ke jeti Langsod (N7.64990° E99.04638°) bagi menaiki feri kedua. Jarak perjalanan lebih singkat iaitu ±600 meter sahaja. Berhampiran jeti feri ini sudah ada pembinaan jambatan dengan 2 laluan berkembar dengan lebar 11 meter dan panjang 650 meter. Projek bermula sejak tahun 2012 dan agak perlahan kerana beberapa masalah. Kini kelihatan ada tanda-tanda projek semakin rancak dan dijangka siap pada akhir tahun 2016. Dengan siapnya jambatan ini pembangunan di Koh Lanta akan semakin rancak dan akan bakal menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan.
Kami tiba ke jeti Saladan pada jam 7.05 petang. Membiarkan naluriku mencari hotel yang bersesuaian. DigerakkanNYA aku untuk ke Khlong Dao Beach dan terus ke Lanta Scenic Bungalowe (N7.63773° E99.03089°). Memandangkan hari sudah malam, aku tidak bercadang meronda di pulau ini mencari hotel lainnya dan terus sahaja menginap disini. Harga yang ditawarkan kepada aku sebanyak THB1500.00 selepas berunding aku dapat diskaun yang berbaloi. Terdapat 21 buah chalet dengan senibina ala Thai. Biliknya luas lagi selesa. Dilengkapi dengan kemudahan asas. Ada balkoni dan berhadapan pula dengan kolam mandi. (Apalagi … selepas mendaftar terus sahaja anak-anakku dan anak saudaraku terjun mandi sepuasnya). Jarak dari pantai pun tidak jauh ± 60 meter sahaja. Kami juga terus ‘booking’ dengan pengurus hotel (yang bernama Jack) untuk aktiviti besoknya iaitu 4 islands trip .…
Alhamdulillah – tenang, aman dan di sini tidaklah seperti Krabi/Ao Nang yang dimaklumkan oleh sahabatku sesak dengan pelancong.
Bilik beraircond, dan berlatarkan bukit bukau Koh Lanta. Maklumat lanjut sila KLIK
Malamnya aku ronda ke pekan. Tidak ramai pelancong. Sambutan krismas hari ini kelihatan seperti biasa tetapi kedenganran letupan mercun berselang-selang. Makanan halal mudah diperolehi.
Pantai Klong Dao juga dikenali sebagai ‘Family Beach’ yang sejauh ± 60 meter sahaja dari chalet kami.Pantai ini adalah yang mula sekali dibangunkan di Koh Lanta. Ia sebuah pantai yang memutih pasirnya, laut yang cetek dan memanjang sejauh ± 3km. Lokasi yang menarik untuk bersantai dan melihat matahari terbenam
Diatas feri dari tanah besar ke Koh Lanta Noi sejauh ±2km dan mengambil masa sekitar 35 minit
Menghampiri jeti Khaung Mak di Koh Lanta. Jurumudi sedang mengostan feri!
Bersambung …..
Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Lanta: Day 1
2. Koh Lanta: Day 2
3. Koh Lanta: Day 3
4.