Translator

Monday, March 31, 2014

Bukit Lengkuas: Menilai Kawasan, Mencari Laluan

Tarikh : 29 Mac 2014
Jarak : ±10 km
Max Elev : 106 meter
Coordinate: N6 12.563 E100 27.389

Mencari kelainan di tempat baru. Merasai sesuatu yang baru dibukit yang tidak sama setiap minggu. Itu sudah menjadi rutin mingguanku. Aku memang sukakan bukit kerana dari puncak, tinjauan yang luas dapat dilakukan. Aku akan mengambil masa yang agak lama dipuncak semata-mata untuk menilai dan meninjau laluan. Selepas itu aku akan mengupload data garminku ke komputer lantas menilai setiap laluan yang ku tempuhi. Oleh itu setiap hujung minggu sentiasa ku tunggu, masa untuk mencuba trek yang bakalku lalui. Kadangkala aku akan meninjau dahulu dengan menaiki motosikal atau berkereta agar tidak terkeliru di denai-denai yang bakalku lalui.

Hari ini, 8.00 pagi aku bersama Zam Bank Rakyat terus mengikuti trek yang telahku nilai minggu sebelumnya. Permulaan kayuhan dengan pendakian yang pendek. Diketinggian sekitar 100 meter, aku meninjau 2 daerah sambil menghargai keindahan alam ciptaan Ilahi. Beberapa denai kami jumpai namun dipenghujungnya semak sudah meninggi. Sebetulnya aku sudahpun ke kaki bukit ini beberapa tahun lalu ketika proses penebangan dan tanaman semula.

Sudah menjadi adat, bila ada naik tentu ada turunnya. Penurunan kami memang menerujakan tetapi sedikit curam. Selepas turun kami mengikuti denai seperti yang aku teliti dari atas bukit, memasuki kebun getah yang kini sudah mula mengeluarkan dedaun baru. Redup, tenang dan cantik. Kami membatalkan pendakian  sebuah bukit  bagi menjimatkan masa kerana perlu menghadiri beberapa majlis kenduri.

Walaupun jarak kayuhan hari ini pendek, namun aku terasa puas kerana perancanganku lancar. Jalinan jalan yang boleh diterokai telah aku dapati…

Terang & lapang

Hulala ..Habuan bila naik …Penurunan

Misi separuh jalan

Perkampungan

Merehatkan diri seketika

Panas! -Hmmm … mau saja berendam disini di kala ini

Tuesday, March 25, 2014

Bukit Kachi: Terowong Atau Lombong ? - Ulangan Mencari Kepastian.

Tarikh  : 22 Mac 2014  
Mula    : 8.00 pagi – Bulatan UUM , Sintok, Kedah
Laluan  : Bukit Kachi, Sintok, Kedah 
Jarak   : 19.9 km
Rider   : 7 orang – Am, Adli, Syahrir, Zol, Pudin, Bad dan Sang. 
Elevation : 361 meter
Coordinate: N6 24.580 E100 32.077

Tanggapan orang ramai mengatakan bahawa terowong ini adalah terowong komunis dan ada kaitan dengan terowong di Khao Nam Kang(KLIK)  Thailand. Bahkan ada yang mengatakan ada jalinan terowong seperti ini disekitar kawasan ini. Aku pernah bertanya kepada beberapa orang komando yang langsung tidak mengetahui akan wujudnya terowong komunis di sini.

Aku mendapat maklumat yang mengatakan bahawa terowong ini sebenarnya adalah bekas lombong tinggalan penjajah. Ia disokong dengan beberapa fakta yang aku perolehi yang mengatakan bahawa kegiatan melombong di Sintok, Sungai Badak dan Bukit Kachi telahpun diusahakan oleh Pelombong Eropah dan Cina sejak tahun 1920 an lagi. Terdapat sebuah syarikat perlombongan iaitu Padang Pelandok Company yang mencari gali bijih timah di Kuala Pinang dekat Padang Pelandok iaitu di hulu Sungai Sintok dan dimiliki oleh Mr. J.C. Pasqual. Di Bukit Kachi terdapat lombong yang dimiliki oleh JA Russell and Company. Selain Bijih timah, Sintok juga menjadi pengeluar bijih besi tungsten daripada jenis wolframit yang terdapat di Bukit Kachi. (Bukit Kachi hanya satu-satunya kawasan di Kedah yang mengeluarkan hasil tersebut.) Kaedah melombong yang digunakan adalah menyerupai kaedah yang digunakan di Sungai Lembing, Pahang.

