Friday, October 28, 2016

Phatthalung/Trang: Misi menjelajah Tasik, Gua dan Sungai

20160930_144924

Tarikh : 30 September 2016
Misi: Menjelajah Tasik & Sungai
Laluan: Wang Klian – Trang – Khao Kop – Bang Di – Huai Nam Sai - Nhan Mod Dang – Phatthalung – B.K.Hitam 
Jarak: ± 914 km
 

peta Trang
2hb cuti Muharam, Kedah mendapat 3 hari cuti berturut.  Bagi mengisi cuti ini aku mengajak familiku untuk jelajah ke Phatthalung.

Kami memulakan perjalanan dari rumah seawal jam 7.00 pagi dan jam 9.00 pagi sudah melepasi sempadan lalu menuju ke Chalung untuk tukaran duit dan sarapan ditempat selalu kami singgah (tuanpunya kedai makan dah kenai kami, sambil tanya nak kemana pulak?). Selepas itu topup sim card Thai sebanyak THB100 di Tha Pae (kerana disini  mudah berkomunikasi dalam bahasa Melayu).

Teruskan perjalanan dan singgah disebuah tempat(tasik) berdekatan Na Thon. Tasik (N7.01973° E99.75078°) yang dijadikan kawasan rekreasi. Ada kedai makan muslim yang dipunyai oleh Hassan. Beliau boleh memahami dan bertutur bahasa Melayu walau tidak lancar. Beliau juga memaklumkan bahawa kawasan sekitar ini ramai muslim dan ada sesetengah boleh bertutur bahasa Melayu juga. Beliau juga mempunyai 2 unit homestay yang berharga THB1500.00 semalam. Tasik ini jernih airnya dengan angin yang bertiup dengan berlatar bukit menghijau pasti membuat hati menjadi tenteram jiwa menjadi tenang dan pasti mengasyikkan.

Melewati pekan Thungwa, terlihat aku satu lagi tasik dengan pokok-pokok dihias indah bagai taman. Singgah seketika ditempat ini (N7.07639° E99.79149°). Kelihatan bebarapa orang sedang bersiap untuk mengadakan seperti satu acara, lampu dan pembesar suara sedang dipasang. Tanaman pokok bunga tahi ayam (lantana camara) dihias dan ditanam tersusun cantik. Tasik dibelakang (tak pasti tasik buatan atau asli) yang berlatarkan bukit dan air yang menghijau. Kreatif sekali penduduk Thailand, membuat sesuatu yang biasa menjadi luar biasa dan menjadi daya tarikan.

Selepas puas bergambar kami bergerak menuju ke Trang dan singgah di stesyen keretapi Trang (N7.55460° E99.60530°) bagi menunjukkan kepada anak-anak aku salah satu keunikan yang mungkin hanya terdapat di Trang iaitu ‘Tuk-Tuk Hua Kop’. Keunikannya pada bentuk kepala tuk-tuk bagaikan kepala katak (hua kop). Tuk-tuk ini dibawa masuk ke Thailand pada penghujung tahun 50an, masih beroperasi walau lebih 60 tahun telah memberi perkhidmatan dan mewarnai pekan Trang. Keunikannya membuat tut-tut ini menjadi ikon Trang dan menarik pelancong untuk bertandang ke sini.

Seterusnya kami mengahala ke utara dengan mengikuti highway 419 dan selepas ±10km belok kiri mengikuti highway 403 dan selepas hampir 32km kami pun tiba ke Khao Kop Cave (N7.79371° E99.57247°). Kha Kop cave adalah sebahagian dari bukit Khao Kop bahkan terdapat berberapa buah gua lagi di sekitar bukit ini. Terdapat sungai sepanjang ± 9km yang mengelilingi bukit ini dan sungai ini berpecah dua dimana sebatang sungai akan mengalir melalui gua Khao Kop ini sejauh ± 800 meter. Terdapat perkhidmatan sewaan bot untuk memasuki gua ini yang dikenakan sebanyak THB200 per bot (memuat maksima 5 orang). Bot kecil dikayuh untuk masuk ke dalam gua dan berhenti di satu kawasan yang terdapat banyak stalagmite & stalactite yang cantik dengan pelbagai bentuk seperti itik tergantung, kaki gajah, kemaluan lelaki dan sebagainya. Pengalaman paling mencabar ialah diakhir perjalanan (sejauh ±200 meter) menerobos gua yang dikenali sebagai ‘Thong Mangkon’ (perut naga) yang cukup sempit. Kami terpaksa tidur melentang di dalam bot dan tidak dibenar untuk panggung kepala (bahkan aku tak dibenar tangkap gambar) kerana bimbang luka tersangkut dinding gua.. mana tidaknya kami terpaksa melalui lubang gua yang cukup sempit semuat bot tersebut ditambah dengan suasana gelap yang hanya diterangi dengan lampu picit pengemudi. Dengan pengalaman jurumudi berjaya melolos gua ini tanpa cedera. Walaubagaimanapun jurumudi ada meminta tips dan aku memberi sebanyak THB200.

