Wednesday, July 17, 2013

Kayuhan Muhibah Bandung: Menyasar Bandung, Menjelajah Cangkuang

Tarikh  :  23 Jun 2013, Ahad  
Laluan : Garut – Situ Bagendit - Cangkuang -  Bandung
Jarak   :  ± 91 km

Waktu yang dinyakan disini adalah waktu Malaysia Bandung4 Malamnya beberapa sahabat Team Treple C antaranya Daddy, Tono, Ryan, Sidik dan Tatang turut bermalam di Wisma Hijau. Paginya setelah doa dan sedikit taklimat dari bapak Deny Suwarja, kami memulakan kayuhan pada jam 8.30am. Kami diiringi oleh team KGC seperti Yudi, Asep dan beberapa orang lagi. Kayuhan menelusuri Jalan Cimanuk sebelum membelok menuruti jalan Jenderal Ahmad Yani untuk bertemu dengan beberapa lagi ahli Team KGC berhampiran Alun-Alun Garut(S7 12.989 E107 54.075)(berhampiran Masjid Agung Garut). Pada hari minggu di kawasan ini hanya pejalan kaki dan basikal dibenarkan untuk melaluinya (seperti Car Free Day), bahkan di alun-alun seperti ada pesta keramaian, kanak-kanak bermain basikal, menaiki keretapi, kereta yang ditarik oleh kambing dan ada juga senaman pagi ala-ala aerobik. Memang meriah sekali pagi disini sesuai untuk bersantai bersama keluarga.

Garut memang terkenal dengan perniagaan berasaskan kulit(kambing) jadi kami juga dibawa ke kedai-kedai di Jalan Jenderal Ahmad Yani yang menjual barangan berasaskan kulit seperti jaket, kasut, bag dan lain-lain lagi. Berdekatan kawasan ini ada Pusat Kerajinan Jaket Kulit( S7 13.031 E107 54.895). Kualiti yang dikeluarkan oleh pengusaha kulit Garut ini setanding dengan jenama tersohor dan ianya turut diekspot ke luar negara terutama ke Malaysia, Singapura dan lain-lain negara luar. Aku memang berminat sekali untuk memiliki barangan kulit disini tetapi kedatanganku kesini untuk bersepeda maka hasrat untuk membeli jaket dan sepatu terpaksa ditunda ke satu masa yang sesuai.

Situ Bagendit(S7 09.669 E107 57.034) sebuah danau (Sunda: situ = danau) yang kononnya terhasil apabila sang pengemis mencabut ranting yang dipacaknya lalu memancutkan air hingga melimpah. Ia terletak ±20 km dari Garut. Pengunjung boleh menaiki rakit dan perahu kayuh dengan bayaran tertentu disamping boleh menikmati makanan belut yang sangat mudah didapati. Disini kami berhenti  dan berehat hampir 20 minit sambil menikmati keindahan danau ini. Kayuhan kami ke sini turut diiringi oleh seramai hampir 25 orang ahli KGC.

Kami sambung kayuhan sejauh hampir 13km lagi dengan sedikit pendakian sebelum berhenti disatu kawasan peranginan yang agak terkenal di Garut iaitu Candi Cangkuang (S7 06.070 E107 55.194). Candi Cangkuang adalah sebuah candi hindu yang dibangunkan semula dalam tahun 1960an. Ianya terletak diatas sebuah pulau yang dikenali sebagai Kampung Pulo. Disebelah candi terdapat sebuah makam nenek moyang penduduk asal Kampung Pulo iaitu Eyang Embah Dalem Arif Muhammad (tokoh yang menyebarkan agama islam di daerah ini). Kampung Pulo dihuni oleh waris Mbah Dalem. Untuk ke Kampung Pulo dan Candi Cangkuang perlu menaiki rakit khas dengan dikenakan bayaran sebanyak Rp 70,000 (secara borong). Kalau orang perseorangan Rp 4,000 bagi dewasa dan kanak-kanak sebanyak Rp2,000.

Selepas itu kami menikmati makan tengahari yang enak di Restoran Sari Cobek (S7 06.028 E107 55.165) yang terletak berhadapan dengan parkir wisata Cangkuang (hanya beberapa meter sahaja dari pintu masuk ke Candi Cangkuang) dengan hidangan nasi timbel dan ikan Kaloi (makanan ala Sunda). Makan dipondok terapong yang dibina di atas tasik. Sungguh unik dan menarik.

Kayuhan disambung kembali pada jam 2.45 pm dengan laluan mendatar sehinggalah kami memasuki Lingkaran Nagrek Baru dimana perlu mendaki hingga kepuncak sebelum menurun dengan laju dijalan sehalanya. Kemudian memasuki laluan yang sesak menuju ke Bandung dan selamat tiba ke tempat penginapan iaitu Mess LAPAN pada jam 6.20 petang. Makan malam bersama team Treple C sebagai meraikan perpisahan antara kami.