Bagi merungkai persoalan ini maka hari ini aku bersama Team UUMMTB menjejaki semula terowong ini sambil meraikan sahabat dari Kuala Lumpur yang juga merupakan bekas pelajar UUM iaitu saudara Sang. Kami bermula pada jam 8.00 pagi. Kayuhan santai dengan melintasi beberapa batang anak sungai sebelum menempuh beberapa pendakian. Kami mengelilingi Bukit Khuan Si Leng (N6 24.861 E100 32.341) setinggi 440 meter sebelum sampai ke kawasan terowong. Nampaknya sudah ada pembangunan berdekatan kawasan ini bahkan hampir semua bukit berdekatan sudah ‘dinoda’. Terowong ini juga sedang dibaikpulih. Sistem saliran telah siap dibina. Kelihatan beberapa topi keselamatan di bangku dan ada lampu hingga ke dalam terowong. Kalau dahulu didalamnya sentiasa digenangi oleh air yang pekat hitam lagi berbau. Hari ini aku memasuki terowong ini, melihat dan memegang dindingnya sambil meninjau tetapi tidak masuk hingga ke dalam kerana ia agak gelap. Terowong ini juga tidak mengadap ke bahagian utara sebaliknya mengadap ke arah Barat. Dimaklumkan bahawa terowong ini sejauh 50 meter dan turun lagi ke bawah tanah lagi setinggi 50 kaki dan dari situ terowong masuk lagi ke dalam tanah yang batu-batunya mengandungi bijih. Ada sahabatku pernah masuk hingga ke dalam dengan beberapa ahli Jabatan Mineral dan Geologi suatu ketika dahulu.  Selepas bergambar kamipun berangkat pulang dan turun mengikuti laluan yang pernah digunakan dalam  Jamboree UUM lalu.

Pada pandangan dan pendapat aku (berdasar pada binaan dan suasana kawasan) dengan menilai sejarah terdahulu mengenai perlombongan dan  Bukit Kachi yang pernah menjadi sarang komunis maka aku membuat kesimpulan bahawa terowong ini sebenarnya adalah bekas lombong dan MUNGKIN pernah digunakan oleh puak pengganas sebagai tempat persembunyian.  – Wallahu a’lam.

Lagi Gambar Di FACEBOOK (KLIK)

Penjejakanku terdahulu

1. Kayuhan Buka Tirai (KLIK)   
2. Bukit Lebai Hussin – Babak baru (KLIK)
3. Bukit Lebai Hussein: Menjejaki Gua Komunis(KLIK)

Kedudukan terowong berdekatan Bukit Lebai Husin dan bersebelahan Bukit Khuan Si Leng.

Menyeberangi beberapa anak sungai

Rantai putus semasa tanjakan

Bad selamba tackle laluan berbatu

Dari kiri Sang, Adli, Zol, Pudin, Syahrir, Am dan Bad

Wow .. ada pendakian dan penurunan pun mengancam

Sayang !.. Bukit bukit dogol yang telah digondolkan

Tudiaa dah sampai

Gambar semasa aku ke sini dahulu ..kelihatan agak sempit dan digenangi dengan air yang hitam

Perbandingan terowong dahulu dan kini

Di dalamnya pun dah kering dan luas

Dibelakang sana Lombong baru sedang nak beroperasi

P3223861

Kembali mengayuh - Syahrir dengan Meridanya

Wow ..teruja main air

Friday, March 14, 2014

Lubuk Timah: Berendam Antara Sejuk dan Panas

Tarikh  : 07 Mac 2014  
Lokasi  : Lubuk Timah, Simpang Pulai, Perak Darul Ridzuan, Malaysia
Coordinate: N4 33.603 E101 09.769 (Air Panas ) 
Coordinate: N4 33.498 E101 09.894 (Air Terjun)

Lubuk Timah mempunyai keunikan kerana terdapat air terjun yang sejuk airnya dan kolam air panas. Kolam air panas yang dibina semula terletak dipinggiran sungai dan air terjunnya yang mengalir disisinya. Terdapat sebuah kolam utama yang dibina dan dialirkan ke kolam kedua dan seterus ke dalam sungai.

