Translator

Thursday, August 25, 2011

Sembang More: Pra Persediaan Projek Kayuhan

image Tarikh: 24 September 2011 = 24 Ramadhan 1432

Hari: Rabu Jam 10.45pm

Lokasi: Kedai CT Tomyam, Tunjang, Kedah Darul Aman

Pertemuan diatur bukan sekadar untuk bersembang, juga membincang satu usul  dari Cikgu Lutfi bagi merealisasikan satu projek kayuhan yang matlamat asal adalah bagi memupuk gaya hidup yang lebih sihat yang ditempekkan dalam satu majlis yang dinamakan Expo Kedah Sejahtera 2011.

Perbincangan bersama orang kuat DUN Jerlun, Haji Ghazali dan beberapa team Gerek Baru. Satu Jawatankuasa Pelaksana telah dibentuk yang  diketuai oleh cikgu Lotfi, Saudara Zn Gerek Baru dan Ustaz Raja akan bertindak sebagai promoter bagi mengketengahkan projek kayuhan ini yang dicadangkan dengan nama “ Kayuhan Sejahtera Kedah 2011” bakal diadakan pada 1hb Oktober 2011 di Balai Pos, Alor Biak, Jitra, Kedah Darul Aman.

Kayuhan santai melalui batas ban merentasi sawah padi .. masa di mana para petani sedang membajak sawah, orang ‘patani’ sedang menanam. Melalui projek ‘airmata’   Udang Kerpan’ …

Maklumat lanjut akan menyusul ….

imageKata sepakat sudah dapat .. selepas Raya kita akan buat

Monday, August 22, 2011

Puasa Di Mekah: Satu Pengalaman Singkat

Sebelum ini pernah melihat rakan yang berpuasa di Mekah akan terus mengunjunginya semula  untuk berpuasa bahkan sebulan di sana. Kenapa?

Peluang mengerjakan umrah di bulan Ramadhan ini menjawap segalanya. Dapat pula menempuhi ibadah puasa di tanah suci walaupun sangat singkat iaitu seminggu. Sememangnya seronok berpuasa di sana. Walaupun dengan teriknya panas mentari (± 43°C), siang yang lebih panjang dari malam, cuaca yang kering dan berjerubu, menyusupi lautan manusia namun tidak terasa akan keletihan mahupun lapar dan dahaga.
Berbuka dengan cara yang paling minima dengan hanya segelas air zam-zam dan beberapa butir tamar namun dapat bertahan sehingga selesai solat tarawih dan witir. Jam 11.30 malam baru pulang ke hotel untuk menikmati makan malam dan jam 1.00 pagi baru meletak kepala ke bantal. Sememangnya di sini bukanlah tempat untuk menikmati keselesaaan. Tidur yang minima, pukul 2.30am sudah bangun untuk bersahur dan seterusnya ke Masjidil Haram untuk solat subuh. Perlu menghayati matlamat dan tujuan ke sini.
Dengan berpuasa, banyak ‘amalan’ yang dapat kita lakukan dengan teratur dan sempurna. Jika tidak, setiap selesai sembahyang fardhu terpaksa bergegas balik hotel untuk makan pula.
Sebelum ke sini aku sentiasa membayangkan  juadah berbuka yang pelbagai dijual, namun hampa. Pesta makanan hanya boleh didapati di negara kita .. di sini ianya mudah .. basic
Dalam perjalanan ke masjid, seringkali ada individu(pemilik restoren atau kedai atau orang kaya kot) memberi ‘habuan’ kepada jemaah, tetapi Masyaallah berebut-rebut orang ramai nak dapatkan ‘ration’ tersebut hinggakan tukang beri pun terpelanting kopiah.
Seronok melihat jemaah berbuka di Masjidil Haram (sebelum ini sahabat sudah menyarankan agar berbuka di Masjid kerana barulah dapat menghayati ‘kesusahan’ sebenar dalam berpuasa). Hamparan ‘sepera’ plastik sudah di bentangkan selepas waktu asar lagi dihadapan karpet sembahyang dan sejajar. Sebelum pukul 6.00 petang jemaah sudah mengambil tempat dan tamar dan air zam-zam dihidangkan oleh petugas. Ada sesetengah tempat hidangan tambahan dari ‘hamba Allah’ diberi. Aku sering berbuka di tingkat atas(atas bumbong) kerana lebih selesa. Disini ramai Tok-Tok Arab membawa bekalan sendiri. Ada roti, laban, tamar baik punya, oren, teh, dan lain-lain  lagi untuk berbuka. Adakalanya dapatlah merasa kerana mereka tidak lokek untuk kongsi bersama jemaah bersebelahan. Selepas ± 10 minit, para petugas akan membersihkan sisa makanan  dengan menggulung plastik tadi supaya solat Maghrib dapat dilakukan dengan sempurna.
Kesempatan melakukan Tarawih 20 rakaat dengan doa qunut mengambil masa  ± 2 jam namun tidak terasa detik berlalu. Imamnya pula Sheikh Saalih Al Taalib dan Sheikh Sudais, emm sedap sekali bacaannya bahkan adakalanya dia menangis. Ruang-ruang sembahyang sentiasa penuh dan sesak terutama pada hari Khamis dan Jumaat.
Ramadhan bulan yang penuh barakah dan maghfirah dari Allah SWT.  Sesungguhnya berpuasa dan beramal di sini mempunyai nilainya yang tersendiri. Pastinya ramai yang akan mengunjunginya terutama  apabila memasuki pertengahan Ramadhan, khabarnya sehingga 3 juta pengunjung bakal tiba.
Iftar: Beberapa butir tamar, segelas air zam-zam dan sedikit air teh apatah ( teh herba kot – pedas, berempah dan tawar)
sama-sama membersihkan sisa makanan bagi membolehkan solat Maghrib dilakukan dengan sempurna
Menunggu waktu berbuka: – diperkarangan Masjidil Haram
Lokasi kegemaran aku,  Tingkat paling atas Masjidil Haram
Tingkat Atas Masjidil Haram: Saat untuk berbuka - Menghitung waktu

