Saturday, January 18, 2020

Telaga Gergasi & Sungai Atas Sungai @ Perak

Tarikh        :  24/12/2019 
Misi            :  Menjejaki Telaga Gergasi
Lokasi        :  Kampung Jalan Baru, Mukim Ijok, Perak, Malaysia

Coordinate:  N5.10352° E100.75733°

https://goo.gl/maps/yafv3rRHSDJHU1bHA

Pandangan dari atas telaga gergasi

Sebuah tinggalan teknologi British yang bentuknya seakan-akan telaga yang besar kerana luas bulatannya yang bertujuan  mengumpulkan air dari sungai di atasnya dan mengalirkan ke sungai di bawahnya. Bentuknya yang besar menyebabkan ia digelar “Telaga Gergasi”. Ia terletak di Kampung Jalan Baru, Mukim Ijok, Selama, Perak.

Telaga ini dibina dalam tahun 1936 yang fungsi asalnya adalah untuk pengumpulan dan memindahkan hasil bijih timah melalui sungai. Ia juga berfungsi untuk mengawal kadar pengaliran air dari Sungai Ijok ke Tasik Bukit Merah.

Ketinggian struktur telaga gergasi ini adalah kira-kira 100 kaki atau 30 meter tinggi dengan diameter sepanjang 20 kaki atau 6 meter. Teknologi secara tidak langsung dapat mengelakkan hakisan tanah daripada termendap di Tasik Bukit Merah.

Untuk ke sini, kami menelusuri jalan tanah merah bersebelahan sungai bermula dari jalan besar (berdekatan kedai roti canai Yop) sejauh ± 2.3 km sebelum sampai ke telaga ini. Jalan tanah pesisir sungai yang sedikit sempit yang digunakan untuk mengangkut hasil ladang kelapa sawit. Aku menelusuri arah telaga ini melepaskan airnya di bahagian bawah.

Sungai Atas Sungai

Tarikh        :  24/12/2019 
Misi            :  Sungai Atas Sungai
Lokasi        :  Kampung Jalan Baru, Mukim Ijok, Perak, Malaysia

Coordinate:  N5.11934° E100.77424°

https://goo.gl/maps/MVYZeYJYwxhZ7VBB8

Keluar dari jalan tanah merah  ke jalan raya utama (berhampiran kedai roti canai Yop) kami meneruskan perjalanan ke seberang jalan  untuk ke lokasi sungai atas sungai yang jaraknya ±600 meter dari jalan besar.

Ia merupakan terusan air yang dilencongkan daripada Sungai ljok sejauh 3.5km ke Sungai Atas Sungai sebelum merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir dibawahnya, Kemudian aliran air sungai ljok ini dialirkan ke Telaga Gergasi menerusi terusan air sepanjang kira-kira 5km.

Struktur binaan Sungai Atas Sungai ini dibuat pada tahun 1938 oleh Jabatan Parit Dan Taliair yang dahulu dikenali sebagai Department of Irrigation and Drainage (DID) bagi tujuan pengairan sawah padi, serta dikaitkan dengan aktiviti pengumpulan bijih timah seterusnya mengalirkan air Sungai ljok ke Telaga Gergasi.

Thursday, January 16, 2020

Kota Raja Bersiong @ Perak

Tarikh        :  24/12/2019 
Misi            :  Menjejaki Kota/Gua Raja Bersiong     
Lokasi        :  Kampung Kota Raja Bersiong, Batu Kurau, Perak, Malaysia

Coordinate:  N5.11717° E100.80064°

https://goo.gl/maps/CpE2apY5wuNSk2Zh8

AlKisah Raja Bersiong yang dikenali suka meminum darah manusia adalah raja ke-4 daripada keturunan Merong Mahawangsa dan sinonim dengan daerah Baling, Kedah. Rakyat yang marah akan tabiat baginda yang gemar memakan bayam bercampur darah manusia telah bangkit menentang kezalimannya.

Beliau sempat melarikan diri dari kepongan Menteri dan rakyat dari istananya di Lembah Bujang. Ketika singgah di Perak, baginda telah membina tempat berlindung disini yang dikenali sebagai 'KOTA RAJA BERSIONG’.

