Translator

Wednesday, December 31, 2014

Kembara Famili Ke Krabi: Pesona Gugusan Pulau Di Lautan Andaman

Tarikh : 24 Disember 2014
Penyertaan: Famili 7 orang – 4 Dewasa, 3 Kanak-Kanak)  
Koordinate: N7° 56.991' E98° 48.408'
Laluan: Lawatan Ke Gugusan Pulau Poda (Mu Koh Poda)
Jarak : ± 26 km

Day 2

Krabi - Mu Koh Poda

Ao Nang/Krabi terkenal dengan pantai dan pulau-pulau semulajadi yang indah di lautan Andaman. Pulau-pulau yang berdekatan antara satu sama lain. Penjelajahan dengan bot adalah cara terbaik untuk menikmati keindahan pemandangan dan kepelbagaian lanskapnya. Kami menempah pakej Island Hoping di kaunter hotel View LaVilla.  Ada pelbagai pakej dari pelbagai operator yang menawarkan jelajah 7 pulau, pakej  ke kepulauan Phi Phi, ke gugusan Hong Island, tawaran naik speed boat dengan pelbagai harga namun kami memilih pakej bajet  dengan menggunakan Long Boat ke 4 buah pulau (Mu Koh Poda or Poda Group Islands) yang terkenal dan menjadi pilihan ramai pelancong. Anda boleh berunding harga semasa memilih pakej-pakej yang disediakan. Bayaran untuk pakej ini ialah  THB500 dan kanak-kanak THB400 tetapi aku dapat diskaun khas (±30%)

mendaftar nama

PC240940

Jam 9.00 pagi waktu tempatan kami dijemput dari hotel dan dibawa ke pantai Ao Nang untuk pendaftaran dan seterusnya menaiki bot panjang yang agak besar yang memuatkan  72 orang. Kami akan menuju ke pulau 3 serangkai dahulu (Koh Kai, Koh Tup dan Koh Mo) – yang bermaksud ‘ayam pijak kuali’ hmmm… kenapa ???

Koh Tup & Koh Mo

Singgahan pertama kami ialah ke Tup Island (Koh Tup) (N7° 57.635' E98° 48.730'). Perjalanan sejauh ± 8 km dari Ao Nang Pier dan mengambil masa ± 45 minit. Ia tersenarai antara 15 pulau tercantik di Thailand. Ia menjadi lokasi popular pengunjung kerana keunikan pantai dan airnya yang menghijau jernih. Ditambah lagi keunikkan utamanya (unseen Thailand) ialah beting pasir (gumuk) sejauh 70 meter yang menghubungkan ke Mo Island (Koh Mo) (N7° 57.649' E98° 48.640'). Jika air surut anda boleh berjalan kaki di atas beting pasir ini bagaikan jambatan penghubung 2 pulau. Kerana keunikan ini ia digelar Talay Waek bermaksud ‘Pemisah Laut’.

Namun kunjunganku ke sini tidak dapat melihat beting pasir tersebut kerana air pasang, kami mengharung air separas pinggang untuk ke Mo Island. Pulau Mo adalah sebuah pulau yang kecil dan berbatu karang. Disini kami hanya mandi seketika dan berpatah balik untuk mendaki puncak bukit kecil di Tup Island setinggi ±23 meter. Bukit yang ditumbuhi pokok-pokok renek. Dari atas nampak jelas bot kami diatas laut yang air menghijau dan jernih sekali. Tidak lama di sini kerana kami diberi masa 40 minit sahaja.

Koh Kai

Koh Kai bak ayam

Seterusnya kami ke Koh Kai (N7° 56.991' E98° 48.408') yang mengambil masa 10 minit. Koh kai atau lebih dikenali sebagai ‘chicken island’ kerana keanihan/keunikan formasi batu yang mirip kepala Ayam (ayam Belanda!). Disini kami menjalankan aktiviti snorkeling. Segala alatan snorkeling disediakan. Air yang jernih menampakan ikan yang berkerumun terutama apabila  roti ditabur. 40 minit juga kami diberi had masa disini sebelum bertolak ke destinasi berikutnya.

