Translator

Wednesday, May 21, 2014

SUKMA 2014: Menyukat Laluan, Menduga Diri

Tarikh : 20 Mei 2014     
Trek : Trek Downhill SUKMA 2014, Bukit Telipong, Ulu Pauh, Perlis  
Jarak  : 920 meter 
Max Elev : 168 meter         
Coordinate: N6 26.460 E100 20.894

Perlis, menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17. 24 Mei 2014 menjadi hari pembukaannya dan 04 Jun hari terakhir.

Kearah menjadikan tuan rumah SUKMA yang terbaik maka pelbagai projek pembinaan dan menaiktaraf venue pertandingan giat dilaksanakan. Sahabat ‘Roots Rider’ (penggemar/penggiat MTB dari Kedah/Perlis) telah diberi kepercayaan untuk membina dan menyiapkan sebuah trek Downhill. Sebuah bukit dibelakang Politeknik Syed Sirajuddin, Ulu Pauh dipilih untuk dilaksanakan. 06/05/2014 projek bermula dan siap sepenuhnya pada 15/05/2014.

Dengan kerjasama geng-geng Dowwnhill dan  berkat kesabaran maka trek ini dapat dibina memenuhi piawaian yang ditetapkan. Ia dibina dan diuji oleh mereka yang mahir dan terlibat secara langsung dalam sukan ini.

Asal dari sebuah denai teres yang kosong lagi hambar, maka trek sejauh 920 meter dengan pelbagai halangan yang sengaja dibina bagi menguji kemahiran dan keberanian penunggang. Dengan menetapkan masa standard selama 2 minit 10 saat sebagai ‘larian penerjunan’, maka diharap trek ini bakal menjadi antara trek yang terbaik.

Aku tidak melepas peluang untuk mencuba trek ini diketika halangan yang sempurna belum selesai dibina. Walau tidak merasai keseluruhan halangan yang dibuat namun halangan sediada sudah cukup menggugat keyakinan diri namun seronok dilayan. Hari ini pula aku membantu menyediakan satu peta dengan memplot laluan dan memuktamatkan jarak dengan menggunakan garmin.

 

Trek DH Sukma sejauh 920 meter dan permulaannya pada ketinggian 168 meter. Terdapat 25 halangan yang sengaja dibina.

Bukan semua dapat dilakukan dengan sempurna

Kontraktor pembinaan sedang menyukat laluan

Team Sabah di Laluan XCO

Penunggang XCO Perlis, Kido sedang mencuba sebahagian halangan di Trek Downhill

Saturday, May 17, 2014

Masjid Kerisik:

Tarikh :   03 Mei 2014
Lokasi : Kampung Krisek, Mukim Tanjung Luluk, Pattani, Thailand       
Coordinate: N6 52.382 E101 18.201

Tidak sempurna kunjungan anda ke Fatani andaikata tidak bertandang ke Kampung Krisek,  mukim Tanjung Luluk, Mueang Pattani untuk melawat dan menjejak kaki ke Masjid Krisek (Kruese).

Kononnya masjid ini pernah dikunjungi oleh pahlawan Melaka terbilang iaitu Hang Tuah (hmmm…???) Namun dari catatan sejarah, ianya dibina diera pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1530 – 1564) dan sehingga kini kelihatan seperti tidak siap sepenuhnya. Dengan bata-bata merah yang disusun dengan mengunakan putih telur sebagai pengikat/penguat (pengganti simen), tiangnya yang bulat dengan rekaan pintu berbentuk selekoh tajam, kelihatan ia seperti kota lama di kawasan tanah tinggi. Sebenarnya konsep binaannya adalah mirip kepada Timur Tengah, pintu gerbang laluan utama mirip gerbang Kuil Hindu atau dikenali sebagai Gapura manakala bentuk gerbang dan tingkap menyerupai konsep moor di Sepanyol.

