Translator

Monday, November 09, 2015

Kembara Bromo: Misteri Lumpur Lapindo

Tarikh  :  24 – 31 Oktober 2015    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Jarak   :  ± 400 km 
Lokasi  : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

* Waktu yang dinyatakan disini adalah waktu Malaysia
* Sebahagian gambar adalah dari koleksi Rohizam

Day 2

Malamnya kami memunggah kotak dan memasang basikal dan paginya sebelum check-out kami memohon kepada pengurus hotel untuk menyimpan kotak basikal dan beberapa barangan di tempat khas hotel ini.

PA250100

Seusai doa, kami memulakan kembara pada jam 7.00 pagi dengan mengikuti jalan Panglima Sudirman. Singgah sebentar bergambar di Monumen Buluh Runcing (S7.26773° E112.74433°).

Monumen ini bagi memperingati perjuangan penduduk tempatan yang hanya bersenjatakan buluh melawan kolonialisme Belanda. Tarikh 10 November 1945 adalah peristiwa bersejarahnya dan setiap tahun, 10 November akan dirayakan sebagai Hari Pahlawan.

Lebihkurang 1.5km mengayuh apabila hendak memasuki Jalan Raya Darmo (S7.27819° E112.74123°) kami dapati laluan di hadapan dihadang tetapi kenderaan seperti basikal atau pejalan kaki dibenarkan, Oh.. rupanya hari ini adalah Hari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB) @ Car Free Day. Patutlah semasa awal kayuhan tadi punya la ramai penunggang basikal berbondong-bondong memotong kami. Punyalah sesak dengan pengunjung. Ada yang berjoging, ada yang menari, berzumba, berbasikal, berniaga, bersosial sesama kelompok. Dari pelbagai peringkat dan usia. Dari pelbagai jenis basikal, lama dan baru. Fuhhh best bahkan ada promosi khas dari Polygon bagi pemilik jenamanya.

Di Indonesia Car Free Day pertama kali diadakan pada tahun 2000 di kota Surabaya. Ia adalah sebahagian dari kempen kesedaran untuk mempertingkatkan kualiti udara kota. Kempen yang diberi nama "Segar Suroboyoku Rek".

Car Free Day bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kota mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kenderaan bermotor. Tema penting dalam hari bebas kendaraan bermotor, adalah tinggalkan kenderaan bermotor dirumah dan berjalan kakilah atau gunakan kenderaan tidak bermotor ataupun menggunakan kenderaan umum untuk perjalanan.


Setelah mengayuh ± 33km, kami sampai ke Porong yang terletak dalam kecamatan Sidoarjo. Disini dapat menyaksikan satu fenomena alam yang menjadikan sebahagian kawasan digenangi dengan lumpur panas dari perut bumi yang disebut Lumpur Lapindo (S7.51173° E112.70798°). Banjir lumpur yang menyembur keluar pada 29 Mei 2006  berpunca dari projek carigali(drilling) gas oleh pihak Lapindo Brantas Inc. di Dusun Balongnongo Desa Renokenongo, Kecamatan Porong, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia. (sumur asal - S7.52654° E112.71037°). Lumpur panas yang masih mengalir keluar sehingga kini telah menenggelamkan  16 desa di 3 kecamatan di Sidoarjo yakni Porong dan kini mencecah keluasan ±650 hektar.

Pihak Kerajaan telah membina tambak khas bagi menahan limpahan lumpur dan mengalirkan air ke sungai Porong. Tambak selebar 15 meter dan sepanjang hampir 10 kilometer dengan ketinggian ± 10 meter. Projek yang dimulakan pada tahun 2011.

± jam 4.00 kami tiba di Bangil dan membuat keputusan untuk berhenti bermalam di pekan ini dan menginap di Anugerah Hotel (S7.60216° E112.79200°) yang selesa biliknya.

Bangil terkenal dengan makanan khas iaitu Nasi Punêl. Nasi Punel adalah sepertimana nasi campur lain namun keistimewaannya adalah pada cara hidangan dan masakan. Dihidangkan bersama daging atau ayam goreng, tempe goreng, sambal potongan kacang panjang mentah yang dicampur dengan sambal pedas buah tomato, sayur nangka muda, serunding dan ada juga otak otak. Makanan ini dialas dengan daun pisang dan rasanya memang sedap.

