Monday, December 19, 2016

Sakom/Pattani: Menjelajah Pantai dan Tanjung–Ulangan

Tarikh : 25 – 27 November 2016
Misi: Menjelajah & Mendaki Sakom Beach & Hiking ke Hujung Tanjung di Pattani
Laluan: Durian Burung – Na Thawi - Chana – Sakom – Pattani – Yaring – Tanjung Budi (Laem Po/Laem Ta Chi) – Thepa – Na Thawi – Prakop – Durian Burung.
Jarak: ± 480 km

Lam Ta Chi

Sempena cuti sekolah,  aku membawa familiku ke Sakom dan Pattani, Thailand. Kawasan ini dipilih kerana masih kurang pelancong, tidak sesak, pantainya yang cantik dan tambahan  stok bath ditangan masih banyak lagi.

Jam 7.30 pagi pagi, menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) (N6.46869° E100.70881°) Kota Putra, Durian Burung, Kuala Nerang, Kedah (sejauh 72km dari rumah.) Jam 8.45 pagi kami tiba dan urusan imigration berjalan lancar. Hari ini urusan ‘cuctom declaration’ kenderaan free pulak dah (biasanya dikenakan caj RM5.00).

20161125_101206

Selepas itu kami menuju ke Chana bagi menyantuni Tuan Haji Awang B Jusoh di Ban Na, Chana District, Songkhla 90130, Thailand. (N6.89550° E100.74181°). Beliau kini kembali menetap disini. Beliau ialah tokey "Hajjah Restoran" yang suatu ketika dahulu tersohor di Alor Setar (sekitar hujung 80an & 90an). Isterinya, Hajah Fatimah Bt Abdullah (asal nama Hajjah Restoran) telah meninggal pada 26 Sept 2016 lalu. Aku bertanyakan beberapa maklumat tentang lokasi tempat yang bersejarah/menarik sekitar Chana seperti makam Syekh Abdus Samad Al Palimbani (KLIK) (Pengarang Kitab Hidayatus salikin, kitab Siyarus Salikin dan lain-lain lagi) dan lokasi Telaga Lailatul Qadar Syeikh Wan Mustafa Al Fathoni (KLIK) di Bendang Daya (Insyaallah aku akan menziarahi tempat ini pada kunjungan akan datang).

SAkom

Selepas meminta diri, kami meneruskan perjalan 15 km lagi menuju ke Sakom Beach dan terus mendaftar diri di D'Aman Hotel & Resort (N6.95272° E100.85624°). Resort ini terkenal dikalangan penduduk muslim sekitar kerana adalah resort yang mematuhi Syariah dan prinsip Islam. Pihak D'Aman Resort telah membeli dan mengambilalih pengurusan dari pemilik asal (dahulu dikenali sebagai Leela Resort) pada 11 Januari 2013. Mempunyai 26 buah banglo dan 49 buah bilik yang boleh memuat 200 pengunjung dan terletak dalam kawasan seluas 12.65 ekar lengkap dengan kemudahan dewan persidangan, kafiteria, restoran, kolam renang dan ruang BBQ. (harga bilik dari Thb 700 – Thb2200)

20161125_105529-tile

DSC05035

Selepas check-in kami menuju ke Coco One Beach Hotel & Restaurant (N6.95424° E100.83509°) untuk bergambar dikawasan chaletnya yang dibina cantik. Resort ini  mempunyai 3 bilik berhubungan (connecting) dengan kolam mandi di dalamnya dan 4 unit chalet biasa. Terdapatjuga splash pool untuk kegunaan kanak-kanak bermain. Kami hanya makan somtam dan aiskerim direstorannya.

GOPR2882

20161125_141039

Kemudian aku menuju ke masjid Tak Yi Dun Abidin, Pak Bang (N6.94898° E100.82917°) bagi menunaikan solat Jumaat. Ia terletak ±3km dari D'Aman Resort. Seusai sembahyang, aku membawa keluargaku memasuki perkampungan Pak Bang dan seterusnya menuju ke hujung muara sungai (Khlong Sakom). Kawasan ini seperti tanjung sejauh hampir 1.5km. Di muara ini terdapat jeti bot nelayan. Kami berjalan ± 200 meter untuk ke pantai cantik memanjang. Kemudian kami berjalan hampir 600 meter mengikuti tambak hingga ke penghujung untuk ke rumah api kecil yang menjadi penanda bot nelayan memasuki muara untuk ke jeti. Setelah puas bergambar berlatarkan telok Siam, rumah api dan pantai, kamipun kembali ke bilik untuk berehat seketika dan makan tengahari dengan bekal yang dibawa dari rumah.

20161125_164513

± jam 5.00 petang aku keluar bersama isteriku untuk mendaki sebuah bukit berhampiran. Aku sudahpun mengenalpasti lokasi permulaan pendakian kerana pernah membuat beberapa kali  tinjauan. Aku meletak kereta dibahu jalan dan berjalan kaki menuju ke tempat permulaan. Kami memulakan pendakian pada jam 5.30 petang(waktu Malaysia). Kami berjaya sampai kepuncak yang berketinggian 83meter. Dari sini dapat melihat terus ke laut dan kawasan sekeliling. Aku turut mengamati beberapa lokasi bukit berhampiran sambil menilai kesesuaian dan mencari denai/jalan masuk. Kami sampai balik ke bilik pada jam 7.00 malam.