Pada zaman pemerintahan Raja Hijau (1584-1616), masjid ini diberi pembaharuan dengan sentuhan dan garapan istimewa tukang dari Cina iaitu Lim Tau Khiang. Sejak itu, ia diubahsuai beberapa kali termasuk ketika pemerintahan Long Yunus dan Tuan Sulung. Namun, disebabkan keadaannya terlalu uzur dan usang, ditambah pula ekonomi Pattani lumpuh akibat peperangan, sultan mengambil keputusan membina masjid baru di Kampung Bana. Kesannya, Masjid Krisek ditinggal terbiar sehingga bersemak-samun.

Bagaimanapun, oleh kerana nilai sejarahnya, pada 1935, Jabatan Arkeologi dan Antikuiti Thailand mengisytiharkannya sebagai tapak sejarah sekali gus memungkinkan kerja pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan dilakukan pada 1957, 1982 dan 2004.

Masjid ini juga merakam sejarah berdarah dengan berlakunya peristiwa pembunuhan kejam beramai-ramai dalam masjid kerisik oleh tentera Thai pada pagi 28hb April 2004. Seramai 34 anak-anak muda yang berumur dari 16 hingga 34 tahun telah terkorban menandakan bermula dan bersemarak semula kebangkitan  perjuangan pembebasan rakyat patani.

Masjid Krisek adalah lambang pengorbanan masyarakat islam di bumi Fatani. Analogi kegagalan binaannya seperti gagallah jua Fatani dalam mendapat kemerdekaannya dari cengkaman Siam.

Bata-bata merah yang diikat dengan putih telor

kesan peluru masih kelihatan dipintu dan dinding yang menghadap ke jalan utama

Tempat wuduk

Tingkap kayu lama

Pandangan dalam masjid

Tampak sisi (bucu)

Peninggalan yang dipamer dihadapan masjid

Thursday, May 15, 2014

Bukit Resam : Ulangan Mencari Persamaan

Tarikh : 13 Mei 2014    
Laluan : Pokok Sena – Pancor – Bukit Resam – Pancor – Pokok Sena  
Jarak  : 22km  
Max Elev : 224 meter    
Rider :  8 Orang – Pudin, Din KBS, Zam, Safuan, Bakar, Roy, Khairul Anuar &  Dziad Udin      
Coordinate: N6 13.986 E100 30.103

Bersempena cuti hari wesak, Din KBS mengundang beberapa rakan untuk menikmati trek yang dicari oleh mereka tempohari. Tiada aktiviti lain maka aku menyertainya untuk sama-sama menikmati laluan ini.

Kami bermula dari Balai Polis pekan Pokok Sena, menelusuri laluan aspal kampung Pancur sejauh ±5km dan selepas itu sedikit rencah di sajikan buat pembuka selera untuk memanas badan. Menyedari bahawa ‘hidangan utama’ yang agak berat akan terhidang dihadapan nanti, aku memperlahankan rentak kayuhan, tidak perlu ‘merengkuh’ memanjat bukit  bagi menjimat tenaga. Tenaga perlu disimpan bagi menghadapi beberapa kemungkinan yang tak ketahuan. Benarlah telahanku ‘cabaran’ utama menanti beberapa km dihadapan. Bukit yang ‘terjal’ terpaksa ditempuhi sehinggalah kami bertemu dengan laluan yang aku bersama AdiHariman dan Zam lalui tempohari. Laluan ini membawa kami menuju hingga ke puncak Bukit Resam yang setinggi 280 meter. Dari sini panorama indah kampung Empa dan Bukit Payung, Jitra jelas kelihatan.

Cabaran penurunan menanti dihadapan. Laluan yang  ‘kasar’ pasti menguji kemahiran menangani cabaran. Menuruni laluan yang terhakis dan berlurah akibat hujan dan seterus mendaki lagi beberapa ‘anak bukit’ sebelum kami keluar ke ‘laluan kampung’ (Empa – Padang Tembusu). Selepas itu berkayuh di laluan single trek yang teduh dinaungi pepohon getah. Ujian keseimbangan di atas permatang di kawasan bendang (sawah padi) dan seterusnya kembali ke jalan mini tar kampung Pancor dan balik ke titik permulaan.

