Tarikh : 25 Ogos 2017
Jarak : 5.8 km
Max Elev. : 184 meter
Coordinate: (N6.40273° E100.43542°).
Lokasi : Bukit Temin, Changloon, Kedah, Malaysia
Pagi ini taktau haluan mana nak ku terjah. Teringatku Bukit Pak San(area Changloon) yang lama tak ku jengah, Sampai di Lantrum ternampak Bukit Temin yang dari kejauhan seperti ada laluan. Lalu aku belok masuk dan menelusuri mini tar kampung Bendang Perang hingga sampai ke rumah dipenghujung. Aku menyapa tuan rumah dan meminta izin meletak kereta berhampiran rumahnya sambil bertanya soalan berkaitan bukit ini.
Aku pernah mendaki bukit ini bersama saudara Mat Noor pada tahun 2012 lalu (KLIK) namun kami tidak sampai kepuncak kerana firasatku rasa seperti ‘berat’ untuk teruskan.
Kami mengikuti laluan yang seperti baru diterokai, puncak masih diselebungi kabus, rimbunan hijau masih kelihatan walau sebahagian sudah dinoda, sesekali kelihatan monyet memecah kesunyian, berlompat dari dahan ke dahan.
Laluan teres sudah terhakis, tercungap-cungap kami mendaki dan mencari arah kerana ada teres sudah terputus dihakis air . Sesekali kami berhenti menghela nafas, sambil menikmati keindahan alam. Kelihatan sepasang helang berterbangan di atas kepala(mungkin ada sarangnya disini). Hampir 400 meter ‘menuas’ naik dengan kecerunan ± 45°, akhirnya kami sampai ke permatang.
Dari atas ini dapat melihat pemandangan 360°. Lebuhraya Utara Selatan di sebelah barat, ditimurnya kampung Darat, nampak juga Kampung Jeragan, kebun getah dan sawah bendang luas terbentang. Dari sini aku terbangkan ‘Marvic pro’ku bagi meninjau sekitar bukit ini. Semasa terbangkan drone, aku menuruti permatang untuk melihat potensi laluan. Aku ternampak laluan menarik di sebelah timur dan beberapa kawasan yang sudah diterangkan (depa ambil kayu ni). Selepas bergambar, aku mengambil keputusan mengikuti permatang ke arah selatan dan menuruti laluan yang seperti baru diteroka hingga sampai ke kaki bukit. Aku mengikuti jalan kampung dan jalan di dalam kebun getah. Mengelilingi Bukit hingga balik semula ke tempat kami parkir kereta. Alhamdulillah selamat kami hiking berdua. Walau laluan pendek tapi keseronokkan berada di atas puncak yang berlainan setiap minggu sukar diluahkan dengan kata-kata. Ayat yang sesuai “OOOOOsem’ …
Pokok kecil ditebang
Musim Menuai hampir tiba …
Pada 23/09/2017 sekali lagi kami berempat mendaki Bukit ini. Kali ini kami mendaki mengikut jalan balak disebelah timur bukit. Kebetulan masa ini banjir sedang melanda Kedah. Kami dapat menyaksikan beberapa kawasan ditenggelami oleh air bah.
Nun disebelah utara – kelihatan air membanjiri kawasan (kiri gambar)
No comments:
Post a Comment