Monday, August 24, 2020

KAYUHAN MAAL HIJRAH: DENAI, DUSUN & DANAU

Tarikh       :  20/08/2020      
Rider         :  05 Orang
Lokasi       :  Kg. Perik, Padang Terap, Kedah 
    
Max Elev   :  180 meter
Lokasi       :   N6.3470° E100.51564°

Jarak         :   17km
 
 

Pagi ini kami akan menelusuri laluan tinggalan balak (???) di hutan simpan Bukit Perangin. Minggu sebelum itu aku sudah riki kawasan ini bagi menilai potensi.

Kayuhan hari ini disertai oleh 5 orang iaitu Pudin, Adi, Ustaz Khairul, Musz dan Nizam Airod. Kami memulakan kayuhan dari masjid Perik pada jam 8:40 pagi dan aktiviti dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ustaz Khairul.

Memasuki ‘kepala denai’, kami disambut oleh beberapa ekor kerbau liar yang memerhati tajam pergerakan kami. Berhenti seketika di trailhead dan mendaki ke sebuah bukit kecil bagi meninjau laluan selanjutnya. Dari atas bukit, kami menilai kesesuaian kayuhan. Dari pengamatanku melalui  alat Garmin, laluan ini menuju ke Bukit Buluh(440 m) yang berada di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin. Selepas memahami ‘keadaan’ denai, kami meneruskan kayuhan. Denai yang jelas tetapi mula ditumbuhi semak yang merimbun. Sesekali aku menebas anak-anak pokok yang menghadang jalan bagi memudah penurunan kami nanti.

Sambil mendaki, kami bersembang mengenai kerakusan manusia menarah bukit dan secara tak langsung memberi laluan kepada kami. Walaupun berkali kali mendaki, rasa jemu tidak pernah terlintas kerana kami dihidangkan dengan panorama indah di beberapa kawasan. Akhirnya kami sampai ke satu kawasan yang agak lapang. Bagaikan berada di lembah, kerana  dikelilingi oleh bukit dan hutan. Dari sini ada banyak pecahan laluan namun kami tidak dapat meneruskan misi kerana semua laluan sudah mula menebal ditumbuhi semak. Kami memutuskan untuk berpatah balik. Berbaloi kami mendaki kerana nikmat penurunan yang lancar membelah batuan dan alur air.

Sampai dibawah kami mengikuti jalan kecil hingga berjumpa tasik (pot rahsia kaki pancing). Selepas bergambar kami meneruskan kayuhan dan memasuki semula kawasan hutan simpan. Pendakian bermula, melewati beberapa kampung dan seterusnya menuju ke kawasan dusun yang cantik dan terhenti di sini kerana tiada jalan seterusnya.

Kayuhan berakhir pada jam 12:40 tgh. Fuhh jenuh tenaga dikerah dan kehabisan bekalan air (nasib baik jumpa sumber mata air bawah tanah). Sesungguhnya kayuhan kali ini bermakna kerana kami sudah dapat laluan asas baru yang bakal menjadi pilihan (selain trail jati). Insyaallah kami akan meninjau lagi di sini kerana terlihat beberapa lagi denai yang mempunyai potensi.

Menarik di bukit ini. Bukit berbatu besar dan ditumbuhi lalangMemasuki kawasan hutan simpan menuju dusun    

 

  Cantik dusun ni. Ia bersempadan dengan hutan   

  Kawasan renek dan menjadi tempat lembu liar   

Di belakang sana bukit buluh (440m)

  Ustaz teruju turun disini

  Beberapa kubang babi dijumpai

  Semak diredahi

☟Layan video kayuhan ⬇ : Terima kasih Ustaz Khairul atas video ini

Monday, August 17, 2020

Keajaiban Kilauan Biru @ Kuala Selangor

Tarikh       :  10/07/2020
Misi           :  Menjejaki Kilauan Biru
Lokasi       :  Kuala Selangor, Malaysia.        
Coordinate :  N3.342829° E101.250860° ,

