Monday, November 27, 2017

Koh Sukorn: Pulau Yang Jarang dikunjungi Pelancong

20171104_072621

Tarikh : Sabtu – 4 November 2017
Misi : Menjelajah Koh Sukorn
Laluan : TTG – Wang Klian – Thung Wa – Palian – Tase Pier – Koh Sukorn – Khao Tanan- Pak Bara – Wang Kelian – Alor Setar
Koordinate: N7.05987° E99.69176°
Jarak : ± 365 km
Kos  : RM240 (all-in)

Koh Sukorn_

Perjalanan dari Tase Pier (N7.14952° E99.58888°) ke Sukorn Pier (N7.11455° E99.58308°) memakan masa cuma 15 minit sahaja. Air laut sebelah petangnya kelihatan surut menampakan beting pasir yang timbul. Sebelum sampai ke jeti pendaratan kelihatan beberapa buah pulau yang tersingkap pasirnya apabila air surut. (hmm. Kena pi lain ni …).

20171103_140616

Jeti Koh Sukorn

Sampai di jeti sudah ada motor roda tiga menanti untuk membawa penumpang. Aku dapatkan sebuah dan pinta dihantar kami ke Sukon Andaman Beach Resort (N7.09953° E99.56583°). Bayaran dikenakan sebanyak THB30. Untuk makluman sebelah pantai barat Koh Sukorn lah yang paling meriah dimana banyak hotel atau chalet yang beroperasi dengan teratur disamping pantai yang terhampar cantik. Sepanjang perjalanan kelihatan beberapa buah resort terbiar. Pulau Sukorn tidak ramai pelancong yang berkunjung tambahan pula kini musim hujan (off season)

20171104_064018

Sukorn Andaman Beach resort terletak di Ao Lo Yai (iaitu disebelah barat pulau) sejauh ± 3km dari Jeti ( ± 10 minit.) Resort ini dimiliki oleh bukan muslim. Ada 2 jenis bilik iaitu berkipas (THB800) dan air cond(THB1200). Aku mohon untuk menempatkan kami berempat di dalam bilik berair cond. Tilam tambahan juga disediakan – pada musim sekarang kita boleh berunding dengan pengusaha hotel. Katanya dari Jan – Mei ia mendapat sambutan menggalakan dari pelancong Eropah yang gemarkan suasana tenang dan damai di pulau ini.

Ada perkhidmatan wifi disediakan tetapi perlu berada berhampiran pejabat (lobi) untuk dapatkan liputan yang jelas/kuat.

Sebelum masuk bilik aku meminta tokey dapatkan kami sebuah motosikal roda tiga untuk muat kami sekeluarga. Untuk makluman harga motosikal ialah THB300 sehari dan basikal THB 100 sehari.

20171103_155126

Uniknya pantai disini

Selepas solat kami pun mula menjelajah sekitar pulau ini. Pulau ini seluas ±13 km2. Ia sepanjang 9km dan selebar 3km dan jalan bersimen mengelilingi pulau sejauh ±30km. Pulau ini 98% penduduknya adalah muslim dan kebanyakan adalah pesawah, penoreh dan nelayan.

DJI_0680

Kami menuju kesebelah selatan, melintasi kawasan kebun getah, tanaman padi dan pepohon kelapa. Jalan disini mendatar sahaja dan dibahagian utara dan tengah ada bukit yang ketinggian maksima disini hanyalah sekitar 150 meter sahaja. Kami menuju ke tanjung paling selatan berdekatan Ban Laem Jak(Laem Chin - N7.08045° E99.61646°). Melihat air laut surut dan pantainya yang warna keperangan(itulah antara keunikan Koh Sukorn) dan terus menghala ke utara ke View Point (N7.12565° E99.55674°) disini aku dapat melihat Pantai Belakang Naga (Jade Dragon Spine Beach) yang menjadi antara misi  pencarianku. Penduduk disini tidak fasih berbahasa Inggeris apatah lagi bahasa Melayu, Namun aku  menemui seorang tua yang boleh bercakap beberapa patah perkataan Melayu.