20161125_165757

Pagi besoknya selepas sarapan aku mengajak isteriku untuk mendaki satu kawasan bukit berhampiran, ada satu lagi bukit kami tidak dapat pergi kerana kesuntukan masa berpatah balik ke bilik dan terus check out. Kemudian kami menuju ke Sakom Beach untuk mendaki bukit kecil hingga ke view point (N6.96214° E100.84891°).

20161125_170431

20161126_101855-tile

Jam 10.30 pagi kami meneruskan perjalanan ke Pekan Pattani sejauh ±55km dan singgah untuk makan tengahari yang awal di Restoran Maksu Soup Shormalee (N6.85592° E101.25323°). Sebuah Restoran yang terkenal dengan kesedapan supnya terutama sup kuku lembu.

20161127_113546-tile

Selepas makan tengahari kami menuju ke masjid Kerisik (KLIK) (N6.87302° E101.30283°). Memandangkan sudah beberapa kali ke sini aku tidak singgah ke masjid ini tetapi membiarkan anak-anak aku masuk. Aku menuju ke seberang jalan  untuk  melihat sebuah perigi yang dikatakan ‘Perigi Hang Tuah’ (N6.87239° E101.30360°). Perigi yang dikatakan telah digali oleh Hang Tuah, sewaktu beliau datang ke Patani. Aku juga mendapat beberapa cerita versi Hang Tuah disini namun tidak bersedia untuk dikongsi kerana tidak dapat disahihkan ceritanya.

GOPR2897-tile

Kami singgah di Yaring Mangrove Forest Study (N6.87021° E101.37189°). Kalau kunjunganku ke kawasan ini dahulu, aku tidak sempat berjalan dipelantar pejalan kaki sejauh 1,250 meter. Kini dengan masa yang panjang aku pasti tidak melepaskan peluang.

DSC05212

Pusat pembelajaran/penyelidikan ini berada di kawasan hutan bakau seluas 200 ekar. Lengkap dengan kemudahan asas yang dibina untuk memberi pembelajaran dan pemahaman kepada orang ramai mengenai keperluan dan kelastarian hutan bakau. Disepanjang pelantar jalan kaki ini terdapat pelbagai spesis tumbuhan paya bakau dan haiwan dan yang menarik terdapat sebuah menara pandang setinggi 13 meter. Namun aku hampa sekali, menara ini ditutup kerana beberapa binaan telah rosak dan reput yang boleh membahayakan pengunjung.

20161127_061929

20161127_063233

Aku mengambil keputusan untuk bermalam di D Budi Beach Resort(N6.93414° E101.31831°) yang terletak di Ban Budi, Yaring. Ia sejauh 12km dari Yaring Mangrove Forest Study. Sebuah Chalet yang baru dibina dalam tahun 2015 lalu. Terletak di tepi pantai yang pasirnya halus dan memutih. Sangat sesuai untuk melihat matahari terbit.

GOPR2903

Paginya aku menuju ke hujung Tanjung (Lam Ta Chi) untuk hiking hingga ke hujung beting pasir. Aku sudah kesini dalam bulan Mei 2014 lalu (KLIK)  namun tidak sempat menjelajah hingga ke hujung beting pasir ekoran keretaku lekat dipasir.

GOPR2922

Terdapat 2 beting pasir di kawasan ini. Aku meredah hutan rhu untuk sampai ke beting pasir, namun tidak dapat menghampiri kerana terhalang dengan beberapa paya (walau nampak dekat) . Namun aku bernasib baik kerana bersua dengan seorang nelayan, beliau membawaku ke beting pasir pertama (N6.93386° E101.24212°) yang memanjang seperti beting pasir di Satun (Dragon beach KLIK). Dari sini kami dapat melihat pelabuhan nelayan di Pattani dan bot nelayan keluar masuk. Hujung Tanjung ini membentuk seperti telok dan lautnya tenang. Kemudian kami ke penghujung Tanjung(betul-betul dihujung sekali) – dipanggil penduduk tempatan sebagai Tanjung Budi (kalau lihat dalam google seolah-olah kami berada di dalam laut) (6.92787° E101.23376°).

GOPR2902

Kawasan ini sudah kembali cerah (tidak seperti kunjunganku dahulu) banyak pokok rhu ditebang untuk kayunya yang berharga. Menjadikan tanjung ini kurang naturalnya bahkan banyak chalet mula dibina.


DSC05054

Di Muara Khlong Sakom. Kerja-kerja mendalam sungai sedang dijalankan

DSC05139

Sebuah pulau kecil (Koh Kaam) di Pantai Sakom

DSC05144

View point di Sakom Beach … kalau sebelah kiri terdampar pantai memanjang hingga ke rumah api dan sebelah kanan pantai memutih hingga ke Pattani

DSC05147

menuruni bukit di View Point di Sakom Beach

DSC05156

Sebuah pantai yang cantik di pertengahan jalan menuju Pattani

DSC05220

Ada tempat berehat sepanjang pelantar pejalan kaki di Yaring Manggrove Center

20161126_171501

Berehat seketika di Laem Ta Chi

20161127_072729

Disana beting pasir tetapi dipisahkan dengan paya

20161127_082130

Posing seketika di beting pasir pertama

20161127_103102

Makam Dato’ .. ada sejarah tersendiri di sini. Siapa Dato’?

20161127_104123

Pantai berdekatan Ban Dato

20161127_104235

DSC05397