Di Jalan Raya Darmo – Car Free Day – Pelbagai aksi dan aktiviti

Memperkemaskan jentera

Memasuki kawasan Lumpur – Mengayuh diatas tambak yang dibina bagi mengepong Limpahan Lumpur

Monumen Tragedi Lumpur Lapindo

Antara rumah yang tenggelam dan rosak – banyak lagi kampung dihadapan yang ditinggalkan

Sungai Porong – Air lumpur dialirkan ke sungai ini

Memasuki Pekan Bangil

GOPR3833

Terpaksa berhenti di banyak lokasi

PA250182

Suasana yang panas menyebabkan kami menjadi terlalu dahaga – Disini hujan  sudah lebih dari 5 bulan tidak turun

Berlatarkan Jambatan Kedung Larangan di Bangil

Thursday, November 05, 2015

Kembara Bromo: Prolog

Tarikh  :  24 – 31 Oktober 2015    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Jarak   :  ± 400 km 
Lokasi  : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Sebermula di Surabaya

Kami pasti ke sana - disana Gunung Bromo, nun dibawah lautan pasir

Surabaya adalah ibukota provinsi Jawa Timur. Sebuah kota Metropolis yang kedua terbesar di Indonesia setelah Jakarta. Ia adalah pintu masuk ke wilayah timur ini. Sesungguhnya banyak lokasi menarik yang akan cuba kami singgahi semampunya.

Selepas Kembara Kathmandu kami memilih Bromo di Jawa Timur, Indonesia sebagai pilihan seterusnya dengan plan kayuhan seperti berikut:

Surabaya–Sidoarjo–Bangil – Pasuruan – Probolinggo - Mount Bromo – Malang – Batu – Surabaya yang berjarak ± 340km

Kali ini hanya 4 orang sahaja lantaran yang lainnya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Tindakan pertama kami adalah mendapatkan tiket penerbangan Air Asia dari Penang Ke Surabaya dengan KOS RM340.00 pada awal November 2014. Kami menjangkakan bahawa perbelanjaan keseluruhan tidak lebih dari RM1,000.00 seorang. Perbincangan diadakan dari semasa ke semasa dengan menilai dan  berkongsi maklumat dan laluan.

Kayuhan kali ini lebih berbentuk ‘sokongan kendiri’ maka kami terpaksa membawa  barangan masing-masing tanpa kenderaan sokongan. Oleh itu ketahanan fizikal dan mental perlu ada. Barangan dan basikal perlu diuji maka beberapa siri latihan dengan membawa barangan (ala-touring) dengan mendaki bukit dan melalui jalan offroad juga dibuat.


MAKA pada tanggal 24 Oktober 2015, jam 05:05 petang, bertolaklah kami  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ke Surabaya dengan pesawat Air Asia (QZ387). Penerbangan yang mengambil masa lebihkurang 2 jam  selamat mendarat di Lapangan Terbang Juanda pada jam 08:30 mlm waktu Malaysia (7:30 pm waktu Indonesia Barat (WIB)).

Di airport kami dapatkan 2 buah Toyota Inova dari syarikat pengangkutan yang berdaftar, Primlopal Juanda (Prana Jaya – 0896 1313 9622) bagi mengangkut barangan dan kami ke hotel iaitu Loxy Inn (S7.26650° E112.74403°) di Jalan Embong Wungu No. 5, Jawa Timur, Indonesia. (Sebuah hotel yang agak selesa dan sering mendapat komen yang baik oleh  backpackers). Jaraknya 17.7km dari Lapangan Terbang Juanda. (Kos sebuah kereta ID 150.000)

Insyaalah kembara yang mendekati alam dan penduduk. Menghayati keindahan alam dari maha pencipta, menikmati keenakkan makanan tempatan. Mengalami kepayahan, keletihan dan kegembiraan. Semuanya terangkum dalam Kembara kami.

Basikal kami dibungkus dan dimasukan ke dalam kotak. Kerja-kerja pembungkusan dilakukan dirumahku sehari sebelum keberangkatan. Kami mendapatkan perkhidmatan  sdr Jamaluddin Syawal bagi menghantar kami  ke  Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.  Untuk kali ini kami  mendaftar  barangan (luggage) sebanyak 25kg.

Menikmati keindahan alam

merendah pasir yang luas

perit mendorong basikal

hampir bersendiri di kawasan yang sunyi

merentas lembah yang kering

adakalanya terpaksa berhenti

berada di kawasan tanah tinggi

melalui beberapa wisata air terjun

Kerapan Sapi = pertandingan lumba lembu amat popular di Madura

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...