Koh Poda

Seterusnya kami ke Poda Island (N7° 58.419' E98° 48.756'). Pulau yang terbesar dalam gugusan pulau Poda. Pantai yang halus pasirnya terbentang memanjang dengan airnya yang jernih. Disini kami menikmati makanan tengahari (halal – aku sudah kompom dengan pengusaha sebelum booking pakej ini) yang disediakan oleh operator bot. 40 minit had masa diberikan dengan bermandi manda selepas makan.

Phranang Cave – The Princess Penis Legend

Berlatarkan Phranang Cave

Sebelum tamat kembara laut ini kami dibawa ke singgahan terakhir iaitu ke Phra Nang Beach (N8° 00.407' E98° 50.208') yang dikelilingi bukit-bukau batukapur yang mempesonakan. Ia terletak pada bahagian selatan semenanjung Railay. Disini sesuai untuk aktiviti mandi, berkayak dan pemandangan matahari terbenam. Ada banyak perahu-perahu penduduk tempatan yang menjual barangan makanan/minuman.  Ada beberapa bar yang menjadi kunjungan pelancong barat dan yang menarik di penghujung sebelah selatan pantai ada sebuah gua yang terkenal dikalangan penduduk tempatan yang dikenali sebagai Tham Phra Nang Nok.

SIAPAKAH Phra Nang? Ada beberapa teori mengenai Phra Nang. Ada lagenda yang mengatakan ia adalah seorang puteri dari india yang meninggal apabila kapalnya karam berdekatan dengan lagun ini dan rohnya tinggal di dalam gua tersebut. Ada pula yang mengatakan ia isteri kepada nelayan tempatan yang pasrah apabila suaminya  ke laut dan tidak pulang-pulang lalu menghambakan dirinya di dalam gua sambil menanti kepulangan suaminya.

Oleh itu nelayan tempatan sering mengunjungi gua ini bagi memohon hajat tertentu disamping membuat persembahan TETAPI kenapa ukiran kayu ‘benda tu’  dibuat sebagai persembahan? Ia berkaitan dengan kepercayaan animisma dan simbol tuhan Hindu(Shiva) yang berkait rapat mengenai kesuburan dan kejantanan (Mungkin ada yang berharap untuk meningkatkan libido mereka) disamping memohon keselamatan semasa ke laut. Terdapat banyak ukiran kayu pelbagai saiz dan warna  dan menjadi tarikan pelancong untuk bergambar  bahkan ada banyak batu-batu bak ‘penis’ juga di ‘rai kan’.

Bukit-bukit batu kapur di Semenanjung Railey juga menjadi tarikan penggemar sukan ekstrim rock climbing.


Koh Tup dari belakang – gambar dari bot berlabuh

Koh Tup dari puncak bukit ke bot berlabuh

Mendaki Bukit kecil ke puncak Koh Tup

Koh Mo dari Koh Tup - beting pasir yang sudah tenggelam bila air pasang

Batu karang di Koh Mo

Ikan-ikan di Koh Kai yang datang mengambil makanan di tangan

Makanan Tengahari disediakan – Halal

Koh Poda adalah pulau terbesar dalam gugusan pulau ini

Lain-lain pulau berdekatan

Phranang  Beach

Perahu-perahu yang menjual makanan/minuman

Lagoon berdekatan Phranang cave – nasib baik anak-anak asyik mandi tepi pantai

Stalaktik & Stalakmit yang menarik 

Perjalanan kami berakhir di Ao Nang Pier pada jam 5.00 petang. Hampir seharian di pulau memang menyeronokan, menarik dan amat berbaloi. Anak-anak  berasa seronok, riang dan berpuas hati.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Kembara Famili Ke Krabi - Day 1
2. Kembara Famili Ke Krabi - Day 2
3. Kembara Famili Ke Krabi – Day 3
4. Kembara Famili Ke Krabi – Day 4
5.

