Thursday, May 08, 2014

Kembara Alam Bumi Siam: Day 2 – Merentas Yala Menuju Pattani

Tarikh : 02 Mei 2014    
Laluan : Betong – Ban Lang National Park – Than To – Bannang Sata – Yala – Pattani , Thailand    
Jarak  : 190/760 km    
Coordinate:

Yala adalah antara wilayah Di Thailand yang dikategorikan sebagai ‘panas’, beberapa kejadian pengeboman dan tembak menembak sering dilaporkan berlaku. Aku bertekad untuk menuju ke  Pattani merentas wilayah Yala untuk melihat dan menilai sendiri situasi di Yala dan Pattani.

Jam 8.30 pagi selepas sarapan kami check-out hotel dan menuju ke masjid Betong (N5 46.327 E101 04.093). Juga dikenali sebagai masjid biru kerana kubahnya yang berwarna biru. Senibinanya tidak jauh berbeza dengan senibina masjid-masjid di Malaysia. Masjid ini siap dibina dalam tahun 1984. Menjadi pusat kegiatan islam dan mempunyai bilik mesyuarat sendiri. Sempat berbincang dengan jemaah disini dan bertanya khabar mengenai laluan ke Yala/Pattani. Mereka mencadangkan aku menggunakan jalan baru yang lebih dekat dan selamat.

Sungai yang mengalir dari Ban Lang Dam

Menuruni anak tangga ke Lata

Terpaksa mendaki tebing untuk sampai ke sini

beberapa air terjun lainnya di sini

± 45 km aku menghampiri Ban Lang National park, lalu singgah ke La Ong Rung Waterfall (N5 59.834 E101 11.238). Ia terletak ± 400 meter dari jalan utama. Ada beberapa buah rumah penduduk kampung dan sebelum memasuki kawasan kita ada jumpa stesyen ranjer hutan. Apabila tiba, agak kecewa kerana melihat seperti sungai yang  air mengalir biasa sahaja. Namun apabila kami berjalan masuk lebih dalam maka terlihat air terjun yang menarik. Kebetulan ada beberapa orang penduduk tempatan mandi disitu dan En. Zakaria, mencadangkan aku untuk naik ke atas dan memanjat tebing bagi melihat air terjun yang lebih menarik. Sendirian aku mendaki dan memanjat tebing dan Wow! memang benar sekali, air terjun setinggi hampir 25 meter yang turun dari bukit. Percikan airnya membasahi sekitarnya, bahkan kalau diwaktu hujan akan terbentuk pelangi, sebab itu air terjun ini juga dikenali sebagai Rainbow Waterfall.

Ban Lang dam

Bang Lang National Park adalah taman negara Thailand paling Selatan. Berkeluasan ± 261 km persegi dan dikelilingi oleh hutan hujan dan dihuni oleh hidupan liar seperti gajah asia, ungka, lotong dan badak sumbu Sumatera yang kian terancam.

Perjalanan kami dengan menelusuri tepian Ban Lang Dam ini yang jalannya berbengkang bengkok. Terasa seperti memandu di tasik banding pulak. Laluan ini kini dipendekan hampir 20 km apabila sebuah jambatan (N6 02.792 E101 11.801) dibina merentasi Ban Lang Dam ini.

terpaksa berjalan mendaki hampir 500 meter untuk sampai ke kawasan air terjun

Teruskan perjalanan lagi di laluan yang selesa ± 38km dan singgah ke Than To waterfall (N6 11.800 E101 09.831). Ia terletak dalam kawasan hutan simpanan Than To. Untuk masuk ke sini dikenakan bayaran sebanyak (hmmm THB30 kot). Kena berjalan ± 500 meter untuk sampai ke kawasan air terjun. Terdapat 9 air terjun yang menarik disini dengan pelbagai ketinggian. Aku hanya sampai kepada 7 tingkat sahaja.

