Tuesday, June 09, 2015

Bukit Hijau: Bebas Mencari Sempurna

Tarikh : 06/06/2015 (Sabtu)
Masa   : 8.25 pagi 
Rider   : 2 Orang – Pudin & Zam
Jarak  : 18 km
Max Elev  : 81 meter
Coordinate:

Tidak ada yang cukup menyeronokkan bagi seorang penunggang sepeda gunung tatkala menjamah laluan yang mencabar – tetapi bagi aku pula, ada lagi yang perlu diambil kira. Aku sukakan sesuatu yang baru, menjelajah ke tempat yang tidak pernah aku sampai bahkan keinginan untuk memahami keseluruhan kawasan adalah keutamaan. Berharap semoga jejak yang bersesuai dapat ditemukan. Bukan sekadar laluan teknikal, aku juga tercari sesuatu yang dapat memberi keseronokan dan seterus dapat menikmati keindahan alam.

Hari ini aku masih meneruskan misi. Misi mencari jejak yang "sempurna". Jejak di kawasan lembah di lereng Bukit Hijau dan beberapa anak bukit di kawasan perkebunan getah. Eksplorasiku kebelakangan ini memberi inspirasi dalam mencari erti sempurna. Kalau dahulu kesempurnaan dalam pencarianku adalah survival. Kini ia lebih kepada keseronokan dan kepuasan.

Misiku pagi ini adalah untuk mencari kesinambungan laluan. Dengan berpandukan alat garmin aku meneroka ladang-ladang getah supaya laluan yang bersambungan dapat ditemui. Laluan biasa yang terbuka adalah hambar, abaikan saja. Sengaja meredah kebun getah bagi menambah rencah. Penurunan dan pendakian diadunkan buat menambah perisa.

Bukit baru dijumpa lalu ‘ditanda’, masa yang sesuai pasti kami redah. Pencarian kami perlu dipendekkan kerana urusan kenduri perlu dihadiri. Kembali ke laluan biasa namun berehat seketika di pinggiran kolam bagi menikmati indahnya alam …..

Awal permulaan – laluan mini tar

Mendaki Bukit

memasuki kawasan perkebunan getah

menuju ke kawasan kolam

melepas lelah merehatkan badan