Sunday, October 04, 2020

RUMAH & MASJID JAMBI DI TERENGGANU

 

Tarikh  :  09/08/2020 
Misi     :  Trip Pantai Timur - Menjejaki Rumah Jambi
Lokasi :  Kampung Pasir Gajah, 24000 Chukai, Terengganu
Coordinate : N4.23840°, E103.29118°

Tampak Tepi

Tertarik dengan senibina tradisional  melayu, kami ke Kampung Laut, Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu untuk mengunjungi sebuah rumah tradisional ala Jambi. Rumah milik keluarga Diraja Jambi, Engku Mahmud Tengku Abu Bakar yang melarikan diri ke Tanah Melayu bersama pengikutnya apabila kawasan mereka diserang tentera Belanda ketika Perang Dunia Pertama (1914).

Rumah yang mula dibina pada 1933 dan siap sepenuhnya pada 1937 dengan kos sebanyak $30,000 (ketika itu),

Rumah yang unik dgn berbumbung limas bungkus dan bertanduk kerbau (unsur tradisi binaan Jambi) dengan pengaruh seni bina Islam, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit pengaruh Melayu Terengganu.

Disebelah rumah tersebut terdapat sebuah masjid yg dibina oleh Engku Haji Mahmud pada tahun 1939 secara gotong royong.

Tampak dari belakang rumah

Saturday, October 03, 2020

BATTLE OF KAMPAR: KUBU PERANG DUNIA KE-2

 

Tarikh  :  07/08/2020 
Misi     :  Trip Pantai Timur - Menjejaki Kubu Perang
Lokasi :  Malim Nawar, Perak, Malaysia. 
Coordinate : N4.3322°, E101.1554°.

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, kami singgah ke Kampar bagi melihat kesan sejarah peperangan Dunia Ke 2 yang dikenali sebagai ‘Lapang Tempur Kampar’.

Pertempuran Kampar berlaku selama 4 hari pada 30/12/1941 hingga 2/1/1942. Ia bertujuan menyekat kemaraan tentera Jepun oleh British setelah mereka gagal di Jitra dan Gurun dan dikatakan sebagai pertempuran paling sengit sepanjang kempen ketenteraan di Tanah Melayu.

Kampar pada ketika itu adalah sebuah pekan lombong bijih timah. Pemilihan Kampar dibuat oleh Lt Gen. Arthur Percival (Dikenali sebagai Jeneral yang menyerah kalah kepada Yamashita) berdasarkan kedudukan bukit yang strategik yang memberi kelebihan kepada pasukan meriam. 3 rabung masyhur di dalam pertempuran ini iaitu Green Ridge, Thompson Ridge dan rabung kubur dijadikan sebagai kubu pertahanan. Kubu-kubu ini dibina oleh tentera seramai ± 2,000 orang. Mereka bertungkus lumus membina sistem kubu peparitan (trench), lubang (fox hole), machine gun nest dari tanah dan disiapkan dalam tempoh 7 hari.

Kami hike ke atas bukit dari trail head (KLIK) untuk melihat tinggalan kubu yang dibina semula kerana tertimbus. Denai laluan yang jelas dan bersih memudahkan pergerakan kami. Kami menjumpai banyak kesan-kesan parit yang tertimbus dan menuju hingga ke bahagian atas.

Laluan masuk ke kawasan rabung

Thursday, October 01, 2020

Cerobong Karbida Jepun: Sisa Tinggalan Perang

Tarikh :  07/08/2020 
Misi :  Menjejaki Japanese Carbide Chimney
Lokasi :  Malim Nawar, Perak, Malaysia.
Coordinate : N4.3479°, E101.1241°

https://maps.app.goo.gl/v5eHbvy3J1mPBhLz8 

Kami singgah di Kampung Tanjung Bangkong, Malim Nawar, Perak untuk melawat sisa tinggalan perang dunia ke-2 yang masih kukuh berdiri, iaitu sebuah kilang peluru Jepun. Kilang ini terletak di tepi rumah penduduk tempatan dan dihadapannya ada kawasan lapang yang boleh kita parkir kereta.

Kilang ini dibina pada Julai 1943 oleh Nippon Nitrogen Kaisha untuk membekalkan bahan letupan kepada tentera Jepun. Arang batu digunakan untuk menghasilkan karbaid dengan membakar batu kapur yang didapati dari bukit berdekatan dengan Kampung Jeram. Kilang tersebut menggunakan pekerja tempatan yang dikerah bekerja kebanyakkannya orang Melayu.

Kini ia dikelilingi oleh rumah penduduk tempatan, bahkan ada binaan rumah penduduk adalah dengan menggunakan bata yang sama dari kuaters Jepun dahulu.