Sepanjang perjalanan kami tadi, ada hampir 20 sekatan jalanraya, Alhamdulillah kami tidak pernah ditahan (mungkin kerana  kami pelancong dari Malaysia dan berkeluarga .. apapun syukur kepadaNya). Tetapi apabila hendak masuk ke Yala, hmmm.. semakin banyak sekatan yang agak ketat ditempuhi, bahkan ada satu ketika aku bersua dengan ssegerombolan terdiri dari beberapa trak tentera yang penuh dengan askar dan diawasi pergerakkan mereka dari helikopter. Sepanjang jalan juga kelihatan askar-askar meronda bahkan di beberapa buah masjid (sebelum sembahyang jumaat) diletakkan kereta perisai dengan tentera berjaga-jaga. Ironinya penduduk tetap mejalankan kegiatan harian mereka seperti tiada apa yang berlaku. (mungkin sudah biasa dengan keadaan sebegini)

Aku singgah sebentar ke pekan Yala dan berhenti bergambar di bulatan besar yang terkenal dan bulatan Clock tower (N6 32.869 E101 17.081). Yala digambarkan sebagai pekan yang terbersih dengan slogan Bandar Mempesona Sempadan Wilayah Selatan. Beberapa tarikan tidak sempat ku explore (insyaallah aku akan datang lagi).

Dari Yala ke Pattani jalannya  luas lagi selesa, maka di sini semestinya aku memandu pada kelajuan yang tidak dibenarkan di Malaysia. Keadaan di Pattani tidaklah sepanas Yala, kawalan keselamatan tidaklah terlalu ketat, beberapa pos kawalan dikenakan pada laluan masuk ke Pattani. Aku berpusing meronda ringkas pekan Pattani sebelum singgah bermalam ke Hotel My Gardens (N6 51.881 E101 14.494). Kadar sewaan sebanyak TBH770 untuk bilik famili. Bilik yang luas lagi selesa, berbaloi sungguh. Rehatkan badan dengan berendam dalam air panas bagi menyegarkan badan dan bersedia untuk aktiviti berikutnya besok.

Artikel berkaitan:-

1. Kembara Alam Bumi Siam: Day 1 – Betong Yang Beruntong?
2. Kembara Alam Bumi Siam: Day 2 – Merentas Yala Menuju Pattani
3. Day 3 – Pattani: Masjid Di Ziarah, Pantai di Jelajah

Tuesday, May 06, 2014

Intharason Waterfall: Lata Menyerlah Di Persembunyian Rimba

Tarikh : 01 Mei 2014   
Jarak  : ±13 km dari Pekan Betong, Thailand     
Coordinate: N5° 52.581 E101° 03.717

Air terjun ini terletak ± 13 km dari pekan Betong, sejauh  ± 3.5km dari kolam air panas Betong nya dan hanya 2km sahaja untuk ke terowong Piyamit. Ia Terletak dikawasan bukit bukau yang dikelilingi oleh kawasan hutan. Mudah untuk di akses kerana ia terletak ditepi jalan utama  ke Piyamit tunnel. Keindahan air terjunnya yang terletak dalam hutan hijau yang airnya mengalir dari tanah tinggi (Mungkin Banjaran Tititwangsa??) Salah satu air terjunnya yang setinggi 8 meter aku kunjungi dimana airnya mengalir turun ke dalam kolam dibawahnya dan ke kolam-kolam berikutnya. Sangat sesuai untuk mandian sekeluarga kerana tidak terlalu dalam.

Terasa puas menikmati keindahan di sini sambil merehatkan badan setelah penat memandu. Pengunjung boleh mandi sepuasnya dengan airnya yang sejuk menyegarkan badan di kolam yang terbentuk pada setiap aras air terjun.

Beberapa kemudahan asas yang ringkas tersedia seperti tandas, gerai dan kawasan parkir. Sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk berlibur sambil bersantai rasanya tidak ramai pelancong luar singgah kerana kesuntukan masa dan ingin ke lokasi lain lagi.

Air terjun ini setinggi hampir 8 meter

Pandangan dari bahagian atas

beberapa kolam cetek terbentuk

Monday, May 05, 2014

Kembara Alam Bumi Siam: Day 1 - Betong Yang Beruntong ?