Pintu masuk ke kota

Gua ini seperti sudah terkambus

Kota ini terletak di atas bukit di dalam kawasan ladang kelapa sawit. Adapun dari pemerhatian aku, kota ini adalah dari batu granit besar berbentuk hampir empat segi berkeluasan ± 80' x 80'. Ada lubang atau gua di dalamnya. Dinding setinggi 3 meter. Kononnya dahulu terdapat banyak peralatan seperti pinggan mangkuk tinggalan baginda dan kini sudah tertimbus didalam gua ini.

Kini ada beberapa pihak mula melakukan kajian mengenai tempat ini walau kisah Raja Bersiong dianggap sebagai mitos/legenda.

Terletak di Kampung Raja Bersiong, Ijok, Selama, Perak.

Aerial view kota ini

Monday, January 13, 2020

Tinggalan Sejarah Kerajaan Reman : Makam Permaisuri Raja Reman

Tarikh        :  24/12/2019 
Misi            :  Menjejaki Kerajaan Reman
Lokasi        :  Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak, Malaysia

Coordinate:  N5.68968° E100.98829°

https://goo.gl/maps/NTQ6FmzqU3pQ5XZA6

Makam permaisuri Raja Reman Terakhir (Tuan Jagung) iaitu permaisuri Cik Neng terletak di Kampung Selarong, Kroh, Perak. Baginda mangkat pada tahun 1915M. Kemangkatan baginda kerana terlalu berdukacita atas kemangkatan anakanda lelakinya (Long Raya) yang ditangkap oleh Raja Siam kerana melancarkan gerakan menentang Siam dan dihukum bunuh di Bangkok.Makam ini terletak tinggi diatas bukit sejauh ± 150 meter dari jalan raya. Ia dikelilingi oleh ladang durian belanda dan hutan renek. Untuk kesini perlu mendaki dan redah sedikit semak.Terletak dalam kawasan berpagar seluas 70' x 70'. Terdapat 8 kubur yang nyata didalam kawasan pagar ini.

Batu nisan yang berada dalam kawasan berpagar di perkuburan ini
Pemandangan dari atas bukit (Makam) ke Jalan Raya

Tanah ini dikelilingi oleh hutan renek dan ladang durian Belanda. Tuan tanah ini membelinya dari keluarga Tuan Jagung


Pautan Kembara Berkaitan
01. Batu Sempadan Kerajaan Reman/Perak
02. Istana Singgah Raja Reman 
03. Makam Permaisuri Raja Reman

Monday, January 06, 2020

Tinggalan Sejarah Kerajaan Reman : Istana Singgah Raja Reman

Tarikh        :  24/12/2019 
Misi            :  Menjejaki Kerajaan Reman
Lokasi        :  Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak, Malaysia

Coordinate:  N5.68593° E100.99115°

https://goo.gl/maps/x2bzwqjJz4uwZ1N3A
 

Negeri Reman pernah diperintah oleh empat pemerintah yang merupakan waris dari Tuan Tuan Long Mansur, kerabat dari Pattani, memerintah Reman hingga 1810. Seterusnya diperintah oleh pewarisnya iaitu:-

1. Tuan Tok Nik Tok Leh (1810 - 1836M),

2. Tuan Nik Ulu@Tuan Kundur (1849 - 1867M),

3. Tuan Timur (1867 - 1875M) dan

4. Tengku Abdul Kandis @ Tuan Jagung (1875 hingga 1901M).

5. Tuan Lebeh (1902)

Pada tahun 1902 kerajaan Siam telah menuntut Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (Raja Patani) menurunkan tandatangan ke atas perjanjian yang mengandungi perkara pentadbiran bagi tujuh wilayah bagi dalam tahun 1902. Oleh kerana baginda enggan, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin ditangkap, dan dibawa ke Bangkok. Sultan Abdul Kadir Kamaruddin dengan resminya dilucutkan jawatan sebagai sultan pada 6 Mac 1902. Begitu juga Raja Legeh Tengku Shamsuddin,  Raja Teluban Tengku Abdul Muttalib ditangkap dibawa ke Songkhla  dan ditahan tiga tahun di Pitsanulok. Sementara itu Long Raya Lebeh, Raja Reman ditahan, dibawa ke Songkhla dan seterusnya ditahan di Bangkok. Dengan itu berakhirlah kedaulatan kerajaan Melayu Selatan Thailand termasuklah kerajaan Reman ini

