Sunday, June 19, 2016

Koh Lanta 2 Phatthalung: Day 2

20160528_094109

Tarikh : 27 – 29 Mei 2016
Kos    : ± RM1,000.00 (All-in untuk famili 3 Dewasa, 2 Kanak-Kanak)  
Koordinate: N7.61694° E100.08611°
Laluan: Koh Lanta – Thung Khai – Trang – Phatthalung
Jarak : 295km

Lanta Noi

P5286526

Pekan Saladan yang sunyi di pagi hari, yang meriah dimalam hari

Awal pagi bersiap barangan dan kami check-out dari Hotel pada jam 8.30 pagi (waktu Mal.) dan mencari kedai untuk bersarapan. Selepas sarapan aku menuju ke pekan Saladan, sebuah pekan yang paling utara di Koh Lanta. Hanya ada satu jalan utama di sini dan dipenuhi dengan kedai. Ianya menjadi meriah pada sebelah malam. Kami menuju ke pantai Kho Kwang yang tidak jauh dari Saladan. Pantai ini amat nyaman dan tenang, ia adalah lokasi yang sesuai untuk melihat sunset. Air laut yang surut menampakan beting pasir dan kelihatan dihujung sana sebuah tanjung (Kho Kwang cape) dan pulau kecil iaitu Ko Raeng.

20160528_084615

Air surut hingga menampakkan beting pasir di Kho Kwang Beach

Selepas itu kami menaiki semula Siri Lanta Bridge untuk ke Koh Lanta Noi pula. Untuk makluman di Koh Lanta Noi terdapat Pejabat Daerah Koh Lanta yang dibuka secara rasmi pada 13 May 1999. Majoriti penduduk adalah muslim dan pekerjaan utama adalah nelayan, petani (getah dan sedikit kepala sawit) dan kerja kampung. Ia kurang mendapat perhatian dari pelancong kerana lanskapnya yang kekurangan pantai yang sesuai. Ada beberapa tarikan yang aku singkap seperti Langsod Beach, Khlong Mak View point, Baan Baron yang dikenali sebagai kampung tertua (lebih dari seratus tahun) dan seni batik yang menarik yang dijadikan produk OTOP di Baan Khlang.

20160528_091420

Kelihatan Siri Lanta Bridge dari Langsod Beach

Singgahan pertama aku ialah ke Langsod Beach(N7.66942° E99.04221°). Pantai yang paling panjang di Lanta Noi. Kami menuju hingga ke penghujung jalan untuk melihat muara pertemuan 2 buah pulau Lanta. Dari sini dapat melihat dengan jelas Siri Lanta Bridge, Pekan Saladan dan pantai di seberang sana. Pantai Langsod  adalah taman awam dengan sedikit kemudahan asas tersedia namun agak sunyi. Dengan rimbunan pohon yang teduh dan pantai yang memanjang menjadikan ia sebagai tempat yang agak menarik untuk bersantai.

20160528_093958

Aku bercadang untuk mengelilingi pulau Lanta Noi ini dan di bahagian utara aku terjumpa satu tempat pemandangan untuk melihat tanah besar Thailand dan feri iaitu di Baan Klong Mak(N7.68561° E99.10886°). Pantainya agak berbatu dan kelihatan seperti berselut namun bagi aku ada kelainan dan tarikan tersendiri. Kami mengelilingi pulau ini dan suasana redup menyebabkan aku terpaksa mempercepatkan rondaan kami untuk balik ke seberang.

P5286536-horz

Jalan masuk dan sunyi dan air yang mula melimpah mengalir di Hing Phoeng waterfall

Selepas menaiki feri, hujan mula turun sepanjang perjalanan. Selepas hampir 34km perjalanan menghala ke Trang aku singgah ke pekan Khlong Pon dan menyusur jalan kampung ± 9km untuk ke rekreasi air terjun Hin Phoeng (N7.85252° E99.24933°). Difahamkan ia adalah air terjun 3 tingkat yang berketinggian 800 meter. Alamak hujan tak berhenti-henti turun, namun aku menggagahi berjalan seorang diri menelusuri denai untuk melihat air terjun ini. Aku memutuskan untuk berpatah balik apabila melihat keadaan air yang semakin deras dan keadaan yang sunyi. Hampa aku untuk melihat keindahan air terjun ini.