Teruja aku dengan semangat team Pokok Sena dalam mencari laluan baru. Satu usaha untuk menambah koleksi trek pilihan kepada peminat MTB. Walaupun aku pernah menjelajah kawasan ini secara sendirian atau berteman. Insyaallah kerjasama untuk menyatukan laluan pasti akan terlaksana.

Permulaan kayuhan

Pembuka selera .. sikit jer

Ambik angin …. melepas lelah

Teeediaa … tunjai

Panorama ..masih hijau di sana

meninjau – dok berkira ke mana pulak lepas ni?

Downhilllll …..

Jalur tunggal – dalam kebun getah

mempraktikkan ilmu keseimbangan

Menghijau

Monday, May 12, 2014

Day 3 – Pattani: Masjid Di Ziarah, Pantai di Jelajah

Tarikh : 03 Mei 2014    
Laluan : Pattani – Yaring – Laem Tha Chi  -  Na Ket – Na Thawi – Khlong Ngae – Padang Besar, Thailand    
Jarak  : 280/760 km    
Coordinate:

Pattani adalah sebuah wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduk (85%) beragama Islam. Ia asalnya sebuah kerajaan Melayu Islam(Raja-raja Pelangi - 1516-1902) sebelum ditakluk oleh Kerajaan Siam pada tahun 1767. Pada tahun 1835 berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan. Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di Patani. Phraya Patani ke-V dan terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah telah dibuang negeri ke Kelantan kerana terlibat dalam pemberontakan yang mahu membebaskan Patani dari Siam pada tahun 1902 sekaligus menghapuskan sistem beraja melayu di Patani. Antara tahun 1939 – 1944 (masa pemerintahan Pibul Songgram), orang Melayu telah menjadi mangsa dasar asimilasi kebudayaan atau dasar Rathaniyam ).

Meskipun, Pattani bukan tergolong lokasi pelancongan popular ditambah dengan ketidakstabilan politiknya, namun hatiku meruntun untuk menjelajah dan meneroka buminya yang berselirat dengan sungai dan pantai, mewah khazanah alam, menawarkan banyak sejarah silam untuk dihayati serta unggul dengan budaya dan adat resam.

Jam 8.00 pagi kami check out dari hotel, kami singgah ke Decha Nuchit Bridge(N6 51.954 E101 15.121) sebuah jambatan yang menyeberangi sungai Pattani. Ia menjadi tarikan pelancong untuk menyaksikan panorama di Sungai Pattani dan sekitar kawasannya. Pada petangnya menjadi tempat beristirehat warga Pattani manakala di waktu pagi dipenuhi dengan riadah seperti aerobic dan lain-lain lagi.

Kemudian kami menelusuri Pattani Road bagi mengunjungi Masjid Jamek Patani (N6 51.737 E101 15.333). Sebuah masjid yang dikatakan terindah di Thailand. Ia di bina dalam tahun 1954 dan siap pada tahun 1963 dengan senibinanya yang dipengaruhi oleh Arab dan Taj Mahal dimana sebuah kolam dilengkapi tugu berbentuk kubah dibina di tengah halaman bagi mendapatkan suasana ala Taj Mahal. Kos pembinaan menelan belanja sebanyak RM400,000 (46 juta baht - pada masa tersebut) dan boleh memuatkan sehingga tiga ribu jemaah pada satu-satu masa. Ia menjadi pusat tumpuan jemaah di Pattani untuk beribadah serta mendalami ilmu agama.

Diseberang jalan sana nu kelihatan Pasar Basah Pattani (N6 51.653 E101 15.332) atau dikenali sebagai Thetsaban Mueang Pattani Fresh Market, maka kamipun berlegar-legar seketika disitu dan bersarapan di gerai berhampiran.

Masjid yang katanya pernah diziarahi oleh Hang Tuah (????)

Kemudian kami menuju ke bahagian timur menghala ke Yaring dengan mengikuti Highway 42 untuk singgah ke sebuah masjid yang seperti tidak siap-siap dan mengalami sejarah hitam iaitu Masjid Krisik(N6 52.382 E101 18.201) atau Krue Se. Kami mengambil kesempatan untuk bergambar dan aku tidak melepaskan peluang untuk melakukan solat sunat.

