Translator

Monday, November 11, 2013

Zainun Ahmad Sablie: Belasungkawa

   Al Imran 185

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati… .

Tanggal 06 November 2013 bersamaan 02 Muharram 1435, seawal pagi aku menerima berita sedih  kematian seorang sahabat kayuhan, saudara Zainun Ahmad Sablie. Meninggal dunia akibat komplikasi jantung. Beliau dimasukkan ke wad kecemasan sebaik pulang dari kayuhan kami ke Khao Nam Khang. Jenazahnya dikebumikan di kampung isterinya di Parit Sungai Dungun, Parit Buntar, Perak.

Berusia 45 tahun dan dilahirkan pada 01 Julai 1968 di kampung Titi Serong, Parit Buntar Perak. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Pn. Norizan Binti Haji Dahalan dan 3 orang anak yang berusia 18 tahun, 14 tahun dan 8 tahun.

Kehadiran Allahyarham ke kayuhan Khao Nam Khang memang agak mengejutkan aku kerana agak lama beliau tidak bersama kami mengayuh basikal. Allahyarham sempat menempuh 2 buah bukit yang agak mencabar sebelum berhenti kerana kepenatan pada km 23. Dari sini beliau menaiki kenderaan pengiring sehingga ke destinasi kami. Sampai disana beliau tidak turun bahkan tidur keletihan di dalam kereta tanpa menjamah sebarang makanan. Dalam perjalanan pulang beliau mengadu kesejukkan walaupun badannya berpeluh. Sempat menghubungi isterinya untuk mengambilnya di Dannork dan masih mampu berjalan menyelesaikan urusan imigresen di sempadan Thailand.

Aku sempat hubungi isterinya bertanyakan perkembangan beliau dan dimaklumkan berada di wad kecemasan. Keletihan menyebabkan aku tidak menghubungi beliau pada malam hari (bercadang menziarahinya pada esok pagi sahaja). Namun Allah lebih menyayanginya, hampir jam 5.00 pagi, berita sedih ku terima dari Art IKBN. Sayu dan sedih ku terima berita sambil menghubungi beberapa sahabat dan rakan untuk memaklumkan berita pemergiannya.

Mengimbau kembali kenangan bersamanya. Allahyarham mula berkayuh bersama aku dalam tahun 2012. Sering mengikuti aku ke beberapa bukit di sekitar Jitra. Pengalamannya sebagai Pengawas Hutan(kanan) di Pejabat Hutan daerah Kubang Pasu sejak 2005 membuat aku sering merujuk kepadanya berkenaan nama bukit, lokasi hutan dan peta laluan semasa mencari laluan. Seorang yang periang, mudah tersenyum dan suka membantu rakan-rakan. Banyak membantu kami dalam mengendalikan beberapa Jamboree dan pembinaan trek terutama  sekitar Jitra dan Gunung Jerai.

Pemergiannya secara mendadak agak mengejutkan. Ramai rakan dan taulan tidak sempat dan tidak berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Beberapa rakan yang sempat dihubungi hadir ke bilik mayat seawal pagi dengan mengadakan tahlil dan turut menyembahyangkan jenazah. Malamnya sempat kami menganjurkan majlis tahlil yang dihadiri ramai sahabat dari sekitar Jitra, Alor Setar dan Perlis

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.

PB050896

05/11/2013 - Kayuhan Terakhir - masih kuat & mampu ketika ini

IMG_8506

Kayuhan pertamanya bersama aku di CP3 pada 04 April 2012

IMG_8980

1 Mei 2012 – kayuhan di Bukit Tiang Layar – Disini beliau banyak memberi maklumat dan penerangan tentang kedudukan bukit bukau sekitar Jitra

P1050138

Kayuhan Awal Tahun - Kayuhan RB ke Padang Besar pada 05/01/2013

P1050140

Beliau juga mempunyai RB bahkan aktif bermain badminton

IMG_2488-horz

Antara sahabat yang menziarahi jenazah beliau di Hospital

IMG_2487

Tahlil di bilik mayat yang dipimpin oleh Ustaz Raja

PB061007-horz

PB061012

Majlis Tahlil yang diadakan dihadiri oleh jiran dan geng basikal

PB061010

Serahan Derma

Sumbangan hasil  kutipan derma sahabat disampaikan kepada Balu Allahyarham oleh isteri Ustaz Raja Azrifuddin, Puan Zahida AlJarumi

1 comment:

  1. Salam. Terima kasih atas artikel mengenai arwah. Saya juga rakan baik beliau. Al-Fatehah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...