DJI_0689

Jade Spine Dragon Beach – akan ku injak jua nanti

Paginya kami bercadang untuk berkayak dan seterusnya ambil bot untuk ke Koh Lao Liang dan Koh Takiang (Sebuah pulau batu karang yang unik dan cantik). Hujan yang turun dan angin yang kuat menyebabkan aku membatalkan hasratku itu. Maka aku mengambil kesempatan ini dengan ronda kawasan kampung dan bersarapan. Selepas sarapan aku mengambil keputusan untuk balik ke tanah besar ± jam 8.30. Kami menggunakan motor yang disewa kelmarin dan tinggalkan di jeti. Semasa balik tiket perlu dibeli dikauntar yang berharga THB30. Sampai dijeti aku mengambil kenderaan dan dikenakan bayaran sebanyak THB60 sahaja. Tuan rumah yang ramah dan banyak membantu kami sebelum ini datang mengucapkan selamat tinggal.

NAMPAKNYA aku perlu datang lagi untuk menjejaki kaki ke Jade Dragon Spine Beach dan pulau kecil berhampiran disamping bersnorkling dan bersiar di Koh Lao Liang.

20171104_092732

Samran Beach, Trang

Keluar dari Tase Pier, aku menghala ke Samran Beach (N7.23512° E99.53668°), Trang.  Samran beach adalah pantai yang menganjur panjang sejauh beberapa kilometer. Pasirnya berwarna perang seperti di Koh Sukorn dan dinaungi oleh pepohon Rhu. Terdapat monumen ketam dipantainya namun berhati-hati, ada banyak anjing berkeliaran disini.

PB040109

Ladang Bunga matahari yang sudah ditumbuhi semak

Dari Samran Beach, aku menuju ke Khao Tanan (N7.05987° E99.69176°) yang pernah ku kunjungi dahulu melawat ladang Bunga Matahari. Kunjungan kali ini adalah untuk memastikan samada ladang bunga matahari masih wujud (lagi pun ia adalah sebahagian dari Satun Geopark.) Aku  bercadang untuk membuat penggambaran dari atas (aerial photo). Dukacita hujan yang turun  sepanjang jalan membuat aku membatalkan hasratku untuk bergambar. Ladang bunga matahari pun sudah tidak terurus dan ditumbuhi semak samun. Tiada lagi permainan bot itik disini.

Aku meneruskan perjalanan ke Pak Bara untuk mencari beberapa maklumat untuk misiku berikutnya. Selepas makan, kami  menuju ke pintu sempadan untuk terus balik ke rumah.

20171103_161106

20171103_175355

Pemandangan dari Ao Lo Yai – Disana Koh Lao Liang dan Koh Takiang

20171104_073526

20171104_075203

Disini penduduk masih menggunakan kaedah lama dalam memproses susu getah

20171104_075815

rumah penduduk yang menarik perharianku – dibawahnya ada kolam ternakan ikan

20171104_075952

Antara chalet yang ditinggalkan

DJI_0680

air surut di Ban Laem Jak

DJI_0693

Koh Sukorn View Point – Di belakangku adalah Jade Spine Dragon Beach


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Sukorn: Singgahan Dalam Perjalanan (Bhg. 1)
2. Koh Sukorn: Pulau Yang Jarang Dikunjungi Pelancong (Bhg. 2)

Monday, November 20, 2017

Koh Sukorn: Singgahan Dalam Perjalanan

DJI_0664

Tarikh : Jumaat – 3 November 2017
Misi : Menjelajah Koh Sukorn 
Lokasi : Khao Tanan, Thungwa, Satun, Thailand
Laluan : TTG – Wang Klian – Thung Wa – Palian – Tase Pier – Koh Sukorn  
Koordinate: N7.05987° E99.69176°
Jarak : ± 365 km
Kos  : RM240 (all-in)

Road to Koh Sukorn

Tahun 2017 aku belum lagi menjejaki kaki ke bumi Siam dek anakku yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan ada tuition setiap hujung minggu. Kini setelah habis peperiksaan maka bolehlah aku merancang perjalanan ke sana semula.

Destinasi

Lama aku merancang untuk berkayuh ke Koh Sukorn, namun atas beberapa sebab, rancanganku terpaksa ditunda. Bagi menjayakan semula perancanganku ke sana disamping mencari maklumat beberapa lokasi selepas ini dan menjejaki Pantai Belakang Naga’ di daerah Satun/Trang aku mengajak keluargaku ke sana. Awalnya ingin bersepeda, namun ramai yang nak ikut maka terpaksalah berkereta.

