Tuesday, February 16, 2016

Satun: Terik Mentari di Ladang Bunga Matahari

GOPR0708

Tarikh : Jumaat – 12 Februari 2016
Misi : Mencari Ladang Bunga Matahari
Lokasi : Khao Tanan, Thungwa, Satun, Thailand
Laluan : Titi Gajah – Wang Kelian – Khuan Kalong – La Ngu –  Khao Tanan - Chalung – Wang Klian - TTG
Koordinate: N7.05987° E99.69176°
https://goo.gl/maps/nZPRtHT7ai52
Kos  : RM82.00

Hamparan kuning indah bunga matahari boleh dilihat di wilayah tengah Thailand terutama di Lopburi, Saraburi dan Saphanburi. Keindahan mekarnya bunga matahari  yang tumbuh subur setahun sekali di sini menjadi tarikan pelancong untuk mengunjunginya (antara bulan November hingga Januari). Kini pelancong dari Malaysia boleh merasai dan menikmati keindahan mekarnya bunga matahari di wilayah Selatan Thailand iaitu di Khao Tanan (N7.05987° E99.69176°) dalam wilayah Satun. Sejauh ± 98 km dari pintu sempadan Wang Kelian

Berdasarkan makluman dari rakan FB (Karlisa Latisya) mengenai satu lokasi baru tarikan pelancongan dengan tasik dan mekarnya bunga matahari membuat aku begitu teruja maka tanpa perancangan yang teratur aku mengajak keluargaku ke lokasi tersebut.

Kami bertolak dari Alor Setar pada jam ±08.00 pagi menuju pintu sempadan Wang Kelian. Urusan imigresen kelihatan mudah walau kini dalam suasana cuti sekolah (cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina). Kami mengambil jalan pintas melalui pekan Khuan Kalong dengan mengambil Laluan 4127 dan singgah di Satun Agricultural and Technology College yang kelihatan pokok bunga matahari ditanam. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang berehat dibawah pokok. Berteduh mengelak pijar terik matahari. Kami meminta kebenaran untuk masuk ke kawasan ladang untuk bergambar. Membiarkan anak-anakku berselfie di ladang ini dan aku sempat menjengah kawasan ini. Ladang yang kami jejak ini menjadi pusat penyelidikan pengunaan baja.

Hampir 40 minit kami disini dan seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju Thungwa dengan mengikuti jalan 416 dan pada satu persimpangan kami belok menelusuri jalan luar bandar (O Bo Cho Satun 2001 road) menuju ke Thung Bulang. Kami sengaja menelusuri jalan tepian pantai untuk menikmati panorama indah tepian laut dan singgah di beberapa lokasi pantai untuk melihat keindahan pantai dan bergambar. Berhenti seketika menikmati Somtam sambil bertanya arah ke Khoa Tanan. Sebelum ke Khao Tanan aku sempat singgah ke sebuah masjid berhampiran untuk bersolat Jumaat. Walau tidak ramai jemaahnya tetapi suasana kemesraan tetap terasa. Mereka dapat merasakan kehadiran lelaki asing (yang jarang-jarang singgah) dikawasan mereka pada hari itu dan seperti biasa aku akan menyapa mereka. Seusai solat kamipun meneruskan perjalanan dan di persimpangan (Ro Pho Cho Satun 2001 Rd. and Satun Pwd. Rd. and Satun Ma Ngang-Thung Thanan Pwd. Rd. - N7.04726° E99.68977°) mengikuti jalan simen yang kiri kanannya adalah hutan bakau. Perjalanan sejauh ± 1.5 km sehinggalah kelihatan sebuah bukit dan sebuah tasik. Disinilah sudah nampak kebun bunga matahari dan ada papan tanda bertulisan siam.

Pengunjung bebas memasuki kawasan kebun ini untuk bergambar dan ia adalah percuma. Tersedia 2 buah wakaf buat pengunjung berehat atau berteduh dari terik panas matahari sambil menikmati pemandangan bunga matahari. Selain kebun bunga matahari, Khao Tanan juga memiliki tasik seluas ±10 ekar. Terdapat kemudahan rekreasi air disini. Di tengah tasik terdapat sebuah bukit yang ada beberapa buah gua. Khao Tanan dahulunya adalah sebuah pulau sepertimana pulau-pulau lainnya sekitar lautan adaman. Ribuan tahun yang lalu pulau ini pernah dikelilingi oleh laut setinggi 4 – 5 meter. Hakisan laut dari ombak telah menghasilkan gua dibahagian bawah (disebelah barat) bukit ini. Disebelah timurnya ada tangga yang agak curam membolehkan pengunjung mendaki bahagian tepi bukit setinggi ±80 meter. Ada sebuah wakaf disediakan buat pengunjung berehat melepas lelah dan menikmati pemandangan kawasan sekitarnya.

Di Satun Agricultural and Technology College, Khuan Kalong

Berehat seketika melepas lelah di Lebuhraya 416 sebelum LaNgu (N6.86726° E99.85678°)

Kemudahan rekreasi air yang disediakan disini, Pengunjung boleh menyewa dengan kadar harga tertentu

Di dalam Ancient Sea Cave

Di atas bukit/pulau sambil menikmati pemandangan sekitar

Berehat seketika didangau @ Thung Bu Lang - dalam perjalanan ke Khao Tanan

@ Thung Bu Lang

@ Khonklan

Pantai  dengan pasir puteh bercampur hitam

Terik Matahari – bunga matahari di selatan Thailand

1 comment: