Monday, December 06, 2021

DUSUN SENGET: AIR TERJUN DI PERBATASAN SEMPADAN

Tarikh  :  26 Nov 2021
Lokasi  :  Dusun Senget, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.
Coordinate :  N6.44504° E100.14496°

Pagi ini kami bersama saudara Adi Harriman bersama isterinya, Deviyana bertolak dari Alor Setar pada jam 7:30 pagi. Plan asal untuk bersarapan di D’ Petak Paksu, namun kecewa kerana tutup pada hari Jumaat maka kami singgah di Kuala Perlis untuk melapik perut.

Jambatan Pelangi Atau Jambatan Tuanku Syed Putra aka Titi Tinggi

Usai sarapan kami menuju ke Jambatan Tuanku Syed Putra atau dikenali sebagai Titi Tinggi oleh penduduk tempatan. Jambatan ini dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Harun Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 30 Januari 1961. Jambatan ini menghubungkan Kampung Seberang Tok Pi di sebelah Pekan Kuala Perlis ke penempatan asal Kuala Perlis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai. Jambatan ini telah diganti sebanyak 3 kali atas faktor keselamatan.

 

Jambatan yang dicat oleh Persatuan Mendaki Perlis 

Jambatan ini kini dikenali sebagai Jambatan Pelangi kerana dicat dengan warna-warna pelangi hasil sentuhan Persatuan Mendaki Perlis. Ia bermula pada 17 Januari 2021 dan siap dalam masa 12 hari.

Jambatan ini kini menjadi ikon di Kuala Perlis di samping kampung Seberang Ramai di seberang sana yang dikenali sebagai Kampung Warna Warni.  

Pohon mati di pinggir panta

Kemudian kami mengunjungi Kampung Warna Warni bagi melihat keindahan rumah-rumah disini yang sudah kelihatan cantik dan bersih. Kampung Warna Warni adalah perkampungan nelayan tradisional yang merangkumi beberapa kampung seperti Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Tembok sempadan Antarabangsa

Kemudian kami menelusuri laluan tepi pantai menuju ke arah Pos Batu Putih dan singgah ke satu kawasan di pagar sempadan bagi melihat tembok sempadan. Tembok konkrit setinggi ± 2.4 meter dibina bagi memisahkan Kuala Perlis-Satun.

Sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Batu Putih, hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer manakala sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Kayuhan kami ke sini selepas PKP1 -  KLIK SINI

Grand Canyon Perlis @ Kampung Wai - Pada waktu tertentu air sungai ini jernih dan menghijau.
 

Selepas itu kami ke Kampung Wai, ke jambatan viral berhampiran Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh. Terowong sepanjang 756 meter yang bermula dari kampung Tebing Tinggi dan menembusi Bukit Banjaran Nakawan ke Kampung Wai, Kuala Perlis. Dikatakan sebagai terowong laluan air terpanjang di Malaysia. Ia selebar 10 meter dan berketinggian 7 meter. Projek Lencongan Banjir ini bermula pada Disember 2012 dan siap pada tahun 2016.

Kami melanjutkan perjalanan dengan menelusuri laluan mini tar menghala ke arah kawasan dusun. Perjalanan mengambil masa ± 10 minit hingga kami sampai ke kawasan lapang dan dikenali sebagai ‘Dusun Senget’. Disini terdapat air terjun kecil yang mengalir melalui batu-batu kapur. Punca air terjun ini adalah dari matair yang keluar melalui celahan batu dari kawasan bukit berhampiran.

Air terjun ini terletak di atas tanah persendirian. Kebetulan tuan tanah sedang memperbaiki dangaunya lalu aku meminta izin untuk memasuki kawasan dusunnya.

Mencari batu sempadan

Selepasa bergambar, kami meneruskan perjalanan merentas hutan kecil, melalui kawasan dusun untuk mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Malangnya kami tersasar di simpang yang membawa kami ke kawasan dusun yang tamat dipinggir hutan. Memandangkan masa terhad (dah nak masuk jumaat) kami terpaksa menangguhkan pencarian batu sempadan. 

V Tree
Bunga Kantan Hutan. Terima kasih
Santai di Kolam Renang @ Orang-orang Village

Usai solat Jumaat kami ke Orang-Orang Village (N6.4006, E100.2269) di tepi Jalan Jejawi - Tambun Tulang, berdekatan kampung Alor Redis.

Ia adalah penginapan ala Kabin yang pertama di Perlis. Terdapat 3 buah kabin dan yang bestnya ada kolam renang. Ia dikelilingi oleh sawah padi. Kami ke sini bagi meninjau kesesuaian aktiviti di masa hadapan.

    
Bendang View. Kabin atau bilik atau mengadap sawah