Monday, April 05, 2021

PULAU TUBA : SINGKAPAN BATUAN TUA DI BUKIT KECIK

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  23 Mac 2021  - Day02
Lokasi  :  Bukit Kecik, Pulau Tuba, Langkawi.
Coordinate :  N6.231497, E99.853276

… sambung

Keunikan batuan tua yang mencorakkan keindahan Pulau Tuba menarik perhatian kami untuk ke sebuah bukit yang terletak bersebelahan dengan masjid Al Wafa. Bukit kecil ini terletak ditepi jalan sahaja dan ada tangga batu untuk naik ke atas setinggi ±30 meter.

Sampai di atas di sebelah kirinya akan kelihatan batu yang kelihatan berlipat-lipat. Singkapan batuan ini terhasil dari tekanan dan gerakan bumi jutaan tahun lalu.

Di sebelah kanan ada batuan yang sangat unik kerana terdapat 3 warna yang berbeza pada satu batuan. Pulau Tuba, sekitar 500 juta tahun dahulu merupakan laut cetek yang dihuni oleh pelbagai hidupan laut menyerupai siput, kerang, hidupan karang, algea, graptolit dan sebagainya. Kesemua hidupan ini telah pupus dan hanya diketahui kewujudannya melalui fosil-fosil yang sekarang ini ditemui dalam batuan di Pulau Tuba. Sekitaran laut cetek ini menjadi tempat terendapnya sedimen karbonat dan juga bukan karbonat. Semua proses pengendapan di laut cetek ini berlaku untuk selama jangka masa sekitar 100 juta tahun (zaman Ordovisi-Devon), dan kesemua lapisan sedimen ini mengeras menjadi batu yang kini dipanggil dengan nama Formasi Setul. Sebab itu bintik-bintik putih adalah siput laut yang melekat padanya manakala ada batukapur yang berwarna seakan lumut atau hijau kehitaman dan juga batu kapur yang berwarna kekuningan atau oren.

Bersambung …

Saturday, April 03, 2021

PULAU TUBA: GUA WANG BULUH–UNIK LAGI INDAH

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  23 Mac 2021  - Day 02
Lokasi  :  Gua Wang Buluh, Pulau Tuba, Langkawi.
Coordinate :  N6.24569°, E99.84676° (tangga permulaan)

… sambung

Awal pagi, kami check out dan letak barang di kaunter NOBA resort lantas mencari tempat sarapan. Semasa sarapan kami dimaklumkan oleh tuanpunya gerai mengenai laluan hiking, air terjun dan sebuah pantai yang agak terpencil di hujung pulau. Selepas mengambil maklum, kami pon bergerak dengan motosikal menuju ke lokasi Guua Wang Buluh.

Trailhead, ada tangga batu

Dari jalan besar (jalan Jeti Pulau Tuba) kami mengambil laluan mini tar/gravel sejauh ± 730 meter untuk sampai ke trail headnya. Ada tangga untuk naik ke atas. Kami memulakan langkah pada jam 10:00 pagi dan setelah ±150 meter akan jumpa sebuah pondok rehat (ada papan tanda) dan kemudahan tandas. Di sini adalah persimpangan jalan untuk ke gua Wang Buluh. Kalau ke sebelah kiri, ada pelantar kayu (jaga-jaga ada tempat pemijak yang reput) yang membawa kita untuk menikmati pemandangan bukit dan hutan serta dinding batuan tua. Jika kita memerhati dengan lebih teliti akan kelihatan juntaian sarang lebah di tebing bukit.

Pondok rehat, disini ada persimpangan

Penghujung jalan (jika ambil laluan sebelah kiri), ada pelantar kayu

Dinding batu dengan batuan tua lagi unik

Jika ambil yang kanan kita akan melalui denai yang bagaikan roller coaster, dengan turun yang sedikit dan naik yang banyak. YA sedikit cabaran namun taklah terok sangat. Pagi ini hanya kami berdua di sini, merasai suasana tenang sambil aku menghayati bunyian hutan. Kami melangkah secara berhati-hati, memberi tumpuan pada laluan dan persekitaran. Setelah ±30 minit sampailah ke pelantar kayu yang menandakan sudah hampir ke pintu gua.dihadapan pintu gua