Terima kasih kepada pengiring kami iaitu Pakcik, Majid dan Tio Blackbat yang tidak jemu melayan karenah kami. Terima kasih juga kepada Team Triple C dan KGC Garut atas kerjasama yang diberikan.

Bergambar bersama team Triple C dan KGC Garut sebelum memulakan kayuhan

Di Alun-Alun.. Pada hari minggu ada keramaian sesuai untuk santai bersama keluarga

Car free Day. Berlumba dengan Sang Domba

Di hadapan Masjid Agung Garut yang terletak berhadapan dengan alun-alun di Jalan Jenderal Ahmad Yani

Pelbagai ragam dan gaya manusia

Di salah sebuah kedai milik Team KGC. Sepatu dan Jaket kulit buatan sendiri

Antara kilang perusahaan pembuatan berasaskan kulit

Tio dengan jersi Malaysian Gold Jamboree

Berada di kawasan Situ Bagendit. Salah satu kawasan rekreasi air kerana ada danau yang cantik

Nasi dan lauk belut goreng yang mudah didapati disini.

Menaiki rakit untuk ke Pulau – Kampung Pulo

Tasik ini tidaklah dalam olehitu kesempatan bermain dan memancing oleh kanak-kanak di Cangkuang

Ada perniagaan kecil berasaskan pelancongan di Pulau ini. Kebanyakkan waris yang berniaga

Di kiri gambar adalah makam Eyang Embah Dalem Arif Muhammad dan belakangku Candi Hindu Cangkuang. Disebelahku kelihatan penduduk berhampiran sedang membaca Yasin dan berdoa di makam tersebut. Kebanyakkan pengunjung yang kesini adalah untuk acara ritual dan rekreasi

P6231308

Walaupun kebanyakkan penduduk beragama islam, namun masih ada kepercayaan lama yang masih diamalkan seperti tidak boleh bekerja pada hari Rabu, tidak boleh memelihara haiwan berkaki empat dan memukul gong di Pulau ini.

P6231322

Disebelah makam ada sebuah bangunan seperti  muzium yang mempamerkan beberapa kitab lama kepunyaan Eyang Embah Dalem Arif Muhammad, ditunjukkan gambar cara memproses ‘MANGSI HIDEUNG’, ada salasilah keluarga, cara pembuatan Daluang dan alat-alat membuat kertas, kisah  tentang kampung Pulo dan sedikt tentang Cangkuang

Menandatangani Buku Tamu

Cangkuang adalah nama sejenis tumbuhan spesis pandan (nama Saintifiknya: Pandanus Purcatus). Ianya digunakan oleh penduduk tempatan untuk membuat tikar, tudung dan untuk tujuan perubatan

Sebelum ke Candi harus melalui sebuah perkampungan di pulau ini – Kampung Pulo yang menempatkan Rumah Adat Kampung Pulo. Rumah ini adalah peninggalan dari Eyang Embah Dalem Arif Muhammad. Terdapat 7 buah rumah yang melambangkan keturunan/anak Embah yang seramai 7 orang. Ada 6 buah rumah adat yang melambangkan anak perempuannya dan sebuah masjid yang melambangkan anak lelakinya. Dari dahulu sehingga kini kesemua rumah ini mesti kekal 7 buah. Menurut cerita waris  yang ada kini adalah dari keturunan sebelah perempuan kerana keturunan lelaki telah meninggal dunia bahkan hanya anak perempuan sahaja yang boleh menginap dirumah dan pulau ini. Waris lelaki harus keluar dan tinggal diluar pulau.

Pada setiap 14 Maulud, waris akan melakukan adat/ritual memandikan barangan pusaka mereka.

 

 

Menikmati makan tengahari di Rumah Makan Sari Cobek. Makan diatas pondok terapung, boleh mengail dan memberi makan ikan yang berenang dibawahnya. Bisa terlelap seketika disini.

Nasi Timbel (dalam bungkusan daun pisang)

Menghampiri puncak di Lingkaran Nagrek Baru dengan melalui terowong

Bersesak dan menyelit dicelah kenderaan dijalan AH Nasution untuk ke penginapan di Mess LAPAN

3 comments:

  1. Narasi yang menarik,elok ,semua moment menjadi kenangan buwat goweser yang menjadi catatan sejarah diri

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dodo.
    Mencatat segala pengalaman sepanjang perjalanan untuk ingatan dimasa hadapan dan panduan

    ReplyDelete
  3. Tulisannnya sangat lengkap. Informatif dan mengalir....bagus sekali pak cik!

    ReplyDelete