Monday, December 29, 2014

Kembara Famili Ke Krabi: Santai Sebelum Sampai

Tarikh : 23 Disember 2014
Kos    : ± RM1,800.00 (All-in untuk satu famili 7 orang – 4 Dewasa, 3 Kanak-Kanak)  
Koordinate: N8° 02.019' E98° 49.689'
Laluan: TTG – Wang Klian – Khuan Kalong – Thung Wa – Trang – Aonang 
Jarak : 434 km/1,100 km

Day 1

Sesudah subuh kami keluar dari rumah menuju Wang Klian. Perlu awal kerana ingin singgah dibeberapa lokasi disepanjang jalan sebelum sampai Krabi. Isian minyak sehingga penuh di Caltex Wang Klian (N6° 40.840' E100° 11.205') (dibuka dari jam 8:00am – 7:00 pm). Seusai urusan imigresen kami bergerak menuju pekan Khuan Kalong untuk bersarapan.

Aku sengaja memilih melalui wilayah Satun kerana pintu masuk imigresen Wang Klian tidak ramai pengunjung, bahkan dikatakan laluan ini menjimat perjalanan sejauh ±70km. Lagipun banyak lokasi air terjun  dan hutan simpanan yang masih terpelihara. Aku sudah menyediakan senarai dan koordinate lokasi air terjun untuk dilawati sebelum sampai ke Ao Nang.

Bermula dari Wang Prachan, aku menelusuri Highway 416 hingga ke persimpangan berhampiran pekan Thung Yao dan belok ke kanan mengikuti Highway 4125 menuju ke kawasan Khoa Banthat Wildlife Preserve Area yang kaya dengan flora dan fauna dan air terjun yang indah. Hujan rahmat mengiringi sepanjang perjalanan kami menambahkan sejuk suasana alam dan membataskan pergerakkan aku mengunjungi kesemua senarai air terjun yang ku rancang.

Ton Tae Waterfall

Singgahan pertamaku adalah ke To Tae waterfall (N7° 17.615' E99° 52.923'). Dari kejauhan sudah nampak aliran air yang  putih bagaikan kapas mengingatkan aku akan Lata Kinjang yang tampak dari kejauhan. Air terjun setinggi 320 meter yang mengalir turun dari Pergunungan Khao Banthat. Kehebatan alirannya menyebabkan ia digelar sebagai a king of waterfall. Untuk melihat lebih dekat aliran air terjun ini perlu mendaki denai yang disediakan sejauh hampir 250 meter. Hujan yang turun menyebabkan aliran air sangat deras dan melimpahi tebing jadi aku tidak berani untuk menghampiri secara dekat air terjun ini.

Terletak ± 10km dari jalan utama (Highway 4264). Jangan bimbang ada papan tanda arah yang memudahkan untuk sampai ke air terjun ini. Prasarana yang teratur disediakan seperti parkir, gerai, tandas dan ada chalet di kawasan berhampiran. Tidak pasti samada dikenakan bayaran kerana aku sampai pada awal pagi ditambah dengan hujan menyebabkan kehadiran kami tidak berapa dipedulikan.

Ton Tok Waterfall

Kami memandu ± 1 km ke selatan menuju ke sebuah lagi air terjun yang bagaikan adik kepada Ton Tae iaitu Air Terjun Ton Tok (N7° 17.615' E99° 52.923'). Air terjun yang alirannya adalah pecahan  simbahan air dari Banjaran Khao Banthat. Aliran sungai yang mengalir dicelah batuan dan jatuh ke dalam kolam yang sesuai untuk mandi di dalamnya. Namun aliran yang kuat akibat hujan menyebabkan aliran air laju dan menambahkan keindahannya. Aku berada sedekat mungkin dengan air terjun ini namun tidak boleh mandi dikolamnya hari ini. Dari sini aku dapat melihat kehebatan air terjun Ton Tae dari jauh.