Gua yang berada pada ketinggian 110 meter dari permukaan laut (berdasar bacaan garminku) dan dikatakan antara binaan semulajadi gua yang tertua di Malaysia yang terbentuk sejak jutaan tahun lalu. Terdapat pelbagai stalaktit, stalagmit dan tiang tirai batu. Batuan yang cantik disuluhi cahaya dan yang istimewa, dipenghujung gua ada batuan yang di gelar "The Praying Man" (iaitu batuan persis ‘Guan Yin’). Terdapat beberapa juraian akar ficus(spesis jejawi) yang menjulur turun dari bumbung gua dan suluhan cahaya dari lubang2 diatasnya menambahkan cantik batuan yang terkena sinaran. Gua ini dikatakan antara dua gua persembunyian penduduk semasa era pendudukan Jepun, wallahuaklam.

Bersambung …

"The Praying Man"
Di hadapan mulut gua, ada tangga turun untuk masuk ke gua
Keindahan dalam gua dengan stalaktit, stalagmit dan tiang tirai batu
Batuan hijau yang terjadi akibat tindakbalas algea
gua tembus yang menjadikan suasana dalaman dingin
akar jejawi yang turun dari bumbung gua
Penat la jugak. Perjalanan  ±1.2 km melalui denai yang jelas dan dimudahkan pendakian dengan anak tangga batu dan pelantar kayu.



Thursday, April 01, 2021

PULAU TUBA : GERBANG KE MASA SILAM

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  22 Mac 2021  - Day 01
Lokasi  :  Pulau Tuba, Langkawi, Kedah
Coordinate : 
 

Pulau Tuba adalah pulau ketiga terbesar di Langkawi dan berkeluasan ± 25km persegi @ 1,724 ha.  Pulau Tuba terletak dalam Dayang Bunting Marble Geoforest Park seluas 4,354 hektar dengan gabungan 2 hutan simpan iaitu Hutan Simpan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting.

Pulau ini sangat unik, mempunyai landskap yang indah mempunyai rekod saintifik penting  sejarah pembentukan Bumi Malaysia. Formasi Batu Kapur Kars Tropika dan rajahan batuan Granit yang terdiri daripada tiga formasi batuan iaitu Formasi Setul (490-350 juta tahun), Formasi Chuping (270-255 juta tahun) serta Formasi Singa (350-270 juta tahun). Batuan tua inilah yang mencorakkan keindahan landskap pulau ini. Dengan keistimewaan Pulau Tuba ini ditambah suasananya yang damai dan menenangkan, kehidupan masyarakat kampung yang serba ringkas seolah kembali menikmati suasana kampung di era 70an.

Setelah lebih dari 40 tahun aku tidak kesini, hari ini aku kembali untuk menjelajah beberapa lokasi dan tempat. Lama benar kami mengatur untuk ke sini dan sempena dengan pelaksanaan PKPB (rentas negeri tidak dibenarkan) kami mengambil peluang ini (pasti tak ramai pelancong)

Alhamdulillah memulakan perjalanan dari Kuala Kedah pada 8:30 pagi dan sampai ke Jeti Kuah pada 10:15 pagi. Kemudian berjalan kaki ke Jeti Dato’ Syed Omar (N6.30428° E99.85107°) atau ‘Marble Jetty’ untuk mengambil bot ke Pulau Tuba pula.

Bot bertolak pada jam 11.00, tambang bot RM5.00 sehala dan boleh diambil dikaunter yang dibuka pada jam hampir 11:00pagi. Perjalanan ke Jeti Telok Puyoh, Pulau Tuba, cuma mengambil masa ± 8 minit sahaja. Sampai di jeti kelihatan banyak motosikal untuk disewa. Aku menghampiri seorang pakcik dan mengambil sebuah motosikal dan memberitahu untuk menyewa selama 2 hari (dikenakan bayaran RM30.00).   Kenderaan di sini bilangannya terhad dan motosikal menjadi pengangkutan utama penduduk.