Thursday, August 18, 2011

Mekah Mukaramah: Catatan Umrah

Tarikh: 30/07/2011 – 15/08/2011

30/07/2011 – 7.00am : Selepas sarapan, kami sudah berpakaian ihram (Sengaja memakai awal kerana bimbang nanti sukar untuk menukarnya di miqat). Bas yang menanti bertolak menuju Masjid Bir Ali (tempat miqat) yang jaraknya ±10km dari Madinah. Disini, jemaah akan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat ihram dan berniat untuk mengerjakan umrah. Maka secara rasminya dah terikat dengan pantang larang ihram. Keadaan ini menyebabkan aku sentiasa dibelungi perasaan takut sepanjang perjalanan ..kenapa?(1st time mai Mekah dan buat umrah kot!). Naik atas bas, mutawif memperingatkan jemaah untuk membaca niat .. selepas tu aku tak sedar dah apa yang terjadi ..hanya kedengaran sayup-sayup suara mutawif memperkatakan sesuatu. Tup..tup bas dah berhenti di suatu tempat ditengah gurun. Katanya Wadi Qudait entahlah .. ianya macam RnR jer ..ada bilik untuk disewa, kedai makan dan yang penting ..aku nak ke tandas .. hulamak terik sungguh panas nih .. hampir sahaja aku menutupi kepalaku dengan tuala yang diselendangkan dibahu.. nasib baik! teringat yang aku kini sedang berihram..Syukurrr. Selepas tu pekena nasi mandi yang  memang sedap, walaupun hanya ayam, bawang dan limau (tanpa kuah)

Labaikallah

Kami tiba di Mekah ± pada jam 2.30 ptg. Terus ke Hotel penginapan iaitu Bakkah Baity. Aku bersama ibu dan bapaku ditempatkan bersekali. Biliknya agak sempit dan tidak bertingkap ..tidaklah seperti di Madinah tempohari. Selepas berkemas dan bersedia mengambil wuduk kami pun terus ke Masjidil Haram. Dari kejauhan lagi aku sudah kagum melihatnya yang merupakan masjid yang terbesar di dunia. Aku melangkah masuk ke masjid melalui pintu King Abdul Aziz, melihat sahaja Baitullah .. aku menjadi kagum, teruja tetapi perasaan takut masih menguasai diriku sambil berdoa memohon keampunan dan diterima segala amalan. Tidak terus mengerjakan Tawaf kerana sudah masuk waktu asar. Selepas selesai solat asar, terus sahaja aku melakukan Tawaf. (Cadangan awal tu nak ‘menempek’ bapaku yang boleh membantuku semasa urusan umrah ni tetapi beliau dibawa untuk berTawaf dan Sa’e dengan kerusi roda) . Alhamdulillah selesai Tawaf, aku berdoa kepada Allah agar diampuni segala dosa-dosaku, terimalah segala ibadahku, berilah aku hidayahMu, berilah aku kekuatan untuk beribadah ……. Setelah itu aku melakukan Sa’e pula ditingkat bawah yang ada air-cond. Jarak dari Safa Ke Marwah ± 450 m, jadi dengan tujuh kali berSa’e jaraknya hampir 3.15 km (dekat 2 batu tuh) Laju jer aku kerjakannya. Dengan selesai bertahlul .. maka terungkai segala ketakutan dalam diriku ..mudah tidak seperti yang aku bayangkan. Apa yang aku takuti sebelum ini ialah pantang larang ihram, aku tidak tahan wuduk ..asyik nak terkentut dan buang air kecil sahaja

