Sunday, January 03, 2016

Koh Lanta: Limpahan Keindahan Pulau

Tarikh : 25 Disember 2015
4 Island Trip: Koh Chuek,Koh Ngai, Koh Mook & Koh Waen
Misi: Island Hoping & Snorkeling
Koordinate: N7.53103° E99.09472°
Jarak : ± 60 km

Koh Lanta 4 Island

Day 2

Koh Lanta mempunyai lebih dari 50 pulau kecil sekitarnya. Tidak banyak pulau-pulau ini yang mempunyai pantai tetapi mempunyai keindahan semulajadi tersendiri yang menakjubkan. Pulau-pulau ini dilindungi dan diletakan dibawah perlindungan Taman Laut Negara. Dek kerana keindahan semulajadinya itu dengan pulau yang cantik dan lautan yang membiru, ramai pelancong datang untuk menyaksikan dan merasai sendiri keindahannya. Kami juga tidak mahu melepaskan peluang ini. Walau mungkin ada beberapa pulau telah kami singgah dahulu semasa kunjungan ke Trang (KLIK), namun tidak kisahlah kerana sememangnya pulau-pulau ini ada keunikkan tersendiri.

Seusai mendaftar semalam, kami terus membuat tempahan untuk pakej 4 Islands Tour dari agensi Green Group Travel. Kos yang dikenakan ialah THB800 (dewasa) dan THB400 (kanak2). Pakej meliputi insuran, pengangkutan ke jeti dari chalet, makan tengahari, kudapan buah, alatan snorkling, jaket keselamatan dan jurupandu. Pemilik Green Group Travel ini adalah muslim, maka makanan tengahari terjamin kehalalannya. Aku siap tanya berulang kali untuk kepastian. Bahkan atas pickup aku tanya sekali lagi pemandu (muslim) dan beliau memperakukan halalnya makanan mereka.

PC254500-horz

Paginya kami memasak bekalan yang dibawa (kalau ke Thailand aku pasti membawa bekalan makanan, mess tin & portable outdoor gas stove sebagai persediaan) dan bersarapan. Selepas itu kami menyimpan barangan kami dalam kereta dan checkout. Jam 9.30am pickup datang mengambil kami di chalet. Dalam rombongan kami dua pasangan pelancong mat saleh dari US (yang menjadi tenaga pengajar di Korea) dan dari Sweden. Kami menuju ke Lanta Old Town sejauh ± 22km. Perjalanan melalui jalan kampung yang mengambil masa ± 30 minit. Dipekan ini kami berjalan ke jeti yang dibina sejauh ±400 dari pantai. Ramai pelancong sudah sedia menanti untuk menaiki ‘long-tail boat’. Bot kami dimuatkan seramai 25 orang. Perjalanan bermula pada jam 10.15am

Koh Chuek  (N7.40510° E99.23108°)

Singgahan pertama kami ialah ke Koh Chuek. Perjalanan sejauh ±20km yang mengambil masa lebih dari 1 jam dari jeti. Koh Cuek terletak di dalam wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Disini terumbu karang terserlah kecantikannya dan banyak ikan-ikan karang bermain-main. Masa inilah aku menguji kemampuan dan keberanian anakku yang telah aku hantar  kursus renang tempohari. Memang pada mulanya mereka kelihatan agak ragu-ragu dan takut tapi setelah masuk ke air dan dibimbing … hmmm tak cukup masa dan tak puas pula dengan masa yang diberi iaitu 30 minit sahaja.

Koh Ngai  (N7.41332° E99.21171°)

Kami kemudian ke Koh Ngai(Koh Hai) yang terletak ±2km sahaja dari Koh Chuek untuk menikmati makan tengahari. Koh Chuek adalah pulau dalam wilayah Krabi dan diletak dibawah perlindungan Lanta National Park. Sebuah pulau sepanjang 4km dan lebar 2 km. Terdapat beberapa pantai yang cantik lagi memutih bahkan tersedia penginapan untuk pelancong bermalam. Koh Ngai menjadi pilihan operator bot untuk berhenti bagi menikmati makanan tengah hari. Krew bot kami memberi masa 40 minit disini sambil mereka menyediakan hidangan tengahari ala BBQ yang enak dimakan ketika lapar sebegini. Dicadangkan anda solat disini dimana-mana beranda chalet dan tanyalah krew bot arah kiblat.