Minyak pon penuh apalagi kami terus menuju ke Selat Bagan Nyior untuk bertanyakan  penginapan di Chalet Terapong Bestuba. Terdapat hanya 4 bilik (RM160 semalam)  dan telah penuh maka kami menuju ke Resort Noba ( N6.26316° E99.82297°) yang terletak di hadapan Sek. Keb. Selat Bagan Nyior. Kami mendapat chalet bertiga dengan harga RM100.00 (setelah diskon) dan untuk semalam sahaja kerana esok harinya ia telah ditempah. Resort ini agak menarik dan terletak ditepi pantai.

Selepas meletak bag dan merehatkan diri, jam 2:15 ptg kami keluar menuju ke arah Tanjung Pandan, yang popular dengan mee udangnya.

menikmati makan tengahari dengan nasi goreng spesial dan mee udang

Tanjung Pandan sesuai untuk mandi manda kerana pantainya yang agak cantik dan airnya yang jernih. Ini mungkin kerana kedudukannya yang menghadap laut Selat Melaka Selepas menikmati makan tengahari kami menikmati pantai pula sambil meninjau hingga kehujung pantai dan mendapati seperti ada denai kecil dicelah batu.

Kami mengikuti denai tersebut dan mendapati ada paip air dan kabel letrik dan menyakin aku bahawa ada rumah atau pembangunan disebalik sana nu. Denai yang membawa kami mengikuti lereng bukit hingga membawa kami ke sebuah pantai dan mendapati ada banglow peribadi. Banglow dengan teres menghadap laut seperti rumah di Miami. Ia dimiliki oleh seorang bekas pesara jurutera yang menjadikan rumah ini sebagai sewaan. Biasanya ia disewa oleh pelancong luar negara dan untuk akses ke sini adalah dengan bot. Tapi dengan suasana PKPB (covid-19), tidak ada penyewa.

Semasa jalan balik aku terlihat seperti ada denai dan mengikuti denai tersebut yang menuruni sebuah bukit hingga ke pantai. Di pantai ini kelihatan bot-bot nelayan dan pemandangan di sini cun juga.

Dalam perjalan pulang aku terlihat beberapa pokok yang berada dalam laut dan menuruti satu jalan kecil yang membawa kami ke suatu chalet yang terbengkalai. Disini kami dapati ada kawasan bakau dan pantainya kelihatan cantik dan menarik.

Bersambung …


Layan Gambar :-

Kami singgah ke satu tempat yang menjadi Landmark Pulau Tuba iaitu dihadapan Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba. Ia adalah bekas kawasan sawah yang terbiar dan kini menjadi lokasi padang ragut kerbau. Lokasi ini menjadi tumpuan pelancong terutama kaki kamera untuk mendapat pemandangan kawanan kerbau yang unik

NOBA RESOT:

Resort NOBA yang terletak di Pulau Dayang Bunting dibuka sekitar tahun 2013. Ia dimiliki oleh Dato’ Sri Nordin Hashim, seorang usahawan kelahiran Pulau Tuba yang berjaya. Beliau memiliki NOBA KEROPOK DUNIA, iaitu produk makanan segera, Makanan Sejukbeku yang terdiri daripada Keropok Lekor, Sos Cili, Otak-Otak dan lain-lain lagi. Berkeluasan hampir 4 hektar, resort yang mengandungi banyak juga chalet dan ada sebuah kolam renang yang menghadap laut. 

Ingin merasai suasana bagai berada di atas kapal layar. Di Noba Resort tersedia bilik di dalam kapal layar untuk di sewa dengan harga yang berpatutan.

Suasana/bilik  di dalam kapal layar

Bersama Dato; Sri Nordin dan suasana di dalam kapal layar
Di hadapan chalet ada jeti (pelantar kayu) sepanjang 200 meter
menikmati suasana pagi di jeti terapong
Di Batu Puyuh
Pantai berhampiran Kg Bagan Pauh
Kawasan bakau berpasi
di bawah naungan pohon berbanir
Pantai tersorok
Menikmati pantai atas buai
Port menarik dalam perjalanan menuju ke Wild Pasir Panjang
Di Pantai Tanjung Pandan
Hutan Simpan Dayang Bunting 
Di Chalet Bestuba
Pelantar pejalan kaki terapong menuju ke Chalet Bestuba
savanah
Video Day 01 di Pulau Tuba