Phrai Sawan Waterfall

Keluar semula ke jalan utama (Highway 4264) dan memandu sejauh ± 12km sehingga jumpa simpang empat, belok ke kanan dan pandu sejauh ±4 km sehingga berjumpa Air Terjun Phrai Sawan (N7° 24.732' E99° 49.344'). Antara air terjun yang terkenal di daerah Trang ini. Air terjun sederhana yang mempunyai beberapa tingkat. Pengunjung boleh juga menaiki bot getah mengelilingi air terjun ini. Namun hujan yang semakin lebat menyebabkan aku tidak berkesempatan untuk turun menjengah lebih dekat.

Sai Rung Waterfall

Nun disana – percikan air dan berkabus bila air menghempas batu

Aku memandu ± 8 km lagi untuk menjengah Air Terjun Sai Rung (N7° 26.423' E99° 48.842') dahulunya dikenali sebagai Pakthaweep Waterfall. Sai rung bermaksud ‘Pelangi’. Air terjun setinggi 60 meter yang turun dari pergunungan tinggi Banjaran Khao Banthat. Perlu mendaki laluan khas sejauh ± 100 meter untuk menikmati pemandangan air terjun ini. Percikan airnya mewujudkan pelangi apabila disinari cahaya mentari. Sesuai tempat untuk berkelah dan merehatkan minda sambil  menikmati keindahan alam yang hijau sambil mendengar bunyi unggas rimba. Kolam yang terbentuk dengan air sejuk pergunungan yang menyegarkan badan apabila mandi di sini NAMUN AWAS pernah berlaku kematian disini pada April 2007  apabila ‘Kepala Air’ melanda ratusan pengunjung yang sedang berkelah dan mengorbankan 38 orang yang sedang  menikmati keindahannya sempena pesta Songkran. Mengingati peristiwa itu, aku hanya melihat dari kejauhan sahaja lantaran arus yang deras.

Rancangan pengairan berhampiran Namtok Sairung, Daerah Yan Takao. Dibina dalam tahun 1996

Sebenarnya ada banyak lagi air terjun yang perlu ku kunjungi, namun cuaca hujan yang tidak menentu dan masa yang terhad menyebabkan aku membatalkan. (Sasaranku mengunjungi 16 air terjun:  7 di wilayah Phatthalung, 6 di wilayah Trang and 3 di Satun, semua air terjun in mengalir turun dari Pergunungan Banthat). 

Menarik! - Rumah dibina dari sumber hutan

Menuju Ao Nang,  Mencari Tempat Menginap


2 pintu – 4 tingkat Hotel Ao Nang View LaVilla

Ada lagi hampir 200km dan aku perlu sampai ke pantai Ao Nang sebelum jam 7.00 malam bagi meninjau penginapan dan berunding untuk aktiviti ‘Island Hoping’ esoknya.

Keluar ke Jalanraya, telusuri Highway 4 menuju Trang untuk makan tangahari lewat dan seterusnya mengikuti laluan pintas sebelum memasuki semula Highway 4 dan memasuki Highway 4034 menuju Ao Nang. Sampai di Ao Nang hampir jam 6:30 petang

ALHAMDULILLAH, berjaya mendapatkan bilik suite yang sangat luas bagi menempatkan kami 7 orang sekeluarga di Ao Nang View LaVilla (N8° 02.019' E98° 49.689') dengan harga promosi berjumlah THB2000. Hotel milik pengusaha Muslim. Ditempat lain aku dipaksa mengambil 2 buah bilik kerana pihak hotel tidak membenarkan lebih dari 3 orang untuk sesebuah bilik.

Malamnya kami keluar menikmati pemandangan malam dan mengunjungi gerai-gerai jualan disepanjang Ao Nang Road. Menikmati makan malam yang ringkas. Sebenarnya kami  juga membawa bekalan makanan seperti roti, sardin dan maggi sebagai persediaan melapik perut diwaktu ‘kesukaran’. Krabi mempunyai ramai penduduk Muslim, jadi tidak ada masalah mencari makanan halal bahkan ada banyak masjid disekitar kawasan ini.

