Tarikh : 02 April 2018
Jarak : 2.7 km
Max Elev. : 265 meter
Coordinate: N4.44967° E101.20197°
Lokasi : Jalan Kampung Pintu Padang, Gopeng, Perak, Malaysia
Lama benar aku menyimpan hasrat untuk mendaki ke sini, mencari-cari tika yang sesuai dan kebetulan aku ada urusan di Kuala Lumpur pada hari sebelumnya, maka dalam perjalanan balik ke Alor Setar kami singgah bermalam di Gopeng untuk mendaki bukit ini pada awal pagi esoknya.
Kami bermalam di Hotel bajet Hamid Top (N4.46815° E101.16436°). Berdekatannya ada sebuah tinggalan Paip Besar Gopeng yang menjadi sebahagian dari sejarah Gopeng.
Dahulu paip ini digunakan untuk menyalur air untuk aktiviti perlombongan bijih timah di kawasan Gopeng. Ia dibina oleh The Mephan-Fergusan Co. Ltd. United Kingdom dan dipasang dalam tahun 1908 oleh Gopeng Tin Mining Co. Ltd. Gopeng pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar di Lembah Kinta dengan kawasan perlombongannya mencecah 3,543 ekar sehinggalah operasinya ditamatkan pada bulan Ogos 1992 kerana harga timah jatuh merudum sejak tahun 1985.
Paip ini asalnya sepanjang 13.6 km dan bergarispusat 14 in. yang menghubungkan sumber air dari Ulu Geruntom dan Ulu Geroh ke kawasan perlombongan. Dengan ledakan pemintaan bijih timah, keperluan semakin bertambah maka dua batang paip bergaris pusat 45 in ditambah dan panjang sehingga 15km.
Memandangkan batang paip ini tidak digunakan dan mengundang bahaya kepada penduduk sekitar, ianya dirobohkan oleh kontraktor mulai 21 Julai 2010 namun sejarah dan fungsinya kepada perkembangan ekonomi di Gopeng dan usianya yang melebihi 100 tahun, wajarlah sebahagiannya dipelihara sebagaimana kedudukan asal sebagai bahan sejarah dan peringatan kepada generasi baru. Dari itu, Syarikat Global Distinction Sdn. Bhd. telah bermurah hati mendermakan 2 batang paip yang panjangnya 96 kaki (30 meter) dan bergarispusat 30 in kepada Kerajaan Negeri Perak.
Trail
Bukit ini tidaklah tinggi sekitar 260 meter sahaja dan mempunyai denai dan petunjuk yang jelas. Laluan mendakinya dikategorikan sebagai mudah oleh itu ia sesuai untuk aktiviti keluarga. Jarak dari permulaan (pintu masuk utama - N4.45640° E101.19384°) ke puncak sejauh lebihkurang 1.4 km sahaja dan mengambil masa ± 30 minit. Untuk turun pula sekitar 15 minit ja. Laluannya agak mendatar dan sedikit mencanak sebelum sampai ke kawasan batu putih (N4.45176° E101.19905° - zone 5 kot) dan ada lagi 450 meter untuk sampai ke puncak (N4.44967° E101.20197° - di tandakan sebagai Zon 6)
Trail ini diselenggarakan oleh Persatuan Belia Kampung Pintu Padang. Fee sebanyak RM3.00 seorang dikenakan sebagai yuran konservasi (conservation fee). Bayaran ini untuk pengurusan bagi menjaga kebersihan persekitaran selain memastikan keadaan bukit Batu Putih pada tahap optimum. Ianya telah berkuatkuasa semenjak tahun 2017 lagi.
Di pintu masuk utama ada tandas dan pondok/Kaunter untuk pendaftaran. Ia mula beroperasi jam 8 pagi - 6 ptg. Tapi jika tiada orang bolehlah hubungi En Ady 014 245 3055 / Amirul Hafiz Zainal 0111-642 4413 atau Akram 017-516 3836. Boleh juga naik dahulu dan kemudiannya setelah turun boleh buat pembayaran. Terdapat juga parkir percuma di kawasan berdekatan
Setelah turun kami singga ke gerai Mee Kari Ami yang popular di Gopeng. Istimewanya hidangan mee dan laksa ia menyediakan tambahan kuah khas dan keropok. Tetapi aku lebih menggemari laksanya.
di pertengahan Trail
Zone 5 …
Tampak dari Barat ke Timur
Puncak Bukit Batu Putih