Selesai aktiviti kami bergegas untuk ke Thale Song Hong. Di pertengahan jalan aku ternampak sebuah tasik rekreasi (N7.78300° E99.50602°) berdekatan Ban Phru Chud Health Center. Singgah sebentar untuk bergambar. Tasik ini menyediakan rakit buluh dan airnya sangat jernih. Ramai penduduk tempat datang ke sini berehat bersama keluarga atau kawan-kawan pada waktu petang.

Thale Song Hong = Lake of Two Rooms (N7.84140° E99.47875°). adalah sebuah tasik air tawar semulajadi. Ia dipisahkan oleh tanah ditengah menjadikan 2 bahagian di mana dibahagian utara air biasa yang jernih dan diselatannya air bagaikan ‘emerald’ yang cukup jernih sekali hingga menampakkan ikan berenang. Terletak dikawasan agak pendalaman iaitu di Bang Di, Huai Yot, ± 40km ke utara Trang, Thailand.

Tidak lama kami disini kerana kawasan ini agak sunyi lagipun aku mesti sampai ke Nhanmoddang (Pa Payom) sebelum senja. Singgah ke Huai Nam Sai Dam (N7.89244° E99.80888°). Di sini adalah sempadan daerah Phattalung dan Nhakon Si Thammarat. Air di tasik ini kelihatan surut dengan agak kritikal. Kemudian kami meneruskan perjalanan mencari chalet yang sesuai dan singgah ke chalet yang menarik kawasan sekitarnya. Pengusaha chalet juga menyediakan perkhidmatan rekreasi kayak. Chalet ini harganya THB800 dan pagi besoknya cadang untuk berkayak di sini.

Sejak semalam aku sudah terasa seram sejuk bagai nak demam dan pagi ini aku membatalkan misi kami untuk berkayak bila badanku semakin panas. Sebelum pulang kami bersarapan di sebuah gerai. Ramai penduduk muslim dikawasan ini bahkan sesetengah penduduk boleh bertutur bahasa Melayu. Aku gagahkan kudrat memandu balik dan sebelum tu singgah di Route 41 (N7.67958° E100.01172°) yang menjadi persinggahan wajib geng motor. Sebuah tempat rehat/kedai makan /kedai cenderamata yang dibina ala western (cowboy town). Awal pagi kami disini dan masih belum buka  dan peluang ini kami gunakan untuk bergambar sepenuhnya.

Dalam perjalanan pulang kami singgah ke Khlong Hu Rae (N7.41775° E100.14114°). Sebuah tempat yang jaraknya ±30km ke Selatan dari Phatthalung. Ia adalah sebatang sungai yang airnya jernih dan pondok-pondok dibina di atas sungai. Menjadi tempat beristirehat penduduk tempatan untuk bersantai menyejukkan badan. Jangan bimbang soal makanan kerana ada beberapa orang pengusaha muslim menjalankan perniagaan disini.

Fuhh Lega …. Keluar dari gua perut naga yang sempit

Chalet Di Nhanmoddang, Nakhon. Ia juga menyediakan pakej berkayak

Di  belakang chalet ada mengalir sungai yang berpunca dari Empangan Huai Nam Sai Dam. Ada lokasi tempat bermain dan bergayut

Khlong Hun Rae - Boleh beristirehat di atas pondok sambil berjuntai kaki ke dalam air sejuk yang mengalir