20160528_144218-horz

Canopy Walkway

Kami menghala ke Trang untuk ke Thung Kai dan singgah untuk makan tengahari di sebuah kedai muslim (N7.51878° E99.60642°) berhampiran lintasan keretapi. Kedai ini agak murah dan sedap tomyamnya.

P5286554-horz

Selepas makan tengahari hujan sudah mula renyai. Kami menuju ke Thung Kai sejauh ± 13km sahaja dari kedai makan ini. Sasaran utama kami di Thung Khai ialah untuk meninjau pelantar pejalan kaki di dalam Peninsular Botanical Garden.

GOPR1782

Peninsular Botanic Garden(N7.46968° E99.63993°) sebuah lokasi yang amat sesuai bagi pengunjung yang berminat tentang alam dan flora. Di dalam taman ini tersedia taman herba, perpustakaan berkaitan botani, muzium botani, denai-denai pejalan kaki, beberapa buah auditorium dan yang menarik pelantar pejalan kakinya yang mempunyai 3 ketinggian berbeza (10m,15m dan 18m). Ianya diasaskan dalam tahun 1993 hasil dari idea Perdana Menteri pada masa tersebut , HE Chuan Leekphai yang bertujuan untuk memelihara, mengumpul dan mengkaji tumbuhan tempatan, tumbuhan herba dan tumbuhan unik. Terletak ±10km dari Trang dan terletak di dalam hutan simpan Thung Kai seluas 416ha.

P5286570

Pintu masuk ke Botanical Garden – Free tau

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Taman ini. Setelah parkir kereta ditempatnya kami mengikuti denai yang ada dengan melihat pelbagai tumbuhan dan batuan metamophic. Denai ini boleh membawa ke paya tetapi matlamat kami ialah ke Canopy Walkway sejauh ±800 meter dari parkir. Terdapat 6 menara yang menghubungkan 5 pelantar dengan ketinggian yang berbeza bermula dari aras 10 meter, 15 meter, 18 meter dan turun balik ke 15 meter dan 10 meter. Pelantar besi sejauh 175 meter tetapi aku merasa gayat apabila berada diketinggian 18 meter kerana ia seperti ‘berembat’ tambahan pemegang pula rendah separas pinggang ja.

P5286542

Tuk-Tuk Hua Kop yang macam katak. Tuk-Tuk klasik lagi unik yang hanya terdapat di Trang. Boleh cuba di stesyen keretapi Trang.

Mulanya aku bercadang untuk balik ikut Wang Klian kerana ingin singgah di Laem Tase bagi meninjau dan mengambil maklumat tentang sebuah pulau yang bakal aku jelajah selepas ini. Tetapi setelah berbincang dengan isteriku kami mengambil keputusan untuk ke Phatthalung dan singgah di sebuah tempat yang berada dalam ladang/hutan buluh.

P5286579

Restoran Terapung di Kwanjai Bamboo Garden

Kwanjai Bamboo Garden(N7.72675° E100.00714°) sering diperkatakan oleh sahabatku dan mencadangkan aku untuk singgah disana. Ia adalah milik Mr Kwangjai yang menjadikan hutan buluh dan kolam dikawasan rumahnya sebagai tarikan. Lokasinya tidak jauh dari Hospital Khuan Kanun. Kami sampai agak lewat petang dan memandangkan pagar tidak tutup kami terjah masuk dan bergambar sebelum berjumpa sendiri dengan tuanpunya dan pohon maaf dan keizinan untuk bergambar. Beliau menjaga buluh dikawasannya dengan rapi dan teratur. Buluh ditanam dengan tersusun. Perusahaan kecil berasaskan buluh juga dilakukan. Sebuah restoran terapung dibina di kolam sediada dan jambatan buluh menghubungkan kiri dan kanan restorannya ke tebing. Sebahagian makanan dihidangkan di dalam buluh dan gelas minuman dari buluh juga.

