Tarikh : 07 September 2013, Sabtu
Lokasi : Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah, Sungkai 36000, Perak , Malaysia.
Coordinate : N3° 59.805 E101° 23.441
Kempunan tidak dapat berendam di Air Panas Trong maka aku meneruskan perjalanan ke Sungkai untuk ke lokasi yang dikatakan sebagai rezab air panas terbesar di Malaysia iaitu di Felda Sungai Klah. Terletak di dalam kawasan kelapa sawit milik Felda dengan berlatarkan Banjaran Titiwangsa yang kini menawarkan satu kawasan rekereasi yang menarik dan dikenali sebagai Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungai Klah yang dimiliki oleh pihak Felda.
Dari utara aku mengambil Lebuhraya Utara Selatan dan menyusur keluar (exit 128) ke tol Sungkai Perak. Keluar dari tol, belok ke kiri dengan mengambil jalanraya Ipoh – KL. Pandu lebihkurang 1km akan jumpa papan tanda lalu belok ke kiri dan ikut jalanraya dengan berpandukan papan tanda sejauh ± 7 km sehingga jumpa Penginapan milik Felda.
Dengan harga RM180.00 aku daftar masuk sekeluarga ke bilik Deluxe yang agak luas lagi selesa. Harga ini termasuk pakej bayaran masuk ke kolam air panas dan sarapan pagi untuk 2 orang. Tambahan bayaran masuk ke kolam air panas dan kolam rekreasi untuk kanak-kanak sebanyak RM13.00 dan dewasa RM20.00 seorang. Waktu urusan dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam sahaja. Disamping itu terdapat juga Villa eksklusif yang menawarkan penginapan mewah sekeluarga yang luas dengan dilengkapi kemudahan terkini dan ada hot tub jacuzzi.
Berikut adalah kadar Sewa bilik 2013 :-
Bilik/Villa | Weekday | Weekend | Public Holiday & School Holiday Rate |
Deluxe Room (2 Person) | RM 180 | RM 220 | RM 250 |
Villa 1 Bedroom (2 Person) | RM 500 | RM 600 | RM 700 |
Villa 2 Bedrooms (4 Person) | RM 600 | RM 800 | RM 900 |
Villa 3 Bedrooms (6 Person) | RM 700 | RM 1,000 | RM 1,100 |
Green House 6 Bedrooms (12 Person) | RM 1,500 | RM 1,800 | RM 2,000 |
Tiada brosur dan maklumat yang disediakan mengenai kawasan air panas ini namun aku sempat berbual dengan Tuan Haji Said Bin Saad (64 tahun) atau lebih dikenali sebagai Pak Said Hotspring. Beliau banyak mengetahui dan mahir mengenai air panas di sini. Beliau kini berkhidmat secara kontrak dengan pihak TRAP dan asalnya seorang peneroka felda disini sejak tahun 1979. Beliau terlibat secara langsung dari permulaan pembangunan kawasan rekreasi iaitu pada bulan Jun 2003 sehingga kini. Menurutnya kawasan ini mula dijumpai oleh penduduk asli yang menggunakan air panas ini bagi mengubati pelbagai penyakit tertentu. Kawasan seluas 16 ekar ini dibangunkan oleh pihak Felda secara berperingkat dengan kos permulaan ± 2 juta. Pembangunan juga melibatkan pengambilan tanah-tanah berdekatan milik peneroka (dibeli oleh Felda). Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak pada 12 Mei 2005.
TRAP mempunyai beberapa kolam. Kemudahan asas yang sempurna disediakan dan terjaga dengan baik. Pelbagai pokok herba ditanam disamping mengekalkan tumbuhan asal di sini. Kolam utama seluas 1,083 ka2 menjadi tarikan utama pengunjung kerana dapat berendam dalam air yang tidak terlalu panas. Alga-alga atau lumut hijau yang mempunyai khasiat tertentu pada kulit dapat dilihat dimana-mana kolam air panasnya. Air panas ini mempunyai kadar sulfur yang rendah jadi ia tidak berbau dan tidak melekit pada badan. Ada juga Private jacuzzi yang selesa dengan kadar bayaran tertentu. Taman terapi yang menawarkan beberapa kolam untuk merendam kaki dan badan dan kawasan untuk pengunjung merebus telur dan tak ketinggalan kolam air gunung (mountain springs pool). Kolam ini seluas 2,400 ka2 dengan kedalaman 1 – 4 kaki. Air semulajadi dari pergunungan disalurkan ke kolam ini dan sentiasa mengalir (tidak bertakung). Beberapa air pancut, gua buatan dan papan luncur seperti taman tema disediakan.
Sesungguhnya amat menarik percutian kami kesini kerana dapat juga bersatai bersama disamping menikmati keselesaan mandian sejuk dan panas.
Untuk maklumat lanjut bolehlah hubungi:-
FELDA TRAVEL SDN. BHD. KUALA LUMPUR
Tel: 03-2698 3833; Fax: 603-2694 5104
FELDA RESIDENCE HOT SPRINGS, SUNGKAI
Tel: 05-4388 801/803; Fax: 605-4388 805
http://www.feldatravel.com.my/
Peta lokasi dari tol Sungkai ke Felda Residence Hot springs
Pak Said Hotspring – masih gagah
di salah satu sumber matair panas - sedang menceritakan khasiat alga
Kolam utama : Kawasan asal dimana matair panas bertemu dengan sungai
Merebus telur
Pak Said sedang menerangkan sesuatu – Pohon Leban (Vitex Pubescens) sentiasa tumbuh berdekatan punca air panas
Jacuzzi air panas
di mountain springs pool
Salam
ReplyDelete