Tuesday, March 15, 2016

Bukit 8888: Mencari Semangat Memecah Keringat

Tarikh : Sabtu – 05 Mac 2016
Lokasi : Bukit 8888, Jalan Panchor, Pokok Sena, Kedah Darul Aman
Koordinate: N6.18404° E100.51581°
Max Elev: 190 meter
Jarak : ± 3 km

Bukit 888

Kebelakangan ini aku semakin kurang berbasikal, minat mengayuh kian luntur, semangat semakin pudar. Namun .. aku perlu aktif, perlu keluar dari ‘baloq’. Selaras dengan beberapa program/aktiviti yang akan aku ikuti selepas ini, aku harus berbuat sesuatu, aktiviti perlu diteruskan, maka aku mengajak isteriku untuk berjinak dengan aktiviti mendaki bukit pula.

Selepas mendaki bukit Malau/Alor tempohari, isteriku kini semakin berminat dengan riadah sebegini, maka hari ini aku mengajaknya untuk hiking  salah satu bukit yang menjadi tumpuan ramai iaitu Bukit 8888.

Bukit 888 terletak berhampiran  Jalan Panchor, Pokok Sena. Sejauh ± 22 kilometer dari Alor Setar, Kedah. Ia mula menjadi perhatian selepas geng Hash (Persatuan 8888 Daerah Pokok Sena) merintis dan menjadikan bukit ini sebagai trek rentas mereka. Bukit ini menjadi tarikan pengunjung pada pagi dan petang terutama waktu cuti umum. Pelbagai peringkat usia dari serata daerah datang ke sini untuk mengadakan aktiviti pendakian. Bukit ini juga pernah menjadi lokasi untuk program FIT Malaysia Pokok Sena - "Cabaran Bukit 8888" sempena Hari Sukan Negara pada 10hb Oktober 2015.

Hari ini aku disertai bersama Adihariman dan isterinya. Setelah parkir kereta di kawasan lapang di 888 Hash House Harriers (HHH). (Hmm .. tak ramai pulak pengunjung hari ni). Kami memulakan dakian pada jam 8.00 pagi. Mukadimah pendakian dengan melalui kawasan kebun getah sebelum menempuhi kawasan hutan yang keseronokan dan cabarannya bermula. Laluan ini tak silap aku dikenali sebagai jalan Janda Bergetah. Laluan ini tidak terlalu curam, laluan yang mesra pengguna dan tali di laluan disediakan bagi memudahkan pendakian. Hampir 20 minit kami berjalan sebelum sampai ke kawasan rehat. Sebuah pondok didirikan disini untuk kemudahan pengunjung berehat.

Hampir 10 minit melepak di atas kerusi yang disediakan sambil menghela nafas melepas lelah, mengumpul tenaga untuk merintis laluan sejauh ± 380 meter lagi dengan kecerunan 8.1°, melalui laluan single trek untuk sampai ke pondok kedua (N6.18598° E100.50956°) yang berketinggian ± 174 meter. Disini pemandangan lebih cantik, kawasan yang agak luas. Kemudahan pondok dan kerusi hasil sumbangan beberapa persatuan Hash sekitar Kedah/Penang. Disini anda boleh menghayunkan diri di atas buaian yang digantung antara 2 pokok. Boleh membuat aktiviti mendagu dipalang besi yang disediakan. Sungguh bersih di sini, tenyata tempat ini diselia dengan baik oleh persatuan ini. Kami meneruskan lagi perjalanan ke puncak sebelum turun dan menikmati pemandangan lawas yang cantik. Pastinya tak lepaskan peluang bergambar dan kami meneruskan perjalanan dengan mengikuti laluan Tongkat Ali. Laluan yang agak curam tetapi ada tali dan anak tangga disediakan. Laluan ini bertembung dengan laluan mula taqdi iaitu sejauh ± 130 meter dari pondok pertama. Dipondok pertama berehat seketika dan meneruskan perjalanan dengan mengikut laluan Kacip Fatimah. Disini boleh kelihatan sebahagian bukit telah dicerahkan  untuk projek pembangunan. Kami meneruskan perjalanan melalui kawasan kebun getah sebelum berjumpa semula di tempat letak kereta.

Sesungguhnya trek ini memang menarik dan amat sesuai untuk dilayan oleh pelbagai peringkat umur. Trek yang natural, cantik dan dijaga dengan teratur. Suasana bukit  yang tenang, nyaman dengan pemandangan yang indah pasti menarik ramai pengunjung untuk datang lagi kesini.

Tongkat Ali Trail – sedikit mencabar dan agak curam

Cantik pemandangan disini

ada kerusi disediakan untuk melepaskan lelah

hmmm … pembangunan mula menghimpit .

