Friday, February 24, 2023

Songkhla: Livong – Swiss At Chana

Tarikh  :  24 Februari 2023
Lokasi  :  Chana – Na Thap – Songkhl     
Koordinat :https://goo.gl/maps/eAy7uaXiGBEXX7EY7


Hari ini, kami memasuki Thailand melalui pintu masuk Durian Burong. Walau cuti sekolah kini, namun, pagi ini, tidak ramai yang memasuki Thailand melalui pintu masuk ini.


Hampir 3 tahun  kami tidak mengunjungi daerah ini. Kelihatan infrastruktur sedang giat dijalankan, jalanraya 2 hala sedang dinaiktaraf. Kami terus ke pekan Nathawi untuk topup Simcard dan kemudian ronda pekan tersebut  mencari tempat sarapan yang sesuai. Berhampiran mercu tanda Na Thawi, kami singgah ke sebuah kedai makan milik En. Romlee. Beliau menegurku dan kami berbual  mengenai Thailand dan Malaysia. Kebetulan isteri beliau(Puan Rohani) juga menjalankan perniagaan makanan seperti nasi kerabu, pulut ayam dan Khaomok. Isteri beliau juga rupanya seorang  Pharmacist yang membuka kedai Farmasi bersebelahan. Beliau memperkenalkan kepada kami ubat gigi kayu sugi buatan sendiri kepada kami.

Coordinate: https://maps.app.goo.gl/y9uMivWRzY3marsQ6



Kami meneruskan perjalanan lebihkurang 12km ke arah Timur Laut ke arah Tha Mo Sai untuk ke sebuah rekreasi yang kini sedang trending iaitu Livong. Digelar Livong, Swizerland at Chana, kerana suasana berkabusnya terutama diwaktu pagi  berlatarkan tasik, bukit bukau dan dikellilingi oleh pokok pines, menjadikan ia seakan Swiss


Kawasan ini asalnya adalah tinggalan lombong lama. Dibaikpulih, ditanam semula dengan getah dan pokok pines (rhu)  dalam tahun 1978.

Bayaran masuk dikenakan sebanyak THB 50 seorang. Terdapat pelbagai kemudahan asas disediakan seperti letrik, tandas, camping site, kawasan berjual beli dan lain-lain lagi. Untuk tapak khemah, sewaan sebanyak THB150 seorang dikenakan.

… bersambung

Saturday, October 01, 2022

INTERNATIONAL COFFEE DAY: PASAR KOPI SEHARI/PESTA MUDA MUDI

Tarikh  :  01 Oktober 2021

Lokasi  :  Hadapa Balai Seni Negeri, Alor Setar, Kedah.


 1 Oktober dipilih oleh Pertubuhan Kopi Antarabangsa sebagai SAMBUTAN HARI KOPI SEDUNIA (International Coffee Day). Tarikh rasmi pertama ialah pada 1 Oktober 2015 dan dilancarkan di Milan.

Hari Kopi Antarabangsa  dianjurkan bagi meraikan kopi sebagai antara minuman paling digemari masyarakat dunia masa kini. Ia juga adalah satu majlis untuk mempromosi dan meraikan kopi sebagai salah satu minuman dan diraikan diseluruh dunia.



Bersempena tarikh tersebut, pasar kopi sehari dianjurkan bersama dengan Muda Mudi Weekend Fest (MMWF)  diadakan dari 31 oktober hingga 1 oktober 2022 di perkarangan Balai Seni Negeri, Alor Setar.


Diadakan pelbagai  aktiviti,   ada  latte art demonstration, aeropress demonstration, coffee cupping session, coffee roastey, jualan berkaitan kopi, OSBMX Show Bike Competition dan persembahan dari artis tempatan. 

Pesta muda mudi  mendapat kritikan ekoran tersebar video memaparkan kalangan anak muda terkinja-kinja di hadapan pentas sewaktu kumpulan muzik mengadakan persembahan   Pihak Kerajaan Negeri beranggapan insiden itu telah mencemar nama baik kerajaan negeri dan  dianggap melanggar tatasusila masyarakat di Kedah, selain kedudukan konsert tersebut tidak jauh dari Masjid Zahir. Sehubungan dengan itu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak lagi membenarkan penganjuran pesta sebegini di Kedah.

Sunday, June 05, 2022

Menikmati ‘belit’ di pekan Pauh

Belit @ lilit adalah makanan eksotik iaitu Perut Lilit Bakar. Ia adalah perut panjang lembu atau usus yang diproses dan dibelit pada buluh lalu dibakar. Aku sering nikmati hidangan ini ketika berada dikampung terutama ketika kenduri kendara atau pada hari raya korban.

Kami menikmati hidangan ini di gerai “14 Kuali Masakan Panas” di pekan Pauh, Perlis. Harganya RM10.00 sebatang.

Wednesday, June 01, 2022

JAMBATAN GANTUNG DI PENGHUJUNG SUNGAI PEDU.

Tarikh  :  26 Mac 2022
Lokasi  :  Kuala Nerang, Kedah.


Hari ini kami mula berkayuh dari pekan Kuala Nerang. Misi kami ialah untuk meninjau sebuah titi gantung yang di penghujung Sungai Pedu.