P5286581-horz

Makanan dan minuman di dalam buluh

Kami terpaksa bergegas untuk ke Phatthalung kerana urusan wajib masih belum selesai dan terus ke masjid Phatthalung, Masjid Darul Islam (N7.61694° E100.08611°) sebelum check in di City Park Hotel (N7.61425° E100.08033°). Sebuah hotel yang selesa dengan kos sebanyak THB950 dan membenarkan kami untuk tinggal sekeluarga.

Bersambung ………..

20160528_095810

Macam berselut tapi tidak di Baan Klongmak

20160528_172517

Buluh yang tersusun tumbuh

20160528_173931

berehat di dangau. Ada perusahaan berasaskan buluh

GOPR1806

Berehat ditepian kolamGOPR1824

DSC03732

Reastoran terapung

DSC03734

Hotel yang kami singgah di Phatthalung.

 

BERSAMBUNG ……….

Monday, June 13, 2016

Discover Koh Lanta: Santai Daratan Pula

20160527_160431

Tarikh : 27 – 29 Mei 2016
Kos    : ± RM1,000.00 (All-in untuk famili 3 Dewasa, 2 Kanak-Kanak)  
Koordinate: N7.64682° E99.03660°
Laluan: TTG - Wang Klian - Chalung – Langu – Thung Wa – Thung Yao – Thung Khai – Trang – Koh Lanta
Jarak :

Koh Lanta

Penghujung bulan Disember(KLIK) lalu aku pernah ke sini tetapi aku tidak sempat menghabiskan jelajah darat di pulau ini. Hari ini sempena cuti sekolah, sekali lagi aku bercadang untuk ke Koh Lanta bagi menjelajah bahagian darat pulau tersebut.

Seperti kisah lalu , Koh Lanta Yai asalnya dikenali sebagai Pulau Sa-Tuk namun pada tahun 1917 Raja Thailand telah mengubah gugusan pulau ini kepada Koh Lanta. Kini sebuah jambatan telah siap digunakan yang menghubungkan dua pulau iaitu Koh Lanta Noi dan Koh Lanta Yai. Walaubagaimanapun pengunjung masih perlu menaiki feri dari tanah besar ke Koh Lanta Noi. Koh Lanta Yai menjadi destinasi tumpuan utama pelancung kerana tarikan pantainya yang cantik. Ia sepanjang ± 30km dan lebar ± 6km sahaja.

20160527_133743

Hati-hati – disini tempat membeli tiket feri ke Lanta Noi

Perjalanan kami bermula pada jam 7.30 pagi dari Alor Setar dan sampai ke pintu sempadan Wang Klian pada jam 8.30 pagi. Isi minyak sepenuhnya di Caltex Wang Klian(N6.68067° E100.18675° - dibuka dari jam 8:00am – 7:00 pm) sebelum berurusan di imigresen. Mudah dan cepat kerana tidak ramai pengunjung hari ini. Disana singgah ke pekan Chalung untuk tukaran wang disebuah kedai emas Yin Saing Goldsmith. Kedai ini dicadangkan oleh makcik di sempadan tadi yang mengatakan kedai ini tukarannya agak tinggi berbanding yang lain dan buka pada jam 9.00 pagi (waktu Thai). Kedai ini (N6.72561° E100.06627°) terletak bertentangan dengan Lotus Tesco pekan Chalung. Memang ramai orang siam menukar wang disini. Yang hairannya mereka tukar Ringgit ke Bath (hmm – takdak peluanglah aku nak ‘otek’ tukar dengan mereka ). Kemudian aku meneruskan perjalanan dan mensasarkan untuk sampai ke Koh Lanta sebelum petang. Perjalanan yang selesa kerana redup dan sesekali hujan turun. Solat Jumaat di masjid berdekatan persimpangan Huai Nam Khao. Persimpangan ini (N7.86870° E99.16457°) adalah simpang untuk ke Koh Lanta dari jalan utama ke Krabi. Seusai solat kami meneruskan semula perjalanan ± 30 km menuju ke  Hua Hin Pier. Sebelum menaiki feri perlu beli tiket dahulu di tempat yang kelihatan  seperti kedai minyak/rumah tol (N7.69351° E99.09900°). Selepas ± 20 minit menaiki feri menyeberang selat kecil sejauh ± 1.7km kamipun sampai ke Jeti Khlong Mak di Koh Lanta Noi. Bergegas aku ke Langsod Pier untuk mencari tiket untuk ke Koh Lanta Yai. Laaa .. rumah tiket takdak dah, depa dah guna jambatan baru. Hmmm boleh juga merasa jambatan baru ini. Jambatan yang sekian lama dibina (Projek bermula sejak tahun 2012) untuk menghubungkan kedua buah pulau Lanta ini yang dibuka secara rasminya pada 22 April 2016 lalu.