Tuesday, February 16, 2016

Satun: Terik Mentari di Ladang Bunga Matahari

GOPR0708

Tarikh : Jumaat – 12 Februari 2016
Misi : Mencari Ladang Bunga Matahari
Lokasi : Khao Tanan, Thungwa, Satun, Thailand
Laluan : Titi Gajah – Wang Kelian – Khuan Kalong – La Ngu –  Khao Tanan - Chalung – Wang Klian - TTG
Koordinate: N7.05987° E99.69176°
https://goo.gl/maps/nZPRtHT7ai52
Kos  : RM82.00

Hamparan kuning indah bunga matahari boleh dilihat di wilayah tengah Thailand terutama di Lopburi, Saraburi dan Saphanburi. Keindahan mekarnya bunga matahari  yang tumbuh subur setahun sekali di sini menjadi tarikan pelancong untuk mengunjunginya (antara bulan November hingga Januari). Kini pelancong dari Malaysia boleh merasai dan menikmati keindahan mekarnya bunga matahari di wilayah Selatan Thailand iaitu di Khao Tanan (N7.05987° E99.69176°) dalam wilayah Satun. Sejauh ± 98 km dari pintu sempadan Wang Kelian

Berdasarkan makluman dari rakan FB (Karlisa Latisya) mengenai satu lokasi baru tarikan pelancongan dengan tasik dan mekarnya bunga matahari membuat aku begitu teruja maka tanpa perancangan yang teratur aku mengajak keluargaku ke lokasi tersebut.

Kami bertolak dari Alor Setar pada jam ±08.00 pagi menuju pintu sempadan Wang Kelian. Urusan imigresen kelihatan mudah walau kini dalam suasana cuti sekolah (cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina). Kami mengambil jalan pintas melalui pekan Khuan Kalong dengan mengambil Laluan 4127 dan singgah di Satun Agricultural and Technology College yang kelihatan pokok bunga matahari ditanam. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang berehat dibawah pokok. Berteduh mengelak pijar terik matahari. Kami meminta kebenaran untuk masuk ke kawasan ladang untuk bergambar. Membiarkan anak-anakku berselfie di ladang ini dan aku sempat menjengah kawasan ini. Ladang yang kami jejak ini menjadi pusat penyelidikan pengunaan baja.

Hampir 40 minit kami disini dan seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju Thungwa dengan mengikuti jalan 416 dan pada satu persimpangan kami belok menelusuri jalan luar bandar (O Bo Cho Satun 2001 road) menuju ke Thung Bulang. Kami sengaja menelusuri jalan tepian pantai untuk menikmati panorama indah tepian laut dan singgah di beberapa lokasi pantai untuk melihat keindahan pantai dan bergambar. Berhenti seketika menikmati Somtam sambil bertanya arah ke Khoa Tanan. Sebelum ke Khao Tanan aku sempat singgah ke sebuah masjid berhampiran untuk bersolat Jumaat. Walau tidak ramai jemaahnya tetapi suasana kemesraan tetap terasa. Mereka dapat merasakan kehadiran lelaki asing (yang jarang-jarang singgah) dikawasan mereka pada hari itu dan seperti biasa aku akan menyapa mereka. Seusai solat kamipun meneruskan perjalanan dan di persimpangan (Ro Pho Cho Satun 2001 Rd. and Satun Pwd. Rd. and Satun Ma Ngang-Thung Thanan Pwd. Rd. - N7.04726° E99.68977°) mengikuti jalan simen yang kiri kanannya adalah hutan bakau. Perjalanan sejauh ± 1.5 km sehinggalah kelihatan sebuah bukit dan sebuah tasik. Disinilah sudah nampak kebun bunga matahari dan ada papan tanda bertulisan siam.

Pengunjung bebas memasuki kawasan kebun ini untuk bergambar dan ia adalah percuma. Tersedia 2 buah wakaf buat pengunjung berehat atau berteduh dari terik panas matahari sambil menikmati pemandangan bunga matahari. Selain kebun bunga matahari, Khao Tanan juga memiliki tasik seluas ±10 ekar. Terdapat kemudahan rekreasi air disini. Di tengah tasik terdapat sebuah bukit yang ada beberapa buah gua. Khao Tanan dahulunya adalah sebuah pulau sepertimana pulau-pulau lainnya sekitar lautan adaman. Ribuan tahun yang lalu pulau ini pernah dikelilingi oleh laut setinggi 4 – 5 meter. Hakisan laut dari ombak telah menghasilkan gua dibahagian bawah (disebelah barat) bukit ini. Disebelah timurnya ada tangga yang agak curam membolehkan pengunjung mendaki bahagian tepi bukit setinggi ±80 meter. Ada sebuah wakaf disediakan buat pengunjung berehat melepas lelah dan menikmati pemandangan kawasan sekitarnya.