Tarikh : 01 Mei 2014
Kos    : ± RM350.00 (All-in satu famili)  
Koordinate: N5 46.396 E101 03.632    
Laluan: TTG - Pengkalan Hulu – Betong – Ban Lang National Park – Bannang Sata – Yala – Pattani – Na Khet – Na Thawi – Khlong Ngae – Padang Besar – TTG 
Jarak : 142 km/760 km

Betong Trip

Betong adalah sebuah pekan yang paling selatan di Thailand. Kedudukannya yang dikelilingi oleh bukit bukau membuatkan kita berasa nyaman terutama diwaktu pagi kerana pekan ini akan diselaputi oleh kabus sebab itu ia digelar ‘The City in the Fog’. Terletak ± 7 km dari pintu sempadan Pengkalan Hulu di Malaysia dan ada beberapa keistimewaan yang menjadi tarikan pelancong Malaysia untuk mengunjunginya.

Cuti hari pekerja pada pada 1 May 2004 yang jatuh pada hari Khamis(dapat 3 hari cuti berturut) digunakan dengan membawa keluargaku untuk menjelajah kawasan Selatan Thailand yang bermula dari pekan Betong. Aku pernah ke sini semasa Kayuhan Rentas Sempadan pada 2012 lalu.

Kami bertolak dari rumah pada jam 8.00 pagi dan tiba di Pekan Pengkalan Hulu (Kroh) pada jam 9.45 pagi lalu singgah ke stesyen minyak Petronas (N5 42.186 E100 59.993) bagi memenuhkan tangki minyak keretaku. Mudah dan cepat dipemeriksaan imigresen Pengkalan Hulu namun sampai ke pemeriksaan imigresen Thailand, Hulamak! ramainya orang. Urusan passport dan pengistiharan kenderaan di kastam memakan masa hampir 1 jam (Fee untuk pengistiharan kenderaan dikenakan sebanyak RM5.00). Seusai urusan imigresen terus menuju pekan Betong meronda mencari tempat  menarik.

Thailand posbox

Peti surat asal

Simulasi

Pemandangan dalam city Convention Hall

Lokasi kunjungan pertama kami ialah ke penghujung jalan Sukkayang berhampiran Clock Tower untuk melihat sebuah Peti pos lama (N5 46.299 E101 04.281) yang dibina pada tahun 1924 (2467). Peti Pos setinggi 3 meter dan berukurlilit 1.5 meter. Dengan usianya lebih dari 90 tahun  ia masih berfungsi dan digunakan sehingga kini.

Seterusnya kami ke Dewan Persidangan Betong ( City Convention Hall - Sala Prachakhom) yang terletak di Khong Kha road juga bagi melihat sebuah simulasi Peti Pos (N5 46.636 E101 04.384) yang 3 kali ganda besar dari yang pertama tadi. Peti pos setinggi 9 meter yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar

Jalan masuk ke terowong

Pemandangan di dalam terowong

Di muka keluar terowong

Lokasi berikutnya adalah ke Betong Mongkhonrit Tunnel (N5 46.211 E101 04.286). Ia terletak di jalan Amonrit merupakan terowong yang pertama dan terbesar di Thailand. Terowong yang tidak lurus tetapi melengkong sejauh 268 meter yang menghubungkan pekan Betong dengan pekan baru di sebelah tenggaranya. Ianya dibuka pada 1 Januari 2001.

Dipenghujung terowong ini ada sebuah taman yang terdapat 2 ekor patung ayam yang besar . Sempat bergambar seketika dan seterusnya memanjat melalui tangga yang disediakan ke bahagaian atas terowong ini. Disini terdapat beberapa binaan berbentuk dinasour. Namun sayang beberapa kemudahan yang disediakan disini sudah rosak tidak terjaga.

Jam 12.00 tgh, perut sudah lapar, maka mencarilah kami tempat makanan halal. Nampaknya tidak ada masalah mencari makanan halal di sini. Sengaja mencari sedikit kelainan dan singgah ke Restoran Hantana (N5 46.536 E101 04.229) menikmati makan tengahari. Sambil-sambil tu aku bertanya pendapat tuanpunya restoran mengenai keselamatan laluan ke Yala dan Patani.

Seusai makan tengahari , aku check-in ke Hotel Kongka (N5 46.254 E101 04.82) yang terletak di Jalan Chayachawalit. Kadar sewaan sebanyak RM79.00 (boleh guna duit Malaysia) dan agak selesa. Hotel yang dimiliki oleh seorang pengusaha cina Malaysia dari Kuala Lumpur. Hotel ini sering menjadi pilihan masyarakat india untuk menginap kerana kawasan berhampiran disediakan makanan ala india dan lain-lain lagi. Berhampiran kawasan ini ada beberapa hotel seperti Betong Merlin, Betong Plaza, Sri Betong lain-lain lagi. Kemudahan makanan halal juga senang didapati seperti Restoran Sharipah. Mandi dan menunaikan kewajipan sambil lelap seketika sebelum meneruskan perjalan berikutnya.