Kilauan ini adalah fenonena  'Blue Tears' yang mula menjadi  tarikan terbaru di Kuala Selangor. Sebelum ini, ianya di dijumpai di Maldives, Puerto Rico, Jamaica & Belgium. (Di Malaysia ada lagi beberapa tempat yang terdapat Blue Tears ini)

Gambar yang sempat dirakam dengan HP kami (banyak noise)

Dinamakan ‘blue tear’ kerana cahaya biru elektrik yang mereka pancarkan. Lebih tepat ia adalah ‘lautan’ organisma (tumbuhan marin mikroskopik @ light-producing bacteria)  yang hanyut di permukaan air dan menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen apabila ada gerakan. (Tindakbalas mekanisma pertahanan diri). Ia juga hanya terjadi ketika cuaca gelap yang bebas hujan dan boleh dilihat dengan mata kasar dan sukar di ambil fotonya. (Memerlukan iso yang tinggi)

Harga pakej RM30 

Maklumat lebih jelas seperti video di bawah

Di jeti Sasaran, Kuala Selangor. Pakej jam 8:00 malam
Gambar dari internet

Monday, August 10, 2020

SALAR DE UYUNI MALAYSIA: Refleksi Diri di Pulau Misteri

Tarikh       :  10/07/2020
Misi           :  Menjejaki Pantai Cermin Di Pulau Misteri
Lokasi       :  Kuala Selangor, Malaysia.        
Coordinate :  N3.21616° E101.19439°     
Maps : https://maps.app.goo.gl/R4vSya9iDYugXCgPA

 

Sebuah pulau misteri akan timbul pada beberapa hari sahaja pada setiap bulan. Pulau yang berada tidak jauh (± 15km) dari jeti Kuala Selangor atau 20 minit dengan perjalan bot. Lokasi rahsia pulau ini tersimpan rapi di kalangan penduduk tempatan sehinggalah ia diperkenalkan pada bulan Feb 2016.

Sebenarnya pulau ini adalah beting pasir yang muncul beberapa jam sahaja ketika air surut dan terhampar sehingga lebih dari 100 ekar (wow luas tu – bayangkan 1 ekar adalah seluas 1 padang bola). Ia dahulunya dikenali sebagai ‘Sand Dollar Beach’ atau ‘Black Sand’.

Ketika kami sampai dan menjejaki beting pasir, kelihatan seperti berada di atas air yang dikelilingi oleh lautan. Kemudian sedikit demi sedikit ia menjadi semakin meluas apabila air mulai surut.

Apabila langit dan bumi bagai bercantum diufuk, dipantai diatas permukaan pasir yang terdapat sedikit air ditambah sinar matahari yang terang dapat mewujudkan pantulan bagaikan cermin disisi bayangan hitam bagaikan Salar de Uyuni (versi Malaysia). Ia kini menjadi salah satu tarikan pelancong. Untuk ke sini kita perlu mendapatkan pakej khas dari Jeti Sasaran dengan harga sebanyak RM80.00 seorang (mahal gak). Ia meliputi insuran dan perkhidmatan foto.

Di Jeti Sky Mirror yang terletak di Jeti Pekan Lama, Jalan Sultan Mahmud: Open - Closes 10PM

Air mulai surut dan pantai mula terdedah

Jurufoto yang bersusah payah untuk ambil shoot terbaik

Antara posing yang boleh dilakukanBilamana langit dan laut bertembong - fenomena ini bukan ada tiap-tiap hari.Dipanggil orang Salar De Uyuni Malaysia — sama macam fenomena kat Bolivia. Yang mana langit dan bumi seakan bersatu

Monday, February 24, 2020

Batu Sempadan Kedah/Siam (Singgora)

  
Tarikh      :  04/02/2020    
Ban Prik, Sadao District, Songkhla 90120, Thailand
Coordinate:  N6.67319° E100.43792°

Dari catatan ("on the Kedah-Singgora bounding" atau "Kedah-Siam frontier") aku mendapati Ban Prik adalah menjadi tempat perhentian laluan Jalan Alor Setar/Singgora. Ia juga sering disebut sebagai persempadanan terakhir Kedah/Singgora di pedalaman.