Di Satun Agricultural and Technology College, Khuan Kalong

Berehat seketika melepas lelah di Lebuhraya 416 sebelum LaNgu (N6.86726° E99.85678°)

Kemudahan rekreasi air yang disediakan disini, Pengunjung boleh menyewa dengan kadar harga tertentu

Di dalam Ancient Sea Cave

Di atas bukit/pulau sambil menikmati pemandangan sekitar

Berehat seketika didangau @ Thung Bu Lang - dalam perjalanan ke Khao Tanan

@ Thung Bu Lang

@ Khonklan

Pantai  dengan pasir puteh bercampur hitam

Terik Matahari – bunga matahari di selatan Thailand

Sunday, January 03, 2016

Koh Lanta: Limpahan Keindahan Pulau

Tarikh : 25 Disember 2015
4 Island Trip: Koh Chuek,Koh Ngai, Koh Mook & Koh Waen
Misi: Island Hoping & Snorkeling
Koordinate: N7.53103° E99.09472°
Jarak : ± 60 km

Koh Lanta 4 Island

Day 2

Koh Lanta mempunyai lebih dari 50 pulau kecil sekitarnya. Tidak banyak pulau-pulau ini yang mempunyai pantai tetapi mempunyai keindahan semulajadi tersendiri yang menakjubkan. Pulau-pulau ini dilindungi dan diletakan dibawah perlindungan Taman Laut Negara. Dek kerana keindahan semulajadinya itu dengan pulau yang cantik dan lautan yang membiru, ramai pelancong datang untuk menyaksikan dan merasai sendiri keindahannya. Kami juga tidak mahu melepaskan peluang ini. Walau mungkin ada beberapa pulau telah kami singgah dahulu semasa kunjungan ke Trang (KLIK), namun tidak kisahlah kerana sememangnya pulau-pulau ini ada keunikkan tersendiri.

Seusai mendaftar semalam, kami terus membuat tempahan untuk pakej 4 Islands Tour dari agensi Green Group Travel. Kos yang dikenakan ialah THB800 (dewasa) dan THB400 (kanak2). Pakej meliputi insuran, pengangkutan ke jeti dari chalet, makan tengahari, kudapan buah, alatan snorkling, jaket keselamatan dan jurupandu. Pemilik Green Group Travel ini adalah muslim, maka makanan tengahari terjamin kehalalannya. Aku siap tanya berulang kali untuk kepastian. Bahkan atas pickup aku tanya sekali lagi pemandu (muslim) dan beliau memperakukan halalnya makanan mereka.

PC254500-horz

Paginya kami memasak bekalan yang dibawa (kalau ke Thailand aku pasti membawa bekalan makanan, mess tin & portable outdoor gas stove sebagai persediaan) dan bersarapan. Selepas itu kami menyimpan barangan kami dalam kereta dan checkout. Jam 9.30am pickup datang mengambil kami di chalet. Dalam rombongan kami dua pasangan pelancong mat saleh dari US (yang menjadi tenaga pengajar di Korea) dan dari Sweden. Kami menuju ke Lanta Old Town sejauh ± 22km. Perjalanan melalui jalan kampung yang mengambil masa ± 30 minit. Dipekan ini kami berjalan ke jeti yang dibina sejauh ±400 dari pantai. Ramai pelancong sudah sedia menanti untuk menaiki ‘long-tail boat’. Bot kami dimuatkan seramai 25 orang. Perjalanan bermula pada jam 10.15am

Koh Chuek  (N7.40510° E99.23108°)

Singgahan pertama kami ialah ke Koh Chuek. Perjalanan sejauh ±20km yang mengambil masa lebih dari 1 jam dari jeti. Koh Cuek terletak di dalam wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Disini terumbu karang terserlah kecantikannya dan banyak ikan-ikan karang bermain-main. Masa inilah aku menguji kemampuan dan keberanian anakku yang telah aku hantar  kursus renang tempohari. Memang pada mulanya mereka kelihatan agak ragu-ragu dan takut tapi setelah masuk ke air dan dibimbing … hmmm tak cukup masa dan tak puas pula dengan masa yang diberi iaitu 30 minit sahaja.

Koh Ngai  (N7.41332° E99.21171°)

Kami kemudian ke Koh Ngai(Koh Hai) yang terletak ±2km sahaja dari Koh Chuek untuk menikmati makan tengahari. Koh Chuek adalah pulau dalam wilayah Krabi dan diletak dibawah perlindungan Lanta National Park. Sebuah pulau sepanjang 4km dan lebar 2 km. Terdapat beberapa pantai yang cantik lagi memutih bahkan tersedia penginapan untuk pelancong bermalam. Koh Ngai menjadi pilihan operator bot untuk berhenti bagi menikmati makanan tengah hari. Krew bot kami memberi masa 40 minit disini sambil mereka menyediakan hidangan tengahari ala BBQ yang enak dimakan ketika lapar sebegini. Dicadangkan anda solat disini dimana-mana beranda chalet dan tanyalah krew bot arah kiblat.

