Thursday, October 15, 2015

Bukit Broga: Santai Keluarga

PA113335

Tarikh  :  11 Oktober 2015    

Bukit Broga terletak berhampiran pekan Broga(Beroga) yang jaraknya ± 12km dari Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Terletak di antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Bukit ini terletak dipinggiran Banjaran Titiwangsa. Ia juga dikenali sebagai 'Bukit Lalang' – mendapat jolokan ini kerana puncaknya tidak banyak ditumbuhi pokok dan ditumbuhi dengan rumput spesis ini. Bukit Broga hanya setinggi 400 meter sahaja dan sejauh 1.7km sahaja. Ia mempunyai 3 puncak pemerhati (view point).

Kebetulan aku ada urusan peribadi di Kuala Lumpur dan awal pagi setelah menghantar sebahagian anak aku ke LCCT2 untuk penerbangan balik, aku bersama isteri dan 2 orang anakku lagi meneruskan perjalanan ke Semenyih. Lama benar ku simpan hasrat untuk mendaki bukit ini. Walaupun kawasan sekitar diselebungi jerubu ( IPU ±90) namun tak mematah semangat untuk menawan puncak Broga.

Jam 7.45 pagi kami sudah sampai ke tempat permulaan iaitu di sebuah ladang kelapa sawit (N2.93894° E101.90081°). Aku parkir kereta di dalam kawasan ladang ini dekat dengan permulaan dan redup. Bayaran masuk sebanyak RM2.00. Wow! banyak kereta, ramailah pengunjungnya (Alamak ..hari minggulah).

20151011_090918

Setelah siap bersiap, jam 8.00am kami memulakan langkah. Berselisih dengan pendaki yang sudahpun turun (awainya depa .. mesti dok usha matahari terbit pa). Permulaan pendakian melalui kawasan kelapa sawit sejauh ±500 meter dan selepas melalui gerbang permulaan (N2.94238° E101.90177°) kami melalui kawasan hutan kecil yang dinaungi pokok dan ia tidaklah terlalu curam. Setelah ± 20 minit maka sampailah ke kawasan yang agak terbuka yang dipenuhi lalang, maka disini cabaranpun bermula. Tanjakannya agak lumayan, disini tersedia tali yang dipasang sebagai bantuan untuk mendaki/menurun. Nasib baik aku bersedia dengan kasut yang sesuai (kasut hiking) maka kurang sedikit kegelinciran dan pendakian menjadi sedikit mudah kerana ada cengkaman. Berhenti menikmati panorama dibeberapa tempat sambil bergambar dan akhirnya setelah hampir 1 jam mendaki aku pun sampai ke puncak tinjauan 3 ( N2.95032° E101.90296° ) yang menjadi puncak Broga dengan ketinggian ± 400 meter. Terdapat tiga puncak (view point) sepanjang perjalanan ke puncak. Dari puncak kita boleh teruskan melalui denai sediada yang lebih mencabar sejauh ± 3km lagi ke Gunung Tok Wan (675 meter).

Berehat seketika melepas lelah sambil menghilangkan dahaga. Semestinya menikmati panorama indah sambil mengambil gambarnya sekali. Indah sekali menyaksikan pemandangan bukit yang ‘lawas’ ini.

Selamat tiba ke bawah pada jam 10.05 pagi. Berehat seketika menghilangkan peluh. Kemudian kami menuju ke pekan Semenyih mencari restoran nasi ayam yang dikatakan amat popular di sini. Restoran ini (N2.94945° E101.84567°) terletak berhadapan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Kampung Baru Semenyih, Semenyih. Wow ramainya orang dan terpaksa beratur panjang untuk memesan nasi ayamnya. Restoran ini juga terkenal dengan cucur udang dan tauhu sumbatnya. Sempat bertanya makcik ini dan beliau memaklumkan bahawa beliau sudah berniaga sebelum 13 Mei 1965 lagi.

Memandangkan masa lagi awal, maka aku bercadang untuk ke Air Terjun Sungai Tekala. Dalam perjalanan aku singgah sebentar di kolam Air Panas Sungai Serai (N3.09088° E101.79465°). Sempat berendamkan kaki ke dalam kolam dan Alhamdulillah sebaik sahaja meletakkan kakiku ke dalam air panas, sakit kepalaku yang berdenyut-denyut hilang.

Kelihatan hanya ada satu kolam air panas sahaja dan dan kelihatan air panas keluar dari perut kolam ini. Untuk masuk ke kawasan ini akan dikenakan tiket sebanyak RM1.00 seorang dan bayaran parkir juga RM1.00 per entry.

Perjalanan kami diteruskan ke Sungai Tekala dan singgah sebentar di Empangan Semenyih (N3.09094° E101.88733°). Empangan ini terletak di Batu 10, Jalan Sungai Lalang Semenyih, Selangor.

Empangan Semenyih dibina dalam tahun 1980 dan siap pada tahun 1985. Pembinaannya adalah untuk meningkatkan bekalan air ke kawasan Lembah Kelang dan Selangor. Mempunyai kawasan seluas 360 hektar dengan keupayaan takungan sebanyak 13,500 juta gelen. Empangan ini panjangnya ± 2 kilometer dan kedalaman paling dalam ialah 200 meter.

PA113397

Kawasan ini menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapat pelbagai jenis ikan di empangan ini. Tambahan pula Jabatan Pertanian dan perikanan ada melepaskan beberapa spesis ikan yang sesuai dipelihara di kawasan empangan. Ikan-ikan ini merupakan petunjuk kepada kuali air.

Apabila tiba di sungai Tekala kelihatan ramai sekali orang, maka aku ambil keputusan untuk balik sahaja.

20151010_132614

Sehari sebelum (10/10/2015) menghadiri Majlis Perkahwinan anak saudara, Fatin Aimi & Hafizi di Taman Selayang Mutiara    
Selamat Pengantin Baru – Moga kekal hingga ke Jannah 

Menghadiri Majlis Konvokesyen anakku pada 12/10/2015 di PICT Putrajaya