Sehubungan dengan itu, misi aku hari ini adalah untuk mencari sebuah batu sempadan tua (ทวดหลัก) tersebut yang terletak disebuah kampung tidak jauh dari laluan utama Bukit Kayu Hitam ke Hadyai (Phet Kasem road).

Batu ini adalah batu granit berbentuk octagon setinggi 99 cm dan kepala batu diukir bentuk lotus. Terletak dalam bangunan dan seperti di ‘hargai’ oleh penduduk tempatan. 

Ia terletak di Ban Hua Road, Village No. 8, Prik Sub-district, Sadao District ± 200 meter dari Phet Kasem road

Al kisah, King Rama IV telah mengarahkan dibina sebatang jalan bagi menghubungkan dengan negara jiran (Kedah) sebagai usaha mempertingkatkan hubungan dagangan dengan jiran. Dalam menentukan sempadan pembinaan jalan antara kedua pihak, kedua pihak akan membiarkan gajah dari kedua negara berjalan pada malam hari (dari Singhora & Alor Setar) dan dimana gajah-gajah ini bertemu sebelum ayam berkokok pada pagi hari akan menjadi lokasi akhir jalan. Dan lokasi pertemuan itu ialah di Ban Hua Thanon dan batu tanda ini dipacak untuk memperingati sempadan jalan antara kedua pihak.( Jalan yang telah dibina oleh Sultan Kedah pada tahun 1864 dari Alor Setar sampai ke tempat ini dan ke utara disambung pula oleh pemerintah Singgora.

Papan tanda batu di pinggir jalan  .

  “BAGAI BATU NISAN” – batu ini dianggap suci oleh masyarakat tempatan. Ada kisah  menyayat hati disebalik batu ini. Kanan adalah sedikit catatan sejarah tentang batu ini.
 

Terletak dalam bangunan yang berbumbung. Jalan konkrit dibina hingga ke tempat ini. Ramai juga masyarakat tempatan datang untuk menyembah dan memberi penghormatan

Sunday, February 16, 2020

Mekar Bunga Matahari Di Sadao

Tarikh      :  04/02/2020    
Sadao, Sadao District, Songkhla 90120, Thailand   
Coordinate:  N6.645501° E100.419649°
https://goo.gl/maps/3o1XDhC2naoJeZQ2A

Bunga matahari memerlukan sinar matahari yang banyak untuk berkembang dan tumbuh dengan baik. Oleh itu ia serasi kepada iklim tropika untuk hidup subur, MAKA tidak hairanlah  bunga matahari kini sudah mula ditanam untuk tarikan pelancongan di bahagian Selatan Thailand.   Khao Thanan, Satun sudahpun tular (KLIK – kunjunganku ke situ), namun di Sadao pun sudah ada ladang/kebun matahari yang kini sedang TRENDING.

Ladang ini terletak ditepi laluan utama 1008 dan berhadapan dengan stadium Sadao (Thetsaban Tambon Sadao Stadium). ± 1.5 km ke utara dari Rincha Rotee (KLIK) atau simpang empat Islamic Bamrung-Padang Besar.

Dengan keluasan ± 1 rai atau 0.4 ekar dengan bunga yang sedang mekar ketika kami datang. Bunga-bunga yang sebesar muka manusia (25 - 30 cm diameter ) kelihatan kembang mekar terutama diawal pagi. Selepas kembang penuh, bunga matahari bertahan kembang selama ± 2 minggu. Pastinya tempat ini akan menjadi satu tarikan pelancong.

Kawasan ini dimajukan sebagai salah satu tarikan pelancong ke Sadao dan dirasmikan oleh Sadao mayor , Mr. Sumet Sasithorn pada hujung Januari 2020 lalu. Perancangan untuk meluaskan lagi tanaman bunga matahari ini sehingga 6 rai (2 ekar).

Disamping itu bersebelahan ladang ini terdapat sebuah pelantar kayu sejauh ±100 meter yang dibina merentas sawah padi dan kebun getah. Buat masa sekarang TIADA sebarang bayaran dikenakan untuk ke sini.