Tarikh : 10 Mac 2021
Lokasi : Kampung Tok Kesop, Jitra, Kedah
Coordinate : N6.259907° E100.414176°
Lampong atau TELAMPONG adalah makanan tradisi yang hanya tersedia pada masa-masa tertentu sahaja(musim kemarau).
Ia popular suatu ketika dahulu terutama di sebelah utara (kampung Binjal) dan pembuatannya menjadi tradisi pada waktu-waktu tertentu. Aku pernah menyaksikan sendiri proses pembuatannya dizaman kanak-kanak (sekitar tahun 70an). Aku dibawa oleh bapaku ke kawasan bendang milik keluarga di Bukit Berangan, Mukim Binjal dimana proses pembuatan dilakukan. Ketika itu kawasan ini masih ‘kelam’ dan padi ditanam sekali setahun sahaja (bekalan air dari hujan). Tebu yang ditanam di sekitar kawasan bendang ini akan dituai/tebang pada waktu kemarau. Airnya diperah dengan alat tradisional khas yang digerakkan/pulas oleh kerbau.. Proses ini dilakukan secara bergotong royong dan menjadi tradisi pada waktu tertentu, satu pengalaman dan nostalgia.
Walau hanya melibatkan 2 komponen utama iaitu tebu dan ubi namun prosesnya ‘renyah’. Tebu yang banyak diperlukan, diperah airnya dan dimasak di dalam kawah. Ubi kayu pula dikupas, dibasuh dan diisi ke dalam bekas khas yang dipanggil jut (dibuat/dijalin dari kulit pokok bemban). Setelah penuh jut, ia akan direbus bersama air tebu tadi selama berjam-jam (antara 6 – 8 jam) sehingga ubi menjadi empuk dan sebati dengan ‘misan’ (manisan yang terhasil dari proses memasak air tebu).
Kalau dahulu makanan ini digantung di bahagian dapur dan diambil sedikit sedikit dan dapat bertahan lebih dari seminggu.
Memandangkan proses pembuatannya mengambil waktu, maka tidak hairanlah harganya agak mahal (RM40.00 sekilo).
Untuk melihat dan membeli makanan ini bolehlah ke:
Bang Non Air Tebu Kupas
Kampung Tok Kesop, Jitra, Kedah
Coordinate : N6.259907° E100.414176°
Tel: 014-247 0989
https://maps.app.goo.gl/xTkdE4iLMu8sXbWE8