Air terjun pula turun dari tembok binaan seperti empangan dari kiri dan kanan tembok (empangan). Kalau musim air yang banyak, air akan mengalir turun melalui tembok ini bagaikan Niagara Fall. Mengikut cerita, empangan ini dibina di sungai Anak Ayer Cina pada awal abad ke-20. Pembinaannya berkait rapat dengan kerja-kerja perlombongan timah pada waktu tersebut. Empangan setinggi ± 30 meter yang kini dipenuhi dengan pasir dan ada anak sungai mengalir. Di atas sana juga terdapat dusun dan ladang kelapa sawit milik penduduk tempatan. Ia menjadi lokasi percutian penduduk tempatan dan orang ramai terutama pada waktu cuti.

Terdapat kemudahan asas disediakan seperti tandas, surau dan bangku tempat rehat. Untuk masuk ke kawasan ini akan dikenakan caj sebanyak RM2.00 (kereta) oleh penduduk yang menyelenggara kawasan ini. Berhampiran kawasan ini kita akan jumpa kolam air panasnya dahulu.

Untuk ke kawasan air terjun, terpaksa berjalan atau berkereta sejauh 100 meter. Walaubagaimanapun anda dinasihatkan untuk berjalan kaki ke kawasan air terjun, tetapi tidak ada masalah sekiranya anda mempunyai kemahiran memandu dan mempunyai kenderaan pacuan 4 roda.

Lubuk Timah

Ia terletak ± 8 km dari Tol Simpang Pulai(Exit 137). Untuk ke sana, dari tol Simpang Pulai belok ke kanan di Lampu Isyarat pertama dan ± 500 meter (di lampu isyarat berikutnya) belok ke kanan menuju ke Cameroon Highland. ± 5km dari simpang jalan utama akan jumpa papan tanda kecil tunjuk arah dan juga papan tanda kuari dan melalui jalan yang sangat berdebu sejauh 1 km sebelum sampai ke lokasi air panas.

Papan tanda

Kolam air panas

Air terjun dari empangan

Kalau air banyak begini jadinya: foto dari internet

Pemandangan dari bahagian atas

anak sungai yang mengalir di bahagian atas empangan

Monday, March 10, 2014

Bicycle Path: Berkongsi Pengalaman Dari Seorang Pengembara

Tarikh  : 06 Mac 2014 
Mula    : 5.20 petang   
Laluan  : Kepala Batas – Titi Gajah – Alor Ganu - Kg. Bohor – Lubuk Kawah – Jitra 
Lokasi  : Kedah Darulaman, Malaysia

Florian Schmale adalah seorang jejaka berusia 28 tahun. Hasratnya untuk melihat dunia dengan lebih dekat disamping ingin bebas dari kongkongan kerjaya dan kehidupan adalah antara faktor yang merealisasikan misinya mengembara ke serata dunia dengan basikal. Berbekalkan semangat dan sedikit wang simpanan, beliau tekad berkelana seorang diri. Beliau memulakan kayuhan pada 06 Mei 2011 lalu. Kini setelah 22 bulan, beliau sudah mengembara hampir ke 20 buah negara dan menempuh perjalanan hampir 20,000 km. Hari-hari yang menarik dilalui, suka duka ditempuhi, persekitaran yang berbeza dirasai, kenalan bertambah setiap hari, berbagai rintangan dihadapi, semuanya membuat beliau semakin tabah dan yakin akan matlamatnya. Satu jalinan persahabatan.