Aku sempat melakukan umrah beberapa kali . Aku tidak kerjakan pada hari Khamis dan Jumaat kerana ramai orang pada hari tersebut. Berniat ihram di Tana’im dan Jaranah. Untuk makluman untuk ke Tana’im kami menggunakan van yang boleh muat 9 orang dengan tambang pergi balik sebanyak SR150.00. Manakala ke Jaranah , menggunakan Toyota Innova dengan kos sebanyak SR250.00. Jaga-jaga adakalanya pemandu teksi/van akan gunakan berbagai helah untuk ‘cekik’ kita. Kebetulan Mutawif kami  deal dengan pemandu di sini dengan ‘cara’ Arab.

Semasa di Mekah ini beberapa kali kesabaran aku diuji, ditolak terutama dari geng India dan Pakistan dan yang tercabar bila pompuan muda juga menolak aku(fuhh) .. aku melawan tolakan tersebut sambil mengingati ‘buah’ yang ustaz Hanafi bagi dahulu .. uhh tetapi selepas tu terfikir apakah pergaduhan yang aku mahu dan apakah matlamat aku datang ke sini. Selepas itu aku pasrah dan redho’, biarlah! ini adalah dugaan dan cabaran .. alhamdulillah selepas itu tidak lagi berlaku dan kalau berlaku , sorry terpacul dan mulut mereka atau dari gerakan tangan.

SESUNGGUHNYA MENGERJAKAN UMRAH ATAU HAJI  MEMERLUKAN KEKUATAN MENTAL DAN FIZIKAL DISAMPING MEMPUNYAI KEAZAMAN YANG KUAT. INSYAALAH SELEPAS INI AKU BERTEKAD UNTUK MENGERJAKAN HAJI PULA.

Sesudah solat subuh. Ribuan Jemaah bertebaranlah
Masih belum padat lagi jemaah di Mekah kerana masih belum masuk bulan Ramadhan.

IMG_3000

Selepas Zohor .. terik mentari dengan suhu mencecah 43 °C

Baitullah yang tidak pernah sunyi

Jabal Rahmah - bukit penuh rahmat, Bukit dimana bertemunya kembali Adam dan Hawa
TEMPAT TERBAIK BERDOA UNTUK MENDAPAT JODOH, Wallahualam

Bukit Safa – permulaan bersa’e

IMG_3129

setelah selesainya umrah

Masjid Tana’im – juga dikenali sebagai Masjid Sayyidah Aisyah. ±7.5km dari Masjidil Haram. Batas tanah suci yang paling dekat

IMG_3122

Masjid Jaranah – Jaraknya ±24km dari Masjidil Haram

Masjid terapung di Jedah

Friday, August 12, 2011

Madinah Al Munawarah Kunjungan Sebelum Umrah: Satu Catatan

IMG_2875

Pakej: Umrah Ramadan 16 Hari 14 Malam

Syarikat : Al Farhan Travel & Tour Sdn. Bhd.

Alhamdulillah .. satu perjalanan paling manis dikecapi olehku menuju ke bumi Anbia bagi menunaikan umrah.

IMG_2838

Bersama 21 jemaah lainnya(termasuk ibu dan bapaku), perjalanan bermula dari Alor Setar pada hari Isnin 25/07/2011 jam 5.00 pagi dengan menaiki bas syarikat. Kemudian bertolak ke Singapura pada jam 10:15 am dengan Singapore Airlines (SQ 5309) dan tiba di lapangan terbang Changi pada jam 11:40am. Seterusnya kami bertolak ke Jeddah pada jam 12:45 tgh dengan Singapore Airlines (SQ 456). Setelah kebas pungkoq selama hampir 12 jam akhirnya kami tiba di King Abdul Aziz International Airport pada jam 7.00 malam waktu Saudi(12.00 tengahmalam). Keluar sahaja dari Lapangan terbang, hawa panas menerpa ke wajahku, dengan suhu ± 39 °C keliling berjerubu sekali. Terus sahaja kami di bawa dengan bas ke Madinah. ± pukul 4.00 am(Saudi) kami tiba di hotel Qasr Aus yang jaraknya hanya ± 300 meter dari Masjidi Nabawi. Selepas check in terus sahaja aku ke masjid untuk solat subuh kerana subuh disini pada jam 4:20am.