Koh Mook (N7.36867° E99.28392°)

Koh Mook (Koh Muk) terkenal dengan gua ajaibnya sebelum sampai ke pantai yang indah dengan landskap eksotik di tengah pulau. Gua yang dikenali sebagai Emerald Cave atau Soi Marakot. Ia adalah satu-satu jalan masuk untuk ke pantai di dalam pulau Koh Mook.

Koh Mook berkeluasan ± 6 km persegi dan terletak di wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Terdapat beberapa buah chalet di selatan dan timur pulau ini. Aku memang pernah bertandang ke sini pada hujung tahun 2013 lalu. Namun kunjungan kali ini amat berbeza. Kalau dahulu kami datang dengan bot besar dan dibawa ke dalam gua secara beratur sambil dipandu oleh guide. Kami berenang sambil memegang bahu masing-masing dalam barisan seperti keretapi. Namun kali ini kami dibiar berenang bersendirian. Guide kami telah berenang dengan membawa isteriku dan seorang anakku meninggalkan kami di belakang. Suasana yang gelap menyebabkan beberapa pelancong yang mengikuti guide berpatah balik tetapi mengekori selepas itu. Aku yang dihadapan menggunakan flash kamera Olympusku sebagai penerang laluan yang sangat gelap. Aku meminta anak-anakku berenang disisiku dan seorang anak saudaraku yang kecil berada dibelakangku. Aku memberi semangat sambil mencerah laluan melalui flash kamera, kami berjaya juga menyusup gua ini yang sejauh ± 80 meter. Pelancong yang lainnya  mengikuti belakangku (memandangkan kami adalah pengunjung paling awal maka laluan ini agak sunyi ketika kami menyusup) bila tiba dipantai aku menegur guide kami kerana meninggalkan kami begitu sahaja. Beberapa minit kemudian baru kelihatan ramai pelancong mula sampai ke pantai ini. Pantai yang kecil sepanjang 60 meter yang terdapat sedikit tumbuhan unik dan dikelilingi oleh tebing yang tinggi (cliff). Dengan sinaran matahari yang memancar menjadikan air lautnya bagaikan warna zamrud, sebab itulah ia digelar ‘Emerald Cave’ . Hal ini mengingatkan aku akan cerita ‘Pirates of the Caribbean’ dan sememangnya pantai ini pernah menjadi tempat simpanan harta rampasan lanun suatu ketika dahulu…

Setelah ±30 minit kamipun berenang balik ke bot tetapi kali ini sudah ramai pelancong yang datang dan gua sudah tidak sunyi dan cerah dengan simbahan lampu picit pemandu pelancong lainnya. Alhamdulillah tidak sia-sia aku menghantar anak aku menghadiri kelas renang tempohari. Teknik yang betul dapat dipraktik ( kalau tidak mampoih aku diruntun oleh mereka ) sepenuhnya disamping mendapat pengalaman yang berharga. Mereka melahirkan rasa sedikit ketakutan kerana kegelapan dan tidak tahu ke mana arah.

Koh Waen (N7.37999° E99.28392°)

Kemudian kami ke Koh Waen yang jaraknya ±4.1km dari Koh Mook. Ia juga masih dalam wilayah Trang dan dibawah pengawasan Hat Chao Mai National Park. Pulau kecil yang keluasannya tidak sampai 1 km persegi. Ia terletak antara Koh Mook dan Koh Ngai. Disini kami diberi masa selama 20 minit untuk snorkeling, namun kelihatan mendung dilangit maka kami terpaksa bergegas pulang dan sampai ke hotel pada jam 6.30pm. Pihak hotel membenarkan kami menggunakan tandas untuk mandi dan membersihkan badan. Selepas itu terpaksa bergegas keluar dari Koh Lanta menuju ke Khlong Thom

Ikan-ikan yang jinak datang memakan roti  di tangan

Anak-anakku dan anak saudaraku berenang menyusup Emerald Cave sejauh 80 meter

Pemandangan dihadapan pintu keluar di dalam pulau

Pantai seluas 60 meter dan mempunyai tumbuhan  unik yang tidak terdapat ditempat lain.

Keletihan dan mengapai keluar dari gua untuk ke bot

Anak saudaraku pun berenang disisi ku melepasi gua

Kelihatan pengunjung beratur mengikuti tali sambil dipandu oleh guide

anak saudaraku yang berusia 13 tahun - Menuju Bot

Snorkeling di Koh Waen – anak saudaraku yang berusia 11 tahun

Bersambung …….


Pautan Kembara Berkaitan

1. Koh Lanta: Day 1
2. Koh Lanta: Day 2
3. Koh Lanta: Day 3
4.