Tarikh : 20/12/2020
Misi : Menjejaki Gua Labua
Lokasi : Hutan Ulu Muda, Sik, Kedah, Malaysia.
Coordinate : N6.12592° E100.98622°
Gua Labua/Labu adalah antara gua yang terdapat di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik. Ia terletak di Bukit Labu dan mengambil masa ±2 jam perjalananan merentas hutan dara Ulu Muda. Hutan di sini sangat penting kerana ia menjadi kawasan tadahan air terbesar bagi mengisi tiga empangan buatan manusia yang utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu. Ia membekalkan keperluan bekalan air dan pengairan kepada ribuan penduduk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Hutan seluas 105,060 hektar (hampir seluas 2 kali ganda Perlis) yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.
Hari ini aku bersama isteri, Adi Harriman dan isterinya menyertai satu kelompok berjumlah 20 orang dengan 3 orang guide masuk ke dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda bagi menjejaki gua Labua. Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Ulu Muda, merentas tasik dan memudik sungai Muda hingga sampai ke trek berhampiran Earth Lodge (N6.11545° E100.96354°).
Bersama guide dan sahabat hiking
Kami memulakan perjalanan pada jam 10:40 pagi dan dipandu oleh Pak Din (Zainuddin Abbas) dan 2 orang guide. Hujan semalam menyebabkan paras air di tasik, meningkat dari biasa. Ia juga menyebabkan laluan menjadi lechah dan licin. Ditambah cabaran menghadap serangan nekad pacat yang laparkan darah. Malang bagiku kasut lekang tapak menyebabkan cengkaman dilaluan becak dan pendakian terasa sukar. Merentas hutan dalam suasana redup memang menyeronokkan sambil menikmati keindahan flora dan fauna, anak sungai yang cantik namun hujan menyebabkan airnya keroh dan laju.
dihadapan pintu gua : kredit kepada sdr Mirat
Kami berhenti berehat dibeberapa tempat dan setelah hampir 2 jam 30 minit (jarak yang dicatat oleh Garminku ialah ±4.5km), kamipun sampai ke pintu gua dan hujan mula turun. Kami memasuki gua yang dalamnya bersih. Ia hanya sepanjang ± 90 meter sahaja dan tembus hingga ke bahagian belakang. Ia mempunyai 3 bukaan gua dan ada lubang di bahagian lelangit yang membolehkan cahaya matahari menerobos masuk. Terdapat banyak stalaktik dan Stalagmik dengan formasi menarik. Dari atas lubang di siling gua kelihatan akar pokok jejawi (ficus) yang menjulur turun hingga ke lantai gua terbentuk bagai tiang unik. Berdekatan gua ini ada beberapa gua lagi, namun agak bahaya untuk dimasuki kerana licin akibat hujan.
Kredit Gambar ini kepada saudara Mirat
Setelah hampir 50 minit meneroka gua, kami bergerak balik pada jam 2:00 petang dan sampai ke bot pada jam 4:00 ptg. Kami menikmati makan tengahari yang lewat di atas bot. Kelihatan ramai yang kelaparan dan keletihan.
Menikmati makan tengahari yang lewat
Selepas makan, tenaga kami semakin pulih dan kami menaiki bot menuju ke Sira Air Hangat (N6.10769° E100.96066°), Ia sangat unik kerana adalah kombinasi mata air panas & sira garam. Pelbagai haiwan datang untuk menjilat dan mendapatkan sumber mineral berkhasiat. Aku difahamkan sira ini berkeluasan ± 48m panjang dan selebar 24m. Namun sedikit kecewa apabila kami sampai sira ini ditenggelami oleh air. Hmmmm….
Kami bertolak balik dan sampai ke jeti pada jam 6:05 petang. Alhamdulillah satu pengalaman yang berharga dan menyedarkan aku betapa pentingnya kawasan ini dipulihara demi menjamin kelangsungan ekosistem yang kaya dengan pelbagai biodiversiti.