Prosedur imigresen & Borang

Seperti biasa kami akan masuk ke Thailand melalui pintu masuk Wang Kelian, katanya ada beberapa prosedur baru untuk masuk ke Thailand dengan kereta(lama tak masuk). Untuk makluman bagi yang bawa kereta anda boleh download borang TM2(Information Conveyance) dan TM3(Passenger List) dan isi siap siap. LINK1, LINK2.

Tukaran matawang

Seperti biasa, kami akan singgah dipekan Chalung untuk bersarapan dahulu dan menukar duit di kedai emas Yin Saing Goldsmith (N6.72561° E100.06627°). Kedai ini terletak bertentangan dengan Lotus Tesco pekan Chalung. Kadar tukaran hari ini ialah RM10 = THB78.00 (OK lagi  berbanding tukaran disebelah Malaysia). Selepas sarapan kami ke pekan Thape untuk membeli simcard Thai. Kedai ni penjualnya boleh ‘kecek’ Melayu. Simcardku yang lama sudah luput da..

20171103_111817

  Satun Geopark 

Melewati pekan Thungwa, aku juga singgah di Satun Geopark (N7.12387° E99.79786°), di Ban Khiriwong yang terletak ± 10km ke utara Thungwa.

20171103_111241

Satun Geopark meliputi 4 daerah di Wilayah Satun, iaitu Thung Wa, Manang, La-Ngu, dan Amphoe Mueang. Kepelbagaian rupabumi dengan batuan tua dan dominan campuran argillaceous limestone dan pure limestone, pulau-pulau dan pantai yang wujud sejak 500 juta tahun lalu.

20171103_111925

Geopark yang merangkumi 72 tapak di empat wilayah ini terbahagi kepada 3 kategori

  • Kategori pertama adalah seperti gua Tham Le Stegodon dan gua Phu Pha Phet .
  • Kategori kedua adalah tapak fosil yang kebanyakannya terdapat di daerah Thung Wa dan Langu. Fosil yang dijumpai sejak zaman Paleozoic yang berusia antara 542 hingga 251 juta tahun yang lalu.
  • Kategori ketiga adalah kumpulan pulau termasuk Tarutao, Lipe, Khai dan Hin Ngam

Untuk makluman, Langkawi menjadi tapak UNESCO Geopark yang pertama di Asia Tenggara((2009) dan Satun Geopark rasanya masih dalam proses untuk dapat pengiktirafan dari UNESCO.

20171103_111513


Le Stegodon Cave (dulu dikenali sebagai Kluay Cave) adalah gua sungai air masin terpanjang di Thailand iaitu sejauh 4 km. Namanya diubah kepada Tham Le Stegodon apabila penduduk kampung menjumpai fosil gajah stegodon di dalam gua ini dalam tahun 2008.

20171103_120756

NAMUN aku tidak dapat menikmati suasana berkayak disini kerana tiada operator bertugas, sunyi seperti tiada orang mungkin cuti atau terlalu awal ku disini .. lalu aku meneruskan perjalanan ke arah Palian menuju Yong Sata Pier (N7.11659° E99.66602°) bagi mendapat maklumat ke Koh Sukorn. Dijeti kelihatan sunyi seperti tiada orang ketika kami sampai dan tempat letak kenderaan yang selamatpun tak tersedia maka kami mengambil keputusan untuk ke Tase Pier (N7.14952° E99.58888°)  pula yang terletak sejauh ± 50km dari sini.

20171103_134533-horz

Motosikal boleh dibawa ke sana (tambang tak pasti pulak)

Di Tase pier ada tempat untuk parkir kereta dan dikenakan caj sebanyak THB60 per hari. Bot(longtail) tambangpun murah, kerana ramai penduduk sering berulang alik kesana.(Penuh ja, jalan.) Tambang sebanyak THB25 seorang yang dibayar di atas bot atau semasa sampai kepada pemandu bot. Jarak dari Tase pier ke Koh Sukorn pier ±4km sahaja dan mengambil masa sekitar 15 minit.

…. bersambung

20171103_134302

Di Tase Pier … Bot untuk ke Koh Sukorn banyak

20171103_134326

Bot tambang dari Koh Sukorn – Di belakang sana Koh Sukorn yang jaraknya ± 4km ja

20171103_140616

Koh Sukorn Pier – perjalanan mengambil masa 15 minit ja


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Sukorn: Singgahan Dalam Perjalanan (Bhg. 1)
2. Koh Sukorn: Pulau Yang Jarang Dikunjungi Pelancong (Bhg. 2)