GOPR1648

SIRI LANTA BRIDGE - Tengah jalanpun boleh dok selfie – tak banyak lagi kenderaan
Jambatan yang berharga THB400 Juta dirasmikan oleh Gabenor Krabi, Pinit Boonlert pada malam 22 April 2016 dalam upacara yang meriah lagi gemilang yang dikenali sebagai ‛Starry Night Over Lanta Bridge’.

Aku tak pasti apakah penggunaan jambatan ini dikenakan caj tertentu .. yang aku tau aku lalu free ja menghala ke Saladan. Baan Saladan adalah pekan paling utara di Koh Lanta. Kalau dulu ia adalah kampung nalayan tetapi kini sektor pelancongan telah merubah lanskapnya. Ia menjadi pekan utama dan tumpuan para pelancong. Sudah maju dan pelbagai kemudahan infrastruktur tersedia seperti bank, ATM, restoran, internet café, travel offices, convenience store dan shopping plaza. Disebelah barat pekan ini terbentang Koh Kwang beach (akan aku kunjungi esoknya) . Sebenarnya terdapat berpuluh pantai di Koh Lanta ini tetapi aku mendapat tahu ia dibahagikan kepada 4 pantai utama bagi memudahkan pengenalan. Dikenali “Lanta's big four beaches” iaitu Khlong Dao, Phra Ae, Khlong Khong dan Khlong Nin.

koh-lanta-map

“Lanta's big four beaches”

Sampai Koh Lanta, aku terus menuju ke pantai Phra Ae (N7.60375° E99.03496°) bagi menikmati makan tengahari yang lewat dari bekalan yang kami bawa dari rumah. Haad Phra Ae atau Phra Ae beach juga dikenali sebagai Long Beach yang merupakan pantai yang terpanjang dengan pasir yang memutih. Walaubagaimanapun aku tidak meninjau secara detail pantai ini kerana kelihatan laut yang agak bergelora dan angin yang kuat. Sekadar melepas lelah dan mengisi perut disini sambil menikmati keindahannya.

20160527_145526

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke penghujung pulau menuju ke Mu Ko Lanta National Park bagi menikmati keindahan pantai dan rumah api yang menjadi ‘landmark’ Koh Lanta. Taman Negara yang berkeluasan 130 km persegi yang turut melibatkan laut andaman yang merangkumi pulau Ko Rok, Ko Haa Ko Muk and Ko Kradan di sebelah selatannya.

GOPR1671

Melewati Bamboo Bay, jalan ke Taman Negara semakin agak sunyi dan berbukit dan sebelum memasuki Taman Negara terpaksa membeli tiket masuk disebuah pondok (N7.47303° E99.09592°). Tiket dikenakan sebanyak THB200 seorang pada pelancong luar dan THB20 untuk kenderaan. Aku ‘kowtim’ sikit dan cuma dikenakan THB420 kepada 2 orang sahaja dan kereta. Lebihkurang  400 meter ke hadapan terdapat Park Headquater yang turut tersedia kemudahan parkir, tandas, tempat berkhemah, bungalow penginapan untuk disewa dan visitor center. Untuk makluman taman ini dibuka setiap hari dari jam 8:00 ke 17:00 (waktu Thai). Bagi penggemar alam sekitar bolehlah berhiking di denai (berbentuk seperti tapak kuda) sejauh 1.725 km. Denai ini bermula berhampiran pondok tiket masuk dan mengambil masa ± 1 jam untuk merayau di dalamnya sambil melihat keindaham alam, flora dan fauna TETAPI hati-hati dengan monyet yang banyak sangat di Taman ini.