Masjid Ao Nang – banyak gerai-gerai makanan dan cenderahati sepanjang jalan ini


Pautan Kembara Berkaitan

1. Kembara Famili Ke Krabi - Day 1
2. Kembara Famili Ke Krabi - Day 2
3. Kembara Famili Ke Krabi – Day 3
4. Kembara Famili Ke Krabi – Day 4
5.

Monday, December 15, 2014

Bukit Payung: Berdua Menjejaki CP2

Tarikh :  13 Disember 2014     
Jarak : 12.9 km
Max Elev : 276 meter 
Rider : 2 Orang = Pudin dan Cikgu Fisol
Coordinate :  N6° 15.904' E100° 28.675'

Setelah hampir 5 tahun Kedah Jamboree berlalu (1 Ogos 2009) maka hari ini aku bersama Cikgu Fisol akan menjejaki semula lokasi sebenar Check Point 2 (CP2). Aku mengajak Cikgu Fisol kerana beliau terlibat secara langsung dengan Jamboree ini, mencari trek dan menjadi mashall di CP2.

Lokasi CP2 yang pernah dijaga oleh Cikgu Fisol

Kemeriahan di CP2 - Md. Nasron, Cikgu Fisol, Wan Blitz, Rashdan dan soldadu-soldadu gagah – Gambar dari blog Rush Done - TQ

Aku pernah menjejaki beberapa bukit di kawasan ini semasa persediaan Trek  untuk Kedah Jamboree 2010 (KLIK)(Ia dibatalkan atas sebab tertentu KLIK – maklumat pembatalan) dan pernah juga melalui kawasan ini semasa Kayuhan Angpau: Menuju Puncak Jitra  bersama team Redflag(KLIK)  pada 11 Februari 2013, namun tidak berapa ingat lokasi asal CP2 ini.

Kami bermula dari kampung Kota Mengkuang pada jam 8.00 pagi, menelusuri jalan mini tar dan seterusnya merentasi kawasan perkebunan getah sebelum mendaki bukit yang agak mencanak. Aku mengajak cikgu Fisol mendaki sebuah bukit berhampiran (nama tak pasti…(N6° 15.998' E100° 28.338'))  yang berketinggian 276 meter bagi membuat ‘tinjauan jauh’ kawasan ini. Dari sini nampak jelas Bukit Kelubi dan beberapa bukit lagi. Dari puncak bukit cikgu Fisol menunjukkan ke  satu tempat yang mungkin menjadi lokasi CP2. Setelah puas merehatkan badan, minda dan mata dengan sajian panorama indah dan belaian angin pagi, maka kami pun turun mengikuti teres yang sedikit semak. Beberapa kali aku terjatuh apabila basikal aku melanggar batu dan memasuki lurah air yang tersembunyi dalam semak yang agak tebal. Aduss! nasib baik tak laju dan ada rumput dan lalang yang menyambut jatuhanku, tapi sakit juga tulang kering bila betis terkena ketoi batu yang agak besar.

Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bertugas, maka sampai sahaja di satu kawasan, cikgu mengamati bentuk laluan dan mengesahkan bahawa tempat ini adalah CP2. Namun dengan perubahan semasa, rumput dan hakisan telah merubah suasana dan mengelirukan. Dari tepi tebing juga aku meninjau Bukit Payung dan Bukit Haji, Owh! bukit inilah yang menjadi sasaranku minggu lepas untuk diterjah. Aku bercadang untuk balik dengan melalui laluan  yang kelihatan agak semak tetapi apabila melihat dihadapannya semak dan rumput yang semakin menebal, curam dan berbatu. Tidak mahu ambil risiko maka kami membatalkan untuk kembali mengikuti jalan yang kami datang tadi.

Sesungguhnya kayuhan hari ini sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia dan mengajar betapa pentingnya pemuliharaan hutan supaya kelestarian alam bagi memelihara ekologinya.

Laluan yang terhakis

Disana Bukit Haji dan Bukit Payung (Laluan minggu lalu)

Bersedia untuk DH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...