Friday, September 25, 2020

My 1st Folding Bike (FB): Menambah Koleksi Hobi

VBlog Foogie Sim telah merubah minatku ke arah basikal ‘katik’ pula. Dengan menyoroti kisah  beliau yang berkembara mengelilingi KL bersama  isterinya  dengan menaiki tren aliran ringan (LRT) telah memberi idea kepadaku untuk mencuba kembara berbasikal bersama isteri menuju destinasi pilihan.

Dengan semua negara didunia  menyekat perjalanan masuk dan keluar ekoran pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, menyebabkan perancangan kembara ke luar negara kami ditangguhkan. Aku perlu mencari sebuah basikal yang kecil, ringan dan menjadikan perjalanan lebih menjimatkan dan mudah diusung ke mana sahaja di dalam negara.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilaksanakan di daerah Kota Setar, Kedah dari 11 – 25 September 2020 membuat aku semakin rimas dan sepanjang tempoh tersebut,  aku membuat reseach mengenai FB yang bersesuaian dan akhirnya (25/09/2020) aku memiliki sebuah FB (2nd) Model KHS F20-T3.

(RM2.8K)

Model  buatan Taiwan berDNA Amerika seberat 11.6kg memiliki spesifikasi seperti berikut: -

  • Frame: Reynolds 500 CrMo - chromium-molybdenum steel (with three-dimensional embossed characters)
  • Rear shock absorber: "Non-rebound" atau Soft Tail direkabentuk oleh American Power Tools
  • Handlebar: Power Tools
  • Crankset: Tripple chainring 52/42/30t
  • Shifters: Shimano Altus 3x9
  • Derailleur, Front: Microshift
  • Rear Derailleur : Shimano 105
  • Cassette: SRAM PG-950/9 Speed
  • Brakes: Tektro V-Brake
  • Pedals: Power Tools
  • Rims: KHS QUASAR 406
  • Tires: 20″ × 1.35″
  • Saddle : KHS original
  • Front Rack & Pannier : Topeak
IMG_20201114_083615

Dengan frame Chromoly menjadikan kayuhanku tampak lebih stabil, mudah ditunggangi terutama semasa pendakian dan perjalanan jarak jauh (touring). Sistem suspensi belakang yang ada padanya bukan sahaja menyerap hentakan, mengurangkan geseran dan menjadikan brek  berfungsi dengan lebih cekap dan stabil bahkan menjadikan mudah bagiku meranduk laluan offroad.

Demikian kisahnya.

20201106_080159

Tuesday, September 08, 2020

MISI SEPARUH GAGAL

Tarikh       :  05/09/2020
Misi           :  Menelusuri Denai Pencarian KJ2009
Lokasi       :  Wang Perah, Kedah.

Misi kayuhan hari ini adalah untuk menjejaki semula denai pencarian untuk laluan Kedah Jamboree 2009 (diadakan pada 01/08/2009) dan seterusnya ke lokasi CP2 Kedah Jamboree dan selanjutnya mengikuti laluan tepi bukit hingga ke pondok berdekatan sebuah air terjun yang pernah kami singgah semasa turun dari bukit Sapi dahulu.

Hari ini seramai 4 orang yang hadir untuk kayuhan iaitu Pudin, Adi Harriman, Shahrul aka kopral dan ustaz Khairul. Kami meletak kederaan di hadapan pondok polis Wang Tepus. Memohon izin dari sahabatku yang menjadi in-charge disitu. Usai doa kami mengikuti route dari Garminku (berdasarkan gpx fail bertarikh 27/07/2009 yang diplot oleh saudara Adi).

Kami mengikuti laluan Kedah Sejahtera (secara songsang) dan bila sampai di sebuah kawasan bukit jejak semakin hilang. Bukit yang ditarah menjadi teres untuk dusun dan tanaman getah telah memutuskan laluan dan jejak ditutupi semak samun. Berpatah balik dan berpusing dalam perimeter yang sama untuk mencari pintasan ke laluan tersebut namun gagal juga.

Akhirnya kami memutuskan untuk naik ke sebuah bukit berdekatan yang sudah diterang. Kami mengikuti teres yang agak mencanak dan akhirnya sampai ke puncak yang setinggi 89 meter sahaja. Penat melawan graviti tetapi penghujung tetap dihadiahkan dengan kepuasan ketika sampai di puncak. Pemandangan yang indah dan kesegaran udara pagi cukup sebagai hadiah yang sukar dinilai. Nafas dihela, melepas lelah.  Dari atas, aku meninjau dan mengamati laluan kami tadi dan mendapati hutan semakin menebal dan untuk ke CP2 nanti kami pasti mengikuti laluan pilihan.

Dipuncak setinggi 89m – dari sini kami meninjau laluan semula


`gagal mencari laluan
Meredah kebun getah – berpusing-pusing mencari pintasan untuk ke laluan
Bersama Adi Harriman – orang kuat Kedah Jamboree 2009