IMG_2879

Selepas subuh, kami dibawa ke menziarahi Masjid Nabawi. Sungguh terharu lagi kagum sebaik melangkah masuk ke masjid nabi ini, keindahan senibinanya dan peluang bersolat disini.. Syukur sekali kerana solat di sini lebih utama dari 1,000 solat di tempat lain (kecuali Masjidil Haram), jadi jangan lepaskan peluang tersebut…

IMG_2864

IMG_2972

Babus Salam – Masjid Nabawi

Ya Allah, aku ingin bersua dengan kekasihmu. Kaki kananku melangkahi memasuki Babus Salam, sesudah sembahyang sunat aku bergerak mengunjungi Makam Rasulullah (SAW), dengan berdiri dihadapan muwajahah sambil menghadapnya dengan  menghadirkan hati akan mulianya Rasulullah (SAW), aku memberi salam padanya dan menyampaikan salam rakan-rakan. Sesudah itu aku bergerak ke kanan dan memberi salam pada sahabat junjungan, Saidina Abu Bakar As Sidiq dan seterusnya melangkah untuk menghadap makam Saidina Omar dan memberi salam padanya dan seterusnya bergerak membelakangi makam mereka dengan mengadap kiblat lantas berdoa. Sesungguhnya airmata akan meleleh keluar jika kita kusyuk dan keseorangan. (Kalau berdoa dalam kumpulan – pasti tak jadi punya – maluuuu)

IMG_2889

Makam Rasulullah SAW, makam Sy Abu Bakar dan Sy Omar

IMG_2890

Mimbar

IMG_2894

Sesudah itu aku berpeluang bersama bapaku solat di Raudhah dan seterus melawat perkuburan Baqi’ yang menempatkan para ummahatul mukminin isteri-isteri Nabi, puteri Nabi Fatimah Az Zahro, Sy Hassan Bin Ali dan lain-lain lagi.

IMG_2893

 

IMG_2925Esoknya, 27/07/2011 kami di bawa melawat ke beberapa tempat menarik. Pertamanya ke Masjid Quba yang berjarak 5 kilometer sebelah tenggara Madinah. Ia adalah masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW. Kami di ingatkan supaya mengambil wudu’ sebelum bertolak ke sana disamping melakukan Solat Sunat Tahiyatul Masjid dan Solat Sunat Dhuha kerana kelebihan solat didalamnya: pahalanya seperti mengerjakan umrah .. Hadis Riwayat Sahal Bin Hunaif. Masjid ini kini mampu menampung ±20,000 jemaah. Masjid Qiblatain sekadar melihat dari kejauhan kerana rombongan lain sudah mula bersesak disitu.

IMG_2938Destinasi kami seterusnya adalah ke Jabal Uhud. Tempat dimana terjadinya peperangan Uhud yang mengakibatkan puluhan sahabat yang syahid termasuk bapa Saudara Nabi iaitu Saidina Hamzah bahkan Nabi sendiri patah giginya. Hanya meninjau dari kejauhan Jabal Rummat (bukit memanah). Bukit stategik posisi kaum Muslimin yang telah ingkar arahan dan meninggalkan posisi yang menyebabkan kekalahan dipihak Muslimin. Bukit yang kecil sahaja yang panjangnya sekitar 180m dan lebar 40 m sahaja.

IMG_2932

Banyak peniaga yang menjual pelbagai barangan, apa yang menarik ialah buah kurma madinah yang agak murah dijual disini berbanding ditempat lain. Kurma Ajwa(besar punya) boleh dapat dalam harga SR60.00/kilo berbanding tempat lain dari SR70 – SR100/kilo. (Apalagi borong sakan laaaa buat bekalan aku di bulan puasa.. nak jamu kawan depa posa)

IMG_2937

Kesempatan untuk aku mengunjungi kilang percetakan Al Quran hampa .. kami ke Jabal Magnet, bukit unik yang menjadi salah satu tempat rekreasi Tok-Tok Arab(husssh.. sakan depa gak no). Semasa menuruni bukit, pemandu meninggalkan tempat pemanduan bagi membuktikan bahawa bas ini ditarik naik ke atas.(gostan NAIK sendiri) Masyaallah ….

28/07/2011 – sesudah subuh aku melakukan ziarah wida’ di Masjid Nabi. Kali ini berlinang air mataku, sedih, pilu kerana aku akan meninggalkan Rasulullah SAW yang bersemadi di Masjid ini. Doaku semoga kedatanganku ini bukanlah kali yang penghabisan ………. Sudah 3 hari aku di Madinah pasti aku akan merindui suasana di Masjid Nabawi, suasana solat fardhunya.

Madinah sememangnya menarik kerana ianya bukan lagi Yathrib

IMG_2860

Jam 8.00am kami bertolak untuk ke Mekah yang jaraknya 423km ± 7 jam perjalanan. Agaknya berapa lama Rasulullah naik unta untuk sampai ke sana ya? Dari Hotel kami sudah berpakaian ihram …….

Lagi Gambar di FACEBOOK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...