DSC03557

Kami menikmati seketika lautan andaman yang berombak di Hin Ngam Beach yang pantainya sepanjang 150 meter dan berbatu sebelum mendaki tanjung (Ta Nod Cape) yang berbukit untuk ke rumah api yang berada pada ketinggian  38 meter dari laut. Bukit yang bertebing , tiada pagar menjadikan sedikit gerun dihujung tebing ditambah dengan angin yang kuat yang kadangkala membuat sedikit goyah. Dari puncaknya terdiri rumah api, kita dapat menyaksikan pemandangan indah laut Andaman, pulau-pulau berhampiran dan keindahan 2 pantai yang menghimpit tanjung ini. Dikiri Hi Ngam beach yang berbatu dan berombak lautnya manakala Had Hin Beach disebelah kanan dengan pantai yang putih bersih dan air laut yang tenang (hmm - dua set pantai yang berbeza)

GOPR1701

Setelah puas berjalan, bergumbira sambil bergambar, maka kami pun mengambil keputusan untuk mencari hotel secara walk-in tetapi sebelum ini singgah dibeberapa buah pantai yang aku pun tak tau nama untuk menlihat lagi keindahan pantai dan rumah yang dibina dipinggir tebing.

20160528_072620

Sepanjang pantai ini aku bertanya tentang bilik dimana kebanyakkannya tidak membenarkan kami untuk tinggal sekali dengan anak-anak aku, mereka meminta kami mengambil 2 bilik. Sampai di Khlong Khong Beach aku tertarik kepada sebuah chalet. Tuan punya menawarkan kepada kami THB1000.00 sebilik dan mencadangkan kami mengambil 2 bilik. Memandangkan anak-anak aku tidak berani untuk tinggal berasingan dan setelah berbincang mereka bersetuju memberi kami sebuah chalet dengan harga THB1300 tanpa breakfast. Wah setelah tengok bilik memang bestlah! biliknya besar siap ada ruang tamu, ada kolam renang dihadapan dan jacuzzi. Tetapi malam tu kami sajalah yang bermalam di Chalet ini iaitu Lanta Lapaya (N7.57897° E99.03444°). Dengan kemudahan dan saiz sebegini aku dapat maklumat bahawa harga sebenar bilik ini ialah THB3000 (wow … biar betul). Memang best chalet ini, ia kepunyaan orang muslim. luas selesa, dan indah pemandangan. TETAPI malamnya lebih dari 5 kali elektrik terpadam (black-out) dan paginya aku bertanya penjaga dan beliau memaklumkan bahawa kejadian sebegini memang selalu terjadi dikawasan mereka ini.

….. bersambung

20160527_145634

Clean Beach @ Phra Ae – Bersih dan cantik namun laut bergelora hari ni

20160527_160506

Tudiaa .. monyet dok sambut kedatangan pelawat. Pondok untuk masuk ke Mu Koh Lanta National Park

20160527_170619

Had Hin Beach  - Berlatarkan rumah api

20160527_174135

Pantai apa aku tatau .. tapi rumah ini milik seorang muslim. Aku minta izin untuk masuk dan bergambar

20160528_073014

Lanta LAPAYA – Terdapat lebih dari 20 buah chalet untuk disewa

DSC03580

LAEM TA NOD – di belakang sana kawasan hutan simpan

GOPR1686

Tebing tinggi – angin kuat ooo seriau juga do tepi tebing

DSC03596

Batu-batu di Hin Ngam Beach

DSC03610

Nikmat donia - Best rumah ini

GOPR1680

Landmark Koh Lanta – mesti mai kalau ke Lanta

 

BERSAMBUNG ….