Koh Mook (N7.36867° E99.28392°)

Koh Mook (Koh Muk) terkenal dengan gua ajaibnya sebelum sampai ke pantai yang indah dengan landskap eksotik di tengah pulau. Gua yang dikenali sebagai Emerald Cave atau Soi Marakot. Ia adalah satu-satu jalan masuk untuk ke pantai di dalam pulau Koh Mook.

Koh Mook berkeluasan ± 6 km persegi dan terletak di wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Terdapat beberapa buah chalet di selatan dan timur pulau ini. Aku memang pernah bertandang ke sini pada hujung tahun 2013 lalu. Namun kunjungan kali ini amat berbeza. Kalau dahulu kami datang dengan bot besar dan dibawa ke dalam gua secara beratur sambil dipandu oleh guide. Kami berenang sambil memegang bahu masing-masing dalam barisan seperti keretapi. Namun kali ini kami dibiar berenang bersendirian. Guide kami telah berenang dengan membawa isteriku dan seorang anakku meninggalkan kami di belakang. Suasana yang gelap menyebabkan beberapa pelancong yang mengikuti guide berpatah balik tetapi mengekori selepas itu. Aku yang dihadapan menggunakan flash kamera Olympusku sebagai penerang laluan yang sangat gelap. Aku meminta anak-anakku berenang disisiku dan seorang anak saudaraku yang kecil berada dibelakangku. Aku memberi semangat sambil mencerah laluan melalui flash kamera, kami berjaya juga menyusup gua ini yang sejauh ± 80 meter. Pelancong yang lainnya  mengikuti belakangku (memandangkan kami adalah pengunjung paling awal maka laluan ini agak sunyi ketika kami menyusup) bila tiba dipantai aku menegur guide kami kerana meninggalkan kami begitu sahaja. Beberapa minit kemudian baru kelihatan ramai pelancong mula sampai ke pantai ini. Pantai yang kecil sepanjang 60 meter yang terdapat sedikit tumbuhan unik dan dikelilingi oleh tebing yang tinggi (cliff). Dengan sinaran matahari yang memancar menjadikan air lautnya bagaikan warna zamrud, sebab itulah ia digelar ‘Emerald Cave’ . Hal ini mengingatkan aku akan cerita ‘Pirates of the Caribbean’ dan sememangnya pantai ini pernah menjadi tempat simpanan harta rampasan lanun suatu ketika dahulu…

Setelah ±30 minit kamipun berenang balik ke bot tetapi kali ini sudah ramai pelancong yang datang dan gua sudah tidak sunyi dan cerah dengan simbahan lampu picit pemandu pelancong lainnya. Alhamdulillah tidak sia-sia aku menghantar anak aku menghadiri kelas renang tempohari. Teknik yang betul dapat dipraktik ( kalau tidak mampoih aku diruntun oleh mereka ) sepenuhnya disamping mendapat pengalaman yang berharga. Mereka melahirkan rasa sedikit ketakutan kerana kegelapan dan tidak tahu ke mana arah.

Koh Waen (N7.37999° E99.28392°)

Kemudian kami ke Koh Waen yang jaraknya ±4.1km dari Koh Mook. Ia juga masih dalam wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Pulau kecil yang keluasannya tidak sampai 1 km persegi. Ia terletak antara Koh Mook dan Koh Ngai. Disini kami diberi masa selama 20 minit untuk snorkeling, namun kelihatan mendung dilangit maka kami terpaksa bergegas pulang dan sampai ke hotel pada jam 6.30pm. Pihak hotel membenarkan kami menggunakan tandas untuk mandi dan membersihkan badan. Selepas itu terpaksa bergegas keluar dari Koh Lanta menuju ke Khlong Thom

Ikan-ikan yang jinak datang memakan roti  di tangan

Anak-anakku dan anak saudaraku berenang menyusup Emerald Cave sejauh 80 meter

Pemandangan dihadapan pintu keluar di dalam pulau

Pantai seluas 60 meter dan mempunyai tumbuhan  unik yang tidak terdapat ditempat lain.

Keletihan dan mengapai keluar dari gua untuk ke bot

Anak saudaraku pun berenang disisi ku melepasi gua

Kelihatan pengunjung beratur mengikuti tali sambil dipandu oleh guide

anak saudaraku yang berusia 13 tahun - Menuju Bot

Snorkeling di Koh Waen – anak saudaraku yang berusia 11 tahun

Bersambung …….


Pautan Kembara Berkaitan

1. Koh Lanta: Day 1
2. Koh Lanta: Day 2
3. Koh Lanta: Day 3
4.