Walaupun kerajaan Reman sudah tiada, namun bekas istana Tuan Jagung  masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak. Ia dikenali sebagai istana singgah Raja Reman dan warisnya ketika melawat kawasan jajahan takluk disini. Aku tidak melepaskan peluang mengunjungi istana ini (sebelum semuanya berakhir). Istana yang dibina dari kayu yang berusia lebih 100 tahun dan masih kekal dalam bentuk asal namun bumbungnya telah digantikan dengan asbestos dan tambahan bahagian dapur (menghilangkan nilai seni/klasik rumah ini). Bersebelahan rumah ini ada terbina sebuah banglo batu milik warisnya. Katanya ada dokumen dan beberapa barangan bersejarah di atas rumah ini namun tiada penghuni semasa kami tiba telah membantutkan hasratku untuk melihat dan mendapatkan maklumat lanjut.

Disebelah rumah ini ada banglo milik waris Tuan Jagung
BERSAMBUNG …

Pautan Kembara Berkaitan
01. Batu Sempadan Kerajaan Reman/Perak
02. Istana Singgah Raja Reman 
03. Makam Permaisuri Raja Reman

Thursday, January 02, 2020

Tinggalan Sejarah Kerajaan Reman : Batu Sempadan Kerajaan Reman/Perak

Tarikh       :  24/12/2019 
Misi           :  Menjejaki Kerajaan Reman
Lokasi       :  Laksa Telur Bersarang, Kampung Kerunai, 
33310 Gerik, Perak, Malaysia
                       Tel: 019-555 1865

Coordinate: N5.49931° E100.12987°

https://maps.app.goo.gl/2dvh66b1NU4zdNiWA

Patani suatu ketika dahulu merangkumi Patani, Nongchik, Chenak, Jalor(Yala), Reman, Saiburi dan Legeh. Apabila kekalahan Patani pada Siam, sekitar tahun 1816, Patani dipecahkan kepada 7 buah negeri iaitu Patani, Reman, Nongchik, Yala(Jalor, Jala), Yaring, Teluban (Sai @ Saiburi) dan Legeh dan masing2 diperintah oleh seorang Raja.

Sempadan pertama Perak-Reman dipersetujui oleh British dan Gabenor Siam Singgora pada tahun 1884 yang seterusnya mewujudkan kawasan Hulu Perak.

Batu sempadan  penting kerana ia sebagai penandaan sempadan wilayah kekuasaan sesebuah negara. Hari ini kami ke sebuah lokasi di Grik bagi mencari sebuah batu sempadan sebagai penanda wilayah kekuasaan kerajaan Reman. Batu ini terletak terletak di Kampung Kerunai, Grik, Perak. Ia terletak di dalam kebun getah berdekatan dengan Kedai Laksa Telur Bersarang Kak Chah. Memandangkan kedai tutup hari ini, maka aku bertanyakan kepada penduduk tempatan dan mereka menunjukkan lokasi batu tersebut yang berada di dalam sebuah kebun getah. Batu ini berada hanya di belakang kedai laksa tetapi agak tersembunyi di dalam semak samun yang agak meninggi. Batu berbentuk segi empat piramidpiramid tetapi rata bumbungnya dan setinggi ± 3 kaki dan tiada sebarang bentuk tulisan tertera (atau mungkin terpadam atau aku terlepas pandang) Ferdinando Carlo Bozzolo adalah bangsa Eropah pertama dilantik memegang jawatan pegawai tinggi British di kawasan Hulu Perak iaitu sebagai pemungut cukai dan hakim. Selepas 15 tahun pihak British berusaha untuk menguasai kawasan kaya dengan perlombongan (Selatan Reman) dan Huber Berkeley (Pemangku Hakim Hulu Perak) telah mengambil kesempatan atas situasi kemarau dengan mengalihkan batu sempadan negeri Perak dengan Reman ke Kubang Gendang pada tahun 1899. Wallahu aklam.Batu sekitar tahun 90an Gambar dari Internet : N.A Halim

Batu berbentuk segi empat piramid yang rata bahagian atasnya . Terletak dalam kawasan kebun getah dan agak semak

Cafe Kak Chah, Laksa Telur Bersarang: Batu ini terletak dalam kebun getah di belakang kedai ini

BERSAMBUNG …

Pautan Kembara Berkaitan
01. Batu Sempadan Kerajaan Reman/Perak
02. Istana Singgah Raja Reman 
03. Makam Permaisuri Raja Reman