Kami menghala ke kampung Jelutong, menelusuri jalan mini tar, melalui kawasan bendang dan dusun. Sungguh indah dan permai, suasana kampong di sini. Kami meneruskan perjalanan dengan mengikuti jalan dusun, dan dipenghujung jalan, kami berjumpa sebuah jambatan gantung. Jambatan gantung sepanjang 20 meta yang merentangi sungai pedu, digunakan oleh penduduk tempatan untuk ke dusun dan kebun getah di seberang.

Air sungai pedu kelihatan melimpah keruh kerana hujan yang turun sejak kebelakangan ini. Sungai Pedu airnya memang jernih dan menghijau terutama ketika musim timoq. Sungai yang secantik ini wajarlah dipelihara demi untuk  warisan kepada anak cucu.

Monday, December 06, 2021

DUSUN SENGET: AIR TERJUN DI PERBATASAN SEMPADAN

Tarikh  :  26 Nov 2021
Lokasi  :  Dusun Senget, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.
Coordinate :  N6.44504° E100.14496°

Pagi ini kami bersama saudara Adi Harriman bersama isterinya, Deviyana bertolak dari Alor Setar pada jam 7:30 pagi. Plan asal untuk bersarapan di D’ Petak Paksu, namun kecewa kerana tutup pada hari Jumaat maka kami singgah di Kuala Perlis untuk melapik perut.

Jambatan Pelangi Atau Jambatan Tuanku Syed Putra aka Titi Tinggi

Usai sarapan kami menuju ke Jambatan Tuanku Syed Putra atau dikenali sebagai Titi Tinggi oleh penduduk tempatan. Jambatan ini dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Harun Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 30 Januari 1961. Jambatan ini menghubungkan Kampung Seberang Tok Pi di sebelah Pekan Kuala Perlis ke penempatan asal Kuala Perlis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai. Jambatan ini telah diganti sebanyak 3 kali atas faktor keselamatan.

 

Jambatan yang dicat oleh Persatuan Mendaki Perlis 

Jambatan ini kini dikenali sebagai Jambatan Pelangi kerana dicat dengan warna-warna pelangi hasil sentuhan Persatuan Mendaki Perlis. Ia bermula pada 17 Januari 2021 dan siap dalam masa 12 hari.

Jambatan ini kini menjadi ikon di Kuala Perlis di samping kampung Seberang Ramai di seberang sana yang dikenali sebagai Kampung Warna Warni.  

Pohon mati di pinggir panta

Kemudian kami mengunjungi Kampung Warna Warni bagi melihat keindahan rumah-rumah disini yang sudah kelihatan cantik dan bersih. Kampung Warna Warni adalah perkampungan nelayan tradisional yang merangkumi beberapa kampung seperti Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Tembok sempadan Antarabangsa

Kemudian kami menelusuri laluan tepi pantai menuju ke arah Pos Batu Putih dan singgah ke satu kawasan di pagar sempadan bagi melihat tembok sempadan. Tembok konkrit setinggi ± 2.4 meter dibina bagi memisahkan Kuala Perlis-Satun.

Sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Batu Putih, hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer manakala sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Kayuhan kami ke sini selepas PKP1 -  KLIK SINI

Grand Canyon Perlis @ Kampung Wai - Pada waktu tertentu air sungai ini jernih dan menghijau.
 

Selepas itu kami ke Kampung Wai, ke jambatan viral berhampiran Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh. Terowong sepanjang 756 meter yang bermula dari kampung Tebing Tinggi dan menembusi Bukit Banjaran Nakawan ke Kampung Wai, Kuala Perlis. Dikatakan sebagai terowong laluan air terpanjang di Malaysia. Ia selebar 10 meter dan berketinggian 7 meter. Projek Lencongan Banjir ini bermula pada Disember 2012 dan siap pada tahun 2016.

Kami melanjutkan perjalanan dengan menelusuri laluan mini tar menghala ke arah kawasan dusun. Perjalanan mengambil masa ± 10 minit hingga kami sampai ke kawasan lapang dan dikenali sebagai ‘Dusun Senget’. Disini terdapat air terjun kecil yang mengalir melalui batu-batu kapur. Punca air terjun ini adalah dari matair yang keluar melalui celahan batu dari kawasan bukit berhampiran.

Air terjun ini terletak di atas tanah persendirian. Kebetulan tuan tanah sedang memperbaiki dangaunya lalu aku meminta izin untuk memasuki kawasan dusunnya.

Mencari batu sempadan

Selepasa bergambar, kami meneruskan perjalanan merentas hutan kecil, melalui kawasan dusun untuk mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Malangnya kami tersasar di simpang yang membawa kami ke kawasan dusun yang tamat dipinggir hutan. Memandangkan masa terhad (dah nak masuk jumaat) kami terpaksa menangguhkan pencarian batu sempadan. 

V Tree
Bunga Kantan Hutan. Terima kasih
Santai di Kolam Renang @ Orang-orang Village

Usai solat Jumaat kami ke Orang-Orang Village (N6.4006, E100.2269) di tepi Jalan Jejawi - Tambun Tulang, berdekatan kampung Alor Redis.

Ia adalah penginapan ala Kabin yang pertama di Perlis. Terdapat 3 buah kabin dan yang bestnya ada kolam renang. Ia dikelilingi oleh sawah padi. Kami ke sini bagi meninjau kesesuaian aktiviti di masa hadapan.

    
Bendang View. Kabin atau bilik atau mengadap sawah