Jam 2.00 ptg kami bertolak menuju ke Betong Hotspring (N5 50.980 E101 04.306). Ia terletak ±10km dari Hotel kami. Ada sebuah kolam utama yang besar dan airnya disalur ke sebuah kolam berhampiran. Di kolam ini ramai yang berendam kaki kerana kurang kepanasannya. Dikolam utama ada 3 kolam yang dibina khas yang boleh diguna untuk merebus telor. Prasarana yang lengkap dibina untuk pelancong seperti gerai jualan, tandas dan ada sebuah resort iaitu Bor Nam Ron Resort. Ia menyediakan bilik standard dengan kadar harga RM72 atau THB650 dan sewaan bungalow dengan senibina ala Thai Muslim yang lengkap dengan kemudahan mewah moden dengan kadar harga RM110 atau THB1,000. Resort ini turut menyediakan kemudahan SPA dan Suana disamping kemudahan kolam renang air mineral yang bersih, selamat yang sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak.

Penginapan turut disediakan di sini

Kemudian kami menuju ke kebun bunga atau dikenali sebagai Mai Dok Mueang Nao Garden (N5 53.135 E101 01.361) yang jaraknya 9km dari Hotspring. Sebuah kawasan yang ditanam dengan bunga-bunga kawasan sejuk. Lanskapnya yang cantik dengan bunga-bunga yang menyerikan. Ia adalah satu projek yang dicadangkan oleh Puteri Sirinthon.. Bayaran masuk sebanyak RM3.00 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak. Kemudahan penginapan dan restoran ada disediakan. Disini baruku tahu betapa sukarnya kalau nak kayuh mendaki ke sini. Laluan yang curam dan ada disatu tempat sebuah van pelancong dari Malaysia terpaksa berhenti ditepi jalan kerana tidak ada ‘power’ untuk mendaki (dari Piyamit ke kebun Bunga)

Kemudian kami ke Piyamit Tunnel (N5 53.392 E101 02.790). Sebuah kubu perlindungan yang digunakan oleh pihak komunis Malaya. Bentuk  sama seperti terowong komunis di Khao Nam Kang. Terletak di kawasan pergunungan dan hutan tebal yang menyukarkan ianya dikesan. Ia dibina dalam tahun 1977 hasil kerja keras para pengganas bagi mengelak serangan udara dan sebagai tempat simpanan bekalan makanan. Terowong sejauh 1 km dan selebar ± 2 meter. Ada beberapa kemudahan ringkas sebagai ikhtiar hidup di dalam hutan. Anda perlu mendaki ± 1km sebelum sampai ke pintu masuk ke terowong. Bayaran masuk sebanyak RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak. Dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang.

Ada beberapa lokasi air terjun namun aku memilih untuk mengunjungi Intharason waterfall (N5 52.520 E101 03.787). (KLIK) Air terjun cantik bertingkat. Berehat seketika disini sambil menikmati keindahan alam dan melapik perut. Jam 6.00 balik ke semula ke hotel.

Suasana malamnya di Betong semakin meriah dan hidup. Dendangan lagu dari pusat karaoke berkumandang berdentum-dentum. Malamnya aku meronda ke Clock Tower (N5 46.302 E101 04.288) yang menjadi mercu tanda dan landmark kota Betong. Binaan cantik yang dibuat dari marmar dengan ukiran Hamara. Pada waktu malamnya dapat menyaksikan ribuan burung layang-layang bertenggek di wayar-wayar berhampiran menara jam ini.

Betong Mongkhonrit Tunnel  di waktu malam

Bersambung …… Perjalanan ke Yala & Patani

Artikel berkaitan:-

1. Kembara Alam Bumi Siam: Day 1 – Betong Yang Beruntong?  
2. Kembara Alam Bumi Siam: Day 2 – Merentas Yala Menuju Pattani                               
3. Day 3 – Pattani: Masjid Di Ziarah, Pantai di Jelajah