Dari  kenalannya, beliau mendapat maklumat mengenai projek jalinan kayuhan (Bicycle Path) di Kedah. Tertarik untuk mencuba, lantas aku dihubungi oleh saudara Syafiq bagi membantunya menunjuk jalan disamping merasai pengalaman di persekitaran bendang. Kesempatan bagiku untuk  menonjolkan Malaysia, memberi gambaran tentang Kedah terutama sebagai negeri Jelapang Padi. Tidak semua laluan dilalui dek masa yang singkat. Walau dengan masa yang agak terbatas, banyak pengalaman yang  dapat dikongsi darinya terutama dalam pembikinan ‘projek’ laluan ini. INSYAALLAH …..

Menelusuri laluan Bendang

Jalan kampung yang tenang

Menyeberangi sungai

Kehijauan dan kekuningan sawah padi

Menghayati Bonsai

Menguning: musim menuai & cuaca yang kering

Friday, March 07, 2014

Ladang Nipah Ismail Che Kar: Menikmati Titisan Manis

Tarikh  : 06 Mac 2014  
Lokasi  : JKS 6, Jalan Kuala Sedaka, 06900 Yan Kedah DA  
Coordinate: N5 52.174 E100 22.802

Pokok nipah adalah tumbuhan palma yang hidup subur dikawasan yang berpaya, lembab dan berlumpur. Ia boleh didapati di kawasan pinggiran kampung, tepi sungai dan tepi pantai. Pokok yang boleh dipelbagaigunakan oleh penduduk kampung. Daunnya di jalin menjadi atap, boleh menjadi pembalut makanan, boleh juga dibuat ‘perasap’ sebagai rokok daun nipah. Buahnya boleh dimakan dan tangkai buah pula bila diproses dengan kaedah tertentu boleh menghasilkan air atau dikenali sebagai nira. Nira yang dihasilkan sangat enak dan manis. Sesuai untuk menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga bahkan mempunyai nilai perubatan.

Daerah Yan merupakan antara kawasan pengeluaran nira nipah yang terkenal di Kedah. Kebetulan ada urusan didaerah ini lalu singgah ke Ladang Nipah milik Ismail Che Kar yang menjadi terkenal ekoran musim piliharaya kecil DUN Sungai Limau pada 04 November 2013 lalu.

Telah mengusahakan perniagaan ini sejak 20 tahun lalu dan mula mempromosikan sebagai kawasan tarikan atau taman sejak tahun 2009. Beliau bersama isterinya Rohana Ali telah meningkatkan taraf dengan mencantikkan kawasan paya berdekatan rumah mereka. Kawasan berlumpur ditambun dan diletakan meja taman tetapi masih mengekalkan ekologinya agar pengunjung dapat melihat secara dekat cara dan proses pengambilan nira . Pengunjung boleh menikmati nira dengan harga RM10.00 satu jag dan sepinggan kacang goreng. Kenikmatan akan dirasai bila meminum nira yang segar dibawah teduhan pohon nipah sambil disapa angin bendang.

Pengunjung dinasihatkan untuk membuat tempahan dahulu kerana bekalan yang agak terhad (kerana permintaan yang agak tinggi). Tempahan boleh dibuat di :- 012-4355104 atau 017-5542354. En. Ismail memberi jaminan bahawa nira nipahnya adalah asli dan tidak dicampur dengan gula atau perasa lain.

Post berkaitan : Ladang Nipah Kipli (KLIK)

20140306_115050

IMG_0357

Minum dibawah teduhan nipah

IMG_0365

Satu jag RM10.00 + kacang

IMG_0374

Bunga nipah keluar di celah-celah pelepahnya. Bunganya bergugus di hujung tangkai dan menghasilkan buah.

IMG_0376

Berbuah dihujung bunga

IMG_0372

Buah yang sesuai akan dipilih dan tangkainya akan dilurut bagi mengeluarkan air nira

IMG_0381

Tangkai akan dipangkas untuk tempoh tertentu  bagi  mendapatkan air nira dan ditadah ke dalam botol atau tukay (bekas untuk menadah air nira).

IMG_0382

Tukay dimasukkan ke dalam batang pelepah pokok nipah ditutup dan diikatkan dengan plastik supaya serangga tidak memasukinya.

IMG-20140306-WA0033-horz

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...