Diatas Jambatan menghubungkan Yaring ke Talo Kapo

Kemudian aku menuju ke Old Town Yaring yang sejarak ± 8km tetapi ada pekan sehari dan teringin untuk singgah ke Yaring Mangrove Forest Natural Study Center (N6 52.083 E101 22.284) tetapi kesesakkan membuat aku terasa tawar hati untuk singgah. Dimaklumkan ada pelantar pejalan kaki sejauh 1,250 meter di kawasan hutan bakau sambil boleh melihat beberapa spesis burung.

Seterusnya kami  menuju ke pantai Talo kapo atau Telok Kapur (N6 53.875 E101 22.575) ± 4 km dari Yaring. Sebuah pantai yang indah mengadap Telok Siam. Pasirnya yang halus dan airnya yang menghijau dan lautnya yang cetek dan selamat untuk mandi mandanya, namun pasirnya panas dek bahang matahari yang terik. Di sini ada sebuah masjid An-Nur yang siap dibina 26/02/2013. Bersebelahannya ada sebuah pos tentera. Baru-baru ini ada letupan bom berhampiran kawasan ini.

Ada pasu di hujung makam, kenapa? Hmmm..

Kemudian kami menuju Tanjung Dato untuk melawat Komplek Pemakaman raja-raja Fatani. Terdapat makan Sultan Muhammad(N6 54.857 E101 19.919) atau Tuanku Pasa (Keturunan Raja Kelantan) yang memerintah Fatani dari 1845 – 1856 M. Ia digelar Phraya Wichit Phakdi Sri Rathanaket Pratesarat.

Kemudian aku mengunjungi Masjid Dato’ (N6 54.787 E101 19.918) atau dikenali sebagai Masjid Dato’ Panjang. Masjid yang pembinaannya sezaman dengan masjid Krisik . Ia dibina oleh Sultan Muzuffar Shah (1530 -1663M). Masjid ini diistiharkan sebagai ‘ancient monument’ pada tahun 1935 dan dibaikpulih pada 1996.

dikiri & kananku adalah laut

Sudah lama aku teringin untuk meninjau kawasan tanjung ini atau dikenali sebagai hujung Tanjung atau Laem Tha Chi (N6 56.228 E101 14.367). Tanjung yang memanjang tirus sejauh ± 15 km dari Talo Kapo. Ia agak sunyi dan menjadi kawasan nelayan. Disini kita boleh menikmati pemandangan laut lepas yang indah. Pasir yang halus dan boleh melihat Pattani dari sini. Sebelum sampai hujung tanjung akan lalui kawasan perkelahan dan ada beberapa pengusaha chalet iaitu di Teluk Sembilan atau Ban Talo Samilae

Pasirnya halus memberi cabaran dan menguji tahap kesabaranku. Ini kerana keretaku lekat dipasir ini ketika cuba berundur. Dibawah terik panas mentari aku berusaha melepaskan dari dugaan ini.Risau aku memikirkan mengenai anak isteri dan perjalanan yang masih jauh lagi untuk balik. Aku cuba dapatkan pertolongan dari nelayan berhampiran, namun usaha kami masih tidak berubah. Tiba-tiba beberapa pickup membawa kanak-kanak tadika tiba dan beberapa orang dewasa turut mebantu – pun tidak merubah situasinya. Tidak semena-mena,sekilas pandanganku sebuah CRV 4WD tiba, 3 orang lelaki menawarkan bantuan dengan menarik keluar keretaku dengan menggunakan tali. ALHAMDULILLAH berjaya. Syukurku kepada ALLAH. Pertolongan semua penduduk disini amat dihargai, mereka menolak ganjaran atas dasar silaturahim .. JAZAKUMULLAHU KHAIRAN KATHIRA

Artikel berkaitan:-

1. Kembara Alam Bumi Siam: Day 1 – Betong Yang Beruntong?
2. Kembara Alam Bumi Siam: Day 2 – Merentas Yala Menuju Pattani
3. Day 3 – Pattani: Masjid Di Ziarah, Pantai di Jelajah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...