Tarikh : 26 Februari 2017
Jarak : 3.8 km
Max Elev. : 280 meter
Coordinate: (N6.31446° E100.48331°).
Lokasi : Bukit Tunggul Besar, Bukit Wang, Jitra, Kedah, Malaysia
Bukit Wang adalah salah satu kawasan rekreasi yang terkenal dikalangan penduduk kawasan utara terutamanya dari Alor Setar dan Jitra. Ia terletak ± 40km dari Alor Setar dan 11km dari Pekan jitra. Berada di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin di daerah Kubang Pasu dan dikelilingi oleh bukit bukau. Hutan Lipur ini berkeluasan 867 hektar dan telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak tahun 1937.
Terkenal kerana kedinginan air terjunnya yang datang dari sebatang sungai yang dikenali Sungai Tosak sepanjang ± 15 km. Terdapat kemudahan asas yang disediakan seperti chalet, tapak perkhemahan, tandas awam, kolam kanak-kanak, pondok, laluan refleksologi kaki, surau, jambatan, laluan pejalan kaki dan lain-lain. Kemudahan yang tersedia menyokong untuk aktiviti riadah seperti berkhemah, berbasikal dan trekking hutan. Terdapat beberapa buah bukit yang mengelilinginya iaitu Bukit Hangus (470 m) di utara, Bukit Besar (461 m) di barat, Bukit Buluh (440 m) di timur dan Bukit Tunggal Besar (260 m) di Selatannya.
Aku acapkali berbasikal disini tetapi tidak pernah untuk hiking dibukit dikawasan ini. Dek kerana itu, maka perkara pertama yang aku lakukan adalah membuat tinjauan awal ke sini, memahami laluan disamping merujuk peta topo. Dari pemerhatian, aku mendapati bukit ini sudah pernah dijelajah oleh geng 4H Jitra, jadi sudah ada tanda/jejak dilakukan oleh mereka. Ini memudahkankan kami untuk hiking dikawasan ini.
Memandangkan kawasan ini tersangat sunyi, maka aku mengajak beberapa sahabat GAT dan keluarga untuk turut menjelajah ke bukit ini. Kami parkir kereta di kawasan parking sediada di air terjun Bukit Wang. Jam 9.30 langkah dimula, doa dibaca memohon agar selamat perjalanan dan dijauhkan bahaya. Perlu diingatkan bahawa di kawasan ini banyak babi hutan. (Dulu kami pernah membina trek DH disini dan sering dirosakkan oleh babi). Dari parkir kami berjalan menelusuri jalanraya (ke selatan) ± 400 meter ke trailhead (N6.31613° E100.48029°) dari sini pendakian pun bermula. Laluan ± 1 km semuanya mendaki sehingga kami hampir sampai ke puncak Bukit Tunggul Besar Kecerunanpun seperti mencanak. Hutannya tidaklah tebal dan kebanyakan pokok didominasikan oleh pokok palm, pokok Seraya (Shorea curtisii) yang tumbuh secara semulajadi dimana diameternya lebih dari 120 cm.
Kami mengelilingi bukit tunggul ini yang laluannya turun naik tetapi kecerunan agak mencanak. Setelah 2 jam 50 minit, dengan berjalan turun dan naik sejauh 3.8km, akhirnya kami selesai menjelajah mengelilingi Bukit Tunggul Besar ini dan kembali ke kawasan parkir. Disini kami merehatkan diri dan membuka bekalan buat mengalas perut yang sudah berbunyi.
Sedikit pengalaman pahit yang aku hadapi ialah apabila digigit oleh ‘cekenit ‘@ sengkenit (kutu babi) yang hinggap dicelah paha. Kesan dari gigitan aku terpaksa merana kegatalan hampir 2 bulan.
7 orang memulakan langkah dari kawasan parkir
Trek yang sudah ada laluan/tanda
Pernah kajian dilakukan disini yang mendapati sebanyak 15 spesies amfibia yang terdiri daripada 6 famili dan 15 spesies reptilia yang terdiri daripada 7 famili telah ditemui.
Dominasi pokok palma dikawasan ini
Merenung Bukit yang kecerunannya lumayan jugak tu …
Kawasan sekitar (Bukit Wang) juga menjadi tumpuan penggemar burung.